Putus asa - Tiada dalam kamus para nabi

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung. (Ayat 5)

Terdapat dua isyarat dalam ayat ini yang di sisi jumhur ulama menunjukkan satu. Diulangkan isyarat untuk memberitahu bahawa mesti ditahqiqkan dua sifat untuk tahqiqan hukum yang membawa mereka di atas hidayah dan merekalah yang beroleh kemenangan.

`Huda' pada ayat ini dinakirahkan menunjukkan kepada (nau') jenis yang banyak. Mereka menanti keterangan Allah. Allah merasakan hati mereka dengan hidayah, beriman kepada yang ghaib dan sifat-sifat lain. Huda dimaksudkan dengan petunjuk. Ibnu Abbas mentafsirkan dengan nur dan istiqamah. Sebelum huda terdapat `ala' iaitu di atas. Ibarat seperti ini memberi tamkin ( penetapan).

Isyarat kedua iaitu mereka yang beroleh kemenangan. Mereka ditambah dengan dhamir `hum' bagi menunjuk-kan keterbatasan yang berjaya hanya mereka yang bersifat ini sahaja, tidak yang lain. Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh, al-Maa'ni berkata, `` `al' pada `muflihun', orang yang beroleh keme-nangan didatangkan dengan ma'rifah bahawa yang dikehendaki dengan thabat (tetap) di atas kemenangan.''

Asal `al-Falah' dengan maksud putus atau belah. Dinamakan peladang sebagai `fallah' kerana dia menggali bumi bagi mengisi benih. Al-Muflih - orang yang menang dengan kemuncak kebaikan. Ibnu al-Anbari berkata, ``Marilah menuju kemenangan dan masuk syurga''. As-Samarqandi dalam tafsirnya menafsirkan dengan `orang yang selamat', yakni Allah muliakan mereka di dunia dengan penerangan dan akhirat dengan keselamatan. Dikatakan al- Falah dengan maksud kekal dalam nikmat. Ibnu Kathir menyatakan iaitu mereka yang bersifat dengan sifat-sifat :

1: Beriman dengan perkara ghaib.

2: Mendirikan solat.

3: Infak daripada kurniaan Allah.

4: Beriman dengan apa yang diturunkan kepada rasul dan rasul-rasul sebelumnya.

5: Percaya dan yakin dengan Hari Akhirat.

Dengan sifat-sifat ini memestikan mereka bersiap sedia dalam melaksanakan amalan soleh dan me-ning-galkan segala yang haram. Semoga Allah masukkan kita ke dalam golongan al-Falah yang sudah tentu mendapat ba-nyak kurniaan Tuhan, sama ada di du-nia mahupun akhirat yang akhirnya mengecapi kebahagiaan abadi, amin.

¥ SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG KAFIR, SAMA SAHAJA BAGI MEREKA, KAMU MEMBERI PERINGATAN ATAU TIDAK KAMU BERI PERINGATAN, MEREKA TIDAK AKAN BERIMAN. (Ayat 6)

Setelah Allah merakamkan sifat-sifat mukmin sejati pada ayat-ayat lalu, diikuti pula dengan sifat -sifat orang kafir bagi menunjukkan jurang perbezaan di antara dua golongan ini. Sebenarnya inilah cara al-Quran membandingkan antara golongan baik dan jahat dalam kebanyakan ayat yang menjadi pembeza antara ahli bahagia dan ahli celaka. Kata pepatah Arab, ``Dengan perbandingan terserlah perbezaan''.

Terdapat empat pandangan ulama tentang turunnya ayat ini:

1. Diturunkan pada pemimpin Ahzab (tentera bersekutu) dalam peperangan Khandak / Ahzab seperti kata Abu al-A'liah.

2. Diturunkan pada Abu Jahl dan lima ahli keluarganya seperti kata ad- Dhahak.

3. Diturunkan pada segolongan Yahudi, di antaranya Huyai bin Akhtab seperti kata Ibnu as-Saib.

4. Diturunkan pada musyrikin Arab, di antaranya Abu Jahl, Abi Talib, Abi Lahb dan lain-lainnya yang enggan menerima Islam seperti kata Mujahid.

Kufur pada definisi bahasa bermaksud tutup atau sembunyi. Petani di-sebut kafir kerana dia menutup biji benih dalam bumi. Malam dinamakan kafir kerana dia menutupi semuanya daripada penglihatan.

Kufur pada istilah ialah tidak beriman dengan Allah atau ingkar perkara yang maklum dalam agama dengan sengaja. Ada beberapa pandangan yang lain dalam mendefinisikan kufur. Ibnu al-Jauzi me-nya-takan orang kafir dinamakan kafir kerana ingkarnya dengan kebenaran.

