Huruf-huruf hija' - Rahsia Allah dalam al-Quran

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALIF LAAM MIIM. Mu-qadimah surah al-Ba-qarah dengan alif laam miim yang dikenali sebagai huruf hija' yang termasuk dalam ayat- ayat mutasyabih (samar), hanya Allah sahaja yang mengetahui kehendak maksudnya, justeru itu kita wajib beriman dan mengembalikan maknanya kepada Allah. Faedah dinyatakan di sini seperti pendapat Imam al-Baghawi dalam tafsirnya, supaya dituntut beriman dengannya.

Abu Bakar as-Siddiq berkata, ``Pada setiap kitab ada rahsia, dan rahsia Allah pada al-Quran ialah awalan-awalan surah.'' Daud bin Abi Hind pernah bertanya kepada Sya'bi mengenai pembukaan surah, jawabnya, ``Hai Daud, sesungguhnya setiap kitab mempunyai rahsia dan rahsia al-Quran itu pembukaan surah, tinggallah dan bertanyalah kepada yang lain.''

Imam al-Qurtubi menghikayatkan dalam tafsirnya daripada Abi Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibnu Mas`ud, juga dinyatakan oleh as-Sya'bi dan Ath-Thauri. Inilah yang dipilih oleh Ibnu Hibban. Muqadimah dengan huruf- huruf hija' ini bagi menarik golongan penentang al-Quran dengan lafaz-lafaz yang asing dalam ucapan mereka. Ia diharap dapat menarik perhatian mereka.

Abu Rauq, Atiah bin al-Haris al- Hamadani berkata, ``Adalah Rasulullah s.a.w. membaca al-Quran dengan suara yang nyaring dan jelas dalam solat. Orang-orang musyrikin bertepuk tangan dan bersiul mengejek, lantas diturunkan huruf-huruf yang terputus ini ( hija'). dan mereka mendengar dengan kehairanan. Inilah yang dinaqalkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitabnya Zad al- Masir.

Huruf-huruf ini juga sebagai peringatan tentang mukjizat al-Quran yang bukannya kalam makhluk. Mereka lemah dalam mengkritiknya. Inilah pendapat jemaah ahli tahqiq seperti kenyataan Ibnu Kathir. Pendapat ini juga diikrarkan oleh az-Zamakhsari dalam al-Kasyaf dan Imam Ibnu Taimiah.

Termasuk pendapat tanpa ta'wil ini ialah Syeikh Muhammad Abduh seperti yang dinaqalkan oleh Syeikh Muhammad Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar. Katanya dengan tegas, ``Cukup bagi kita dengan apa yang dinyatakan para sahabat dan tabiin, bukan daripada agama dalam perkara menyusahkan yang melampau, lalu mencipta illah/sebab yang mengakibatkan sedikit sahaja yang selamat daripada tergelincir.''

Syeikh Ahmad Syakir dalam mukhtasar Ibnu Kathir yang dinamakan Umdah at- Tafsir berkata, ``Keseluruhan huruf yang disebut pada awal-awal surah dengan dibaca secara berulang-ulang sebanyak 14 huruf iaitu: alif, lam, mim, shad, ra, kaf, ha', ya, ain, tha, sin, ha, qaf dan nun. Mungkin sekiranya dikumpul pada lisanmu berbunyi, `nas hakim qat`ie lahu sir' bermaksud nas Tuhan yang maha bijaksana lagi tetap mempunyai sir atau rahsia.''

Tanpa dinafikan terdapat ulama yang cuba menta'wilkannya dengan menaqalkan pendapat-pendapat seperti Ibnu Abbas, ar-Rabi' bin Anas, Muhammad bin Kaab, Said bin Jubair, Qatadah, Mujahid, Ibnu Zaid, al- Akhfus dan lain- lain lagi. Penulis lebih cenderung kepada pendapat yang pertama kerana inilah rahsia kitab Allah yang ditinggalkan ta'wilnya, hatta Rasulullah s.a.w. sendiri termasuk kebanyakan sahabat-sahabat seperti abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan lain -lain.

Syeikh Rashid Ridha menghuraikan beberapa nokhtah daripada ayat pertama:

i. Huruf ini dibaca satu demi satu (putus) kerana ia tidak termasuk dalam susunan kalam yang dii'rabkan dengan harakat .

ii. Dengan tidak dii'rabkan, dapat ditarjihkan bahawa hikmah pembukaan sebahagian surah yang khusus untuk peringatan dan mukjizat al-Quran.

iii. Sebagai cabaran kepada pakar-pakar bahasa Arab dan sasterawan untuk menunjukkan hikmahnya dan mukjizat al-Quran.

iv. Selemah-lemah yang dikatakan pada huruf-huruf hija' ini sebagai masa umat ini.

v. Ada sebahagian ulama sejarah berpendapat bahawa melihat burung-burung sebagai tanda-tanda kepada sebahagian hakikat agama dan sejarah yang akan berlaku kepada makhluk.

Akhirnya, tawaqquf daripada tafsiran huruf ini lebih selamat daripada menyebut ta'wilan yang tidak qat`ie. Ada pendapat yang mentafsirkan Kitab dengan Taurat dan Injil seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Jarir dan lainnya.

