Tafsir al-Quran - Kenapa jumlahnya mencecah ribuan?

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


AL-QURAN boleh diletak kan dalam saku dibawa ke mana-mana untuk dibaca, dihayati dan tadabbur, tetapi apabila dilihat kepada tafsir-tafsirnya ada yang menjangkau puluhan jilid dan cukup luas.

Dalam hal ini, Abdul Latif as-Subkhi melalui kitabnya Fi Riyad al-Quran, halaman 132 menjawab : Ini kerana cabang-cabang al-Quran terlalu banyak, sama ada tasyri' untuk ibadat yang fardu dan sunatnya, haram dan makruh.

Ada bidang sosial dan kemasyarakatan, institusi kekeluargaan, ekonomi, politik, hukum mahkamah, peperangan dan lain-lain.

Semuanya adalah limpahan khazanah yang tidak mampu dikuasai oleh satu akal sahaja. Justeru setiap ulama yang mempunyai kepakaran dalam bidangnya, akan menumpukan lebih kepada bidangnya dan yang lain dengan bidang yang lain.

Antara alasan yang kuat ialah kerana al-Quran bersifat hidup, anjal dan serasi pada semua tempat, keadaan dan masa.

Justeru penemuan-penemuan hakikat baru mungkin wujud, sedangkan zaman dahulu tiada. Antara lain wujudnya mazhab-mazhab fikah mempengaruhi tafsiran mereka mengikut pegangan mazhab.

Oleh kerana itu, al-Quran akan di-tafsirkan dan terus ditafsirkan, tanpa selesai sehingga kiamat menandakan luasnya ilmu Allah dan mukjizat al-Quran itu sendiri.

Melihat kepada tafsiran ulama ayat-ayat al-Quran, terdapat kekhilafan antara mereka. Antara faktor yang menyumbang kepada kekhilafan ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn Juzai di dalam kitabnya at-Tashil Li Ulum at-Tanzil 1/9.

1. Ikhtilaf al-Quran.

2. Ikhtilaf wajah I'rab sekalipun qiraat sepakat.

3. Ikhtilaf ahli bahasa pada makna kalimah.

4. Isytirak lafaz antara dua makna atau lebih.

5. Ihtimal umum dan khusus.

6. Ihtimal itlak dan taqyid.

7. Ihtimal hakikat atau majaz.

8. Ihtimal idhmar atau istiqlal.

9. Ihtimal kalimah yang lebih. (Tiada lebih dalam al-Quran mengikut pendapat ulama yang kuat seperti Syeikh as-Sya'rawi.)

10. Ihtimal bahawa hukum itu mansukh atau muhkam.

11. Ikhtilaf riwayat dalam tafsir daripada Nabi s.a.w. dan salaf.

12. Ihtimal menanggung kalam sama ada tertib atau taqdim dan ta'khir.

Kemungkinan ditanya kepada seseorang, Apakah keperluan kepada tafsir? Ini kerana al-Quran kitab yang nyata, mudah difahami?

Al-Qardhawi menjawab antara lain: Manusia amat perlu kepada tafsir al-Quran sehingga kefahamannya betul dan menepati kehendak Allah dan dapat beramal dengan sahih. Justeru Allah menuntut daripada mereka tadabbur al-Quran.

Mengikut as-Suyuti dalam Itqan 4/173, telah ijma' ulama bahawa belajar ilmu tafsir adalah fardu kifayah dan semulia-mulia ilmu yang tiga, iaitu tafsir, hadis dan fikah. Begitu juga pendapat al-Asbahani.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ketika ditanya nama-nama kitab tafsir yang paling hampir kepada kitab dan sunah menegaskan, bahawa tafsir Muhammad bin Jarir at-Tabari adalah yang paling tinggi, yang memuatkan segala kenyataan salaf dan sanad-sanad yang thabit tanpa ada unsur-unsur bidaah.

Ibn Jarir juga tidak menaqalkan dalam tafsirnya, orang yang dipertikai kewibawaannya seperti Muqatil bin Bukair dan al-Kalbi.

Tafsir yang tidak ma'thur dengan sanad-sanadnya terlalu banyak, seperti tafsir Abdul Razzak, Abdun bin Humaid, Waki', Ibn Abi Qutaibah, Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Rahuyah.

Antara tafsir yang banyak daripada unsur-unsur bidaah dan hadis-hadis daif ialah Tafsir al-Baghawi tetapi beliau meringkaskannya daripada Tafsir ath-Tha'labi, Tafsir al-Wahidi yang juga murid kepada ath-Tha'labi yang banyak faedahnya.

Adapun Tafsir az-Zamakhsari, terdapat banyak unsur-unsur bidaah dan berasaskan kepada golongan mu'tazilah daripada ingkar sifat, ru'yah dan pendapat al-Quran sebagai makhluk dan lain-lain.

Unsur akidah mereka (al-Mu'tazilah) lima perkara : Tauhid, keadilan, manzilah antara dua kedudukan, melaksanakan ancaman, dan amar makruf serta nahi munkar.

Tafsir al-Qurtubi lebih baik dan selamat daripada bidaah. Perbincangan Tafsir Qurtubi lebih kepada fikah. Tafsir Ibn Atiah pula lebih baik daripada Tafsir az-Zamakhsari dan lebih sahih naqalnya serta jauh daripada terjebak kepada bidaah.

Sebenarnya tafsir terlalu banyak, lebih daripada ratusan, mungkin ribuan tafsir yang masih ditulis daripada ulama-ulama Nusantara sama ada Indonesia, Patani, Singapura dan Malaysia.

Justeru mengkaji banyak tafsir amat penting sehingga Syeikh as-Sobuni mengarang kitab Sofwah at-Tafasir yang dikutip daripada ulama-ulama yang terkemuka.

Dicadangkan tafsiran al-Quran dengan cara mengemukakan ayat dan asbab an-Nuzul serta maksud kalimah dan bahasa yang dikehendaki.

Juga intipati hidayah yang dapat diambil daripada ayat tersebut untuk dihayati, tadabbur amali dan diyakini. Semoga dengan cara ini kita menjejaki para sahabat yang bacaan ayatnya tidak banyak tetapi disertakan sekali dengan kefahaman, penghayatan, amalan dan juga keimanan.

Justeru ia lebih mudah dan menyenangkan daripada membuka medan perbahasan fikah, tauhid, tasawuf, lughah atau lainnya. Tanpa dinafikan semuanya baik dan elok mengikut kepakaran dan kecenderungan ahli tafsir serta pengaruh persekitaran dan guru-guru mereka.

No Comment

Post a Comment