Syurga Nabi Adam - Syurga dunia atau akhirat?

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AL-IMAM as-Syaukani di dalam tafsirnya, al-Fath al-Qadir meriwayatkan hadis daripada Anas, sabda Rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan Adam supaya bersujud, lantas ia sujud, kemudian dikatakan bagi kamu syurga dan sesiapa yang sujud daripada keturunanmu, dan diperintahkan iblis supaya bersujud tetapi iblis enggan untuk bersujud, lantas dikatakan bagi kamu neraka dan sesiapa yang enggan daripada keturunanmu untuk sujud. Semoga Allah menjadikan kita golongan orang yang bersujud kepada-Nya.

Di antara nikmat kurniaan Allah kepada Adam selepas itu, ialah dimasukkan sebagai penghuni syurga bersama isterinya Hawa. Ini dijelaskan seperti ayat berikut, firman Allah yang bermaksud :

DAN KAMI BERFIRMAN: ``WAHAI ADAM! TINGGALLAH KAMU DAN ISTERIMU DI DALAM SYURGA INI, DAN MAKANLAH MAKANANNYA SEPUAS-PUASNYA APA SAHAJA YANG KAMU BER-

DUA SUKA, DAN JANGANLAH KAMU HAMPIRI POKOK INI; (JIKA KAMU MENGHAMPIRINYA) MAKA KAMU AKAN TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG-ORANG YANG ZALIM. (Surah al-Baqarah Ayat 35 )

Allah menegaskan : `Dan Kami berfirman: ``Wahai Adam! Tinggallah kamu dan isterimu di dalam syurga', iaitu menetaplah kamu di dalam syurga yang kekal bersama isterimu, Hawa. Ibn Jarir at-Thabari berkata dalam tafsirnya, bahawa ayat ini menjadi dalil yang terang di atas kebenaran siapa yang berkata, sesungguhnya iblis dikeluarkan dari syurga selepas takbur enggan bersujud kepada Adam, dan Adam menetap di dalam syurga sebelum iblis di turunkan ke bumi.

Ibn Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir menulis, terdapat dua pendapat di kalangan ulama tentang syurga yang dihuni oleh Nabi Adam : Pertama, Jannah al-adn. Kedua, Jannah al-Khuld. Imam an-Nasafi berkata, ia disediakan bagi orang yang bertakwa, berdasarkan kepada nukilan yang masyhur, kerana `lam' pada `al-Jannah' adalah untuk takrif, iaitu pengenalan.

Al-Imam al-Fakhru ar-Razi dalam kitabnya, at-Tafsir al-Kabir berkata, ulama telah khilaf tentang syurga yang dinyatakan dalam ayat ini, sama ada di bumi atau di langit, dan kalau ditakdirkan di langit, adakah ia syurga sebagai tempat balasan pahala, atau syurga al-Khuld atau syurga lain ? Abu al-Qasim al-Bakhi dan Abu Muslim al-Asfahani berpendapat, bahawa ia syurga di dunia, dengan menanggung kalimah turun bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Kalimah

Imam Rashid Ridha melalui tafsirnya, al-Manar menaqalkan penda-

pat Imam Abu Mansur al-Maturidi daripada tafsirnya yang bernama at-Ta'wilat berkata, kami beriktikad bahawa syurga ini merupakan kebun dari kebun-kebun di mana Adam dan isterinya mendapat nikmat padanya, dan tidak wajib ke atas kamu menentukannya serta mengkaji di mana letaknya. inilah Mazhab Salaf dan tiada dalil khusus yang menentukan tempatnya.

As-Syeikh as-Sya'rawi menegaskan bahawa syurga yang didiami Adam selepas kejadiannya, bukan merupakan syurga kekal. Beliau berhujah dengan banyak dalil, sama ada berdasarkan dalil naqli atau aqli, di antaranya ia bukan syurga balasan kerana syurga balasan tidak dimasuki oleh manusia kecuali selepas hisab yang membabitkan pahala.

