Orang munafik tempatnya di neraka

By mfrstudio

SAYID Qutub berkata: Inilah lukisan-lukisan yang menarik daripada pena yang Maha Kreatif dalam menggambarkan sifat-sifat manusia. Lukisan-lukisan itu sendiri membayangkan bahawa ia bukanlah sekali-kali terbit daripada manusia, kerana lukisan-lukisan manusia tidak mungkin dapat menyelami dengan coretan-coretan sekilas ini.

Ciri-ciri keperibadian contoh-contoh insan yang amat mendalam dengan begitu jelas dan sempurna.

Setiap kalimat ayat ini serupa dengan satu coretan daripada coretan-coretan lukisan dalam menggambarkan perwatakan-perwatakan dan membentuk sifat-sifat dan rupa paras, dan dalam masa yang pantas gambar insan contoh itu terlukis seolah-olah seorang insan yang hidup dengan sifat-sifat sahsiahnya yang jelas sehingga anda dapat menuding kepadanya dan membezakannya di tengah-tengah jutaan individu insan yang lain dan dapat mengatakan dengan tegas inilah orang yang dimaksudkan dalam al-Quran. Itulah proses penciptaan Ilahi yang serupa dengan proses penciptaan Ilahi yang lain yang muncul pada setiap detik daripada kudrat Allah di dalam alam makhluk-makhluk hidup.

Orang yang bercakap dengan anda dan menggambarkan dirinya kepada anda sebagai seorang yang sangat baik, sangat ikhlas dan jujur, sangat pengasih, bermaruah tinggi, sangat gemar memberi kebajikan, kebaktian, kebahagiaan dan kesucian kepada orang ramai. Inilah orang yang anda mengagumi tutur katanya, mengagumi kepetahan lidahnya, kagumi nada suaranya dan mengagumi bicara-bicaranya tentang kebajikan dan kebaikan.

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

Dan apabila dikatakan kepadanya: Bertakwalah engkau kepada Allah timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal. (al-Baqarah: 204-206)

Firman Allah s.w.t: Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya). Sebab turun ayat ini mempunyai tiga pendapat;

lDiturunkan kepada al-Akhnas bin Syariq. Yang tutur katanya lembut sedangkan kafir hatinya. Menzahirkan yang baik di hadapan Nabi dengan bersumpah bahawa ia kasih kepadanya dan mengikut agamanya, tetapi sebenarnya tidak. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Suddi dan Muqatil.

lBahawa diturunkan kepada yang munafik, yang menzahirkan lidahnya tidak sebagaimana dalam hatinya. Inilah pendapat al-Hasan, Qatadah dan Ibn Zaid.

lIa diturunkan kepada Sariyyah al-Raji’, yang terletak antara Mekah dan Taif kerana orang kafir Quraisy menghantar kepada Nabi sedangkan dia berada di Madinah seraya berkata: Sesungguhnya kami telah Islam, hantarlah sahabat kamu kepada kami untuk mengajar agama. Lantas Rasulullah menghantar Khabib bin Adi, Marsa’ al-Ghanawi, Khalid bin Bukair, Abdullah bin Tariq dan Zaid bin Dasnah di mana dilantik Asim bin Sabit sebagai ketua.

Mereka menuju ke Mekah. Apabila sampai antara Mekah dan Madinah dan bersama mereka buah tamar yang mereka makan, tiba-tiba lalu seorang perempuan tua melihat kepada biji tamar. Kemudian memberitahu kepada kaumnya seraya berkata: Ahli Yathrib telah melalui jalan ini. Lantas mereka seramai 70 orang telah mengepung sahabat Nabi dan membunuh sebahagiannya. Ceritanya cukup panjang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi di dalam Zad al-Masir.

Firman Allah s.w.t: Dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya. Untuk menguatkan lagi kesan dan saranan kata-katanya itu dan untuk menekan saranan keikhlasan dan kejujurannya dan seterusnya untuk menonjolkan takwa dan kasihnya kepada Allah.

