Suruhan bermubahalah

By mfrstudio

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dalam ayat-ayat yang lalu Allah SWT menerangkan keadaan Nabi Isa a.s. sejak daripada kandungan dan apa yang berlaku kepadanya daripada mukjizat dan bagaimana ia adalah seorang Nabi yang soleh serta hamba Allah".

Sebab nuzul ayat ke-59

Ayat ini diturunkan kerana wujud perdebatan antara rombongan kaum Nasrani dengan Nabi SAW. Rombongan tersebut berkata kepada Nabi SAW: "Apa sebab tuan mengata-ngata tuan kami? Nabi SAW menjawab: "Apa yang telah saya katakan?" Mereka berkata: "Tuan mengatakan Nabi Isa a.s itu hamba Allah SWT!"

Nabi SAW menjawab: "Benar! Dialah hamba Allah dan utusan-Nya Allah SWT pertaruhkan kalimat-Nya kepada anak dara yang tidak berkahwin iaitu Maryam".

Mendengar jawapan Rasulullah SAW, mereka marah lalu berkata: "Adakah tuan pernah melihat seorang yang dilahirkan dengan tidak berayah? Kalau tuan orang yang benar tunjukkanlah kepada kami satu contoh".

Maka Allah SWT turunkan ayat ini, bahawa sesungguhnya Isa a.s yang dijadikan oleh Allah SWT dengan cara yang mereka anggap pelik kerana ia terjadi dalam keadaan tidak berayah. Tidaklah kurang peliknya dengan misalan Adam AS dijadikan tanpa ayah dan ibu.

Adam a.s dijadikan Allah SWT daripada tanah. Kalaulah mereka sudah mengakui tentang kejadian Adam itu tidak pelik, maka tidak sepatutnya mereka mengingkari tentang kejadian Nabi Isa pula. Kerana jika Allah SWT menghendaki terjadinya sesuatu, Ia akan mengatakan: "Jadilah engkau!" Maka jadilah ia.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi perumpamaan yang sangat jelas, kerana titik persamaan kedua-dua belah pihak disebutkan dengan terang, sehingga dapat menghilangkan keraguan musuh Allah SWT.

"Ini disebabkan orang yang mengingkari kejadian Nabi Isa tanpa ayah, sedangkan pada masa yang sama, dia mengakui kejadian Nabi Adam AS yang tidak berayah dan beribu, yang merupakan suatu perkara yang seharusnya tidak terjadi dan tidak dapat diterima oleh akal".

ii. Hamka berkata: "Ayat ini membantah kedua pihak. Pertama yang tidak percaya sama sekali bahawa Nabi Isa lahir tidak dengan perantaraan bapa, sehingga dituduh dengan pelbagai macam tuduhan oleh orang Yahudi. Padahal mereka pun percaya Nabi Adam dijadikan daripada tanah tidak dengan bapa tidak dengan ibu. Orang zaman sekarang terlalu terpesona dengan teori Darwin.

"Yang kedua ialah penyadaran bagi orang oleh kerana Nabi Isa tercipta dengan perantaraan Roh Allah, iaitu kalam-Nya yang menjelma menyerupai diri sebagai manusia, sebab itulah mereka tuhankan dia. Kerana perkara luar biasa itu dia dituhankan nescaya Nabi Adam yang terlebih dahulu dituhankan".

Sebab nuzul ayat 60

Adalah diriwayatkan, bahawasanya Nabi SAW mengajak orang-orang Nasrani Najran itu beribtihal atau mubahalah, yakni berlaknat-laknatan dan sesiapa yang berdusta dialah yang ditimpa laknat. Tetapi mereka enggan.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Hendaklah kamu tetap teguh dengan keyakinan dan ketenanganmu dalam menuju kebenaran serta menjauhkan diri daripada sebarang keraguan".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini menegaskan apa yang ditegaskan oleh ayat yang lalu bahawa apa yang telah Allah SWT wahyukan kepadamu ini wahai Muhammad itulah kebenaran mutlak.

"Kemutlakan itu difahami daripada bentuk makrifat, yakni huruf alif dan lam yang menghiasi kata hak. Kebenaran mutlak itu datang dari Tuhanmu Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kasih padamu".

iii. Hamka berkata: "Ayat ini membantah kepercayaan yang ganjil itu. Lalu dijelaskan bahawa Allah Maha Kuasa telah menciptakan Nabi Adam dari tanah tidak dengan perantaraan bapa dan ibu.

"Datangnya Nabi Adam ke dunia bukanlah mempusaka dosa dan lahirnya Nabi Isa bukan pula penebus dosa melainkan sebagai Rasul-rasul Allah yang lain juga. Diutus sebagai pembimbing manusia menuju ke jalan yang diredai-Nya".

Sebab nuzul ayat 61

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata: "Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya".

Lalu kedua-duanya berkata kepada Nabi SAW, "Kami akan memberi tuan apa yang tuan minta". Oleh itu, kirimkanlah bersama kami seorang lelaki yang tuan amanahkan.

Lalu Nabi SAW bersabda: "Berdirilah engkau wahai Abu Ubaidah". Tatkala dia sudah berdiri lalu Baginda bersabda: "Inilah orang kepercayaan daripada umat ini (Islam)".

Abu Nu'aym meriwayatkan dalam kitab al-Dalail, daripada Ibn Abbas, "terdapat lapan orang Nasrani Najran datang kepada Rasulullah SAW. Antara mereka, terdapat seorang pelayan dan majikan. Lalu Allah SWT berfirman, Katakanlah, mari…, lalu mereka berkata, "Berilah kami tempoh tiga hari".

Mereka kemudiannya pergi kepada kaum Yahudi Quraizah, Nadr dan Qainuqa'. Lalu mereka memberi isyarat agar mengadakan perdamaian dan jangan mengadakan sumpah saling mengutuk dengan Baginda. Mereka berkata, "Dialah Nabi yang kita temui di dalam Taurat kerana itu adakanlah perdamaian dengan Baginda dengan bayaran sebanyak 1,000 helai pakaian dibayarkan pada bulan Safar dan 1,000 lagi pada bulan Rejab serta beberapa dirham".

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW memilih Fatimah, Ali dan kedua-dua puteranya untuk mengerjakan mubahalah ini. Baginda kemudiannya keluar bersama mereka, sambil bersabda, "Jika aku membaca doa, hendaklah kamu mengaminkannya".

Ibn Asakir meriwayatkan daripada Ja'far daripada bapanya, bahawa ketika ayat ini turun, beliau membawa Abu Bakar r.a bersama seorang anaknya, Umar r.a., bersama seorang anaknya, dan Uthman r.a bersama seorang anaknya. Tidak diragukan daripada ayat ini orang akan memahami bahawa Nabi SAW menyuruh golongan Ahli Kitab yang memperdebatkan peristiwa Nabi Isa dengan kaum mukmin agar mengumpulkan kaum lelaki, wanita dan anak-anak daripada kalangan mereka.