Syeikh al-Maghari dalam tafsirnya, Tafsir al-Maghari menaqalkan hujah al - Imam al-Alusi dalam tafsirnya, Ruhu al-Ma'ani yang menyokong pendapat bahawa syurga Adam bukan syurga akhirat nanti, di antara hujahnya ialah : Pertama, bahawa Allah menciptakan Adam di bumi untuk menjadi khalifah di dalamnya, begitu juga zuriat keturunannya. Tidak harus dikatakan bahawa kewujudan Adam di dunia serta zuriatnya merupakan pemba-

lasan hukuman daripada Tuhan.

Kedua, Allah tidak menyatakan selepas penciptaan Adam di bumi, dinaikkannya ke langit. Sekiranya ia berlaku, sudah pasti ia akan disebut dan merupakan perkara yang besar. Ketiga, bahawa syurga yang dijanjikan dengannya pada Hari Akhirat, tidak akan dimasuki kecuali oleh orang-orang yang bertakwa lagi beriman. Bagaimana mungkin syaitan yang kafir dapat masuk dan melakukan was-was kepada Adam.

Keempat, syurga bersifat negeri yang penuh nikmat dan tempat berehat, bukan negeri taklif seperti mana telah ditaklifkan Adam dan isterinya supaya jangan memakan buah dari pohon kayu tersebut. Kelima, bahawa tidak ditegah kepada penghuni syurga untuk merasai segala kenikmatan dan melakukan apa sahaja. Keenam, bahawa tidak berlaku di dalam syurga sebarang maksiat dan kesalahan kerana ia negeri suci, bukan negeri kotor dan najis.

Berdasarkan kepada senarai ini, maka segala keterangan yang telah disifatkan dengannya berhubung dengan syurga yang dijanjikan, dan kurniaan tanpa henti dan terputus, sudah tentu tidak sesuai dan tidak menepati syurga yang didiami oleh Adam tersebut.

Kemudian Allah menyebut : `Dan makanlah makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka', iaitu kamu berdua bebas memakan apa sahaja buah-buahan yang ada di dalam syurga, tetapi Allah menyebut : `Dan janganlah kamu hampiri pokok ini', yang bermaksud jangan sekali-kali kamu menghampiri pokok ini.

Tumbuhan

Syeikh Abdur Rahman as-Sa'di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim berpendapat, bahawa larangan kepada kedua-duanya supaya tidak menghampiri pohon tersebut, sama ada ia merupakan ujian, bala atau hikmah yang tidak kita ketahui. Ibn Abbas menafsirkan sebagai pokok anggur. Sementara itu terdapat enam pandangan daripada para ulama berhubung dengan pohon yang dimaksudkan itu:

Pertama, Ia sejenis tumbuhan yang wangi, iaitu pendapat Ibn Abbas, Abdullah bin Sallam, Ka'ab al-Ahbar, Wahab bin Munabbih, Katadah, A'tiah al-'Aufi, Muarith bin Dathar dan Muqatil.

Kedua, iaitu pohon anggur, sebagaimana riwayat Ibn Ma'id, Ibn Abas, Said bin Jubair dan Ja'dah bin Khabirah.

Ketiga, pokok tin, seperti riwayat al-Hasan, A'ta' bin Abi Rabah dan Ibn Juraij.

Keempat, ia pokok yang dikenali sebagai pokok ilmu, seperti yang dikatakan oleh Abu Soleh daripada Ibn Abbas.

Kelima, Pokok Kafur, seperti yang dinaqalkan oleh Ali bin Abi Talib.

Keenam, Pokok Kurma, seperti riwayat Abi Malik al-Ashja'ie.

Adapun pendapat yang menyatakan ia dikenali sebagai Pokok Kekal, seperti yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih, ini tidak dikira kerana Allah menamakannya sebagai Pokok Kekal, mengikut kaedah kalam daripada jenisnya, kerana (jika kamu menghampirinya) `maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim'. Ertinya, jika kamu memakannya nescaya jadilah kamu berdua termasuk dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri, dengan terperangkap dalam maksiat kepada Allah.

Al-Mawardi dalam tafsirnya an-Nukat Wa al-'Uyun mengemukakan dua pendapat:

Pertama, ia termasuk dalam golongan yang melampau dengan sebab memakan benda yang tidak diharuskan baginya.

Kedua, ia termasuk dalam golo-

ngan orang yang menzalimi diri mereka sendiri dengan sebab memakan bahan-bahan yang dilarang Allah.

No Comment

Post a Comment