Manusia berasal dari Nabi Adam

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah perintahkan mereka yang beriman dengan nabinya supaya memeluk Islam keseluruhannya dan mereka dalam kepatuhan tanpa bangkangan.

Sayugia hidayah yang datang kepada seseorang daripada tuhannya tidak akan berjalan dalam melakukan amalan kepada yang khilaf, tetapi wajib atasnya mengikut petunjuk-Nya. Akhirnya dijelaskan dalam ayat ini.

Firman Allah, Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya). (Al-Baqarah: 213)

Firman Allah s.w.t: Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka).

Al-Qurtubi berkata: Dengan maksud atas satu agama. Sedangkan Ubai bin Ka’ab dan Ibn Zaid pula berkata: Dikehendaki dengan manusia ialah segala anak Adam ketika Allah keluarkan mereka daripada Adam lantas mereka ikrar dengan wahdaniah-Nya.

Mujahid berkata: Manusia adalah Adam sahaja kerana dinamakan satu dengan lafaz jamak (ramai) kerana ia merupakan asal.

Ibn Abi Khaisamah berkata: Semenjak Allah menciptakan Adam hingga dibangkitkan Muhammad s.a.w selama 5,800 tahun. Walaupun begitu dikatakan lebih daripada itu dan dikatakan antara Nabi Adam dengan Nabi Nuh 1,200 tahun sedangkan Nabi Adam hidup hampir 960 tahun.

Sayid Qutub berkata: Kisahnya begini. Dahulu manusia merupakan satu umat sahaja. Mereka hidup di atas satu agama, satu kepercayaan dan kefahaman sahaja. Ini merupakan isyarat kepada sekumpulan umat manusia yang pertama dan kecil dari keluarga Adam dan Hawa dan anak-anak pinak keturunan mereka sebelum timbulnya kefahaman-kefahaman dan kepercayaan-kepercayaan.

Keturunan sahaja

Di sini al-Quran menjelaskan bahawa manusia itu adalah berasal dari keturunan sahaja, iaitu dari zuriat anak-anak keluarga pertama Adam dan Hawa. Dan telah menjadi kehendak masyi’ah Allah menciptakan seluruh umat manusia dari hasil zuriat keturunan satu keluarga yang kecil untuk menjelaskan dasar keluarga dalam kehidupan mereka, dan menjadikan keluarga sebagai asas pertama masyarakat.

Kemudian zaman semua manusia berada dalam satu tahap, satu aliran, satu kefahaman dalam lingkungan keluarga yang pertama itu telah berlalu dan kini bilangan mereka telah berkembang menjadi ramai dan berpecah di merata tempat.

Bentuk dan cara hidup mereka juga telah berubah, dan disini muncullah di kalangan mereka berbagai-bagai bakat kebolehan yang dijadikan Allah untuk mereka kerana sesuatu hikmat yang diketahui-Nya iaitu hikmat kebaikan kehidupan manusia yang terletak di sebalik kepelbagaian bakat-bakat kebolehan, kepelbagaian kekuatan dan tenaga dan kepelbagaian haluan dan tujuan.

Firman Allah: Dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dikatakan jumlah nabi seramai 124,000 sedangkan rasul seramai 313. Ini dinukilkan daripada al-Qurtubi.

Al-Tabari berkata: Alif dan lam pada al-Kitab dengan maksud lil ‘ahdi iaitu dikehendaki dengan kitab Taurat. Sayid Qutub berkata: Di sini ketaralah hakikat agung itu, iaitu antara tabiat manusia ialah mereka berbeza pendapat, kerana perbezaan pendapat ini merupakan salah satu lunas dari lunas-lunas tabiat kejadian mereka.

Perbezaan ini dapat merealisasikan satu hikmat yang tinggi dari pelantikan manusia menjadi khalifah di muka bumi ini, kerana urusan pemerintahan memerlukan kepada berbagai-bagai fungsi dan berbagai-bagai bakat kebolehan dari bermacam-macam jenis. Ia supaya semuanya bersepadu dan selaras dan dapat menyempurnakan peranan agungnya menegakkan pemerintahan dan pembangunan di bumi mengikut perancangan induk yang telah ditentukan di dalam ilmu Allah.

Oleh itu wujudnya kepelbagaian bakat kebolehan merupakan sesuatu yang pasti untuk memenuhi kehendak-kehendak kepelbagaian fungsi. Perbezaan bakat-bakat kesediaan itu perlu untuk melayani berbagai-bagai keperluan.

Firman Allah: Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.

Ibn Kathir berkata: Sebenarnya mereka khilaf dalam banyak hal seperti dinukilkan daripada Zaid bin Aslam. Mereka khilaf berhubung dengan penentuan kelebihan hari jumaat begitu juga dengan kiblat di samping solat dan lain-lain.

Bertelingkah

Orang yang dahulunya telah bersatu dalam perkara yang hak dan benar kemudiannya bertelingkah. Tidak lain orang yang bertelingkah itu ialah orang-orang yang dikurniakan kitab Taurat dan Injil. Tetapi masing-masing memperselisihkan isi-isi kitab itu di dalam cara memahami dan memikirkannya – semata-mata didorong oleh rasa hasad dengki dan aniaya sesama mereka – atau kerana tamakkan harta dunia dan berebut hendak menjadi ketua.

Firman Allah: Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).

Hidayat (petunjuk) dalam ayat ini – setengah ulama mentakwilkan – dengan memilihkan hari Jumaat sebagai hari kebesaran umat Islam bukannya hari Sabtu yang dibesarkan oleh kaum Yahudi ataupun hati Ahad yang dibesarkan oleh kaum Nasrani.

Juga ditakwilkan dengan berkiblat ke Mekah bukan ke Baitulmaqdis seperti orang Yahudi, ataupun berkiblat ke timur seperti orang Nasrani. Ataupun ditakwilkan bahawa Nabi Ibrahim bukanlah membawa syariat Yahudi atau Nasrani, tetapi yang dibawanya ialah syariat Islam yang suci dari menyekutukan Allah.

No Comment

Post a Comment