Mati syahid besar ganjarannya

By mfrstudio


Orang yang mati syahid memperoleh ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.


AL-MARAGHI berkata: Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT menerangkan tentang orang musyrikin yang menakut-nakutkan orang Islam yang berjihad dengan menyebut akibat-akibat buruk dan boleh terbunuh seperti yang mereka alami di Uhud.

Sedangkan persoalan terbunuh itu merupakan perkara yang tidak disukai oleh orang.

Allah SWT menyusul pula dengan penjelasan bahawa seseorang itu terbunuh kerana sudah ditakdirkan-Nya seperti halnya dengan kematian. Sesiapa yang sudah ditakdirkan mati terbunuh, dia tidak mampu menghindari dan demikianlah sebaliknya. Oleh itu, mereka tidak perlu takut untuk berjihad.

Iktibar dan fiqh ayat ke-169

*Ibnu Kathir berkata: Allah SWT memberitahu mengenai keadaan orang yang mati syahid bahawa mereka itu hanya mati di dunia tetapi roh mereka tetap hidup dan mendapat rezeki di akhirat. Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dan kitab-kitab yang lain telah ditegaskan bahawa ayah Jabir iaitu Abdullah bin Amr bin Haram al-Ansari r.a terbunuh dalam perang Uhud sebagai syahid.

*Menurut riwayat Ibnu Abbas r.a pula, yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, bahawa Raslullah SAW bersabda: "Tatkala kawan-kawanmu telah tewas di Uhud itu, maka roh mereka disimpan oleh Allah SWT di dalam rongga burung hijau. Terbang dan hinggap di sekitar sungai-sungai syurga, makan daripada buah-buahan dan hinggap pada ranting-ranting emas yang tergantung di bawah naungan 'arasy".

*Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu menyangka wahai orang yang mendengar ucapan kaum munafik, iaitu golongan yang mengingkari dan meragukan hari kebangkitan dan mengutamakan dunia dari akhirat, bahawa orang yang mati syahid pada jalan Allah SWT itu telah kehilangan kehidupan dan tidak bererti lagi. Kehidupan yang dinyatakan oleh al-Quran mengenai kaum syuhada adalah kehidupan di alam ghaib, hakikatnya tidak diketahui oleh kita. Sebab itu, kita tidak perlu mengada-adakan cerita di luar batasan wahyu.

lHamka berkata: Iman orang mukmin yang telah teguh, sedia mati mempertahankan agama Allah SWT, sekarang mendapat sambutan dan ketentuan daripada Allah SWT. Orang yang mati dalam peperangan kebenaran itu tidak mati. Mereka tetap hidup dan tetap mendapat rezeki daripada Allah SWT.

*Quraish Shihab berkata: Sekali-kali janganlah engkau wahai Muhammad atau siapapun yang dapat ditujukan kepadanya pesanan ini, mengira apatah lagi menduga keras atau yakin bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah SWT baik dalam perang Uhud itu mahupun selainnya adalah orang yang telah mati. Sekarang ini bahkan mereka itu hidup dengan kehidupan yang berbeza dengan kehidupan kamu. Kerana hidup mereka di sisi Tuhan mereka yang Maha Agung dalam keadaan mereka dianugerahkan rezeki yang sesuai dengan alam tempat mereka kini berada, dan sesuai pula dengan nilai perjuangan mereka dan kebesaran serta kemurahan Allah SWT.

*Al-Sonhaji berkata: Ayat ini diturunkan kepada para syuhada yang gugur di medan perang Badar yang berjumlah 14 orang. Enam daripadanya kaum Muhajirin dan lapan kaum Ansar. Tetapi kebanyakan ahli tafsir mengatakan: Ayat ini ditujukan kepada para syuhada yang terbunuh dalam perang Uhud.

Iktibar dan fiqh ayat ke-170

*Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi dalil besarnya pahala orang yang terbunuh pada jalan Allah SWT dan mendapat syahid sehingga ia dapat mengkifarahkan semua dosa.

*Al-Suddi berkata: Orang yang mati syahid akan didatangkan sebuah kitab yang di dalamnya tercatat, akan datang kepadamu fulan pada hari ini dan akan datang kepadamu fulan pada hari ini. Maka bergembiralah dia atas kedatangannya, sebagaimana penduduk dunia bergembira dengan ketidakhadiran mereka, apabila ia datang.

