Kerja Yahudi menyesatkan umat Islam

By mfrstudio

SHEIKH Sya’rawi berkata: “Kemudian datang Nabi Isa a.s dengan risalah untuk menjauhkan Bani Israel daripada materialisme yang mengalih kepada iman dengan perkara yang ghaib tetapi risalah Isa a.s ini telah sempurna diubahnya juga oleh Bani Israel.

“Atas dasar inilah manusia lebih aula mengikut manhaj Nabi Ibrahim a.s. Kemudian selepas itu, Allah SWT menjelaskan bagaimana nawaitu ahli kitab suka menyesatkan orang beriman”.

Ayat ke-69

Firman Allah SWT yang bermaksud: Segolongan dari ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).

Sebab Nuzul

Ibn Jauzi berkata: Sebab turunnya ayat ini bahawa golongan Yahudi pernah memperdaya sahabat nabi iaitu Nuaz bin Jabal dan Ammar bin Yasir seraya berkata: “Kamu tinggal agama kamu dan mengikuti agama Muhammad lantas turunnya ayat ini”.

Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan disebut oleh al-Wahidi dalam asbab al-nuzul.

Iktibar dan fiqh ayat:

lIbn Kathir berkata: “Allah menjelaskan betapa sifat hasad Yahudi terhadap orang yang beriman dan cita-cita mereka untuk menyesatkan akhirnya terkena atas mereka sendiri”.

lIbn Jauzi berkata: “Maksud taifah ialah kumpulan atau jemaah yang berhimpun atas satu-satu agama. Ada dua pendapat berkenaan kumpulan ini:

Pertama: Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a.

Kedua: Yahudi dan Kristian. Inilah pendapat Abu Sulaiman Addi Masyki.

lSheikh Abu Zahrah berkata: “Allah kemukakan ayat ini dengan panggilan atau seruan kepada ahli Kitab menyeru mereka supaya beriman dengan menjelaskan kepada mereka dengan sighah istifham ingkari taubikhi (persoalan secara ingkar dan hinaan). Daripada seruan keimanan yang thabit.

lAl-Sonhadji berkata: “Perbuatan menyesatkan orang seperti ini, adalah suatu jenayah yang terkutuk”.

lHamka berkata: “Di zaman Rasulullah SAW, mereka telah cuba menyesatkan kaum yang beriman dengan berbagai usaha, akhirnya mereka telah menuju keruntuhan sendiri dengan perbuatan mereka.

“Di zaman yang seterusnya berulang lagi percubaan mereka hendak menyesatkan kaum Muslimin akan tetapi tanpa disedari mereka telah menyesatkan diri mereka sendiri dan menjadi hina di sisi makhluk yang lain”.

Ayat ke-70

Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai ahli Kitab! mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaran-Nya?

Iktibar dan fiqh ayat:

lAl-Qurtubi berkata: “Dengan sahihnya ayat-ayat yang ada di sisi kamu daripada kitab-kitab kamu. Inilah yang dinukilkan daripada Qatadah dan al-Suddi”.

lMenurut ahli tafsir al-Razi, ayat ini adalah teguran kepada ahli-ahli kitab yang telah melihat di dalam Taurat sendiri tanda-tanda bahawa Nabi Muhammad SAW akan datang pada akhir zaman, menyempurnakan isi kitab Taurat itu.

“Demikian pula keterangan yang dibawa oleh Nabi Isa di dalam Injil. Hanya kerana perasaan hasad dan dendam mereka menidakkan segal kebenaran yang telah termaktub di dalam Taurat dan Injil”.

lMuhammad Quraish Shihab berkata: “Jika demikian itu, latar belakang dari sikap dan tingkah laku mereka, maka pada tempatnya mereka dikecam.

“Wahai ahli Kitab, yakni orang-orang yang seharusnya mengetahui tentang kebenaran.

Mengapa kamu terus menerus dari saat ke saat sebagaimana difahami dari kata takfurun yang menggunakan bentuk mudhari’ (kata kerja masa kini) dan yang akan datang mengingkari ayat-ayat Allah, yakni menutupi kebenaran padahal kamu menyaksikan kebenarannya dengan mengetahuinya secara jelas dan pasti”.

Ayat ke-71

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai ahli Kitab! mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

Iktibar dan fiqh ayat:

lAl-Alusi berkata, ada beberapa pendapat berkenaan dengan maksud ayat ini:

Pertama: Dikehendaki dengan penyelewengan mereka berkenaan dengan kitab Taurat dan Injil. Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Zaid.

Kedua: Mereka menzahirkan Islam dan menyembunyikan sikap nifak. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan Qatadah.

Ketiga: Dikehendaki dengan beriman kepada Musa a.s dan Isa a.s serta kufur dengan Muhammad SAW.

Keempat: Dikehendaki bahawa apa yang mereka mengetahui dalam hati mereka kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW dan mereka mendustakannya.

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata, Allah mendahulukan dengan seruan ahli kitab sebagai tambahan untuk mengherdik dan mereka ini patut diherdik kerana dua perkara dan thabit bagi mereka perkara yang ketiga:

Pertama: Mencampuradukkan kebenaran dan kebatilan.

Kedua: Menyembunyikan kebenaran yang mereka mengetahuinya.

lAl-Maraghi berkata: “Mengapa kamu mencampuradukkan kebenaran yang dibawa oleh para Nabi, yang diterangkan oleh kitab-kitab suci mereka tentang ibadah mereka hanya kepada Allah SWT semata-mata, khabar gembira tentang kedatangan seorang nabi daripada keturunan Nabi Ismail a.s yang mengajar manusia kitab dan hikmah. Berbanding dengan kebatilan yang diajarkan oleh para pendeta dan tokoh agama kamu dengan pentakwilan-pentakwilan yang salah. Lalu kamu jadikan semua itu sebuah agama yang wajib diikuti”.

lHamka berkata: “Seorang orientalis Graf Henry du Castrie, mengakui sebagai hasil penyelidikannya untuk propaganda menimbulkan kebencian kepada Islam dan Nabinya. Sebelum umat Eropah dikerahkan kepada peperangan Salib yang terkenal disiarkan berita-berita bohong, dikatakan bahawa orang Islam adalah penyembah berhala dan nama berhala itu ialah Tarfagant terletak dalam kaabah”.

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa sifat golongan Yahudi atau ahli Kitab sentiasa ingin mengganggu gugat serta memesongkan umat Islam daripada ajaran sebenarnya.

Ya Allah, berilah kami hidayah-Mu dan taufik serta selamatlah kami daripada kesesatan. Amin

No Comment

Post a Comment