- KITAB (AL-QURAN) ITU TIDAK ADA KERAGUAN PADANYA, PETUNJUK BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA. Kitab itu yakni al-Quran. Kitab pada bahasa Arab adalah kumpulan, seperti kumpulan tentera, kumpulan lembaran kertas dinamakan kitab. Di sini yang kita maksudkan adalah al-Quran. Ada pendapat yang menyatakan Kitab sebagai Taurat dan Injil seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Jarir dan lainnya.

Disebut `itu' bermaksud isim isyarat yang jauh `itu' dengan `ini' seperti pendapat Mujahid, Ikrimah, Said bin Jubair. Ibnu al-Jauzi berkata, ada dua pendapat pada tafsiran `itu':

a. Dengan makna ini, iaitu pendapat Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Kisai, Abi Ubaidah dan al-Akhfas. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu al-Anbari dalam syair Khafaf bin Nudbah.

b. Ia dengan maksud isyarat kepada yang ghaib. Daripada tafsiran ini terbahagi kepada tiga pendapat:

i. Apa yang terdahulu daripada turunnya al-Quran.

ii. Apa yang dijanjikan dengan apa yang diwahyukan kepadanya.

iii. Apa yang dikehendaki dengan janji Ahli Kitab kerana mereka mendustakan nabi dan kitab.

- RAIBA bermakna syak dan tidak terang. Tidak syak di sini bermaksud jangan kamu syak seperti yang ditafsirkan oleh al- Baghawi.

- MENJADI HIDAYAH KEPADA ORANG BERTAQWA. Yang dimaksudkan hidayah ini ialah sesuatu yang tetap pada hati, iaitu iman. Ini semua tidak mampu dilakukan oleh makhluk untuk memasukkannya ke dalam hati hamba-Nya kecuali Allah, seperti ayat 56 daripada surah al- Qasas. Inilah pendapat Ibnu Kathir. Juga terdapat beberapa makna seperti penerangan kebenaran dan penjelasannya sebagaimana ayat 52 surah as-Syura. Ada yang berpendapat kebaikan seperti ayat 10 daripada surah al-Balad.

Syeikh al- Syanqiti dalam Adhwa al-Bayan berkata ``Dikehendaki dengan hidayah pada ayat ini ialah hidayah khas iaitu melebihkan dengan taufiq kepada agama yang sebenar bukan hidayah umum.'' Pada bahasa, taqwa dengan makna selamat daripada kejahatan yang dijadikan dinding.

Terdapat banyak definisi taqwa. Di antaranya:

i. Ibnu Abbas menyatakan, ``Mereka yang menjauhi syirik dengan beramal dan taat kepada Allah.''

ii. Al-Hasan Basri, ``Takutlah apa yang diharamkan ke atas mereka dan lakukan segala yang fardu.''

iii. Syahir bin Hausyab berkata, ``Orang bertaqwa ialah meninggalkan apa yang tidak patut dilakukan dan takut terlibat dengan yang tidak boleh.''

iv. Umar bin Abdul Aziz, ``Taqwa ialah meninggalkan apa yang diharamkan dan menunaikan apa yang difardukan.''

v. Abu Bakar ar-Rauzabari mendefinisikan taqwa dengan menjauhkan daripada segala yang menjauhkanmu daripada Allah.

vi. Zu an-Nun al-Misri mentakrifkan taqwa ialah sesiapa yang tidak dikotori zahirnya dengan segala pertentangan dan begitu juga dengan batinnya, di samping sentiasa berdiri di sisi syariat Allah.

vii. Ibnu Ata' berkata: ``Bagi taqwa ada zahir dan batin,zahirnya dengan menjaga hudud/batasan syariat sedangkan batin dengan niat dan ikhlas.''

viii. Talq bin Habib menyatakan taqwa ialah amalan menjuruskan ketaatan Allah atas petunjuk nur Allah.

ix. Abu Hafsin menyebut, taqwa hanya pada halal semata- mata tidak yang lain.

x. Saidina Ali r.a. berkata, ``Penghulu manusia di dunia ialah dermawan dan penghulu manusia di akhirat ialah ahli taqwa.''

xi. Imam al-Qusyairi melalui kitabnya, Risalah al-Qusyairiah membahagikan taqwa kepada beberapa darjat :

a. Bagi orang awam daripada syirik.

b. Bagi orang khusus daripada maksiat.

c. Bagi wali-wali Allah daripada tawassul dengan perbuatan.

d. Bagi anbia' daripada nisbah kepada perbuatan.

Pertanyaan Umar bin al-Khattab kepada Kaab al-Ahbar tentang taqwa. Jawabnya, ``Adakah pernah melalui jalan yang penuh dengan ranjau dan duri?'' Jawab Umar, ``Ya.'' Ditanya lagi, ``Bagaimana perjalanan yang diambil?'' Jawab Umar, ``Dengan penuh hati-hati dan waspada.'' Kaab berkata, ``Itulah taqwa.''

Akhirnya penulis menutup perbincangan taqwa dengan menaqalkan kelebihannya seperti pendapat Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Minhaj al-Abidin. Di antara firman Allah itu adalah seperti berikut:

1. Pujian bagi orang-orang yang bertaqwa. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan. (Ali Imran: 186 )

2. Perlindungan daripada musuh. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. (Ali Imran : 120 )

3. Dokongan dan pertolongan Allah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (An-Nahl: 128 )

4. Keselamatan dan rezeki yang halal. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. (Ath-Thalaq: 2-3 )

5. Kebaikan beramal. Hai orang- orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan- amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. (Al-Ahzab : 70-71 )

No Comment

Post a Comment