Sahur dan solat tahajud

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

PUASA menyebabkan kita sentiasa prihatin dengan waktu terutamanya ketika berbuka dan bersahur. Antara hikmah yang tersembunyi di sebalik bersahur ialah untuk bangun berqiamullail dan membaca al-Quran sebagaimana yang dilakukan salaf al-Salih.

Ruangan pada kali ini akan mengemukakan berkenaan solat tahajud atau qiamullail.

Solat tahajud

Qiamullail ialah solat malam yang dinamakan tahajud jika dilakukan selepas tidur. Ini kerana perkataan tahajud bererti meninggalkan tidur.

Qiamullail adalah solat sunat yang tidak ditentukan bilangan rakaatnya dan dilakukan selepas terjaga daripada tidur sebelum azan subuh.

Hukum solat tahajud

Semua ulama sepakat menetapkan solat qiamullail atau tahajud hukumnya sunat muakkad. Walaupun begitu para ulama dan golongan soleh menitikberatkan dan tidak meninggalkannya kerena kelebihan dan fadilatnya teramat banyak.

Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah daripada dosa. (riwayat Muslim)

Fadilat solat tahajud

Terdapat banyak dalil dan nas di mana Islam menggalakkan umatnya melakukan ibadat qiamullail. Ibadat ini sepatutnya menjadi amalan setiap individu Muslim apatah lagi jika beliau merupakan seorang ulama atau daie (pendakwah). Antara dalilnya ialah:

* Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat 79 yang bermaksud: ...dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah 'sembahyang tahajud' padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.

Para ulama mengatakan pengertian ibadah sunat (tambahan) pada ayat, ada dua pengertian:

Pertama : Bahawa ini hanya diperuntukkan dan diwajibkan kepada Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dengan sanad daif dia berkata: Abdullah bin Abbas berkata: "Qiamullail diwajibkan kepada Rasulullah SAW, sementara bagi kita itu hanya berupa ibadah sunat".

Qiamullail atau tahajud

Jadi, makna nafilah ialah solat tahajud iaitu tambahan kewajipan bagi solat lima waktu khususnya pada diri Rasulullah SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail sama ada dalam keadaan bermukim di Madinah mahupun ketika musafir, hingga baginda wafat.

Kedua : Nafilah bererti tambahan kebaikan bagi diri Rasulullah SAW. Sedangkan selain baginda, qiamullail itu bukan berupa tambahan kebaikan. Sebaliknya qiamullail bagi kita (selain Rasulullah SAW) adalah penebus dosa kejahatan-kejahatan kita.

Ini kerana kita terdiri daripada jiwa yang berdosa dan banyak melakukan kesalahan, kejahatan dan kemaksiatan. Sedangkan Rasulullah SAW semua dosa dan kesalahannya, sama ada yang dahulu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah SWT.

Maka qiamullail hanyalah berupa tambahan kebaikan sahaja baginya, sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Fath ayat 2 yang bermaksud: kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada-Mu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).

Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzammil ayat 1-3 yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu.

Antara cara untuk memudahkan bangun di waktu malam adalah:

Ibn Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin: Ketahuilah qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik dengan syarat-syarat yang memudahkannya. Terdapat dua syarat iaitu zahir dan batin.

Antara sebab-sebab zahir:

* Tidak makan terlalu banyak. Justeru mereka berkata: "Hai golongan sufi, jangan makan banyak, nescaya kamu minum banyak, kamu tidur banyak dan sesal banyak".

* Jangan berpenat pada siang hari dengan kerja-kerja yang membebankan.

* Jangan meninggalkan tidur qailullah (tidur sekejap) pada siang hari kerana ia menolong untuk bangkit pada malam hari.

Antara sebab-sebab batin pula ialah:

* Menjauhkan dosa. Dengan sebab itu al-Thauri berkata: "Aku dihalang untuk qiamullail selama lima bulan kerana satu dosa yang aku lakukan".

* Selamatkan hati daripada prasangka dan perasaan tidak baik kepada orang Islam.

* Menjauhkan diri daripada amalan bidaah.

* Berpaling daripada lebihan dunia.

* Mengetahui kelebihan qiamullail.

