Bersumpah hanya bagi perkara baik

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Ibn Kathir berkata: Allah s.w.t melarang kita menjadikan sumpah-sumpah dengan nama Allah sebagai tegahan daripada melakukan kebaikan dan menyambung silaturrahim. Dengan berkekalan untuk bersumpah atas perkara tersebut merupakan dosa kepada tuannya dan selayaknya hendaklah membayar kaffarah.

Allah berfirman: Dan janganlah kamu jadikan nama Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui. (Al-Baqarah: 224)

Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu jadikan nama Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu. Ibn Jauzi menyebut pendapat berkenaan dengan sebab turunnya ayat ini:

Pertama: Diturunkan kepada Abdullah bin Rawahah di mana beliau bersama Basyir al-Nukman ada pertelingkahan sehingga Abdullah bersumpah tidak mahu bertemu dan bercakap dengannya. Dan beliau berkata: “Sesungguhnya aku telah bersumpah dengan Allah dan tidak halal bagiku kecuali mengikut sumpahku. Lantas turunlah ayat ini seperti pendapat Ibn Abbas.

Kedua: Seorang lelaki telah bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak akan menyambung silaturrahim dan mengislahkan sesama manusia. Lantas turunlah ayat ini seperti pendapat al-Rabi’ bin Anas.

Ketiga: Bahawa ia diturunkan kepada Abu Bakar ketika dia bersumpah tidak mahu memberi nafkah kepada Mistah. Inilah pendapat Ibn Jarir.

Keempat: Ayat ini diturunkan kepada Abu Bakar yang bersumpah tidak mahu menyambung silaturrahim dengan anaknya Abd. Rahman sehingga beliau memeluk Islam. Inilah pendapat Muqatil Ibn Hayyan dan Ibn Sulaiman.

Al-Sonhaji berkata: Ayat ini diturunkan kerana ada di antara sahabat-sahabat Nabi yang telah berselisih sesama mereka, hingga menyebabkan tidak bertegur sapa. Ada pula yang tidak mahu berdamai, memberhentikan sokongan dan bantuan kepada saudara-saudaranya yang miskin, disebabkan oleh terburu nafsu dan terlajak kata, lekas benar menyebut sumpah, umpamanya bersumpah: Demi Allah, aku tidak mahu menyapa si pulan. Demi Allah, aku tidak mahu berdamai dengannya. Demi Allah, aku tidak membantunya, dan lain-lain yang seumpamanya.

Kata-kata sumpah dengan mengaitkan nama Allah ini, menjadi penghalang kepada mereka untuk berbuat baik, berbuat bakti dan mengadakan perdamaian. Bersumpah dengan menggunakan nama Allah untuk menghalang dari berbuat perkara kebaikan yang seperti ini telah dilarang oleh Allah.

Maka orang yang berbuat sedemikian, disunatkan membatalkan sumpahnya dengan membayar denda (kaffarah) dan Allah mendengar apa yang disumpahkan dan mengetahui apa yang diniatkan.

Sayid Qutub berkata: “Janganlah engkau jadikan sumpah engkau sebagai penghalang dari engkau berbuat demikian, tetapi keluarkanlah bayaran kifarat kerana sumpah engkau itu dan buatlah kebaikan.” Beginilah juga kata Masruk, al-Sya’bi, Ibrahim al-Nakh’i, Mujahid, Tawus, Said Ibn Jubayr, Atta’, Ikrimah, Makhul, al-Zuhri, al-Hassan, Qatadah, Muqatil, Ibn Hayyan, al-Rabi’ Ibn Anas, al-Dhahhak, Atta’ al-Khurasani dan al-Suddi Rahimahullah sebagaimana dinaqalkan oleh Ibn Kathir.

Syeikh al-Maghari berkata: “Ini kerana Allah tidak reda seseorang menjadikan nama-Nya sebagai penghalang kebaikan.” Ini amat ramai yang dilakukan dengan segera bersumpah untuk tidak melakukan demikian sedangkan itu adalah kebaikan atau mahu meneruskan perbuatan demikian sedangkan ia merupakan keburukan. Justeru Allah melarang kita daripada demikian itu dan menggesa kita supaya mencari segala wajah kebaikan dan apabila kita telah bersumpah untuk meninggalkannya, maka lakukanlah jika sekiranya baik dan bayarlah sumpah.

Firman Allah:….daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Ibn al-Jauzi berkata: Makna ayat ini terdapat tiga pandangan ulama:

* Jangan kamu bersumpah dengan nama Allah supaya kamu tidak melakukan kebajikan, bertakwa, dan berbuat baik serta mendamaikan antara manusia. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Atta’, Ibn Jubair, Ibrahim, al-Dhahhak, Qatadah, al-Suddi, Muqatil, al-Farraq, Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

* Maknanya jangan kamu bersumpah dengan nama Allah secara dusta untuk kamu memelihara daripada makhluk dan berbuat kebajikan kepada mereka. Begitu juga kami mengislahkan kepada mereka dengan cara dusta. Inilah yang diriwayatkan oleh ‘Atiyyah daripada Ibn Abbas.

* Maknanya, janganlah kamu banyakkan sumpah dengan nama Allah jika sekiranya sekalipun kamu orang yang baik dan mendamaikan kerana banyaknya bersumpah dengan nama Allah termasuk daripada jenis keberanian terhadap Allah. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Ibn al-Arabi berkata: Firman Allah yang bermaksud: Untuk berbuat baik. Sesetengah ulama mengatakan: Janganlah kamu menjadikan sumpah sebagai halangan untuk berbuat baik. Inilah pengertian yang disebutkan dalam hadis: Seseorang yang berkeras dengan sumpahnya terhadap isterinya, lebih besar dosanya di sisi Allah daripada dia membayarkan kifarat sebagai ganti sumpahnya.

Sebagai penjelasan jika sebelumnya orang itu bersumpah untuk tidak berbuat baik maka dia hendaklah melanggar sumpahnya. Jika sebelum itu dia tidak bersumpah maka ayat itu bermaksud untuk membuat kebajikan dan bertakwa.

Salah satu daripada dua maksud ini boleh difahamkan juga ke atas maksud yang satu lagi. Penerangannya akan dinyatakan dalam surah al-Nur, ayat 22 ketika mentafsirkan firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kenangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah ke jalan Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Barang siapa bersumpah atas sesuatu sumpah kemudian dia melihat selain itu lebih baik daripada apa yang disumpah, maka lakukanlah apa yang lebih baik itu, dan bayarlah kifarat sumpahnya”.

Dari aspek yang ketiga, perkataan (maksud): Untuk berbuat baik juga bererti Allah melarang kamu daripada banyak bersumpah dengan nama Allah kerana dengan menjauhi larangan itu terdapat kebaikan dan takwa.

Firman Allah s.w.t: Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Inilah sifat Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui supaya manusia mengawali cakap mereka dan juga gerak hati mereka kerana dengan keyakinan tersebut boleh menyebabkan mereka sentiasa berada di atas landasan yang betul dengan mengikut acuan syarak.

Iktibar Ayat

* Siapa yang ingin bersumpah, hendaklah bersumpah pada perkara kebaikan.

* Janganlah kita menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan. Kalau begitu hendaklah kita membayar kaffarah.

* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.


No Comment

Post a Comment