Konsep iman terjemahkan dengan pelaksanaan

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

DI DALAM siri yang lalu dinaqalkan beberapa kelebihan taqwa sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya, Minhaj al-Abidin. Berikut sebahagian lagi kelebihannya yang disebut di dalam al-Quran :

1. Cinta Allah. Maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa. (Ali Imran : 76)

2. Amal yang diterima. Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang -orang yang bertaqwa. (Al-Maidah : 27)

3. Kemuliaan dan kehormatan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. (Al-Hujurat : 13)

4. Khabar gembira. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. (Yunus : 63-64)

5. Terhindar dari neraka. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa. (Maryam : 72). Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling bertaqwa dari neraka itu. (Al-Lail: 17)

6. Kekal di dalam syurga. Yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Ali Imran : 133)

7. Limpahan taufik dan keredhaan Allah. Bahawa Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah : 194)

8. Kebaikan beramal. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu. (Al-Ahzab : 71)

* IAITU MEREKA YANG BERIMAN KEPADA YANG GHAIB, MENDIRIKAN SOLAT DAN MENAFKAHKAN SEBAHAGIAN REZEKI YANG kAMI ANUGERAHKAN KEPADA MEREKA. (Ayat 3)

Dijelaskan dengan lebih terperinci sifat-sifat muttaqin yang mendapat hidayah pada ayat ini hingga ayat lima. Di antara sifat-sifat mereka:

i. Beriman dengan perkara ghaib.

ii. Mendirikan solat.

iii. Sedekah/membelanjakan daripada kurniaan Allah.

Konsep iman ini seperti yang disyaratkan oleh ulama usuluddin ialah tiga:

i. Membenarkan dengan hati.

ii. Iqrar dengan lidah.

iii. Beramal dengan anggota badan.

Imam as- Syafie dalam kitab al-Fiqh al-Akbar menambah yang keempat dengan makrifat rukun-rukun iman.

Justeru itu, fahamlah kita bahawa iman bukan semata-mata konsep kepercayaan dan iqrar sahaja tetapi hendaklah diterjemahkan dengan pelaksanaannya.

Beriman dengan yang ghaib, iaitu yang ghaib daripada pancaindera dan setiap yang tersembunyi adalah ghaib, seperti syurga, neraka dan mizan.

Al- Gharib berkata, ``Ghaib ialah apa yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera.''

Ibnu Abbas berkata ``Ghaib dengan apa yang datang daripada-Nya yakni daripada Allah.''

Terdapat banyak tafsiran tentang ghaib , antaranya :

i. Al-Quran, seperti pendapat Abu Razin dan Zir bin Hubaish.

ii. Wahyu, seperti pendapat Ibnu Abbas dan Ibnu Juraij.

iii. Allah, seperti pendapat Ata' dan Said bin Jubair.

iv. Apa yang ghaib daripada manusia seperti syurga, neraka yang disebut dalam al-Quran, seperti pendapat as-Suddi daripada guru-gurunya Abu al-A'liah dan Qatadah.

v. Takdir Allah, seperti pendapat az-Zuhri dan Zaid bin Aslam.

vi. Beriman dengan Rasul pada hak yang tidak dilihatnya, seperti kata Amir bin Murrah.

Sifat yang kedua ialah mendirikan solat, mengikut cara yang paling sempurna dengan memenuhi segala syarat, rukun khusus dan adab-adabnya.

Solat pada bahasa bermaksud doa. Pada syarak ia bermaksud segala perlakuan, percakapan mengikut sifat-sifat tertentu. Dinamakan solat kerana tiga sebab:

i. Kerana tingginya.

ii. Kerana lembut. Orang yang bersolat menjadi lembut dan baik jiwanya.

iii. Kerana doa dan bermohon.

Ibnu Abbas mentafsirkan maksud iqamat as-sholat dengan menyempurnakan rukuk, sujud, bacaan dan khusyuk.

Syeikh Rasyid Ridha berkata ``Iqamat as-sholat dengan mendatangkan ibadah ruhiyyah badaniah sesempurna mungkin. Ini kerana solat mempunyai gambaran zahir dan roh. Gambaran zahir ialah ibadat anggota. Sedangkan rohnya ibadat hati.''

Sifat yang ketiga ialah dengan bersedekah atau membelanjakan rezeki Allah mengikut jalan keredhaan Allah seperti zakat, sedekah dan juga segala nafkah yang dimestikan ke atasnya. Inilah pilihan Ibnu Jarir.

As-Syeikh As-Syanqiti dalam tafsirnya, Adwa' al-Bayan menjelaskan, ``Dinyatakan `min' iaitu `daripada' di sini bermaksud daripada sebahagian iaitu ( tabi'diah). Harta yang dibelanjakan itu hanya sebahagian bukan semuanya.''

