Allah tidak mungkir janji

By mfrstudio

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya,

sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu, dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman. (Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan. Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dialah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkan-Nya)". Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu), dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (ali-'Imran: 152-155)

Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah mengotakan janji-Nya kepadamu, iaitu janji yang disampaikan melalui rasul-Nya kemenangan menewaskan musuh ketika kamu dapat menumpaskan mereka melalui bantuan dan pertolongan Allah SWT. Rasulullah SAW sudah pasti menjanjikan kepada mereka pada saat itu (Perang Uhud), sekiranya mereka mematuhi perintahnya.

Hanya Allah SWT yang memiliki segala kurniaan dan bersifat pemurah terhadap mereka yang beriman kepada-Nya dan juga kepada rasul-Nya. Perbuatan mereka banyak yang diampuni meskipun wajar dikenakan pengajaran dan hukuman.

Ini kerana perbuatan mereka menimbulkan kerugian kepada jiwa orang lain dan meninggalkan kesan yang negatif akan tetapi Allah SWT telah membersihkan hati mereka, sehingga mereka menjadi orang yang ikhlas, taat, lagi pasrah dengan sepenuh hati.

Sebab Nuzul ayat ke-152

Al-Wahidi dari Muhammad bin Ka'ab, katanya: Ketika Rasulullah SAW kembali ke Madinah, setelah mengalami apa yang dialaminya dalam perang Uhud, berkatalah sahabat-sahabatnya sesama mereka: Dari mana kita terima malapetaka yang seperti ini padahal Allah ada menjanjikan kita kemenangan?

Kata-kata mereka tersebut telah mendapat jawapan dengan turunnya ayat ini yang maksudnya seperti berikut: "Allah telah menepati janji-Nya kepada kamu yang dijanjikan-Nya dengan perantaraan utusan-Nya Muhammad SAW janji untuk mengalahkan musuh, iaitu ketika kamu memerangi musuh habis-habisan dengan kemudahan dan pertolongan Allah serta keizinan-Nya dapat kamu kalahkan musuh sekiranya kemu mematuhi perintah Rasul atau utusan Allah tersebut".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Suddi mengatakan dari Abdul Khair dari Ali bin Abdillah bin Mas'ud ia berkata: Aku tidak menyangka bila ada seseorang dari sahabat Rasulullah SAW yang menghendaki dunia. Sehingga turun kepada kami ayat yang menceritakan tentang perang Uhud.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan ada di antara kamu juga orang yang menghendaki akhirat.

ii. Hamka berkata: Yang dituju oleh ayat ini, ialah pasukan pemanah yang berada di lereng bukit, yang lemah hati sehingga timbul perbantahan antara yang hendak meninggalkan penjagaan kerana memburu rampasan dengan yang setia mengikut perintah Rasulullah SAW supaya tetap di tempat walau apa pun yang terjadi.

Maka ayat ini memberi peringatan kepada setiap pejuang menegakkan jalan Allah SW agar membetulkan niat sejak mula berjuang sehingga selesai perjuangannya.

iii. Quraish Shihab berkata: Ayat ini mengingatkan bahawa Allah SWT telah memenuhi janji-Nya kepada kamu seperti ketika berkecamuknya perang Badar, dan pada saat-saat awal perang Uhud.

Perlindungan itu dianugerahkan-Nya ketika kamu mengikuti tuntutan Allah SWT dan Rasul SAW. Perlindungan iu berterusan sehingga sampai pada saat kamu lemah, iaitu takut atau lemah dalam mengambil keputusan sehingga mendahulukan meraih kenikmatan duniawi/harta rampasan perang atas ketaatan kepada Rasul dan berselisih dalam urusan itu, masing-masing ingin mendahului yang lain untuk meraihnya, serta mempertahankan posisi kamu walau apa pun yang terjadi.

