Kelebihan puasa dan orang berpuasa

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

RAMADAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.

Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa'di Abu Jaib Hal 218).

Dalam Feqh Manhajji menyebut puasa dari segi syarak pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Walaupun begitu terdapat banyak lagi definasi berkenaan dengan puasa berdasarkan kepada pendapat fuqaha dalam semua mazhab. Tetapi pengertian yang mereka kemukakan adalah hampir sama.

Puasa Ramadan mula difardukan pada bulan Syaaban pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, amalan puasa telah biasa dilakukan biasa di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Akan tetapi kewajipan puasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat terdahulu adalah dari segi pensyariataan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan satu rukun daripada Islam yang lima dan diketahui oleh umum. Oleh itu sesiapa yang mengingkari kewajipannya ia boleh menjadi kafir dan hendaklah disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Jika terus ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad.

Hal yang demikian sekiranya dia bukan baru memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama. Mereka yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya ibadat tersebut dia hanya jadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekali pun zahirnya sahaja mengikut apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji.

Berkenaan dengan rukun puasa pula iaitu menahan daripada dua syahwat, perut dan faraj. Atau menahan daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Malikiyah dan Syafiiyah menambah dengan satu rukun yang lain iaitu niat pada waktu malam. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 3/1616).

Seterusnya dibincangkan fadilat dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:

*Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.

*Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.

*Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.

*Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.

*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

*Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

*Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.

*Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.

*Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.

*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.

*Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat keatasnya sehingga selesai makanannya”.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka. Justeru marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.

Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.


No Comment

Post a Comment