Nabi SAW juga mengumpulkan orang yang beriman, kaum lelaki, wanita dan anak-anak untuk melakukan doa mubahalah, iaitu memohon laknat ditimpakan kepada orang yang berdusta dalam persoalan Nabi Isa ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Dalam ayat di atas perkataan anak-anak soleh dan isteri disebut terlebih dahulu daripada dirinya sendiri. Padahal seseorang sentiasa memikirkan nasib anak dan isterinya, sebenarnya adalah untuk menyatakan betapa Nabi SAW telah berasa aman, memiliki kepercayaan yang penuh dan keyakinan yang teguh dengan kebenaran misinya, hinggakan Baginda menaruh kepercayaan sesuatu misbah yang tidak diinginkan akan menimpa mereka.

"Ayat ini dinamakan ayat mubahalah, ertinya berdoa agar musuhnya mendapat laknat Allah".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini diletakkan setelah ajakan memanggil anak dan isteri dan sebelum bermubahalah. Ini memberi isyarat bahawa Nabi SAW masih memberi kesempatan waktu yang relatif tidak singkat kepada yang diajak itu, untuk berfikir menyangkut soal mubahalah, kerana akibatnya sangat fatal".

iii. Hamka berkata: "Mubahalah ialah bersumpah yang berat. Di dalam sumpah itu dihadirkan anak dan isteri dari kedua pihak yang bersangkutan, lalu diadakan untuk mempertahankan kebenaran masing-masing.

"Jika kedua belah pihak masih tidak mengalah dan bertolak ansur maka tunggulah laknat-Nya kepada siapa yang masih mempertahankan pendirian yang salah. Inilah ajakan Rasulullah SAW kepada utusan-utusan Najran yang mempertahankan Nabi Isa adalah putera Allah SWT.

"Ayat mubahalah adalah pembuktian antara yakin dan teguhnya orang Islam pada iman dan kepercayaannya. Keyakinan Tauhid adalah pegangan seluruh keluarga untuk mempertahankan diri hidup atau mati demi menegakkan kebenaran".

Iktibar dan fiqh ayat ke-62:

i. Al-Qurtubi berkata: "Isyarat pada sesungguhnya ini, kembali kepada al-Quran dan apa yang terkandung daripada kisah-kisah. Di namakan kisah kerana segala makna ikut mengikuti antara satu sama lain".

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Jika datang kisah daripada tuhan yang satu, maka kita yakin bahawa tiada lagi di sana Tuhan yang lain mendatangkan dengan kisah-kisah yang lain".

iii. Al-Sonhadji berkata: "Ayat ini dijadikan hujah menolak dakwaan orang-orang Nasrani yang mengatakan, Allah SWT itu Tuhan yang ketiga dari tiga serangkai. Dan sesungguhnya Allah itu adalah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Yakni tidak ada yang lebih perkasa dan lebih bijaksana daripada-Nya, dan tidak ada yang layak untuk menandingi-Nya selain Allah sendiri".

Iktibar dan fiqh ayat ke-63:

i. Ibn Kathir berkata: "Allah menutup ayat ini dengan menjelaskan siapa yang menyeleweng daripada kebenaran kepada kebatilan maka dialah yang sebenarnya merosakkan di muka bumi. Sedangkan Allah Maha Mengetahui dan pasti membalas perbuatan mereka kerana Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya.

ii. Hamka berkata: "Tasamuh (toleransi) beragama ini adalah dasar dari dakwah Islam. Yang menentukan petunjuk bagi manusia , bukanlah manusia melainkan Allah SWT. Tetapi orang tidaklah boleh berhenti mengadakan dakwah.

"Suatu toleransi tidak disertai dengan perluasan dakwah akan menuju kehancuran. Kita harus berani mengikut Rasulullah SAW, berani berhadapan dengan pemeluk agama yang lain dengan mengadakan mubahalah. Sesungguhnya keberanian itu tidak akan wujud jika kita tidak mengerti agama kita sendiri".

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas betapa rosaknya golongan Yahudi dan Nasrani apabila mempertuhankan Nabi Isa sedangkan apabila di ajak bermubahalah mereka begitu gentar dan takut seperti yang terjadi kepada golongan Nasara Najran.

Semoga Allah memelihara kita daripada kesesatan dan menjadikan kita sentiasa istiqamah. Amin.


Al-Quran sentiasa terpelihara

By mfrstudio

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara). (ali-‘Imran: 56-58)

al-quran dijamin terpelihara oleh Allah sampai bila-bila. - Gambar hiasan


Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat-ayat ini merupakan kesinambungan daripada kisah yang terdahulu iaitu peperangan yang berlangsung antara kebaikan dan kejahatan".

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Selepas Allah menjelaskan bagaimana ganjaran yang akan diperolehi Isa a.s, maka Allah menyatakan balasan yang menanti orang-orang kafir yang melakukan dan merestui tipu daya terhadap beliau serta ganjaran yang menanti orang yang beriman".

Ayat ke-56

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud mereka yang kafir dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani dan azab yang ditimpa ke atas mereka di dunia dengan pedang dan jizyah sedangkan di akhirat dengan api neraka".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Azab yang dikenakan terhadap orang kafir dengan pembunuhan disalib, ditawan dan dikenakan jizyah sedangkan di akhirat dikenakan azab neraka".

iii. Al-Maraghi berkata: "Orang Yahudi yang mendustaimu akan Aku jatuhkan seksaan ke atas mereka ini dengan pelbagai seksaan di dunia, seperti pembunuhan, menjadi tawanan dan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain. Sedangkan, seksaan di akhirat nanti lebih dahsyat dan lebih memedihkan. Pada saat mereka tidak akan menemui sebarang penolong pun, sebagaimana mereka tidak menemukannya ketika di dunia ini".

iv. Hamka berkata: "Ajaran agama bukanlah semata-mata untuk keselamatan akhirat sahaja bahkan terlebih dahulu seksaan dunia akan dirasainya. Di dalam ilmu akhlak diterangkan betapa hidup yang lurus di dunia dengan kebersihan akhlak, moral dan mental.

"Tanggungjawab kepada Allah SWT dan juga pada manusia. Kekayaan, pangkat dan jabatan yang tinggi, harta benda yang melimpah ruah dan kekuasaan yang dirasai tidak akan dapat menolong menyelubungi seksaan batin kerana memilih jalan yang sesat".

Ayat ke-57

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT tidak menyukai seseorang yang menzalimi hak orang lain, atau melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya.

"Oleh kerana itu bagaimana Dia boleh membuat zalim ke atas hamba-Nya, sedangkan Dialah memberi balasan kepada hamba-Nya dengan sewajarnya".

Ayat ini merupakan ancaman daripada Allah SWT terhadap orang yang kafir kepada-Nya dan juga kepada Rasul-rasul-Nya. Sebaliknya ia merupakan khabar gembira kepada orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul-rasul-Nya.

ii. Hamka berkata: "Orang-orang soleh akan diberi ganjaran dengan sempurna di dunia sampai akhirat. Bila iman sudah sebati di dalam jiwa, segala amalan untuk kebaikan mudah dilakukan maka di akhirat kelak syurga balasan untuk mereka yang beriman kepada Allah SWT".

Ayat 58

Firman Allah SWT yang bermaksud : Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).

