Yahudi tolak Islam kerana nafsu

By mfrstudio

Sheikh al-Maghari berkata: "Pada ayat-ayat yang lepas, dinyatakan sikap buruk golongan Yahudi, kerana keingkaran mereka menyahut seruan dakwah, membunuh para nabi dan golongan yang menyeru ke arah keadilan. Bertujuan untuk memberi penjelasan kepada Rasulullah SAW mengenai keingkaran golongan Yahudi terhadap dakwah Baginda bukanlah sesuatu yang boleh dianggap baru atau aneh.

"Tambahan pula, situasi tersebut sudah menjadi lumrah dan tabiat buruk mereka terhadap Nabi-nabi yang terdahulu. Oleh hal yang demikian, dengan penjelasan ini Baginda diharapkan tidak lagi bersedih hati lantaran perbuatan buruk mereka itu."

Pada ruangan ini, perbincangan mengenai Rasulullah SAW agar mengingati perjalanan golongan Yahudi dalam urusan agama pada masa itu. Mereka sekali-kali tidak mahu menjadikan kitab suci mereka sebagai sumber kehakiman.

Mereka akan menolak mentah-mentah sekiranya diajak agar berhakimkan dengan kitab suci mereka. Allah SWT kemudiannya menceritakan faktor timbulnya perkataan yang demikian. Faktornya kerana mereka terpedaya dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai hubungan nasab dengan para nabi.

Lantaran itu, mereka berpendapat, bahawa dengan wujudnya ikatan ini, sebagai satu jaminan keselamatan terhadap mereka. Menerusi faktor inilah yang menyebabkan mereka tidak mengambil berat terhadap dosa maksiat yang mereka lakukan. Malangnya anggapan mereka itu salah.

Ini kerana, pembalasan untuk amalan yang mereka lakukan nanti, bukan bergantung kepada fungsi rendahnya darjat keturunan tetapi dilihat kepada amalan mereka.

Sebab nuzul

Menurut riwayat daripada Ibn Ishaq, Ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim daripada Ibn Abbas r.a., pada suatu ketika Rasulullah SAW masuk ke rumah tempat orang Yahudi mempelajari agama mereka, mengajak mereka kepada jalan Allah SWT.

Maka dua pemuda Yahudi bertanya kepada Baginda iaitu al-Nu'man bin Amr dan al-Haris bin Zaid: "Engkau datang membawa agama apa hai Muhammad?" Lalu Nabi SAW menjawab: "Aku datang dengan agama Nabi Ibrahim a.s dan peraturannya". Pemuda itu bertanya lagi: "Tetapi Nabi Ibrahim a.s adalah Yahudi?"

Dengan tegas baginda menjawab: "Mari kita ambil Taurat, kita jadikan alat pemutus di antara kita dalam masalah ini. Adakah betul Yahudi agama Nabi Ibrahim a.s atau Islam?" Tetapi kedua-dua pemuda itu tidak mahu. Demikian salah satu antara sebab turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jarir menyebut berkenaan dengan maksud kitab Allah SWT yang diseru kepada mereka adalah dua riwayat.

Pertama: Dikehendaki daripada kitab Allah SWT Taurat. Ia adalah kitab-Nya pada asal sekali pun telah diubah dan dipinda.

Kedua: Kitab Allah SWT di situ dengan maksud al-Quran. Kerana kumpulan Yahudi telah berhakimkan kepada Nabi supaya berhukum ke atas mereka dengan hukum al-Quran.

ii. Sheikh Muhamad Abu Zahrah berkata: "Ayat ini memberi maksud selepas dakwah kepada berhukum dengan kitab Allah SWT, mereka berpaling daripada kebenaran dan membelakangkannya ganti daripada mereka yang telah berpaling hati-hati".

iii. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT berfirman dengan mengingkari terhadap golongan Yahudi dan Nasara dengan sangkaan mereka berpegang, dengan kedua-dua kitab yang ada di sisi mereka iaitu Taurat dan Injil.