Semoga kita menjadi ahli tahajud dan ahli Quran yang melayakkan kita untuk menghuni syurganya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Al-Quran benarkan kitab terdahulu

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Selepas Allah SWT menyebut berkenaan dengan sifat Allah SWT Yang Maha Berdiri dengan sendiri-Nya lagi Maha Hidup. Kalam-Nya membicarakan pula berkenaan dengan kitab samawi termasuk al-Quran yang antara lain bersifat hidayah dan penerang yang sebenarnya.

Ayat Ketiga:
Firman Allah SWT yang bermaksud : Ia menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Maraghi berkata: “al-Quran membenarkan kitab-kitab suci yang telah diturunkan kepada para nabi dahulu. Al-Quran menegaskan bahawa kitab-kitab itu sebagai wahyu dan turut menyebut Allah SWT mengutus beberapa orang rasul dengan diberi wahyu.”

lIbn al-Jauzi berkata: “Perkataan turun digunakan dengan anzala kepada Kitab Taurat dan Injil kerana kedua-duanya diturunkan sekali gus. Sedangkan kepada al-Quran digunakan dengan nazzala kerana maksudnya diturunkan beransur-ansur dan bukan sekali gus.” Pendapat ini sama seperti yang diutarakan oleh al-Khazin dalam tafsirnya.

lAl-Syaukani berkata: “Dengan kebenaran di sini maksudnya dengan hujah yang kuat dan menang.”

lDiriwayatkan daripada al-Farra’ berkata: “Ishtiqaq (kata pecahan) kalimah Taurat dengan maksud apa yang zahir daripada cahaya dan di namakan Taurat dengannya kerana zahir dengannya cahaya kepada Bani Israel dan pengikut mereka. Ada pun Injil dinamakannya kerana ia menzahirkan agama selepas mana telah hilang atau luput.”

lHamka berkata: “Ditujukan-Nya kepada utusan-Nya, sebuah kitab dengan kebenaran iaitu kebenaran yang dapat diuji dan dibanding, yang datang daripada Tuhan, disampaikan oleh Malaikat Jibril yang kadang-kadang disebut Ruhul-Qudus”.

lAl-Sonhadji berkata: “Allah SWT menurunkan wahyu yang merupakan al-Quran tidak sekali-kali mengandungi keraguan dan diturunkan-Nya berperingkat-peringkat. Al-Quran menerangkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan kepada para Nabi yang terdahulu”.

lAyat ini jelas menunjukkan wajibnya kita beriman dengan kitab Allah sama ada Taurat, Zabur, Injil dan juga al-Quran. Al-Quran juga bersifat membenarkan segala kitab-kitab yang terdahulu.

Sewajarnya umat Islam menjadikan al-Quran sebagai kitab manhaj al-Hayah yang boleh menyelesaikan segala kemelut kehidupan dan memandu arah untuk ketakwaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Berpegang dengannya sudah pasti mendapat keselamatan di dunia dan akhirat.

Ayat Keempat
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan ia juga yang menurunkan al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Maraghi berkata: “Allah SWT menurunkan al-Quran dengan diiringi akal. Akal menjadi alat untuk membezakan antara akidah yang benar dengan yang batil. Allah SWT juga menurunkan keadilan yang digunakan untuk mengenali hak-hak hukum dan berlaku adil sesama manusia”.

lAl-Alusi berkata: “Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa diturunkan al-Quran yang mengandungi irhas berkenaan kebangkitan Nabi SAW sekira-kira dikaitkan penurunan dengan sebelumnya sebagai hidayat kepada manusia.”

lAl-Quran di sini disebut dengan furqan kerana maksud furqan adalah pembeza untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan seperti mana kata Qatadah.

lAl-Alusi berkata: “Allah menyebut azab yang ditimpa kepada mereka yang kafir dengan ayat Allah dengan zaraf dan nakirah bertujuan untuk menggambarkan betapa besar dan dahsyatnya azab Allah SWT”.

lHamka berkata: “Bahawa sebelum kitab al-Quran itu diturunkan kepada Rasul-Nya yang terakhir iaitu Muhammad SAW, terlebih dahulu telah diturunkan Taurat dan Injil. Al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad SAW membenarkan atau mengakui isi wahyu daripada kedua kitab tersebut. Segala kitab suci yang diturunkan dari makam yang mulia itu, baik Taurat ataupun Injil mahupun al-Quran bertujuan sama sahaja, iaitu memberi petunjuk dan bimbingan bagi manusia. Ia bertujuan supaya manusia kenal hubungan mereka dengan Tuhan, al-Khaliq Pencipta alam dan Pencipta Manusia”.

