Sebahagian rasul dilebihkan daripada yang lain

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah s.w.t., Rasul-rasul itu kami lebihkan sebahagian (daripada) mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa darjat.

Dan kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta kami perkuatkan dia dengan Ruhul Qudus. Dan kalau Allah menghendaki, nescaya tidaklah berbunuh-bunuhan orang-orang (yang datang) sesudah rasul-rasul itu, sesudah datang kepada mereka beberapa macam keterangan, akan tetapi mereka berselisih.

Maka ada di antara mereka yang beriman dan ada (pula) di antara mereka yang kafir. seandainya Allah menghendaki, tidaklah mereka berbunuh-bunuhan akan tetapi Allah berbuat apa yang dikehendaki-Nya. (Al-Baqarah: 253)

AL-MAGHARI berkata: “Adalah kalam Allah sebelum ini berkenaan dengan penerangan sunnatullah terhadap makhluknya antaranya: bahawa kebenaran pasti menang atas kebatilan dan dikuatkan dengan pembantu-pembantunya.”

Firman Allah: Rasul-rasul itu kami lebihkan sebahagian (daripada) mereka atas sebahagian yang lain. Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata (langsung dengan dia) dan sebahagiannya Allah meninggikannya beberapa darjat.

Al-Nasafi berkata: “Ayat ini dimulakan dengan isyarat kepada kumpulan rasul yang disebut kisahnya dalam surah ini daripada Adam hingga Daud atau yang sabit ilmunya di sisi Rasulullah s.a.w dengan sebahagian keistimewaan di sebalik risalah tentang antara persamaan dengan mereka seperti orang beriman bersamaan pada sifat orang beriman dan berlebih kurang berkenaan dengan ketaatan selepas iman.

Al-Sonhaji berkata: “Adapun sebesar-besar kelebihan Nabi Muhammad s.a.w ialah kitab suci al-Quran yang dapat melumpuhkan kebolehan sekelian penduduk bumi sama ada yang hendak menghalangnya mahupun yang hendak menirunya. Mukjizat al-Quran ini kekal hingga ke hari kiamat.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah katanya: Berkata Rasulullah yang bererti: “Tidak seseorang pun daripada para nabi yang diberi, melainkan aku diberi juga tanda-tanda atau ayat-ayat yang sama yang dipercayai oleh manusia. Hanya apa yang telah diberikan kepadaku adalah wahyu yang Allah wahyukan kepadaku. Aku berharap, akulah yang terbanyak mempunyai pengikut pada hari kiamat.”

Dari Jabir pula diriwayatkan katanya: Berkata Rasulullah s.a.w yang ertinya: “Aku telah diberikan lima perkara yang tidak seorang pun daripada para nabi sebelumku diberikan:

* Aku ditolong dengan daya menakutkan musuh sejauh perjalanan sebulan.

* Diuntukkan bagiku bumi ini di mana sahaja boleh dijadikan tempat bersujud dan keadaannya suci. Maka sebarang umatku yang telah datang kepadanya waktu sembahyang, hendaklah tampil sembahyang.

* Dihalalkan harta rampasan perang bagiku yang tidak halal bagi seseorang pun sebelumku.

* Aku diberi kuasa untuk memberi syafaat (pertolongan).

* Setiap nabi yang dibangkitkan khusus untuk menyeru kaumnya sahaja, sedangkan aku dibangkitkan untuk menyeru seluruh manusia.”

Sayyid Qutub berkata: “Kesesuaian sambungan penceritaan ini amat jelas dalam penceritaan mengenai rasul-rasul yang disebut di antara ayat-ayat akhir juzuk yang kedua dengan ayat-ayat surah ini.

“Kebanyakan perdebatan dan pertengkaran yang diceritakan di dalam rangkaian ayat-ayat ini adalah berlaku di antara kelompok muslimin yang baru muncul dengan kaum Bani Israel – sebagaimana jelasnya dalam pembicaraan dua juzuk yang pertama – oleh sebab itulah di sini diceritakan tentang perselisihan dan pembunuhan yang berlaku antara pengikut para rasul selepas pemergian mereka, iaitu berlaku setelah munculnya golongan yang kafir dan golongan yang beriman.