* Kenapa terlalu banyak ayat yang disekalikan antara solat dengan menginfak harta?

Ibnu Kathir menjelaskan kerana solat adalah hak Allah yang mengandungi tauhid, pujian dan keagungan kepada Tuhan. Sedangkan infak ialah ihsan kepada makhluk, iaitu hak hamba.

Justeru kebaikan hamba akan sempurna dengan wujudnya hablun minal Allah dengan hablun minan nas. (Khaliq dengan makhluk).

* DAN MEREKA YANG BERIMAN KEPADA KITAB (AL-QURAN) YANG TELAH DITURUNKAN KEPADAMU DAN KITAB-KITAB YANG TELAH DITURUNKAN SEBELUMMU, SEDANGKAN MEREKA YAKIN AKAN ADANYA (KEHIDUPAN) AKHIRAT. (Ayat 4)

Mereka beriman dengan apa yang diturunkan, bermaksud mereka membenarkan tanpa ingkar apa yang rasul-rasul datangkan daripada Tuhan mereka.

Syeikh Rasyid Ridha berkata, ``Beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu ialah iman tafsili (terperinci) daripada al- Quran. Sedangkan apa yang diturunkan sebelum itu dengan ijmali atau umum sahaja.''

Syeikh Muhammad Abduh berkata, ``Diulangkan lafaz `allazina' kerana mentahqiqkan perbezaan antara dua golongan. Yang paling tinggi ialah di sini kerana segala sifatnya membawa kepada sifat-sifat yang telah disebut dan ditambah.''

`Al Inzal' bermaksud diturunkan di sini ialah daripada Rububiyyah yang maha tinggi kepada hamba-hamba-Nya daripada petunjuk Ilahi.

Dengan akhirat mereka beriman iaitu berkaitan dengan kebangkitan, kiamat, syurga, neraka, hisab, mizan dan lain-lain. Sedangkan dinamakan akhirat kerana ia berlaku selepas dunia.

Yakin ialah iktikad yang bersamaan dengan realiti tanpa syak dan ragu. Yakin ialah ilmu. Dikatakan yakin ialah ilmu daripada istidlal (meminta dalil atau bukti). Justeru, tidak dinamakan Allah yang yakin kerana ilmunya tidak bersumberkan daripada istidlal seperti kata Imam Al-Baghawi.

* Apakah mereka yang mempunyai sifat ini sama seperti ayat kedua?

Ibnu Jarir memberi tiga pendapat ulama :

i. Yang disifatkan di sini sama seperti sifat pertama. Mereka yang beriman, orang Arab, ahli kitab dan lain- lain.

ii. Kedua-duanya satu iaitu mereka yang beriman di kalangan ahli kitab. Justeru jadilah `wau' di antara dua ayat ini ataf iaitu sifat di atas sifat.

iii. Sifat yang pertama untuk orang beriman di kalangan orang-orang Arab dan kedua, di kalangan orang beriman ahli kitab. Inilah yang diperoleh daripada Ibnu Jarir.

GLOSARI

* Dinaqalkan: Dipindahkan sesuatu ucapan atau perkataan daripada seorang kepada seorang yang lain.

* Diiqrarkan: Diakui atau diucapkan oleh seseorang.

* Ta'wil: Suatu pentafsiran ulama terhadap sesuatu ayat, hukum atau tafsir.

* Makrifat :

1. Pengetahuan yang mendalam.

2. Berlawanan dengan nakirah.

Maksudnya dalam ilmu nahu ialah nama-nama yang dikenali. Contohnya, Muhammad, Malaysia.

* nakirah : Suatu perkataan itu didatangkan dalam bentuk yang umum yang mana tidak hanya terhad kepada sesuatu. Contohnya : Perkataan `lelaki' menunjukkan kepada semua lelaki .

* Mizan : Neraca atau timbangan amalan di akhirat.

* Muttaqin: Orang-orang yang bertaqwa di kalangan orang Islam.

* Tabi'diah : Sebahagian bukan semuanya.

* Infak : Membelanjakan harta pada jalan Allah.

* Hablun minal Allah dan hablun minan nas (Khaliq dan makhluk). Tali antara Allah dan manusia yang bermaksud hubungan dan ikatan antara pencipta iaitu Allah Taala dan manusia.

* Mentahqiqkan : Menguatkan dan menjelaskan sesuatu.

* Istidlal : Pencarian dalil-dalil dengan bersandarkan kepada bukti-bukti yang thabit daripada al-Quran dan hadis.

No Comment

Post a Comment