"Mereka juga diminta berhakimkan kepada keduanya dalam mentaati Allah SWT serta mengikut Muhammad SAW tetapi malangnya mereka enggan dan berpaling dan ini merupakan sehina-hina kejian atas mukhalafah dan kedegilan mereka".

iv. Ibn Abbas berkata: "Golongan yang berpaling ialah pembesar Bani Qainuqa', iaitu al-Nu'man bin Aufa dan Bahri bin Amar bin Suria yang enggan menerima hukuman zina iaitu hukuman rejam.

v. Al-Mawardi berkata: "Supaya dia berhukum antara mereka dengan tiga pendapat:

Pertama : Kenabian Nabi SAW.

Kedua: Urusan Nabi Ibrahim a.s dan agamanya Islam.

Ketiga: Masalah hudud.

vi. Al-Alusi berkata: "Isu berkenaan supaya berhukum antara mereka dengan kebenaran kepada golongan Yahudi pada permasalahan hukum rejam atau masalah Islam atau siapa yang Islam di kalangan mereka dan yang tidak Islam berlakunya antara mereka khilaf yang diredai di sisi sebahagian ulama sekalipun tidak muafakat dengan sebab nuzul".

vii. Sheikh al-Maghari berkata: "Lima buah kitab yang dinamakan Taurat itu dihubungkan kepada Nabi Musa a.s. Sebenarnya tidak ada bukti yang mengatakan bahawa Bagindalah yang menulis kitab tersebut. Ini disebabkan kitab ini tidak dikategorikan terpelihara sehingga kitab ini mungkin hilang. Ditambah pula bukti yang ada dengan beberapa orang di kalangan ahli penyelidik daripada bangsa Eropah yang menunjukkan bahawa kitab Taurat ini mula ditulis 500 tahun selepas berlakunya kewafatan Nabi Musa a.s.

Lagipun tidak diketahui bahasa apa yang pertama kali digunakan untuk menulis kitab suci ini. Dan tidak ada bukti yang mengatakan bahawa Nabi Musa a.s tahu bahasa Ibrani, kerana bahasa pertuturan adalah bahasa Mesir.

Oleh yang demikian di manakah Taurat yang ditulis dalam bahasa Mesir ini berada? Dan siapakah pula yang menterjemahkan Taurat ke dalam bahasa Ibrani?

viii. Al-Maraghi berkata: "Digunakan perkataan 'sebahagian' untuk menunjukkan bahawa sikap berpaling itu tidak dilakukan oleh semua orang Yahudi. Sebab terdapat segelintir mereka yang masih mahu menerima kebenaran, manakala sebahagian lagi mengakui beriman kepada Nabi SAW.

ix. Muhamad Quraish Shihab berkata: Mereka diseru kepada kitab Allah SWT. Tidak dikatakan kepada kitab mereka kerana kitab yang ada pada mereka ada di tangan mereka tidak lagi sepenuhnya dengan kitab Allah SWT yang dianugerahkan kepada mereka. Mereka telah melakukan pengubahan, penambahan dan pengurangan. Kerana itu ditegaskan di sini bahawa kitab yang dimaksudkan adalah kitab Allah SWT.

x. Jelas menunjukkan dalam ayat ini betapa mereka yang dikurniakan kitab dan mengetahui kebenaran tiba-tiba berpaling daripada petunjuk Ilahi sebaliknya berkiblatkan kepada hawa nafsu dan keinginan syahwat semata-mata.

Mungkin mereka mendapat sedikit laba di dunia tetapi sebaliknya mereka sengsara sebelum mereka menghembus nafas di dunia yang fana ini, patah lagi di hari akhirat. Ya Allah jadikanlah kami sentiasa mendapat petunjuk hidayah-Mu seterusnya beramal untuk mendapat keredaan-Mu. Amin.


1 Comment

Assalamualaikum,saya begitu tertarik dgn artikel yang ditulis.Saya ader pertanyaan tentang yahudi.

Adakah yahudi mengetahui bahawa islam itu adalah agama yang benar?kalau ya sila ceritakan sedikit sejarah yang mengatakan mereka mengetahui agama islam..

Post a Comment