Islam larang meminta-minta

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh Sya’rawi berkata, selepas Allah menceritakan berkenaan dengan sedekah yang diperintahkan Allah supaya dilaksanakan kerana Allah dan sudah pasti Allah tidak menzaliminya. Kemudian Allah menceritakan pula berkenaan dengan nafkah yang sepatutnya diagihkan pada permulaan Islam.

Firman Allah: (Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari minta-minta.

Ibn Kathir berkata, ini kepada golongan Muhajirin yang fakir yang menetap di Madinah, tidak mempunyai sumber pencarian diri dan boleh mengkayakan mereka. Begitu juga tidak mampu bermusafir untuk mencari kehidupan dan pada saat yang sama tidak meminta-minta sedangkan orang jahil menyangka bahawa mereka kaya.

Sayyid Qutub berkata: “Dahulu sifat yang menarik ini menjadi sifat sekumpulan orang-orang muhajirin. Mereka meninggalkan harta benda dan keluarga mereka di Mekah untuk menetap di Madinah. Mereka tumpukan diri mereka untuk berjihad di jalan Allah dan mengawal Rasulullah SAW seperti ahli suffah yang tinggal di pinggir masjid untuk menjaga rumah-rumah Rasulullah SAW supaya tidak dicerobohi musuh.

“Mereka telah tumpukan untuk berjihad dan kerana itu mereka tidak dapat merantau kerana berniaga dan mencari rezeki. Namun demikian, mereka tidak meminta-minta sesuatu dari orang lain, mereka menahan diri dari meminta sehingga orang-orang yang tidak mengetahui keadaan mereka menyangka bahawa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menahan diri dari meminta dan enggan dari menunjukkan kemiskinan mereka dan tiada siapa yang mengetahui mereka melainkan orang-orang yang mempunyai perhatian yang tajam”.

Namun demikian, nas ini adalah satu nas yang umum yang merangkumi orang-orang yang lain dari mereka (muhajirin) di setiap zaman, iaitu merangkumi orang-orang miskin yang berjiwa tinggi yang hidup dalam satu keadaan yang menghalang mereka berusaha mencari rezeki dan mereka mempunyai kehormatan diri yang menghalang mereka meminta pertolongan dan bantuan.

Mereka menahan diri daripada meminta supaya kemiskinan mereka tidak ketara dan kerana itu mereka disangkakan kaya oleh orang-orang yang tidak mengetahui keadaan mereka. Namun orang-orang yang peka dan mempunyai mata hati yang terbuka dapat memahami apa yang sebenar di sebalik jaga diri itu, kerana perasaan-perasaan jiwa mereka dapat dilihat dengan jelas pada tanda-tanda dan keadaan mereka walaupun mereka cuba menyembunyikan kerana malu.

Itulah satu gambaran yang mempunyai saranan yang amat mendalam. Ia digambarkan oleh sepotong ayat yang pendek untuk menunjukkan satu contoh manusia yang mulia. Itulah satu gambaran yang sempurna yang memperlihatkan sifat menahan diri dari meminta. Itulah cara al-Quran menggambarkan contoh-contoh manusia dengan gambaran yang seolah-olah hidup dan bergerak.

Mereka yang miskin dan menyembunyikan kemiskinan mereka seolah-olah mereka menutup aurat itu hendaklah diberi sedekah kepada mereka dengan cara sembunyi dan lemah-lembut supaya maruah dan kehormatan mereka terguris.

Oleh sebab itulah ayat ini diiringi dengan kenyataan yang menyarankan supaya sedekah itu diberi dengan cara sembunyi dan meyakinkan para pemberinya bahawa Allah mengetahui setiap pemberinya dan akan memberi ganjaran kepadanya.

Enggan

Firman Allah: Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak.

Al-Nasafi berkata, mereka yang miskin tetapi menjaga maruah tanpa meminta dengan pada mukanya dan keadaannya pucat kekuningan tetapi masih enggan meminta kepada manusia.

Mengikut hadis sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang malu lemah lembut bermaruah dan benci daripada perkataan yang tidak baik dan meminta-minta.

Al-Maghaghi berkata, ini kerana boleh jadi menjaga maruah dan mereka tidak memohon kepada manusia kerana sifat dan sikap yang baik justeru benarlah sabda Rasulullah SAW mengikut riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: Bukanlah orang miskin yang mengelilingi manusia yang mendapati sesuap atau dua suap dan kurma atau sebiji tamar atau dua biji tamar tetapi orang miskin yang sebenarnya yang tidak mendapati orang kaya yang boleh mengkayakannya dan tidak cerdik untuk itu lantas di sedekahkan kepadanya dan beliau tidak memohon bangun meminta kepada manusia.

Bacalah sejarah, kita dapati bahawa sahabat r.a pada permulaan hijrah dalam kesempitan dan kefakiran yang amat sangat sehingga mereka terpaksa tinggal berhampiran dengan masjid Nabi untuk tidur. Ini kerana segala aset mereka di Mekah telah ditinggalkan.

Walaupun begitu mereka tetap sabar dan amat kuat memelihara agama di samping menjadi penghafal hadis dan sunah Nabi SAW. Pernah satu ketika Rasulullah SAW berdiri dan berkhutbah kepada golongan ini selepas melihat kefakiran mereka dan kedaifan tetapi mempunyai hati yang baik sabda baginda: Bergembiralah hai golongan ahli Suffah maka siapa yang kekal di kalangan ummatku atas sifat yang ada pada kamu ini dengan penuh keredaan sudah pasti ia menjadi daripada teman-temanku.

Firman Allah: Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), Maka Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Al-Maghaghi berkata: Tiada sembunyi atas-Nya kebaikan niat dan keikhlasan seseorang pada amalan dan Allah pasti akan membalasnya

Sayyid Qutub berkata: “Hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia dan sebarang kebajikan tidak akan hilang di sisi-Nya.

“Pada akhirnya ayat yang berikut mengakhiri perlembagaan sedekah di dalam pelajaran ini dengan mengemukakan satu nas yang umum yang meliputi segala cara infak dan segala masa infak, juga mengemukakan satu hukum yang meliputi setiap orang yang mengeluarkan infak kerana Allah SWT”.

Iktibar Ayat:-Islam melarang perbuatan meminta-minta.
- Setiap harta yang diinfak itu akan mendapat ganjaran daripada Allah.
- Keutamaan infak adalah kepada golongan yang fakir.


No Comment

Post a Comment