Namun demikian, perbaiki dan tingkatkan kualiti keimanan kamu dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah SWT telah memaafkan kesalahan kamu, dalam perang Uhud itu di atas kemurahan-Nya semata-mata, setelah Dia mengetahui penyesalan kamu. Dan Allah SWT mempunyai kurniaan yang banyak atas orang-orang mukmin.

iv. Al-Sonhaji berkata: Di antara pertengkaran itu kerana ada yang berkata: Tak payahlah kita bertahan di sini lagi, kerana musuh sudah dikalahkan. Dan setengahnya pula berkata: Janganlah kita melanggar perintah Rasulullah SAW atau menderhakai pemimpin pasukan kita.

Namun kebanyakan mereka melanggar perintah tersebut, maka ketika itu juga terhentilah pertolongan Allah dan terputuslah bantuan-Nya.

Ini kerana Allah menjamin akan menjanjikan pertolongan-Nya hanya dengan dua syarat sahaja. Pertama: takwa dan kedua: sabar di dalam ketaatan.

Dengan adanya kedua syarat inilah yang dapat mengekalkan adanya pertolongan Allah SWT

Iktibar dan fiqh ayat ke-153

i. Menurut Ibn Jarir, pendapat yang paling tepat kebenarannya adalah pendapat yang mengatakan bahawa maksud firman Allah SWT yang bermaksud: "Kerana itu Allah SWT menimpakan ke atasmu kesedihan atas kesedihan".

Maka Allah menimpakan terhadap kegembiraan kamu hai orang-orang yang beriman dengan diharamkannya ghanimah orang-orang musyrik kepada kamu dan diharamkannya kemenangan dan pertolongan terhadap mereka.

Dan musibah yang menimpa kamu, terbunuh dan lukanya pada hari itu terjadi setelah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai dengan sebab derhaka kamu akan perintah Rabb. Juga keingkaran kamu terhadap perintah Nabi kamu, juga kesedihan kerana prasangka kamu bahawa Nabi kamu telah dibunuh di samping desakan musuh terhadap kamu dan posisi mereka yang lebih tinggi terhadap kamu.

Ayat ini boleh difahamkan bahawa Allah SWT menimpakan kesedihan kepada kamu sebagai lanjutan daripada kesedihan yang sebelumnya, Rasulullah SAW hampir dibunuh akibat beberapa luka yang dialami.

Orang musyrik pula meraikan kemenangan sehingga kamu diserang perasaan gelisah serta saling menyalahkan antara satu sama lain. Situasi ini menyebabkan kamu terlepas harta rampasan yang menjadikan sifat tamak itu hilang sama sekali.

ii. Hamka berkata: Ayat ini merupakan peringatan kepada mereka yang lari tatkala melihat kaum musyrikin telah maju kembali; melihat 70 syuhada telah bergelimpangan, sehingga Nabi SAW sendiri dan beberapa orang yang setia mengawal Baginda, telah mereka tinggalkan. Sedangkan antara yang mengawal itu ada juga perempuan.

Ketika mereka lari, Nabi SAW menyeru kepada mereka: "Jangan lari wahai hamba Allah! Aku adalah Rasulullah. Siapa yang kembali, syurgalah untuk dia". Tetapi yang lari itu, terus lari juga tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan dan mereka tidak mempedulikan lagi panggilan Nabi SAW.

Pada hujung ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT amat mengetahui apa jua pun yang kamu kerjakan, besar sekali kesannya kepada jiwa mukmin. Ayat ini akan menghilangkan kecurangan dan penipuan kepada diri sendiri sebagai gejala mental yang mulai lemah.

iii. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menggambarkan sekelumit kesalahan yang mereka lakukan dimaafkan oleh Allah SWT. Mereka diperintahkan untuk mengingatkan perintah itu.