Kufur terbahagi kepada empat jenis :

1. Kufur ingkar seperti tidak ma'rifat Allah dan iktiraf dengan-Nya.

2. Kufur juhud seperti tidak ma'rifat Allah dengan hatinya dan iktiraf dengan lidahnya seperti kufur iblis.

3. Kufur `inad seperti ma'rifat Allah dengan hatinya dan iktiraf dengan lidah tetapi tidak beriman seperti Abi Talib mengikut pendapat yang rajih.

4. Kufur nifaq seperti iqrar dengan lidah tetapi tidak iktikad dalam hati.

Inilah pembahagian yang dinyatakan oleh al-Baghawi. Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa mereka yang kafir sama ada diberi peringatan atau tidak tetapi tidak beriman.

Syeikh Ali bin Ubaidillah (guru kepada Ibnu al-Jauzi) berkata, ``Ayat ini datang dengan lafaz umum tetapi dikehendaki dengannya secara khusus kerana ada juga orang yang kafir yang apabila diberi inzar (peringatan) kemudian beriman selepas mendapat hidayah Allah.''

Ayat ini sebenarnya menjadi `penghibur' dan menyuntik semangat Rasulullah s.a.w. supaya meneruskan dakwah walaupun terdapat berbagai- bagai tribulasi dan mihnah. Kerana inilah sifat- sifat dakwah yang mesti ditempuh dalam ranjau-ranjau yang penuh onak dan duri. Justeru, putus asa tiada dalam kamus nabi-nabi dan rasul serta inilah yang patut dilalui oleh pengikut-pengikut mereka pada sepanjang zaman.

¥ Persoalan mungkin timbul kenapa orang kafir tidak mahu menerima cahaya iman?

Ulama tafsir menjawab sebabnya seperti penjelasan Allah melalui ayat seterusnya, iaitu ayat ke tujuh daripada surah al- Baqarah.

¥ ALLAH TELAH MENGUNCI-MATI HATI DAN PENDENGARAN MEREKA, DAN PENGLIHATAN MEREKA DITUTUP. DAN BAGI MEREKA SEKSA YANG AMAT BERAT. (Ayat 7)

Khatam iaitu memeterai atau mengecap seperti kata as-Suddi. Ada pendapat mengatakan bahawa mereka dikuasai oleh syaitan yang mereka taatinya, lantas Allah tetapkan hatinya seperti pendapat Qatadah.

Hati iaitu gumpalan daripada darah beku hitam yang menjadi tempat bertapaknya hati nurani atau maruah jiwa, tempat tinggal akal. Dinamakannya sebagai hati kerana ia selalu berubah. Ada pendapat yang menyatakan kerana ia sebagai intipati bagi tubuh badan. Dikhususkan dengan khatam pada hati kerana ia merupakan tempat memahami sesuatu. Inilah pendapat Ibnu al-Jauzi. Khatam pada hati bermaksud cahaya hidayah dan iman tidak masuk dan singgah dalam hati mereka. Ulama tafsir kebanyakannya berkata, khatam dengan makna menutupi, yang demikian kerana hati apabila banyak dosa menjadi padam cahayanya, justeru iman tiada ruang untuk bertapak sebaliknya kufur yang menghuninya. Khatam pendengaran bermaksud mereka tidak mendengar kebenaran. Sedangkan penglihatan mereka ditutup sehingga mereka tidak nampak petunjuk hidayah dan mereka juga tidak nampak cahaya kebenaran.

Syeikh Rashid Redha melalui tafsirya, al-Manar berkata, ``Yang dikehendaki bahawa penglihatan mereka tidak dapat mengkaji ayat-ayat Allah yang membawa kepada iman.''

As-Shanqiti berkata di dalam kitabnya, `Adwa al-Bayan bahawa `khatam' bagi hati dan pendengaran. Sedangkan `ghishawah' untuk penglihatan. Inilah juga pendapat Ibn Juraij seperti yang dinaqalkan oleh Ibn Kathir.

Persoalannya kenapa pada pandangan didatangkan satu sahaja, sedang pada penglihatan didatangkan dalam bentuk jamak (banyak)?

As-Samarqandi menjelaskan yang pendengaran adalah masdar (kata terbitan) yang tidak dijamak. Justeru dikatakan dengan satu tetapi memberi maksud banyak. Ada ulamak menjawab apabila disandarkan kepada dhamir (ganti nama) dengan banyak, dengan sendirinya memberi makna banyak. Inilah tanda fasahah bahasa digunakan jamak (hati-hati) kemudian satu (pendengaran). Kemudian jamak (penglihatan-penglihatan). Ini kerana kitab Allah sefasih kalam.

