Orang buta huruf percaya penerangan bohong

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: "Adakah patut orang-orang yang mencela bebas berkata-kata mengikut sesuka hati mereka sedangkan mereka menyembunyikan hakikat sifat Nabi s.a.w. dan mengubah kitab mereka sendiri? Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah s.w.t. Maha Mengetahui segala tindakan mereka yang menyembunyikan kekufuran dan tipu daya. Sebaliknya mereka menzahirkan keimanan dan kasih-sayang. Jika mereka benar-benar beriman bahawa Allah s.w.t. Maha Mengetahui setiap sesuatu, kenapa mereka tidak gentar dan takut kepada azab Allah s.w.t. yang pasti membalas tindakan mereka dengan kehinaan di dunia dan azab yang amat pedih di akhirat."

(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain daripada penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja. (al-Baqarah: 77-78)

Firman Allah s.w.t.: (Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan? Iaitu apakah orang Yahudi menyangka bahawa Allah s.w.t. tidak mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan? Mana mungkin mereka berkata demikian, kemudian mereka mendakwa beriman.

Sayyid Qutub berkata: "Gambaran kekeringan dan kekerasan hati kaum Yahudi yang digambarkan Allah s.w.t. di penghabisan pelajaran yang silam ialah gambaran batu pejal yang tidak mengalirkan setitis air, batu yang tidak lembut disentuh dan tidak melahirkan degupan hayat. Itulah gambaran yang membayangkan tidak wujudnya suatu harapan yang baik, yang dapat diharap daripada tabiat kaum Yahudi yang keras dan kosong itu. Dan di bawah bayangan dan saranan inilah ayat yang berikut berbicara dengan orang-orang Mukmin yang berangan-angan agar kaum Yahudi itu menerima hidayah Allah s.w.t. Mereka berusaha menaburkan benih-benih keimanan ke dalam hati kaum Yahudi dan menyuarakan nur hidayah kepada mereka."

Syeikh al-Sya'rawi berkata: "Tidakkah lebih baik atau utama Allah s.w.t. berfirman "Dia Maha Mengetahui apa yang mereka zahirkan dan apa yang mereka sembunyikan" iaitu jika Allah s.w.t. mengetahui apa yang kita sembunyikan, apakah Allah s.w.t. tidak mengetahui apa yang kita nyatakan dan zahirkan? Tidak syak lagi Allah s.w.t. Maha Mengetahui tetapi menunjukkan betapa teliti dan seninya berdasarkan sastera al-Quran kerana yang berkata-kata ialah Allah s.w.t."

Dikatakan, "Allah s.w.t. sentiasa membincangkan isu ahli kitab daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain dengan mendedahkan segala sifat mereka yang keji dan hina."

Selepas Allah s.w.t. menyebut perangai ulama Yahudi yang mengubah dan meminda, Allah s.w.t. menyebut pula orang awam yang mengikut mereka dengan memberi peringatan bahawa mereka dalam kesesatan sebagaimana firman-Nya, "Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat iaitu daripada orang Yahudi terdapat segolongan di kalangan orang-orang awam yang jahil. Mereka tidak memahami bacaan dan tulisan untuk mengkaji dan meneliti kandungan Taurat apatah lagi mentahqiqkannya. Perkataan ummi dengan maksud tidak boleh menulis dan membaca inilah yang disebut oleh Mujahid. Berkenaan dengan penamaan ummi terdapat dua pandangan:

1. Ia adalah atas sifat hamba sahaya yang tidak belajar mengikut fitrahnya. Inilah pendapat al-Zajjaj.

2. Ia dinisbahkan kepada ibunya disebabkan penulisan hanya diajar kepada lelaki, tidak perempuan. Atau kerana sama seperti anak yang dilahirkan ibu tidak mengetahui sesuatu pun.

Syeikh al-Sya'rawi berkata: "Kamu perhatikan bahawa di sana terdapat kumpulan daripada golongan ummi yang menentang dakwah Islamiah. Mereka terdiri daripada kalangan orang musyrikin Mekah dan daripada ahli kitab di Madinah. Ahli kitab dimaksudkan dengan pengikut Musa a.s. dan Isa a.s., tetapi di Semenanjung Tanah Arab bilangan mereka tidak dikenali atau disebut dengan panggilan Kristian. Di sana terdapat masyarakat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang juga menggabungkan orang Yahudi sebagai sebahagian masyarakat di Madinah. Dan Allah s.w.t. menamakan mereka sebagai ummi."

Selain penerangan-penerangan bohong (daripada ketua-ketua mereka), yang mereka terima daripada pendita mereka bahawa Allah s.w.t. Maha Pengampun dan Mengasihi mereka sehingga timbul sangkaan mereka akan berada dalam neraka beberapa hari sahaja. Ayah-ayah mereka yang menjadi nabi boleh memberi syafaat kepada mereka. Mereka merupakan anak-anak Allah s.w.t. dan kekasih-Nya termasuk angan- angan dan omong kosong yang lain.

Ulama menyebut tiga pendapat berkaitan angan-angan atau omong- omong kosong ini:

1. Segala pendustaan dan pembohongan sebagaimana kata Ibn Abbas dan juga pendapat Mujahid dan al-Farra'.

2. Bacaan dengan maksud mereka tidak memahami fiqh al-kitab tetapi sekadar mendengar apa yang dibaca kepada mereka. Inilah pendapat al-Kisaie dan al-Zajjaj.

3. Segala angan-angan terhadap Allah s.w.t. sebagaimana kata Qatadah.

Al-Samarqandi dalam kitabnya, Bahr al-'Ulum, menaqalkan daripada Uthman bin Affan r.a. bahawa beliau berkata: "Semenjak aku memeluk Islam, aku tidak pernah menyanyi dan beromong-omong kosong atau dengan maksud bercakap dengan batil."

Dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan. Mengikut keyakinan mereka, bahkan sebenarnya mereka telah bertaqlid kepada nenek-moyang mereka sebagai taqlid orang yang buta dan bodoh. Imam Ibn al-Jauzi dalam kitab Zad al-Masir menaqalkan pendapat Muqatil yang berkata: "Mereka tidak yakin adakah pemimpin mereka berdusta atau benar, mereka akan ikut sahaja."

Sayyid Qutub berkata: "Kemudian ayat-ayat yang berikut menerangkan kepada kaum Muslimin keadaan bani Israel. Mereka terdiri daripada dua golongan:

1. Satu golongan ummi yang jahil, yang tidak mengetahui sedikit pun tentang kitab Taurat yang diturunkan kepada mereka. Apa yang diketahui mereka adalah yang waham-waham, sangkaan-sangkaan yang karut dan berangan-angan terselamat daripada azab neraka kerana mereka umat pilihan Allah s.w.t. yang diampunkan segala dosa yang telah dilakukan oleh mereka.

2. Satu golongan lagi ialah kumpulan yang mencari keuntungan daripada kejahilan dan buta huruf golongan yang pertama. Golongan inilah yang melakukan pemalsuan-pemalsuan terhadap kitab Allah s.w.t., mengubah maksud-maksud kalam Allah s.w.t. dengan takwilan-takwilan dan penafsiran-penafsiran yang ada udang di sebalik batu. Mereka menyembunyikan bahagian-bahagian kalam Allah s.w.t. yang dikehendaki mereka, dan menulis perkataan-perkataan yang direkakan mereka, kemudian mereka umumkannya atas nama ayat-ayat daripada kitab Allah s.w.t. untuk mendapat sesuatu keuntungan dan mengekalkan kedudukan selaku ketua dan pemimpin."

No Comment

Post a Comment