Ingatlah, ketika sebahagian besar kamu lari menyelamatkan diri menuju ke kota Madinah, ataupun lari meninggalkan medan pertempuran, dan ketika itu mereka lari tanpa menoleh seseorang pun akibat rasa takut dan keinginan menyelamatkan diri sedangkan Rasul pada ketika itu masih lagi bertahan di medan pertempuran.

iv. Al-Sonhaji berkata: Allah menyuruh mengingati kembali peristiwa yang berlaku dalam peperangan Uhud itu, iaitu pada ketika mereka melarikan diri ataupun naik ke atas gunung kerana dihambat musuh, dengan tidak menoleh lagi kepada sahabat, maka pada waktu itulah Rasulullah SAW memanggil mereka dari belakang dengan seruan: "Kemarilah wahai hamba Allah, saya Rasulullah, siapa yang balik ke mari akan memperolehi syurga"!

Itulah seruan supaya meneruskan perjuangan dan mematuhi kembali akan perintahnya.

Iktibar dan fiqh ayat ke-154:

i. Ibn Kathir berkata: Demikianlah golongan orang-orang munafik tersebut, ketika orang-orang musyrik keluar pada saat itu, mereka terlalu yakin bahawa saat itu merupakan kemenangan bagi mereka, sedangkan Islam beserta pemeluknya telah binasa.

Itulah keadaan orang-orang yang diresapi rasa ragu-ragu jika mereka menghadapi masalah dan mereka mempunyai sangkaan yang buruk.

ii. Dari al-Zubair r.a katanya: Saya melihat dari saya bersama-sama Rasulullah SAW pada waktu itu kami sedang mengalami ketakutan yang amat sangat. Tiba-tiba Allah SWT menurunkan perasaan mengantuk kepada kami.

Demi Allah benar-benar saya ada terdengar kata-kata Mu'attib bin Qusyair pada ketika itu saya sedang mengantuk seolah-olah bermimpi dia sedang berkata: Kalau urusan pertolongan dari Allah itu ada pada kita, masakan kita terbunuh di sini.

iii. Dari Abu Talhah diceritakan: "Kami diserang oleh perasaan mengantuk yang teramat sangat pada saat kami bersiap sedia dengan senjata (memakai pedang) sehingga ada antara kami pedangnya jatuh lalu diambilnya lagi, masih lagi terjatuh. Begitulah gambaran yang dapat dijelaskan dalam perkara ini".

iv. Al-Zubair berkata: "Aku sendiri pernah bersama Rasulullah menyaksikan keadaan kami sewaktu dilanda ketakutan yang amat sangat. Lalu Allah SWT menurunkan perasaan mengantuk kepada kami.

Demi Allah aku masih mendengar suara Mu'attib Ibn Qushair, padahal kami dalam keadaan mengantuk. Aku mendengar suaranya bagaikan dalam mimpi.

Ketika itu Mu'attib berkata: "Sekiranya kami tidak mengambil bahagian dalam perang ini, nescaya kami tidak akan berperang di sini".

v. Hamka berkata: Setelah puncak ketegangan itu terlepas, kaum muslimin telah dapat mengumpulkan kekuatan kembali, berkumpul sekeliling Rasulullah SAW sudah nyata bahawa Rasul SAW tidak tewas sebagaimana yang disiarkan oleh pihak Quraisy.

Segala rasa cemas pun hilanglah dan bersedia kembali menghadapi segala kemungkinan, sekalipun akan meneruskan perang, jika Quraisy menyerang, kerana bangga akan kemenangan mereka. Kerana hati telah bulat kembali, maka ada antara mereka yang mengantuk lalu tertidur. Mengantuk dan tertidur datang, tandanya hati telah tenteram.

vi. Quraish Shihab berkata: Salah satu bentuk sangkaan jahiliah yang boleh jadi terdetik di dalam benak mereka yang terlibat dalam perang Uhud adalah dugaan bahawa kemenangan akan diperolehi tanpa usaha, cukup dengan nama Islam yang mereka sandang dan agama yang benar, pasti menang walau tidak diperjuangkan. Atau bahawa kemenangan pasti diraih kerana seorang mnusia agung seperti Muhammad SAW berada bersama mereka.