“Diterangkan juga, supaya umat muslimin terus melaksanakan tugas-tugasnya kerana merekalah kelompok yang mendapat hidayah Allah yang berkewajipan menentang golongan-golongan penyeleweng.”

Firman Allah, Dan kami berikan kepada Isa putera Maryam beberapa mukjizat serta kami perkuat dia dengan Ruhul Qudus. Dan kalau Allah menghendaki, nescaya tidaklah berbunuh-bunuhan orang-orang (yang datang) sesudah rasul-rasul itu, sesudah datang kepada mereka beberapa macam keterangan, akan tetapi mereka berselisih. Maka ada di antara mereka yang beriman dan ada (pula) di antara mereka yang kafir.

Hamka berkata: “Pada ayat ini Tuhan telah menjelaskan bahawa Dia melebihkan sebahagian rasul daripada yang lain. Tetapi tidaklah pula disuruh kepada kita supaya melebihkan seorang rasul dan mengurangkan martabat yang lain. Tuhan telah mengajarkan kepada kita di dalam ayat 136 yang lalu, dan juga akan datang pada ayat penutup dari surah al-Baqarah ayat 285 bahawa kita sebagai umat Islam tidak membeza-bezakan rasul.

“Maka sikap kita kepada sekalian para rasul adalah seperti kita melihat bintang-bintang yang berkelipan cahayanya diwaktu malam. Kita juga telah mengetahui bahawa bintang-bintang itu tidak sama kedudukannya. Ada yang tinggi dan ada yang rendah. Namun bagi kita yang melihat dari Bumi dapat menyatakan semuanya sama tinggi.”

Seterusnya suatu kenyataan yang selalu kita saksikan baik dalam sejarah yang telah lalu atau sejarah zaman sekarang bahawasanya petunjuk Allah s.w.t telah datang. Kita selalu mengharap Allah akan menyatukan sekalian umat. Ajaran para rasul merupakan ajaran yang satu menyeru kepada Allah. Melihat kepada kitab-kitab suci seperti Taurat, Mazmur atau Zabur dan Injil sehinggalah kepada al-Quran yang kita pelajari dan fahami isinya, kita akan hanya memahami satu ajaran iaitu tentang adanya kuasa yang Maha Esa.

Oleh kerana itu semuanya bergantung kepada kehendak Allah. Sekalipun sekarang ini kita melihat cukup banyak nama yang diberikan kepada Tuhan seperti Yehovah, Aloha, Brahman atau Allah atau Tuhan. Isi hati yang mengucapkannya adalah satu yang mengungkap tentang zat Allah s.w.t. tetapi bagaimana pula dengan kenyataan kita sekarang?

Dalam semua agama terdapat kejadian yang sama. Sesudah para rasul meninggal, terjadilah perselisihan sehinggakan sampai ke tahap saling berbunuhan.

Firman Allah, Seandainya Allah menghendaki, tidaklah mereka berbunuh-bunuhan. akan tetapi Allah berbuat apa yang dikehendaki-Nya.

Al-Baghawi berkata: “Diulang disini sebagai penguat dan Allah boleh memberi taufik kepada sesiapa sebagai kurniaan dan menghina kepada sesiapa kerana keadilannya. Pernah seorang lelaki bertanya kepada Ali bin Abi Talib seraya berkata: “Hai Amirul Mukminin khabarkan kepadaku berkenaan dengan kadar.” Lantas dijawabnya: “Iaitu jalan yang kelam maka jangan kamu laluinya.” Kemudian diulangi soalan yang sama. Jawab Saidina Ali: “Laut yang dalam jangan kamu rentasinya.” Kemudian ditanya lagi. Lantas dijawab Saidina Ali: “Rahsia Allah di bumi yang tersembunyi daripada kamu, justeru jangan kamu mencarinya.”

Iktibar Ayat:

* Sheikh Sya’rawi berkata: “Tertib Qurani yang menceritakan kisah Musa A.S dan Isa A.S dan kemudian membicarakan ulul azmi daripada rasul.”

* Sheikh Al-Maghari berkata: “Dikhususkan kepada manusia dengan keistimewaan ini sebagai tanda kehendak Allah yang tiada seorang boleh menghalangnya.”

* Kedudukan rasul-rasul tidaklah sama dari segi kelebihan dan kurniaan di sisi Allah s.w.t.


No Comment

Post a Comment