Firman Allah: Padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Jiwanya penuh dengan ghairah perseteruan dan permusuhan. Ia tidak menampakkan sebarang kasih mesra dan perasaan samahah/toleransi. Ia tidak menunjukkan sebarang ruang untuk kasih sayang dan kebajikan dan mementingkan kebajikan orang lain.

Inilah orang yang zahirnya bertentangan dengan batinnya, rupanya berlainan daripada budinya. Inilah orang yang pintar berdusta dan memutar belit sehingga apabila tiba peranan bertindak terbukalah tembelang budinya yang tersembunyi, terdedah segala akhlaknya yang tertutup dan terpampang hakikat kejahatan, kezaliman, hasad dengki dan kerosakan akhlaknya.

Firman Allah s.w.t: Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. Yang dimaksudkan dengan apabila mereka pergi, terdapat empat pendapat;

lDengan makna kemurkaan seperti riwayat Ibn Abbas dan Ibn Juraij.

lDengan makna berpaling daripada percakapan seperti kata al-Hasan.

lBahawa ia termasuk dalam wilayah, maka takdirnya jadilah sebagai pemimpin seperti kata Mujahid dan al-Dahhaq.

*Berpaling dengan tubuh badannya seperti kata Muqatil dan Ibn Qutaibah.

Adapun maksud berusahalah ia di bumi pula bermaksud;

*Amalan seperti kata Ibn Abbas dan Mujahid.

*Usaha dengan kaki seperti kata Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

Seterusnya maksud kerosakan di sini dengan;

*Kekufuran.

*Kezaliman.

Sayid Qutub berkata: Yakni apabila dia bertindak, ia bertindak ke arah kejahatan dan kerosakan dan bertindak kejam, kasar dan dengan dendam kesumat yang ketat. Ini tergambar dalam tindakan-tindakannya yang memusnahkan setiap yang hidup, iaitu membinasakan bumi yang menghasilkan tanaman, tumbuhan dan buah-buahan dan memusnahkan turunan yang merupakan kesinambungan hidupan manusia.

Pemusnahan hayat seperti ini merupakan satu gambaran daripada dendam kesumat, kejahatan, dan pengkhianatan yang berkemuncak di dalam hati insan yang malang ini yang selama ini ditutup dan ditabiri oleh kepintaran percakapannya, kelicinan sikap muka duanya dan kepura-puraan menunjukkan kebaikan, kebaktian dan toleransi.

Firman Allah s.w.t: Dan apabila dikatakan kepadanya: Bertakwalah engkau kepada Allah, timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Ayat ini memberi makna bahawa semangat boleh membawa kepada perbuatan dosa. Manakala berkenaan perkataan jahanam seperti kata Ibn al-Anbari ada dua pendapat;

*Ia merupakan kalimah ‘ajam.

*Ia adalah nama Arab.

Seterusnya makna kalamnya pula dengan dua pendapat;

*Cukuplah neraka jahanam sebagai balasan daripada dosanya.

*Cukuplah neraka jahanam sebagai kehinaan daripada kemuliaannya.

Sayid Qutub berkata: Dengan tujuan mengingatkannya supaya merasa malu kepada Allah dan gentar terhadap kemurkaan-Nya, maka ia terus memberontak menentang nasihat itu. Ia merasa begitu angkuh untuk menerima nasihat supaya bertakwa dan merasa begitu sombong untuk ditegur kesalahannya dan dibetulkan kesilapannya. Ia merasa bangga bukan dengan kebenaran, keadilan dan kebaikan tetapi dengan perbuatan-perbuatannya yang berdosa. Ia berbangga dengan jenayah, dosa dan kesalahannya. Dia mengangkat kepalanya dengan angkuh menentang kebenaran yang diperingatkan kepadanya. Dia mengangkat kepalanya dengan sombong di hadapan Allah tanpa malu aib, sedangkan dialah juga yang pernah mempersaksikan Allah atas kebenaran isi hatinya. Dia berpura-pura baik, ikhlas, jujur dan sopan santun.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Sifat munafik adalah sifat yang paling keji.

*Membuat kerosakan di muka bumi merupakan amalan yang amat dibenci oleh Allah s.w.t.

*Takut kepada neraka jahanam boleh membawa kepada amalan yang baik.

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

No Comment

Post a Comment