lAl-Sonhadji berkata: “Pada permulaan surah al-Baqarah, Allah SWT menyebutkan bahawa al-Quran itu petunjuk bagi orang yang takwa, dan ayat ini pula Dia menyebutkan bahawa Taurat dan Injil merupakan petunjuk bagi manusia. Orang yang bertaqwa mendapat faedah yang amat banyak dari al-Quran, lalu mengikutinya. Setelah Allah SWT menyebutkan ketiga-tiga buah kitab iaitu Quran, Taurat dan Injil, maka disebutkan-Nya kitab-kitab Tuhan yang lain secara umum”. Semuanya mengandungi pengajaran yang dapat membezakan antara yang hak dengan batil, benar dengan yang salah, iaitu diberi nama Furqan. Sesiapa yang mengingkari ayat-ayat Allah SWT sama ada quran atau lainnya iaitu ayat-ayat yang telah menjelaskan keesaan Allah SWT dan kesucian-Nya, nescaya Allah SWT akan mengazab mereka dengan seksaan yang pedih.

Seterusnya selayaknya kita beriman dengan kitab Allah SWT dan mengkaji isi kandungan al-Quran untuk dihayati, diamali seterusnya mendapat hidayat dan petunjuk daripada-Nya. Allah SWT mengakhiri ayat ini dengan kalam-Nya, Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

Ini menunjukkan Allah SWT bersifat Maha Perkasa dan Maha Kuasa di mana digunakan perkataan Aziz dalam bentuk nakirah sebagai tanda dan lambang kekuasaan-Nya yang mutlak. Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dengan al-Quran. Amin.

Islam tidak membebankan

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): " Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami.

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. (al-Baqarah: 286)

SAYYID Qutub berkata: “Inilah ayat-ayat penamat surah yang besar ini, iaitu ia besar dengan saiz pengungkapannya kerana ia merupakan surah al-Quran yang paling panjang, juga besar dengan maudhu’-maudhu’nya yang merupakan bahagian pembicaraan yang amat besar.”

Ia meliputi asas-asas kefahaman keimanan, ciri-ciri kelompok muslimin, sistem hidup mereka, tugas-tugas mereka, sikap dan peranan mereka di alam al-wujud ini, sikap dan tabiat musuh-musuh yang menentang mereka, cara musuh-musuh mereka memerangi mereka dan cara mereka menghindari bahaya musuh mereka di satu aspek dan mengelak dari nasib kesudahan mereka yang malang di satu aspek yang lain.

Di samping itu, surah ini juga menjelaskan tabiat peranan manusia di bumi ini. Sifat-sifat fitrahnya dan faktor-faktor yang menggelincirkan langkah-langkah mereka yang digambarkan di dalam sejarah umat manusia dan kisah-kisahnya yang berlaku di dalam realiti dan sebagainya dari huraian-huraian yang telah disebut sebelum ini semasa mempelajari nas-nasnya yang panjang itu.

Firman Allah SWT: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Al-Maraghi berkata : “Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka.

“Inilah khabar gembira daripada Allah SWT setelah mereka menerima beban kewajipan daripada-Nya dengan rasa taat dan penuh penerimaan, berkat kurnia dan kemurahan Allah SWT kepada mereka. Mereka diberikan beban yang mampu mereka kerjakan bahkan tidak sukar untuk melaksanakannya.”

Pada ayat ini juga mengandungi khabar gembira dengan pemberian ampun yang telah mereka minta, lantaran kekurangan-kekurangan yang ada pada diri mereka. Ia turut meringankan beban kesulitan dan kekurangan yang mungkin timbul dari pemahaman mereka terhadap firman Allah SWT sebelum itu.

Firman Allah SWT : Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami”.

Al-Maraghi berkata: “Ayat ini menggalakkan manusia melakukan perbuatan baik dan melaksanakan kewajipan-kewajipan agama. Ini disebabkan membatasi hasil perbuatan baik terhadap pelakunya, termasuk pendorong yang terkuat untuk turut bergerak melakukan kebaikan.

“Akan tetapi sebaliknya ia mengingatkan manusia agar jangan menangguhkan kebaikan kerana kerugiannya akan menimpa diri mereka sendiri, bukan kepada orang lain. Membatasi kerugian perbuatan buruk terhadap pelakunya, termasuk cara pencegahan terkuat agar seseorang tidak melakukannya.”

