Berjanji beriman tetapi mencabulinya

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYYID Qutub berkata: “Kemudian al-Quran berpaling kepada kaum Muslimin dan kepada manusia umumnya dan di sini ia mengecam kaum Yahudi dan mendedahkan salah satu daripada sifat-sifat mereka yang berpenyakit. Mereka merupakan satu masyarakat yang tidak bersatu padu walaupun mereka berpegang kukuh dengan semangat fanatik perkauman mereka yang keji.

Mereka tidak pernah sepakat dalam sesuatu fikiran, tidak pernah mematuhi sesuatu perjanjian dan tidak pernah berpegang kepada sesuatu pegangan yang kukuh. Walaupun mereka fanatik terhadap diri dan bangsa mereka, dan mereka tidak suka Allah s.w.t. mengurniakan limpah kurnia-Nya kepada orang-orang yang lain daripada mereka, tetapi mereka tidak berpegang dengan perpaduan dan tidak mematuhi janji terhadap satu sama lain. Apabila mereka mengadakan sesuatu perjanjian sesama mereka, maka ada sahaja puak daripada kalangan mereka yang keluar daripada kumpulan dan bertindak melanggar perjanjian itu dan memberontak terhadap persetujuan yang telah dicapai oleh mereka.”

“Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan daripada mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.

“Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul daripada sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).” (Al-Baqarah: 100 dan 101)

Firman Allah s.w.t., patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Iaitu mereka mengkufuri dengan segala ayat yang amat jelas lagi terang. Tatkala mereka dikurniakan perjanjian, sebahagian daripada kalangan mereka akan mencabulinya.

Ibn Abbas dan Mujahid berkata: “Diisyaratkan kepada mereka ialah golongan Yahudi. Dan dikatakan perjanjian yang mereka ikat janji dengannya bahawa mereka berkata: ‘Demi Allah, jika keluar Muhammad, nescaya kami beriman dengannya.’ Dan diriwayatkan daripada Ata’ bahawa segala perjanjian yang diadakan antara Rasulullah s.a.w dengan mereka, kemudian mereka mencabulinya sebagaimana perbuatan Bani Quraizah dan Bani Nadhir.

Tidak beriman

“Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman. Bahkan kebanyakan orang Yahudi sebenarnya tidak beriman sebenar-benarnya dengan kitab Taurat. Justeru, mereka mencabuli segala perjanjian.”

Syeikh Sya’rawi berkata dalam tafsirnya: “Selepas Allah menerangkan bahawa agama Islam dan kitab-Nya al-Quran termasuk daripada tanda-tanda yang jelas yang menjadikan beriman dengannya. Tetapi mereka mengambil pendirian menentang sebagaimana yang berlaku kepada orang Yahudi terhadap Islam. Mereka boleh menafikan bahawa mereka melakukan perjanjian dengan Allah supaya jangan menyembunyikan apa yang terdapat dalam Taurat berkenaan dengan sifat Rasulullah s.a.w.

“Begitu juga mereka menafikan perjanjian bahawa mereka semestinya beriman dengan Rasulullah s.a.w. di samping itu menafikan apa yang Nabi Musa a.s. menuntut mereka supaya beriman dengan Islam apabila dibawa oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana termaktub dalam Surah Ali-Imran ayat 81 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian daripada para Nabi: ‘Sungguh, apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya. Allah berfirman: ‘Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab: ‘Kami mengakui.’ Allah berfirman: ‘Kalau begitu saksikanlah (hai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersamamu’.”

Selepas Allah s.w.t. menceritakan berkenaan golongan Yahudi yang mencabuli segala perjanjian khususnya beriman dengan Rasul sedangkan mereka mengetahuinya, lantas Allah s.w.t. menyebut sikap mereka dengan firman-Nya dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul daripada sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), iaitu nabi kita Muhammad s.a.w yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebagaimana yang telah dibenarkan oleh Taurat berdasarkan ilmu usuluddin.

Mereka berikrar berkenaan kenabian Musa a.s. tetapi sebahagian daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, iaitu pendita-pendita mereka mencampakkan Taurat dan berpaling daripada mengikuti semuanya kerana terdapat di dalam kitab itu yang menunjukkan kenabian Muhammad s.a.w..

Lantas mereka ingkar dan berterusan mengingkari kenabiannya. Diumpamakan peninggalan mereka dan berpaling mereka daripadanya seumpama dengan apa yang mereka lempar dengannya di belakang mereka kerana berasa cukup dan tidak berhajat kepadanya serta sedikit berpaling dan melihat kepada kitab tersebut.

Ibn al-Jauzi berkata: “Yakni golongan Yahudi dan kitab ialah kitab Taurat.”

Adapun perkataan kitab Allah pula terdapat dua pandangan ulama:

* Ia adalah al-Quran.

* Ia adalah Taurat.

Ini kerana mereka kafir dengan Muhammad s.a.w dan telah membuang kitab Taurat.

Al-Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: “Yakni kitab Taurat yang mana mereka kufur dengan Rasulullah s.a.w. atau juga kitab al-Quran yang mereka campakkan selepas sepatutnya mereka lazim menerimanya.

Ia berlaku seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya). Seolah-olah mereka tidak mengetahui sedikitpun berkenaan bukti-bukti kenabian Muhammad s.a.w..

Ayat ini mengandungi sindiran yang halus bahawa kaum Ahli Kitab sendiri telah tergamak mencampakkan Kitab Allah di belakang mereka. Andainya mereka daripada golongan kaum musyrikin, tentulah perbuatan mereka yang mencampakkan Kitab Allah di belakang mereka itu dapat difahami.

Tetapi oleh kerana perbuatan ini dilakukan oleh mereka sendiri selaku Ahli Kitab, mereka tentulah tahu tentang risalah-risalah dan rasul-rasul. Mereka tentulah telah mengenal hidayat dan melihat nur hidayat. Tetapi apakah yang mereka telah buat? Mereka telah mencampakkan Kitab Allah di belakang mereka.

Ungkapan ini tentulah bermaksud menyatakan bahawa mereka telah mengingkari kitab suci itu dan tidak lagi beramal dengannya. Mereka telah menyingkirkan kitab itu daripada bidang pemikiran dan kehidupan mereka.

Pun begitu, ungkapan yang memberi gambaran itu telah memindahkan pengertian ini daripada ruang akal ke ruang alam nyata. Ia menggambarkan perbuatan mereka dengan harakat fizikal yang dikhayalkan. Ia menggambarkan perbuatan itu dengan gambaran yang keji, penuh dengan keingkaran, kekufuran, kekasaran, ketololan, kebiadaban dan kejakunan. Ia membiarkan khayal menikmati harakat yang kasar iaitu harakat tangan yang membuang kitab suci di belakang.

No Comment

Post a Comment