Iktibar dan fiqh ayat :

i. Ibn Abbas r.a berkata: "Maksud zikir al-Hakim ialah al-Quran".

ii. Al-Zajjaj berkata: "Makna zikir al-Hakim pada susunan dan nazamnya serta menerangkan segala faedah daripadanya".

iii. Ibn Kathir berkata : "Ini yang kami kisahkan kepadamu hai Muhammad berkenaan dengan perihal Nabi Isa sejak kelahirannya dan apa yang Allah wahyukan kepadanya tanpa syak dan ragu lagi".

iv. Al-Maraghi berkata: "Kisah dalam al-Quran yang menjelaskan pelbagai pengajaran daripada cerita dan hukum memberi petunjuk kepada orang beriman mengenai inti pati agamanya, pemahaman syariat dan rahsia dikumpulkan manusia pada hari kiamat.

"Ayat-ayat ini akan menjadi hujah terhadap rombongan Nasrani Najran yang membantahnya dan Yahudi Bani Israel yang mendustakannya serta kebenaran yang kamu bawa kepada mereka".

v. Hamka berkata: "Telah diceritakan betapa Bani Israel, tegasnya Yahudi mencuba segala tipu daya mereka hendak menjerumuskan Nabi Isa ke dalam lembah kesengsaraan.

"Bahkan hendak membunuhnya sekali kerana mereka telah kafir dan tidak mahu menerima risalah Nabi Isa. Mereka gagal berbuat demikian kerana Allah SWT telah memuliakan Nabi Isa a.s dan memeliharanya".

Daripada ayat-ayat yang dibincangkan jelas menunjukkan sewajarnya kita menempatkan Nabi Allah Isa pada tempatnya dengan berpandukan kepada ayat-ayat Allah. Semoga kita menjadi hamba yang beriman dan berpegang kepada kebenaran. Amin.


Nabi Isa hapuskan kekolotan Yahudi

By mfrstudio

MENURUT ayat ini, ketika Allah SWT berfirman kepada nabi-Nya, bahawa Aku akan menyelamatkanmu dan mengangkatmu ke sisi-Ku adalah sebagai tindakan memperdaya musuh Nabi Isa. a.s.

Ayat ini merupakan khabar gembira tentang selamatnya Nabi Isa a.s daripada tipu daya mereka, sehingga mereka tidak berhasil melaksanakan niat jahat dan tipu muslihat kepada Nabi Isa.

Iktibar dan fiqh ayat :

Para ulama berbeza pendapat terhadap ayat ini. Pendapat mereka terbahagi kepada dua:

i. Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: "Dalam susunan kalimah ayat ini, sepatutnya kalimah yang berada di hadapan diletakkan di belakang. Dari itu terbentuklah, "Sesungguhnya Aku mengangkatmu ke sisi-Ku dan menyelamatkanmu".

Maksudnya, sekarang Aku mengangkat kamu dan nanti kamu akan Aku matikan sesudah kamu turun dari langit, jika saat kematianmu telah tiba.

Menurut pendapat ini, Nabi Isa a.s diangkat ke langit dengan jasad dan rohnya dalam keadaan hidup, dan akan turun ke dunia pada akhir zaman, lalu Baginda akan memerintah manusia dengan syariat kita, kemudian Baginda akan wafat.

ii. Al-Qurtubi berkata: "Pada akhir ayat ini di mana Allah SWT menjadikan golongan yang mengikut Rasulullah SAW mengatasi orang-orang kafir dengan hujah dan mendatangkan bukti".

Ada pendapat dengan kemuliaan dan kemenangan. Al-Dhahaq dan Muhammad Ibn Abban berkata: "Dengan pembantu atau hawariyyin".

iii. Ayat ini secara harfiyyahnya, bermaksud kewafatan (penyelamatan) adalah kematian biasa. Sedangkan diangkat sesudah wafat bermaksud diangkat rohnya.

Tidak hairan jika dalam perbincangan disebut perkataan 'orang' tetapi maksud di sini hanya 'roh' sahaja kerana roh yang sebenarnya menjadi hakikat orang. Sedangkan tubuh adalah sebagai ibarat baju pinjaman, boleh bertambah, berkurangan dan berubah.

Manusia itu tetap manusia selagi rohnya itu tetap ada. Jadi menurut pendapat kedua ini, ayat di atas bermaksud, "Sesungguhnya Aku mematikanmu, dan sesudah kematian itu Aku tempatkan engkau di tempat yang tinggi di sisi-Ku," sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Idris a.s bermaksud: Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Ibn Ishaq berkata: "Kristian menyangka bahawa Allah SWT mematikan Nabi Isa a.s selama tujuh jam kemudian menghidupkannya".

Matar al-Warraq berkata: "Sesungguhnya aku mematikan kamu daripada dunia dan bukan dengan mati sebagai kematian".

Ibn Juraij berkata: "Maksud mati ialah mengangkatnya".

Kebanyakan ulama berpendapat dikehendaki dengan wafat di sini dengan maksud tidur berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran antaranya:

l Ayat 60 surah al-An'am firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nyalah tempat kamu kembali, kemudian ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

l Ayat 42 surah al-Zumar firman Allah SWT yang bermaksud: Allah (yang Menguasai segala-galanya), ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya, kemudian ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

l Ayat 156-159 surah al-Nisa' firman Allah SWT yang bermaksud: Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dengan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya. Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah".

Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya).

Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya, dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.

bangsa Yahudi

Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengkhabarkan adanya unsur-unsur kehinaan dan kerendahan darjat bangsa Yahudi yang berlanjutan sehingga hari akhirat. Perkara ini memang terbukti sehingga tidak didapati orang Yahudi yang menjadi raja atau memiliki sebuah negeri sendiri.

"Perkara ini berbeza dengan kaum Nasrani tetapi para pengikut al-Masih belum lagi membuktikan kenyataan ini pada zaman hidup Baginda. Ini disebabkan mereka dikuasai oleh orang Yahudi.

"Oleh itu, pengertian kemenangan yang pertama (kemenangan rohaniah keagamaan) yang lebih sesuai dijadikan cermin".

Sesungguhnya kedatangan Nabi Isa kepada bangsa Yahudi dengan tidak membawa syariat baru. Bahkan kedatangan baginda adalah untuk menghapuskan sikap kolot dalam memahami syariat Nabi Musa a.s yang dilakukan secara formal.

Tujuan kedatangan baginda juga adalah untuk memberi kefahaman yang benar kepada mereka. Dari itu, ia bermaksud penganut agama Ahli Kitab terhadap beku kepada kata-kata formal ayat suci.

Justeru, mahu tidak mahu mereka memerlukan seorang pembaharu seperti Nabi Isa yang menjelaskan kepada mereka rahsia syariat dan jiwa agama. Dan semuanya itu ada dalam al-Quran, tetapi mereka telah tertutup lantaran taklid.

Masa kehidupan Nabi Isa a.s merupakan zaman yang mana manusia telah berpegang teguh pada roh agama dan syariat Islam untuk memperbaiki jiwa dan bukan hanya berpegang kepada tulisan dan kata-kata formal ayat suci.

Sebaliknya, golongan dajjal adalah simbol terhadap kaum pembuat khurafat iaitu kebohongan dan kebusukan. Di mana perbuatan ini akan hilang apabila syariat hidup dengan sewajarnya termasuk jiwa dan hikmahnya. Sedangkan kitab al-Quran merupakan penyuluh terbesar kepada hikmah dan jiwa agama. Begitu pula sunnah Rasul yang penuh dengan penjelasan seperti ini.