*Sa'id bin Jubair berkata: Ketika mereka memasuki syurga dan menyaksikan kemuliaan yang disediakan untuk para syuhada, mereka berkata: Seandainya saudara-saudara kami yang masih hidup di dunia mengetahui kemuliaan yang kami saksikan ini, maka apabila ada peluang untuk berperang, nescaya mereka langsung menyambutnya dengan sendiri sehingga mereka mati syahid dan mendapatkan sebagaimana yang kami peroleh daripada kebaikan. Maka Rasulullah memberitahu mengenai keadaan mereka serta kemuliaan yang mereka terima. Dan Allah SWT memberitahu mereka: Sesungguhnya Aku telah menurunkan dan memberitahu Nabimu mengenai keadaan kamu dan apa yang kamu peroleh, maka bergembiralah atas itu.

*Al-Maraghi berkata: Mereka diberi khabar gembira mengenai teman-teman mereka yang keluar berjihad dan terselamat bahawa mereka akan menyusul di belakangnya (mati syahid). Maksud ayat ini ialah mereka akan tetap hidup sesudah mereka, meskipun mereka mendahului teman-temannya.

lHamka berkata: Sukacita sebagaimana yang telah dibayangkan oleh Rasulullah SAW yang sentiasa berkata benar tentang hidup bahagia di dalam syurga itu. Dengan demikian syuhada yang telah merasa bahagia dan gembira dalam hidup yang kekal di sisi Allah, berpesan pula dengan perantaraan ayat ini, sebab Allah sendiri yang berjanji hendak menyampaikan menurut hadis Ibnu Abbas tadi bahawa teman seperjuangan yang tinggal tidak usah takut, tidak usah berdukacita, teruskanlah perjuangan dan janganlah takut tewas di medan jihad. Sebab perpindahan dari hidup yang fana kerana memperjuangkan cita-cita menuju hajat yang kekal hanya dipisahkan oleh maut yang sebentar sahaja. Sesudah itu, di alam lain, di alam syurga jannah al-naim. Tersedialah hidup bahagia dan rezeki yang kekal abadi.

Iktibar dan fiqh ayat ke 171

*Abdurrahman bin Zaid bin Aslam berkata: Ayat ini mengambil orang-orang Mukmin secara keseluruhan baik yang mati sebagai syuhada mahupun tidak. Allah SWT tidak sedikitpun memberitahu kurnia dan pahala yang diberikan kepada para Nabi, maka Allah juga menyebutkan apa yang diberikan-Nya kepada orang yang beriman.

lMuhammad bin Ishaq berkata: Mereka merasa senang hati atas apa yang diperolehi melalui apa yang telah dijanjikan, serta pahala yang besar yang diberikan kepada mereka.

*Al-Maraghi berkata: Maksud nikmat di sini ialah ganjaran pahala yang akan diberikan kepada seseorang sebagai balasan terhadap amalannya. Kurniaan yang dimaksudkan di sini adalah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat lagi patuh kepada-Nya. Ayat ini mengandungi galakan agar berjihad, mendorong agar mencari syahid dan merangsang mereka menambahkan lagi rasa taat serta khabar gembira kepada orang beriman bahawa mereka akan memperolehi kemenangan yang lebih besar.

*Hamka berkata: Mereka itu baik syuhada yang telah pergi terlebih dahulu atau yang mengikuti jejak mereka, meneruskan perjuangan, sehingga ada pula yang syahid, hanya di dunia ini mungkin agak bimbang kerana tarikan kehidupan dunia, tetapi bila mereka bertemu dengan syurga, bertemulah keadaan yang sama sekali tidak disangka. Kebahagiaan abadi, nikmat dan kurnia yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengari oleh telinga, dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia ketika hidup didunia. Kerana memang ganjaran untuk orang yang beriman itu tidak disia-siakan oleh Allah SWT.

*Quraish Shihab berkata: Setelah dalam ayat yang lalu dijelaskan tentang kegembiraan para pahlawan yang gugur di jalan Allah SWT atas kurniaan yang mereka dapat dan akan didapatkan oleh teman-teman seangkatan dengan mereka. Maka sekali lagi dalam ayat ini mengulangi pernyataan yang lalu untuk memberi isyarat bahawa apa yang mereka perolehi itu, adalah semata-mata anugerah daripada Allah SWT. Mereka bergembira dengan nikmat dan kurniaan yang besar daripada Allah SWT dan Allah SWT tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman sama ada mereka yang gugur di Uhud atau selainnya. Bahkan yang gugur mahupun yang meninggal secara normal.