Abi Hayyan melalui kitabnya, Al-Bahru al-Muhit berkata, ``Allah umpamakan hati-hati mereka kerana keengganan menerima kebenaran, pendengaran mereka kerana ketulian mereka daripada seruan kebahagiaan, dan penglihatan mereka kerana kebutaannya daripada melihat hidayah dengan bekas yang ditutup rapat tanpa ruang dan terbuka sedikitpun. Sehingga menyebabkan tertegah untuk dibaiki dan menerima kebaikan. Inilah yang dikenali sebagai istia'rah.''

Bagi mereka azab atau seksa yang pedih kerana kufur, jenayah maksiat dan pendustaan mereka kepada ayat- ayat Allah. Azab pada definisi bahasa bermaksud apa-apa yang menegah manusia daripada kehendaknya, contohnya air tawar yang dapat menegah daripada dahaga. Inilah pendapat al-Khalil. Imam al-Baghawi berpendapat azab yang amat berat ini di akhirat. Ada pendapat menyatakan maksud azab dengan pembunuhan dan tawanan di dunia dan azab yang berterusan.

`Azim' yang menjadi sifat kepada azab memberi maksud besar dan hebat, berlawanan dengan perkataan haqir yang hina, kecil dan sedikit. `Azim' dinakirahkan di sini sebagai isyarat kepada bahawa ia termasuk daripada jenis yang mubham (tidak diketahui) di sisi ahli dunia. Ini kerana yang dikehendaki dengan azab akhirat adalah termasuk alam ghaib.

Syeikh Muhammad Abduh mengikut pendapat jumhur berkata : Nakirah pada `azim' untuk membesarkan dan menggerunkan dan sifatnya dengan `azim' menunjukkan bahawa ia kemuncak kebesaran dan kehebatan iaitu amat pedih dan sakit serta lama masanya.

Syeikh Rashid Redha berkata : diambil daripada ayat ini dan ayat-ayat lain bahawa berpaling daripada petunjuk hidayah Islam dan petunjuk daripada islah kehidupan iaitu balasannya dengan kesempitan, susah, hilang kemuliaan dan kekuasaan di dunia seterusnya mengundang azab di akhirat. Semoga Allah selamatkan kita daripada menjadi golongan yang tidak mendapat hidayah Allah. Amin.

Glosari

¥ Dinaqalkan : Dipindahkan sesuatu ucapan atau perkataan daripada seorang kepada seorang yang lain.

¥ Mukhtasar : Satu ringkasan kepada satu karangan atau buku.

¥ Ditarjihkan : Dijelaskan dan disahkan dengan cenderung kepada satu pendapat.

¥ Mentakrifkan : Mendefinasikan sesuatu.

¥ Ma'rifat :

1. Pengetahuan yang mendalam

2. Berlawanan dengan nakirah.

Maksudnya dalam ilmu nahu ialah nama-nama yang dikenali. Contohnya, Muhammad, Malaysia.

¥ Infak : Membelanjakan harta pada jalan Allah.

¥ Mentahqiqkan : Menguatkan dan menjelaskan sesuatu.

¥ Jumhur : Kebanyakan ulama atau ilmuan Islam yang pendapat mereka diambil kira berbanding pandangan segelintir ulama yang lain kerana kekuatan dan kemasyhurannya.

¥ Dinakirahkan : Suatu perkataan itu didatangkan dalam bentuk yang umum yang mana tidak hanya terhad kepada sesuatu. Contohnya, perkataan lelaki menunjukkan kepada semua lelaki.

¥ Dhamir : Kata ganti nama di dalam bahasa Arab yang bergabung dengan sesuatu perkataan.

¥ Kufur juhud : Seluruh hati dan iktikadnya tidak beriman kepada Allah. Contohnya, Kufur Iblis.

¥ Kufur I'nad : Mengakui dengan hati dan lidah tetapi tidak beriman kepada Allah.

¥ Kufur nifaq : Mengakui dengan lidah tetapi tidak beriktikad di dalam hati.

¥ Iktiqad : Kepercayaan, keyakinanatau pegangan yang kuat dalam hati dan diri seseorang terutamanya mengenai perkara perkara yang ada hubungannya dengan agama.

¥ Ghisyawah : Allah menutup penglihatan mereka daripada

melihat perkara-perkara yang baik.

¥ Islah : Memperbaiki dan memperelokkan.

No Comment

Post a Comment