Sesudah Allah SWT menerangkan keadaan orang beriman yang mendengar dan mentaati-Nya serta menyuruh mereka meminta ampun kerana kekurangan-kekurangan yang ada pada diri mereka, dan selepas menyebut kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya, yang mana hal itu tidak dibebani sehingga ia di luar kemampuan mereka, lalu Allah SWT mengajar mereka cara-cara berdoa.

Firman Allah SWT: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.

Sayid Qutb berkata: “Inilah penamat surah yang besar yang terkumpul di dalam dua ayat yang menjadi intisari yang sempurna kepada bahagian-bahagian mauduk yang terbesar yang wajar dijadikan sebagai penamatnya, iaitu penamat yang selaras dengan mauduk-mauduk surah, selaras dengan suasana dan matlamat-matlamatnya.

Muhammad Quraish Syihab dalam tafsirnya berkata: “Akhirnya orang-orang mukmin itu menutup doa mereka dengan bermohon: Maafkanlah kami, yakni hapuskan dosa-dosa kami, lindungi kami, yakni tutupkan aib kami dengan tidak menghukum kami akibat kesilapan, dan rahmati kami dengan bermacam rahmat melebihi penghapusan dosa dan penutupan aib. Engkau adalah Pelindung kami, kerana itu menangkan kami dengan kritikan dan kekuatan fizik menghadapi orang-orang kafir.”

Kalau anda perhatikan pada ayat di atas, termasuk terjemahannya, anda temukan bahawa permohonan yang dipanjatkan oleh orang-orang beriman, mereka pohonkan sambil menyebut nama Allah SWT dengan menyebut: Rabbana dan tanpa menggunakan kata: ‘ya atau wahai' sebagaimana sering dinyatakan dalam terjemahan-terjemahan dalam bahasa-bahasa Indonesia.

Ketiadaan ‘ya atau wahai' yang digunakan untuk menyeru yang jauh, menunjukkan kedekatan mereka pada Allah SWT, dan bahawa kedekatan itu diakui oleh-Nya sehingga diabadikan dalam kitab suci. Menurut pengamatan al-Harrali, dalam al-Quran tidak dijumpai dalam satu ayat pun yang menggunakan panggilan jauh kepada Allah SWT dalam ucapan orang-orang mukmin.

Demikianlah, kedua ayat ini menutup surah al-Baqarah, memberi kesimpulan tentang kandungannya, sekali gus menggambarkan sikap orang-orang yang beriman kepada Allah SWT.

Orang beriman sentiasa inginkan kesempurnaan

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Imam Muslim meriwayatkan melalui sahabat Nabi, Abu Hurairah r.a. bahawa ketika turunnya ayat 284 sebelum ini, yang menjelaskan Allah SWT akan melakukan perhitungan terhadap apa yang diperbuat oleh manusia, baik oleh anggota tubuhnya mahupun hati, yang terang-terangan mahupun yang tersembunyi, maka sebahagian sahabat mengeluh kepada Rasulullah SAW.

Mereka berkata: “Kami telah dibebani tugas yang tidak mampu kami pikul.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kalian akan berucap seperti Bani Israel, Kami mendengar tetapi kami tidak memperkenankan?” Ucapkanlah, “Kami dengar dan kami taati, ampunilah kami, (Wahai Tuhan Kami) dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

Allah SWT menyambut permohonan mereka dan turunlah penjelasan atau pembatalan menurut sesetengah tentang apa yang menggusarkan mereka melalui ayat 286 selepas ini, Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Al-Biqa’i menilai ayat ini sebagai penutup surah al-Baqarah yang sangat serasi dengan pembukaannya. Di sana pada pembukaan, dihuraikan sifat-sifat orang mukmin yang percaya kepada kitab yang tidak mengandungi sedikit keraguan pun.

Maka di sini pun ia tutup dengan pernyataan percaya pada apa yang diturunkan Allah SWT setelah menjelaskan soal nafkah yang juga merupakan huraian awal surah ini, dalam bentuk yang serasi dan berkait rapat dengan tuntutan perintah dan larangan-Nya, serta pengungkapan sifat-sifat terpuji bagi hamba-Nya, terutamanya Rasulullah SAW.

