Amalan dunia tentukan nasib di akhirat

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


FIRMAN Allah s.w.t: Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 257)

AL-MAGHARI berkata: “Allah s.w.t yang menjadi wali kepada yang beriman kerana orang yang beriman tiada penolong dan penguasa baginya mengikut iktikadnya kecuali Allah. Atas dasar inilah Allah hidayatkan kepadanya kepada penggunaan segala jenis bentuk hidayat yang dianugerahkan kepada manusia daripada pancaindera, akal dan agama”.

Firman Allah: Allah pelindung orang-orang yang beriman; dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran).

Ibnu Kathir berkata: “Allah menceritakan bahawa Dialah yang memberi hidayat pada siapa yang mengikut keredaan-Nya yang merupakan jalan-jalan kebaikan.

“Allah yang mengeluarkan hamba-hambanya yang beriman daripada kegelapan dan kekufuran, syak serta ragu-ragu kepada cahaya kebenaran yang jelas dan menerangkan dengan mudah dan senang. Sedangkan orang-orang kafir yang menjadi wali atau pelindung mereka adalah syaitan yang menghiasi mereka daripada kejahilan dan kesesatan. Mereka mengeluarkan orang-orang kafir daripada jalan kebenaran kepada kekufuran dan pendustaan”.

Ibnu Jauzi berkata: “Bila orang yang beriman dalam kegelapan dan bila pula orang yang kafir dalam cahaya?

Terdapat tiga jawapan:

i) Pemeliharaan Allah terhadap orang beriman daripada jatuh dalam kesesatan dan mengeluarkan mereka dari kegelapan kekufuran sedangkan di hiasi penolong-penolong orang kafir kepada kebatilan yang menjauhkan daripada kebenaran dan hidayat.

ii) Bahawa iman ahli kitab dengan Nabi sebelum zahirnya merupakan cahaya bagi mereka. Dan kufur mereka dengan Nabi selepas zahirnya Nabi dengan maksud keluar kepada kegelapan.

iii) Apabila zahirnya mukjizat Rasulullah s.a.w, orang yang menyanggahnya dianggap keluar dari cahaya dan yang membenarkannya keluar daripada kegelapan kejahilan sepada cahaya ilmu.

Al-Nasafi berkata: “Dijamakkan (dengan banyak) perkataan kegelapan kerana Thaghut pada makna yang banyak yakni mereka yang memekakkan diri mereka atas kekufuran hal mereka adalah sebaliknya. Atau Allah yang menjadi wali orang yang beriman mengeluarkan mereka daripada syubhat dalam agama jika berlaku pada mereka dengan diberi hidayat dan taufik supaya dapat keluar kepada cahaya yakin.

“Dan mereka yang kufur pemimpin-pemimpin mereka adalah syaitan yang mengeluarkan mereka kepada kegelapan-kegelapan syak dalam syubhah”.

Mengikut Al-Baghawi: “Dinamakan kufur dengan kegelapan kerana kesamaran jalannya dan dinamakan Islam dengan cahaya kerana jelasnya jalan tersebut”.

Sayyid Qutub berkata: “Iman itu nur, iaitu nur yang tunggal dari segi sifat dan hakikat, sedangkan kekafiran itu kegelapan-kegelapan, iaitu berbagai-bagai yang beraneka ragam tetapi semuanya kegelapan belaka.

“Tidak ada hakikat yang lebih tepat dan halus dari mengungkapkan iman dengan nur dan mengungkapkan kekafiran dengan kegelapan.

“Itulah nur yang tunggal yang membawa ke jalan yang satu, tetapi kesesatan kekafiran mengandungi berbagai-bagai jenis kegelapan, iaitu kegelapan hawa nafsu, kegelapan penyelewengan dan kesesatan, kegelapan keangkuhan dan keterlaluan, kegelapan kelemahan dan kehinaan, kegelapan riak dan dua muka, kegelapan tamak haloba, kegelapan keraguan dan kegelisahan dan bermacam-macam kegelapan yang tidak terhitung dan seluruhnya terkumpul apabila wujud kesesatan dari jalan Allah, apabila wujud penerimaan (perintah dan nilai) dari yang lain dari Allah dan apabila wujudnya perbuatan berhakimkan sistem yang lain dari sistem hidup yang diatur oleh Allah.

“Sebaik sahaja seseorang itu meninggalkan nur Allah yang tunggal, iaitu meninggalkan nur al-Haq yang tunggal yang tidak pernah keliru, maka ia akan terus terjerumus ke dalam berbagai-bagai jenis kegelapan”.

Firman Allah, Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

Al-Maghari berkata: “Adapun balasan di akhirat bergantung kepada amalan manusia di dunia. Justeru itu tidak layak ahli kezaliman, ahli kegelapan yang tidak mempunyai cahaya kebenaran menghuni tempat tinggal kecuali bersama dengan bahan bakaran api neraka yang terdiri daripada batu dan manusia”.

Sayyid Qutub berkata: “Oleh sebab mereka tidak mahu bersuluh dengan nur, maka hendaklah mereka tinggal kekal di dalam neraka”.

Hamka berkata: “Oleh sebab itu maka tauhid bukanlah semata-mata untuk kepentingan ibadat kepada tuhan malahan terlebih lagi untuk kemerdekaan jiwa raga daripada pengaruh sekelian alam ciptaan Allah itu.

“Ertinya hilang keperibadian, hilang kesedaran diri, hilang kebebasan, mempergunakan fikiran sendiri kerana sudah tenggelam dalam semboyan dan slogan yang diciptakan oleh Thaghut”.

Seterusnya beliau berkata: “Tauhid ialah untuk membebaskan jiwa manusia daripada pengaruh Thaghut. Ini kerana pengaruh Thagut menghilangkan nilai manusia pada diri seseorang anak Adam berganti dengan binatang yang dapat dihalau ke hilir ke mudik”.

Iktibar Ayat:

* Allah sebagai wali bagi yang beriman sedangkan Thagut sebagai wali kepada yang kufur.

* Sentiasa berdoa untuk mendapat taufik dan hidayat daripada Allah.

* Balasan neraka kepada yang ingkar perintah Allah dan kufur.

* DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM) Nilai.


No Comment

Post a Comment