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata mutawaffika diambil dari kata yang bermakna sempurna. Al-Quran menggunakannya antara lain untuk makna mati dan tidur. Dia bermakna mati kerana siapa yang wafat maka umurnya di dunia telah sempurna dan kerana tidur mirip dengan mati dari sisi hilangnya kesedaran maka tidur pun dinamai mati oleh al-Quran dan sunnah".

Hamka berkata: "Adalah satu kenyataan bahawa kita terdiri dari berbagai golongan. Kadang-kadang kita bertukar pandangan dan fikiran, kadang-kadang berebut pasaran dan pengaruh.

"Lantaran bertengkar kita lupa kewajipan kita mengabdikan diri kepada Allah SWT. Lupa bahawa hidup di dunia fana yang pendek ini hendaklah diisi dengan amal yang baik, jasa yang berguna dan ilmu yang berfaedah.

"Janganlah kamu terlalu banyak berselisih faham. Hanya membazirkan waktu yang terluang dengan bertengkar dan bermusuhan sesama sendiri".

Akhirnya penulis ingin mengemukakan sekali lagi pendapat Ibn Kathir berkenaan hal ini. Katanya: "Sesungguhnya Isa al-Masih tatkala Allah SWT mengangkatnya ke langit, rakan-rakan dan pengikutnya berpecah ketika itu:

i. Ada yang beriman dengan apa yang Allah bangkitkannya bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, Rasul-Nya dan anak kepada Maryam.

ii. Ada di kalangan mereka yang melampaui sehingga menjadikan Isa sebagai anak Allah.

iii. Lebih teruk lagi ada di kalangan mereka menganggap Nabi Isa adalah Allah SWT.

iv. Seterusnya di kalangan mereka mendakwa Nabi Isa adalah salah satu daripada tiga Tuhan.

Semuanya itu dihikayatkan Allah dalam al-Quran serta membangkang dan membidas puak mereka. Mereka berkeadaan begini hampir 300 tahun, kemudian mereka telah dipimpin oleh Raja Yunan digelar dengan nama Qustantin yang bertujuan untuk merosakkan agama Kristian kerana ia asalnya seorang ahli falsafah.

Dikatakan beliau amat jahil tentang agama dan mengubah ajaran al-Masih, menambah dan meminda, menggubah undang-undang serta khianat yang amat berat. Antara tindakannya, beliau menghalalkan daging khinzir dan solat ke arah timur, meletakkan gambar-gambar dalam gereja, menambah puasa 10 hari kerana dosa yang dilakukannya sehingga jadilah agama al-Masih bertukar kepada agama Qustantin.

Beliau telah membina banyak gereja dan tempat ibadat melebihi 12,000 gereja, di samping menisbahkan nama kota kepadanya. Untuk keterangan lanjut boleh rujuk kitab tafsir Ibn Kathir dan al-Firaq Wa Adyan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan orang Islam yang beriman kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul termasuk Nabi Isa a.s.


Nabi Isa diangkat ke langit

By mfrstudio

Al-Maraghi berkata: "Pada perbicaraan sebelum ini telah diceritakan bahawa malaikat memberi khabar gembira kepada Maryam akan kelahiran Nabi Isa a.s. yang boleh berbicara dengan orang ramai sejak dari dalam buaian lagi, dan diberi kitab suci, ilmu, kenabian dan menjadi utusan Allah SWT kepada Bani Israel. Juga disebut pembelaan terhadap kesucian ibunya."

Ayat ke-52

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?" Orang-orang 'Hawariyyuun' (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (Wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)."

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Perasaan Nabi Isa bahawa adanya unsur kekufuran kerana sikap kaumnya yang sentiasa menyusahkannya dan melampau serta ingin supaya Nabi Isa terkena sesuatu."

ii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Nas yang mulia ini berlaku selepas tanda-tanda kekuasaan yang besar daripada menghidupkan orang mati dan lain-lain lagi. Dan kebanyakan mereka bukanlah yang beriman sebagaimana yang diisyaratkan nas. Sekalipun mereka melihat kekuasaan Allah SWT tetapi mereka ingkar dan tertutup nur hidayah dan iman ke dalam hati mereka."

iii. Al-Maraghi berkata: "Pernyataan ini dapat dipandang sebagai sebab kewajipan menolong agama Allah SWT kerana keimanan kepada-Nya menjadikan adanya kewajipan menolong agama-Nya dan membela pendukung-pendukung-Nya serta memerangi musuh-musuh-Nya."

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata al-hawariyyun diambil dari kata yang bermakna sangat putih atau cahaya murni. Sahabat-sahabat Nabi Isa a.s. dinamakan demikian kerana hati mereka sangat tulus, putih, bersih tidak ternoda oleh kekotoran yang menampakkan pada wajah mereka cahaya keimanan yang amat murni. Jumlah sahabat yang setia bersama Nabi Isa hanya 12 orang."

v. Hamka berkata: "Segala seruannya dibantah dan ditolak, segala mukjizat yang telah beliau perlihatkan hanya menambah keingkaran mereka belaka. Dia berkata: "Siapakah yang akan menolongku dan membelaku di dalam menegakkan jalan Allah SWT ini? Hawariyyun menjawab: "Kamilah penolong-penolong Allah SWT, kami akan membela engkau dan berdiri di samping kamu dalam menegakkan agama Allah SWT ini."

Ayat ke-53

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu, oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu).

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: "Yang sahihnya maksud Hawari ialah penolong setia berdasarkan pada sabda Nabi SAW ketika peperangan Ahzab yang bermaksud: Sesungguhnya setiap nabi mempunyai Hawari (penolong setia) dan penolong setiaku adalah Zubair".

ii. Ibn Jauzi berkata: "Maksud perkataan orang-orang yang menjadi saksi kepada lima pendapat:

Pertama: Mereka adalah Nabi Muhammad SAW dan umatnya. Inilah pendapat Ikrimah daripada Ibn Abbas.

Kedua: Mereka yang beriman sebelum Nabi Isa a.s dan kaumnya di kalangan yang beriman. Riwayat Ibn Soleh daripada Ibn Abbas.

Ketiga: Mereka adalah nabi-nabi. Inilah pendapat Atha'.

Keempat: Mereka adalah orang yang benar seperti kata Muqatil.

Kelima: Mereka yang menyaksikan nabi-nabi dengan kebenaran. Inilah pendapat al-Zajjaj

iii. Al-Maraghi berkata: "Pernyataan mereka yang mengatakan 'mengikut' sesudah menyatakan beriman adalah menunjukkan keimanan mereka. Telah sampai ke tahap yakin yang meresap ke jiwa dan dicerna dalam bentuk perbuatan kerana ilmu yang benar adalah apabila ia dapat menghasilkan amal.

"Sedangkan ilmu yang tidak menghasilkan amal hanyalah merupakan satu pandangan yang kurang mendatangkan keyakinan dan ketenangan. "Ramai yang menyangka bahawa dia tahu sesuatu, tetapi ketika mempraktikkannya ia tidak dapat melakukannya.

"Hal ini membuktikan bahawa pengakuannya tidak menepati seperti orang yang memiliki ilmu pengetahuan".

iv. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Sayid Qutub memahami kesaksian yang mereka mohon itu adalah tentang pembenaran mereka terhadap agama. Kesaksian bahawa mereka mendukung pegangan yang kukuh serta kebajikan yang dianjurkannya.