Dari sini dapat dilihat, penutup ayat ini membincangkan tentang keimanan Rasul dan pengikut-pengikut baginda berkaitan kitab yang diturunkan kepada baginda dan kitab-kitab sebelumnya serta seluruh Nabi dan Rasul. Ia turut menghuraikan ucapan-ucapan mereka yang menunjukkan ketaatan dan kekhusyukan mereka.

Dalam ayat ini, seakan-akan ada yang bertanya: “Kini berakhir sudah huraian ayat ini, bagaimana sikap orang-orang yang kitab ini diturunkan kepada mereka?” Jawabnya adalah, firman Allah SWT: Semuanya beriman kepada Allah SWT, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): “Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari Rasul-rasul-Nya.

Al-Sonhaji berkata: “Setiap seorang dari mereka percaya akan adanya Allah SWT mentauhidkan-Nya serta tidak menyekutukan Allah. Percaya akan adanya malaikat, percaya kepada semua kitab yang diturunkan dari langit yang merupakan wahyu, yang masuk meresap ke hati para Rasul itu. Tidak seperti ahli kitab yang percaya kepada setengahnya dan ingkar kepada setengah yang lain”.

Firman Allah SWT: Dan mereka mengatakan: “Kami dengar dan kami taat”.

Al-Maraghi berkata: “Mereka (orang yang beriman) berkata, bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan ajaran kepada mereka lalu mereka dengar ajaran itu dengan penuh perhatian, lalu mereka mentaati perintah dan larangan-Nya dengan penuh rasa penuh ketundukan dan penyerahan. Inilah yang mendorong jiwa untuk melakukan perintah Allah SWT dengan jalan yang sebaik-baiknya, kecuali dalam keadaan dihalang oleh sesuatu yang tidak dapat dielakkan”.

Orang yang beriman dengan ikhlas akan menghitung kekurangan-kekurangan dirinya sendiri selepas wujudnya rintangan-rintangan yang datang kepada mereka. Mereka hanya inginkan kesempurnaan.

Al-Sonhaji berkata: “Mereka bersedia menerima perintah-perintah yang disampaikan oleh para Rasul dan berikrar mentaatinya tidak menderhakainya. Oleh sebab itu bersegeralah mereka mengamalkannya, kecuali jika dalam keadaan kepayahan atau berhalang.

“Namun orang yang hatinya tulus ikhlas, enggan berhenti walaupun kepayahan atau berhalangan tetap bercita-cita akan menyempurnakan amalan secukupnya dan jika tidak dapat, mereka menganggap dirinya cuai”.

Sebab itulah mereka memohon: “Ampunilah kami Ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

Al-Sonhaji berkata: “Allah telah memulai surah al-Baqarah ini dengan menyebutkan, bahawa al-Quran itu jangan diragukan, kerana ada mengandungi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.

Lalu Allah menjelaskan sifat-sifat mereka dengan pokok keimanan yang mereka pegang. Kemudian Allah SWT menyebutkan pula keadaan orang-orang yang kufur dan ragu-ragu.

“Seterusnya dijelaskan pula beberapa hukum-hukum agama seperti solat, zakat, puasa, haji, talak, ila’, haid, jihad dan kisah para Nabi, dan Allah SWT telah menghujah kaum terdahulu yang sesat khasnya kaum yahudi. Maka Allah SWT mengakhiri surah al-Baqarah ini dengan menyebutkan, bahawa pesuruh-Nya iaitu Nabi kita, Muhammad SAW telah beriman dengan apa yang diturunkan-Nya. Begitu pula orang-orang mukmin.

“Kesudahan dari keimanan itu, orang-orang mukmin telah dapat menyucikan jiwa dan hati mereka, tinggi himmah sehingga mencapai puncak ketinggian yang menakjubkan di dunia.

“Misalnya usaha mereka gilang-gemilang, dapat membuka beberapa negeri di dunia ini dengan menggunakan siasatan keadilan dan kebijaksanaan yang tidak dapat dimungkiri sekalipun oleh musuh Islam sendiri.

“Sejarah telah mencatat, bahawa dewasa ini manusia sedang dalam lembah kejahilan dan ditindas pula oleh kerajaan-kerajaan besar yang ada pada masa itu.

Tetapi mereka telah dapat diselamatkan oleh orang-orang mukmin dari dibelenggu perhambaan, terlepas dari penjajahan dan kemudiannya dapat menghirup udara kebebasan yang tidak pernah mereka rasakan sebelumnya. Cukuplah Allah SWT menjadi saksi bagi mereka”.