22 June 2011

Teguran Allah untuk manusia lalai

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah. Dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya). Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi.

Maka ia menerbangkan debu. Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh. Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya. Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta. Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur. Dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada. Sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka. (al-‘Adiyat: 1-11)

Surah di atas termasuk dalam kategori surah Makkiyyah. Inilah pendapat Ibn Mas’ud, Jabir, al-Hasan, Ikrimah dan Ata’.

Sedangkkan mengikut pendapat Ibn Abbas, Anas bin Malik, Qatadah dan Muqatil bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Surah ini mengandungi 11 ayat dan diturunkan selepas surah al-Asr.

Hubungan surah ini dengan surah al-Zalzalah adalah: Surah yang terdahulu diterangkan pemberian balasan baik dan balasan buruk.

Dalam surah ini pula Allah SWT mengherdik orang yang mengutamakan kehidupan dunia berbanding dengan kehidupan akhirat tanpa mempersiapkan diri untuk kehidupan mereka yang kedua dengan melatih dirinya melakukan perbuatan yang baik.

Tafsiran Ayat

Firman Allah SWT: Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah. Dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya). Dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi. Maka ia menerbangkan debu. Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.

Berkenaan dengan ayat yang pertama ini yang berlari kencang itu ada dua pendapat:

i. Unta-unta yang menuju ke Mekah semasa haji. Inilah pendapat Ali, Ibn Mas'ud, Ubaid bin Umair, al-Kurazi dan al-Suddi.

ii. Kuda yang berperang fi sabilillah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Hasan, Ata’, Mujahid, Abu al’Aliyah, Ikrimah, Qatadah, Atiyah, al-Rabi dan ahli bahasa.

Sayid Qutub berkata: Allah SWT bersumpah dengan kuda-kuda perang dan menggambarkan pergerakannya satu persatu bermula daripada lariannya yang pantas dengan suara nafasnya yang mendengus kencang dan dengan hentakan tapak kakinya yang mengeluarkan bunga-bunga api.

Kemudian menggempur musuh dengan serangan kilat di waktu pagi dalam kepulan-kepulan debu menyebabkan barisan musuh kacau bilau dan hiruk pikuk. Itulah langkah-langkah pertempuran biasa yang lumrah dialami oleh orang-orang Arab yang mula-mula ditujukan al-Quran ini kepada mereka.

Sumpahan Allah SWT dengan kuda-kuda perang dalam bentuk itu membayangkan betapa kasihnya Allah SWT kepada gerakan dan kegiatan kuda-kuda perang itu dan betapa tinggi nilainya di sisi Allah.

Selain itu, di sana terdapat keselarasan di antara pemandangan kuda-kuda dengan pemandangan sifat-sifat jiwa yang dijadikan objek sumpah dan ulasan sebagaimana telah diterangkan sebelum ini.

Yang menjadi objek sumpah Allah SWT ialah hakikat jiwa manusia yang kosong dari dorongan-dorongan iman, iaitu satu hakikat yang dibangkitkan oleh al-Quran untuk menyedarkan manusia agar ia mengerahkan seluruh azam dan kemahuannya menentang hakikat hati yang kosong itu. Ini kerana Allah mengetahui hakikat itu mempunyai pertalian yang mendalam dalam hatinya dan mempunyai kesan amat kuat mempengaruhi puaknya.

No comments:

Post a Comment