"Ia hanya akan berlaku jika akhlak dan tingkah lakunya sebagai cermin agama yang dianutinya. Mereka memohon doa dan petunjuk dari Allah SWT untuk membantu dalam penyebaran agama kepada yang masih tidak beriman kepada Allah SWT".

v. Hamka berkata: "Masukkanlah kami dalam golongan orang-orang yang setia kepada Engkau, Ya Ilahi kerana segenap kehidupan kami ini telah kami sediakan buat Engkau dalam mempertahankan agama-Mu".

Ayat ke-54

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka), dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Di mana mereka yang ada kekufuran telah mewakilkan untuk membunuh Nabi Isa secara tipu daya. Walaupun begitu, Allah SWT menyelamatkannya dengan menyerupakannya kepada orang lain yang akhirnya disalib".

ii. Al-Maraghi berkata: "Bangsa yang diketahui kekufurannya oleh Nabi Isa adalah bangsa Yahudi. Mereka telah membuat tipu daya untuk memujuk seseorang yang akan membunuh Isa secara licik. Sebaliknya Allah SWT juga memperdayakan mereka, iaitu dengan menggagalkan rencana, sehingga keinginan mereka tidak berhasil. Nabi Isa a.s kemudiannya diangkat ke langit lalu digantikan dengan seseorang yang wajahnya mirip dengan Nabi Isa sehinggalah orang ini dibunuh".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata makar dalam bahasa al-Quran adalah mengalihkan pihak lain daripada apa yang dikehendaki dengan cara tersembunyi dan tipu daya. Makar ada dua bahagian. Makar baik dan makar buruk.

iv. Hamka berkata: "Kaum Bani Israel tidak mahu mempercayai akan risalah Nabi Isa lalu membuat suatu perancangan menamatkan riwayat Isa al-Masih.

"Allah SWT lebih mengetahui setiap yang berlaku maka tipu daya kaum Bani Israel telah ditewaskan dengan helah yang lebih sempurna daripada Allah SWT. Nabi Isa a.s terlepas daripada cengkaman bahaya orang-orang Yahudi laknatullah".


Allah berkuasa menjadikan sesuatu

By mfrstudio


Gunung ganang dan keindahan alam sekitar adalah antara bukti kekuasaan Allah.
gambar hiasan.


Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria a.s.

Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab: “Dari Allah, Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”. Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”. Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”. Nabi Zakaria berkata: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya”. Nabi Zakaria berkata lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”. Allah berfirman: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi”. (ali-‘Imran: 37-41) <

Sheikh Sya’rawi berkata: “Selepas kita mengetahui penerimaan yang baik dan penumbuhan maka diceritakan di sini bagaimana ia dipelihara oleh Nabi Zakaria a.s”./div>

Iktibar dan fiqh ayat ke-37:

i. al-Maraghi berkata: "Allah SWT memelihara dan menumbuhkan sehingga keadaannya menjadi baik, sebagaimana Dia memelihara tumbuh-tumbuhan di atas tanah yang baik sesudah tanah itu disediakan untuk dialiri dan dibersihkan daripada tumbuh-tumbuhan perosak.

"Pendidikan ini meliputi pendidikan rohani dan jasmani, jasadnya membesar sehingga badan dan kekuatannya menjadi lebih baik. Sedangkan rohaninya pula berkembang dengan memiliki fikiran yang benar, jiwa yang baik dan mempunyai harga diri".

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Hubungan yang rapat dan akrab antara Maryam dan Allah SWT menunjukkan ada rahsia yang tidak perlu diketahui oleh orang. Ini difahami dari jawapan Maryam yang hanya menjelaskan sumber rezeki itu, yakni Allah SWT dan tidak menjelaskan bagaimana beliau memperolehnya".

iii. Hamka berkata: "Dua kata penting untuk kita jadikan dasar dalam pendidikan anak-anak dalam ayat ini ialah:

A) Keturunan ayah bondanya yang soleh.

B) Kedua: Perhatian kepada yang mengasuh dan mendidik. Mestilah pendidik yang baik kerana ia akan mewarisi setiap kebaikan yang telah disematkan sejak dari kecil lagi. Andainya pendidik itu kurang baik, maka pertumbuhan anak itu akan disemai dengan perlakuan yang tidak menyenangkan.

Iktibar dan fiqh ayat ke-38:

i. Al-Maraghi berkata: "Nabi Zakaria a.s berbicara dengan Maryam seperti yang tersebut di atas. Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya seperti ini.

"Selepas baginda melihat keadaan Maryam yang baik dan luas pengetahuannya tentang Allah SWT, baginda berharap akan mempunyai anak lelaki yang soleh sepertinya, yang merupakan pemberian dan kurnia dari sisi Allah SWT. Apabila melihat anak-anak yang baik, seseorang akan merindui mereka dan menjadi buah harapan agar mempunyai anak seperti mereka".

ii. Hamka berkata: "Melihat Maryam yang membesar dengan sempurna maka dia pun ingin diberi keturunan yang baik pula serupa itu. Demikianlah selalu doanya ketika mengasuh Maryam begitu juga di dalam solat. Sesungguhnya solat itu doa dan doa itu solat".

Iktibar dan fiqh ayat ke-39:

i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud malaikat dengan dua pendapat:

A) Jibril a.s sahaja. Inilah pendapat al-Suddi.

B) Kumpulan malaikat. Inilah pendapat Ibn Jarir.

ii. Al-Maraghi berkata: "Malaikat menyampaikan khabar gembira ini kepada Nabi Zakaria a.s. Yahya yang dimaksudkan ialah bakal puteranya, sebagaimana tersebut dalam surah Maryam ayat 7. Perkataan Yahya ini adalah terjemahan daripada kata Yuhanas. Dalam Kitab Injil Matius disebut: "Dia ini dipanggil dengan nama Yuhanas Ma'madani" dan diberi gelar Ma'madani, kerana menjadi tumpuan orang ramai semasa kehidupannya. Perkataan 'Yahya' dalam bahasa Arab berasal dari perkataan hayat, yang bererti hidup. Jadi, kata ini memberikan kesan bahawa Yahya akan hidup dengan baik mewarisi keutamaan dan kenabian yang telah dimiliki oleh bapa (Zakaria AS) dan keluarga Ya'qub a.s.

iii. Hamka berkata: "Ketika Nabi Zakaria sedang sembahyang dengan penuh khusyuk di mihrab itu datanglah malaikat dan berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggembirakan kau dengan Yahya". Ertinya Tuhan telah mengkabulkan permintaan engkau dengan mengurniakan seorang putera diberi nama Yahya.

Iktibar dan fiqh ayat ke-40:

i. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT menjawab melalui perantaraan malaikat-Nya, Begitulah Allah SWT tetap melakukan apa yang dikehendaki-Nya". Jika Dia menghendaki sesuatu, Dia akan menciptakan sebab yang biasa atau menciptakan sebab yang tidak biasa dikenal.