Iktibar dan fiqh ayat ke-172

*Al-Qurtubi berkata: Ayat ini dikatakan diturunkan kepada dua lelaki di kalangan Bani Asy'al dan seorang bertongkat atas sahabatnya untuk meneruskan perjuangan menentang golongan musyrikin.

lMuhammad bin Ishaq berkata: Peristiwa perang Uhud itu terjadi pada hari Sabtu pertengahan bulan Syawal. Dan pada keesokan harinya iaitu hari Ahad, penyeru Rasulullah SAW menyeru kepada khalayak untuk mengejar musuh. Selain itu, penyeru itu juga menyerukan agar tidak seorang pun keluar bersama mereka kecuali mereka yang hadir dalam perang Uhud. Kemudian Jabir bin Abdullah bin Amr bin Haram memberitahu kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, ayahku mengamanahkan kepadaku untuk menjaga saudara-saudara perempuanku seramai tujuh orang, dan ayahku berkata: Hai anakku, tidak seharusnya aku dan engkau meninggalkan para wanita bersendirian tanpa adanya seorang lelaki di tengah-tengah mereka, dan kau bukanlah orang yang mengutamakanmu untuk berjihad bersama Rasulullah SAW atas diriku sendiri. Tinggallah bersama saudara perempuanmu. Maka aku tinggal bersama mereka". Maka Rasulullah SAW membenarkannya dan akhirnya ia berangkat bersama beliau. Beliau keluar dengan maksud untuk menakut-nakutkan musuh dan menyampaikan kepada mereka bahawa beliau keluar dengan maksud mencari mereka, agar dengan cara itu mereka menduga beliau masih mempunyai kekuatan dan apa yang menimpa beliau bersama sahabatnya tidak menyebabkan mereka menjadi gentar menghadapi musuh.

*Al-Maraghi berkata: Orang mukmin adalah orang yang menerima segala seruan Allah SWT menjawab panggilan-Nya dan melaksanakan setiap perbuatan dengan sebaik-baik mungkin serta takut menghadapi dosa kerana kelemahan mereka. Ini kerana sewaktu dalam perang Uhud mereka telah menyebabkan Nabi SAW mendapat luka dan menanggung penderitaan. Mereka akan mendapat ganjaran pahala yang besar kerana mereka telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

*Hamka berkata: Ayat ini sebagai lanjutan ayat yang sebelumnya iaitu pujian kepada orang-orang yang beriman itu yang bergembira dengan nikmat kurniaan Allah SWT dan janji Allah SWT. Bahawa Dia tidak akan mensia-siakan ganjaran bagi mereka. Kemudian diberikan pujian istimewa kepada seluruh angkatan perang yang menyertai peperangan Uhud. Sebagaimana yang diketahui, selepas selesai perang, mereka kembali ke Madinah. Mereka kembali sesudah meninggalkan kawan-kawan yang syahid di medan Uhud seramai 70 orang itu dan yang pulang itu ramai di kalangan mereka yang tercedera. Abul Rahman bin Auf menderita luka-luka hingga 20 liang luka di badannya. Tetapi hanya satu malam sahaja mereka dapat berehat di rumah dengan badan yang penat. Sedangkan esok paginya, penyeru perang telah menyorakkan perintah Rasulullah SAW supaya segera berangkat mengejar musuh musyrikin di bawah pimpinan Abu Sufyan itu. Penyeru perang menyampaikan perintah bahawa yang boleh ikut hanyalah mereka yang menyertai perang Uhud sahaja. Yang lain tidak perlu ikut. Maka diujilah mereka dalam ayat ini kerana mereka telah menyambut seruan Allah SWT dan Rasul, padahal mereka dalam keadaan yang parah. Hal ini tidak akan terjadi jika bukan kerana semangat iman yang berkobar-kobar. Dan dalam penilaian terhadap ilmu perang, ini adalah satu taktik perang yang amat tinggi. Sebab di dalam suatu peperangan, semangat yang tinggi dalam menghadapi musuh, adalah syarat yang mutlak. Selain mengangkat senjata terhadap musuh. Hendaklah diikhtiarkan pula berbagai-bagai cara untuk meruntuhkan semangat mereka.

Kesimpulan

Ayat ini mengajar kita supaya sentiasa bergantung kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya kerana Dialah sebaik-baik pelindung.


No Comment

Post a Comment