"Hal itu kerana tidak ada sesuatu yang dapat menghalang kehendak-Nya. Jadi, serahkan sahaja segala urusan kepada Allah SWT dan jangan ditanya caranya kerana engkau tidak akan sanggup mengetahui caranya".

ii. Hamka berkata: "Di sini kita sebutkan salah satu penafsiran makna Kalimah iaitu bahawa kelahiran Nabi Isa a.s tidak dengan perantaraan bapa, melainkan semata-mata dari kehendak Allah SWT. Akan diakui kebenarannya oleh Yahya.

"Ini sesuai dengan kepercayaan orang Kristian bahawa kedatangan Yahya mendahului Isa a.s ialah melapangkan jalan bagi kedatangan Isa al-Masih. Abu Ubaidah, ahli tafsir yang terkenal menafsirkan kalimah yang diakui oleh Yahya itu ialah kitab dan wahyu".

Iktibar dan fiqh ayat ke-41:

i. Al-Maraghi berkata: "Perbanyakkan mengingati Allah SWT pada hari kelapangan bagi menyatakan kesyukuran kepada-Nya dan bertasbihlah pada waktu pagi mahupun petang".

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tandanya bagimu, adalah engkau tidak dapat berbicara dengan manusia dalam persoalan duniawi, atau tidak dapat berbicara sama sekali selama tiga hari kecuali berbicara dengan isyarat yakni tanpa suara dan supaya lebih jelas tanda itu. Allah SWT tidak menjadikan lidahmu bisu atau menghilangkan suaramu sama sekali.

"Engkau tetap dapat bersuara bila yang engkau ucapkan adalah pujian kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, bersyukurlah dan sebutlah nama Tuhanmu sebanyak mungkin dan bertasbihlah dengan menyucikan Tuhan-Mu dari segala kekurangan di waktu pagi dan petang".

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan betapa berkuasa Allah SWT dalam melakukan apa sahaja. Menjadi tuntutan kepada kita untuk berdoa, solat dan berzikir kepada-Nya.

Inilah sifat para Nabi seperti nabi Allah Zakaria yang berteleku di tengah malam di mihrab dan munajat, merintih berdoa serta berzikir di mana akhirnya doa yang sekian lamanya dimakbulkan Allah SWT dengan kurniaan anak yang dinamakan dengan Yahya a.s. Semoga Allah SWT menjadikan kita mengikut sifat golongan solihin. Amin.


Manusia berasal dari Adam

By mfrstudio

Selepas Allah SWT menerangkan bahawa agama yang benar adalah Islam dan tauhid, perselisihan Ahli Kitab tentang agama ini hanya berpunca daripada perasaan dengki dan hasad, kejayaan serta kemenangan berpunca daripada ketaatan kepada Rasulullah SAW. Maka ayat-ayat ini, Allah SWT menjelaskan tentang orang yang paling dicintai dan dimuliakan oleh-Nya serta sebahagian daripada mereka dijadikan Rasul yang berperanan menjelaskan kepada umat manusia akan jalan cinta kepada Allah SWT dengan cara beriman kepada-Nya dan mentaati-Nya serta melakukan perbuatan yang diredai-Nya.

Ayat ke-33

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

Sebab Nuzul

Ibn Jauzi menukilkan dalam kitabnya Zad al-Masir daripada Ibn Abbas berkata: Yahudi mendakwa bahawa mereka adalah anak-anak Ibrahim, Ishak dan Yaakub a.s. Lantas mereka atas agama yang sama. Kemudian turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan bahawa beliau memilih rumah-rumah ini berbanding dengan sekelian penduduk bumi dipilih Adam a.s., diciptakan dengan tangan-Nya, ditiup daripada roh-Nya, malaikat diperintah sujud padanya, diajar segala nama, ditempatkan dalam syurga kemudian diturunkan ke bumi kerana hikmahnya".

ii. Al-Zajjaj berkata: "Maksud memilih dalam ayat ini ialah, Allah menjadikan mereka sesuci-suci makhluk-Nya dan sebaik-baik-Nya".

iii. Dikatakan nama Nabi Allah Nuh as sebagai nama Ajam yang diArabkan. Abu Sulaiman al-Dimashqi berkata: Nama Nuh a.s adalah as-Sakan dan dinamakan Nuh kerana banyak tangisannya dan sebab tangisannya ada lima pendapat:

Pertama: Kerana ia menangis terhadap dirinya. Inilah pendapat Yazid al-Raqashi.

Kedua: Dia menangis kerana dosa- dosa dan maksiat keluarga dan kaumnya.

Ketiga: Kerana permohonannya kepada Tuhannya berkenaan anaknya.

Keempat: Kerana doanya supaya kaumnya dibinasakan.

Kelima: Kerana beliau pernah melalui berhampiran anjing yang terkena penyakit kusta lantas dihinanya.

iv. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT memilih mereka dan menjadikan mereka orang pilihan di atas dunia dengan memberikan pangkat kenabian dan kerasulan kepada mereka.

"Orang pertama yang dipilih dan dimuliakan oleh Allah SWT ialah Nabi Adam AS sebagaimana Allah SWT: Kemudian Tuhan-Nya memilih (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah SWT menerima taubatnya serta diberi petunjuk. ( Terjemahan: surah Taha: 122) Daripada keturunannya, ada yang menjadi Nabi dan Rasul.

v. Maksud keluarga Ibrahim a.s. dengan tiga pendapat:

Pertama: Mereka yang di atas agamanya. Inilah pendapat Ibn Abbas dan al-Hasan.

Kedua: Iaitu Ismail, Ishak, Yaakub dan Asbat. Inilah pendapat Muqatil.

Ketiga: Nabi Allah Ibrahim sendiri.

vi. Maksud Imran dalam ayat ini dengan dua pendapat:

Pertama: Bapa kepada Maryam. Inilah pendapat Hasan dan Wahab.

Kedua: Bapa kepada Musa dan Harun. Inilah pendapat Muqatil

vii. Muhamad Quraish Shihab berkata: "Kata alamin adalah bentuk jamak dari 'alam oleh bahasa demikian juga al-Quran digunakan dalam erti kelompok yang anggotanya dihimpun oleh sekian banyak persamaan, dan yang berakal atau hidup. Kerana itu dikenal dan dinamai alam malaikat, alam manusia, alam jin, alam tumbuh-tumbuhan, tetapi bukan alam batu atau alam gunung".

Ayat ke-34

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: Dimaksudkan dengan perkataan "Sebahagiannya dari yang lain" ialah mereka itu sepadan dan setingkat dalam kebaikan dan keutamaan. Ia sebab mereka menjadi orang yang mulia". Pengertian ini selaras dengan firman Allah SWT: Orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain…(Terjemahan surah al-Taubah: 67).

ii. Hamka berkata: "Menurut undang-undang berfikir secara ilmiah, dapatkah dibatalkan al-Quran, wahyu Ilahi kepada Muhammad SAW yang dicatat lengkap pada waktu Baginda masih hidup, lalu ditulis menjadi satu mushaf di zaman Abu Bakar dan diteruskan pada zaman Usman oleh satu panel yang sangat hebat orang-orangnya. Dengan kesepakatan di antara mereka tidak pernah selama 14 abad satu kalimat pun masuk kata-kata lain ke dalamnya?"

iii. Muhamad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini ditutup dengan menegaskan bahawa Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, termasuk ucapan-ucapan menyangkut tokoh-tokoh yang disebut ayat ini, seperti Nabi Ibrahim a.s adalah orang Yahudi atau Nasrani dan Nabi Isa a.s adalah anak Tuhan dan lain-lain.

Semoga kita dapat mengikuti golongan yang menjadi pilihan Allah SWT seperti para Nabi dan Rasul serta yang mengikut jejak langkah mereka. Amin.


Arahan mentaati Allah

By mfrstudio


ANTARA perintah Allah ialah mencukupkan timbangan dalam perniagaan. – Gambar hiasan


HAMKA berkata: Ayat-ayat ini pun masih berhubungan rapat dengan ayat yang di atasnya. Ia melarang orang yang beriman menghubungkan wilayah dengan orang kafir, jangan mengangkat mereka jadi pelindung atau pemerintah. Kemudian turun ayat ini yang menyatakan cinta sejati hanya kepada Allah SWT dengan mengikut sunah Nabi SAW. Datang ayat yang lebih tegas menyuruh taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kalau kita renungkan pertalian ayat ini satu dengan yang lain, jelaslah orang yang beriman tidak boleh berlunak dan berwilayah dengan orang kafir kecuali dalam keadaan terpaksa.

Ayat ke-31

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Sebab Nuzul

Terdapat beberapa sebab nuzul. Antaranya:

lPertama: Adalah diriwayatkan bahawasanya ayat ini diturunkan ketika Nabi SAW menyeru Ka'ab bin al-Asyraf dan pengikut-pengikutnya dari golongan orang-orang Yahudi supaya beriman, tetapi mereka mengatakan: "Kami anak-anak Allah SWT dan kekasih-Nya".Maka Allah SWT menyuruh Rasul-Nya untuk mengatakan: "Saya ini adalah pesuruh Allah SWT yang menyeru kamu kepada Allah, sekiranya kamu mengasihi Allah SWT ikutlah saya dan patuhilah suruhan saya, nescaya Allah SWT mengasihi pula akan kamu dan reda kepada kamu". Inilah riwayat Abu Salih daripada Ibn Abbas.

lKedua: Diriwayatkan pula, turunnya ayat ini berkatalah Abdullah bin Ubai, seorang ketua kaum Munafiqin: "Muhammad SAW itu menyuruh orang mentaatinya seperti mentaati Allah SWT, dan menyuruh kita mengasihinya pula seperti orang-orang Nasrani mengasihi Nabi Isa a.s." Inilah riwayat daripada Ibn Ishaq daripada Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair dan dipilih oleh Abu Sulaiman al-Dimashqi.

lKetiga: Ibn Jauzi berkata: Bahawa Nabi SAW berdiri di khalayak orang Quraisy sedang mereka menegakkan berhala-berhala mereka dan berkata: "Hai Muhammad sesungguhnya kami sembah berhala ini kerana semata-mata kasih kepad Allah SWT supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah SWT. Lantas turunnya ayat ini. Inilah riwayat al-Dhahaq daripada Ibn Abbas.

lKeempat: Sekumpulan manusia berkata: Sesungguhnya kami cinta kepada Tuhan kami dengan amat sangat dan Allah mahu supaya menjadikan kerana cinta-Nya sebagai ilmu. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Juraij.

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Kathir berkata: "Ayat ini menjadi hakim dan pemutus kepada siapa yang mendakwa cintakan Allah SWT sedangkan tidak mengikut jalan Muhammad SAW dan ia adalah pembohong semata-mata sehingga keseluruhan hidupnya mengikut syariat Muhammadiah dan agama Nabi SAW dalam semua urusannya".

lAl-Maraghi berkata: "Barang siapa yang cinta kepada Allah SWT dengan mentaati-Nya, mendekatkan diri dengan mengikut jejak Nabi-Nya, kerana cara ini dapat membersihkan jiwa dengan perbuatan amal soleh, nescaya dosa yang pernah dilakukan dan segala keburukan akan diampunkan".

lAl-Qusyairi melukiskan cinta manusia kepada Allah SWT atau al-mahabbah sebagai "mementingkan kekasih dari sahabat". Maksudnya, mementingkan hal-hal yang diredai kekasih dalam hal ini Allah SWT. Daripada kepentingan ego, jika kepentingan tersebut bertentangan dengan ketentuan Allah SWT. "Kalau kamu mencintai Allah SWT, maka ikutilah aku nescaya Allah mencintai kamu".

lMuhamad Quraish Shihab berkata: "Adapun cinta Allah kepada hamba-Nya, maka pakar-pakar al-Quran dan sunnah memahami makna cinta Allah SWT sebagai limpahan kebajikan dan anugerah-Nya. Anugerah Allah SWT tidak terbatas. Limpahan kurnia-Nya Dia sesuaikan dengan kadar cinta manusia kepada-Nya. Namun, minimum adalah pengampunan dosa-dosa serta curahan rahmat".

Ayat ke-32

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir".

Sebab Nuzul:

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan sebab nuzul ayat ini:

lPertama: Abdullah bin Ubai pernah berkata kepada sahabatnya: Sesungguhnya Muhammad menjadikan ketaatan kepadanya seperti taat kepada Allah. Dia memerintahkan kita mengasihinya seperti mana golongan Kristian mengasihi Isa bin Maryam. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibn Abbas.

lKedua: Bahawa Nabi SAW mengajak dan berdakwah kepada Yahudi supaya memeluk Islam. Mereka menjawab: Kami adalah anak-anak Allah dan kekasihnya dan kami lebih cinta kepada Allah daripada apa yang kamu seru. Lantas turunnya ayat ini beserta dengan ayat sebelum ini. Ini adalah pendapat Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Kathir berkata: "Ayat ini menunjukkan bahawa menyalahinya daripada cara Nabi Muhammad SAW adalah kufur dan Allah SWT tidak suka siapa yang bersifat seperti ini".

lAl-Maraghi berkata: "Jika mereka tidak menyahut akan seruanmu (Muhammad SAW) kerana telah terpedaya oleh anggapan kononnya mereka adalah anak dan kekasih Allah SWT, maka Allah SWT tidak menyukai orang kafir, yang mengikut hawa nafsu dan tidak menggerakkan akal sihatnya untuk memerhatikan ayat-ayat-Nya dan segala wahyu yang diturunkan kepada Rasul-Nya. Dia turut menyatakan rasa tidak reda kepada mereka. Bahkan, Dia menjauhkan mereka dari tempat qudus-Nya dan kemuliaan-Nya."Mereka akan dimurkai pada suatu ketika. Orang mukmin yang taat kepada Nabi-Nya dan mengikut ajaran-ajaran Tuhan-Nya pasti memperoleh keredaan-Nya".

lHamka berkata: "Taatlah kepada Allah SWT dan ikut jejak Rasul-Nya, nescaya kamu akan yakin bahawa bimbingannya tidak akan membawamu kepada kecelakaan. Apabila kamu telah cinta kepada sesuatu, tentu keinginan kamu adalah keinginan dia. Apatah lagi cinta kepada Allah SWT. Kalau kamu telah cinta kepada Allah SWT, nescaya fana'lah kesukaan dirimu sendiri, lebur ke dalam kesukaan Allah SWT. "Taat kepada Rasul adalah kesinambungan dari ketaatan kepada Allah SWT kerana Rasul diutus untuk menjemput kamu dan menunjukkan jalan serta memimpin perjalanan itu sekali".

lMuhamad Quraish Shihab berkata: "Ayat yang sedang ditafsirkan ini, tidak mengulangi 'perintah taat kepada rasul'. Ini agaknya dimaksudkan untuk menunjukkan bahawa ketaatan serta cinta kepada Allah SWT dibuktikan oleh ketaatan atau cinta kepada Rasulullah SAW kerana perintah Baginda SAW pada hakikatnya sama dengan perintah Allah SWT kerana perintah-perintah Baginda itu bersumber dari Yang Maha Kuasa itu".Semoga kita menjadi hamba-hamba yang cintakan Allah SWT dengan mengikuti sunnah Nabawi dan mentaatinya. Amin.


Allah mengetahui segala isi hati

By mfrstudio

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya. (Ali-Imran: 29-30)

SHEIKH Sya’rawi berkata: “Tiada matlamat kecuali Allah SWT. Justeru, awasilah kamu daripada menipu diri kamu sendiri. Ini kerana akibatnya akan kembali kepada dirinya sendiri.”

Beliau menambah kerana manusia kadang-kadang banyak bersifat menyembunyikan sesuatu seperti gambaran zahir. Walaupun begitu, orang yang beriman sekali-kali tidak akan melakukan demikian. Kenapa? Kerana pengawasan amat jelas berdasarkan ayat ini.

Ayat 29

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Kathir berkata: “Allah SWT mengkhabarkan hamba-hambanya bahawa ia Maha Mengetahui segala perkara rahsia, dalaman dan zahir yang tidak tersembunyi sesuatu darinya. Sedangkan ilmu-Nya merentasi segala keadaan waktu dan zaman. Begitu juga dengan semua tempat.

Seterusnya beliau berkata ayat ini menjadi peringatan kepada hamba-hambanya supaya takut kepada-Nya sahaja dan jangan melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT.

lAl-Qurtubi berkata: “Allahlah yang Maha Mengetahui segala rahsia isi hati manusia dan apa yang disembunyikannya. Begitu juga alam buana ini dari tujuh petala langit dan bumi serta seisinya.

“Bahkan Allah SWT Maha Mengetahui perkara ghaib dan tidak tersembunyi di sisi-Nya sekalipun sebesar zarah. Maha Suci Allah. Tiada Tuhan yang sebenar dan berhak disembah kecuali Dia. Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata.”

lAl-Maraghi berkata: “Allah SWT mengetahui seluruh isi hati kamu, ketika kamu berteman dengan orang kafir kerana kamu mencintai mereka atau kerana kamu takutkan bahaya daripada mereka. Jika perbuatan itu tetap kamu lakukan, lantaran cenderung kepada kekafiran, maka kamu akan memperoleh balasan seksa.

“Jika kamu lakukannya dengan hati yang tetap beriman, kamu akan diampuni dan tidak dihukum kerana sesuatu kejahatan yang tidak merugikan agama mahupun penganutnya. Dia hanya memberi balasan kepada kamu sesuai dengan ilmu-Nya meliputi seluruh langit dan bumi kerana Dialah penciptanya”.

lHamka berkata: “Hanya orang mukmin yang dapat merasai hal yang sedemikian. Kekuasaan Allah SWT sangat luas meliputi langit dan bumi. Kadang-kadang kita bertemu dengan kemenangan walaupun belum nampak pintunya. Kadang-kadang kita menyangka rencana kita berjalan seperti yang dirancang. Tiba-tiba datang kejadian lain yang tidak disangka maka rencana Allah jualah yang berjaya.

“Oleh sebab itu maka seharusnya kita sentiasa mengingati kekuasaan Allah SWT di masa susah ataupun senang.”

lMuhamad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini berpesan kepada yang melakukan taqiyah agar jangan menjadikan taqiyah sebagai dalih untuk meraih kepentingan yang tidak berkaitan dengan akidah.

“Ia berpesan juga kepada mereka yang menjadikan orang-orang kafir sebagai wali, serta kepada orang-orang kafir yang bermaksud jahat atau menyembunyikan kejahatannya terhadap orang-orang yang beriman, pesan-Nya adalah jangan ada di antara kalian yang menduga bahawa rahsia kalian tidak diketahui Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui.”

Ayat 30

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya, (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya).

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman dengan penegasan dan ancaman supaya hamba merasa takut akan azab-Nya dan pada saat yang sama supaya hamba sentiasa berharap dan tidak berputus asa dari rahmat-Nya”.

lAl-Maraghi berkata: “Takutlah kamu kepada kemurkaan Allah SWT dengan jalan memperbanyakkan kebaikan dan meninggalkan perbuatan-perbuatan buruk yang diperlihatkan sebagai baik oleh syaitan kepada kamu. Bertaubatlah kamu kepada Allah SWT, wahai orang yang beriman, semoga kamu berbahagia.”

lHasan al-Basri pernah berkata: “Disebabkan sifat Maha Ampun-Nya, maka Dia mengancam mereka dengan seksa-Nya dan menyerlahkan kesempurnaan ilmu dan kekuasaan-Nya. Jika mereka mengerti dengan sebenar-benarnya akan hakikat pengampunan Allah SWT, nescaya mereka terdorong untuk mencari keredaan-Nya dan menjauhi kemurkaan-Nya.

“Melalui sifat maha Ampun-Nya juga, Dia menjadikan manusia mempunyai naluri yang condong kepada kebaikan dan benci kepada keburukan yang menimpanya. Bekas dosa yang tinggal di dalam hati akan dapat dihapuskan dengan bertaubat dan amal soleh.”

lHamka berkata: “Dengan peringatan hati-hati dan amaran yang agak keras, maka seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT mengakui bahawa kita tidak pernah terlepas dari tilikan Allah SWT. Maka kita berhati-hatilah dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini. Perlu insaf dan menilai diri masing-masing kekurangan dan kelebihan yang ada pada diri sendiri.

“Sentiasalah mengingati detik-detik kematian. Dunia yang hanya sementara haruslah pandai ditimbang tara untuk mengejar akhirat yang kekal abadi”.

lMuhamad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini menggunakan gaya ihtibak, yakni bentuk redaksi yang tidak menyebutkan satu atau beberapa kata pada perenggan yang pertama, kerana kata atau beberapa kata itu telah diisyaratkan pada penggalan yang kedua, demikian pula sebaliknya.

“Pada penggalan pertama, dalam redaksinya tidak terdapat kata-kata “dia ingin kiranya kebaikan itu terus-menerus berada di sisinya, tidak jauh darinya”, kerana pada perenggan berikutnya sudah ada susunan kata yang menyatakan: dia ingin kalau kiranya antara dia dengan kejahatan itu ada jarak yang jauh, demikian juga pada penggalan kedua, dalam redaksi ayat tidak ditemukan kata dihadirkan, kerana kata ini telah disebut pada perenggan sebelumnya”.

Berdasarkan dua ayat di atas, jelas menunjukkan betapa Allah SWT bersifat Maha Mengetahui dan berkuasa atas segala makhluknya. Begitu juga akan wujud pembalasan pada hari akhirat. Justeru sewajarnya manusia berbakti dan taat kepada Allah SWT kerana Dialah yang amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya. Semoga kita termasuk di kalangan hamba-hamba-Nya.