Ini semua adalah jenis-jenis sangkaan jahiliah yang mengabaikan prinsip-prinsip sunnatullah, prinsip sebab dan akibat. Bahkan melupakan bahawa bantuan Allah SWT akan hadir jika upaya manusia telah tercurah, itupun dengan syarat ketabahan dan ketakwaan.

Iktibar dan fiqh ayat ke-155:

i. Al-Qurtubi berkata: Dikehendaki siapa yang berpaling di kalangan orang musyrikin pada hari peperangan Uhud.

ii. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengisyaratkan bahawa salah satu daripada peraturan yang menyentuh akhlak dan tingkah laku manusia. Malapetaka yang menimpa diri mereka khususnya dan masyarakat umumnya hanyalah sebahagian kesan tabii (yang berpunca daripada sebahagian mereka.

Ia juga bermaksud agar manusia menghilangkan perasaan putus asa dalam diri mereka serta memberikan harapan baik terhadap sangkaan mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan mengampuni semua dosa sama ada kecil atau besar apabila mereka bertaubat dan memohon keampunan.

iii. Hamka berkata: Di dalam ayat ini disebutkan, bahawa pertempuran di Bukit Uhud itu disebut di dalam ayat 41 surah al-Anfal, pertempuran angkatan perang Islam dengan musyrikin di padang Badar, yang jua disebut pertempuran antara dua angkatan.

Angkatan yang pertama memperjuangkan hak dan kebenaran yang pimpin oleh Rasulullah SAW, manakala angkatan yang kedua mempertahankan yang batil yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Maka ayat ini memberi peringatan, jika ada dari kalangan tentera Islam yang berpaling daripada tugasnya, maka mereka telah diperosok ke dalam kekalahan kerana menurut hawa nafsu yang menginginkan harta rampasan perang.

iv. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini ditujukan kepada pasukan kaum Muslimin dalam peperangan Uhud yang telah tewas di serang musuh, mereka lari lintang pukang meninggalkan Baginda SAW.

Pada saat itu Baginda hanya dipertahankan oleh sebilangan kecil daripada tentera-tentera Islam yang seramai 13 orang, lima daripadanya Muhajirin dan selebihnya daripada Ansar.

Mereka yang meninggalkan Nabi SAW itu telah digelarkan sebagai orang yang berpaling, kerana meninggalkan Nabi SAW dan pertahanan mereka disebabkan oleh pujukan syaitan yang menggelincirkan mereka untuk berbuat dosa dan menyalahi perintah Nabi SAW. Setengah dari mereka tidak berani menemui Nabi SAW kerana merasa dirinya telah bersalah.

Ada yang sampai tiga hari baru menemui Baginda dan ada pula hari itu juga telah datang menemui Baginda yang masih berada di Gunung Uhud seperti Saidina Umar al-Khattab r.a.

Sebenarnya, apa yang telah mereka lakukan pada hari itu sepatutnya mendapat hukuman di dunia dan di akhirat. Tetapi kemudiannya, Allah SWT telah mengampunkan dosa mereka sama ada yang besar mahupun yang kecil dan tidak menyegerakan seksaan-Nya ke atas orang-orang yang telah berdosa.

Semoga Allah SWT tetapkan hati kita dalam keimanan dan dijauhkan dari tipu daya syaitan. Amin.


Allah pelindung orang beriman

By mfrstudio

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Adalah peperangan Uhud mempunyai banyak pengajaran dan memberi kesan mendalam ke dalam hati golongan yang beriman. Begitu juga menjadi pembeza dengan golongan yang syak wasangka.

Justeru, al-Quran menjadikan ini sebagai pengajaran untuk memberi peringatan kepada mujahidin apa yang sepatutnya dilakukan dalam semua situasi dan peperangan.

Begitu juga mengingatkan mereka bahawa kejayaan dalam amalan apa jua bentuk pun hendaklah diasaskan dengan penyusunan dan disiplin serta pembahagian tugas mengikut kepakaran masing-masing yang sudah pasti menatijahkan keputusan yang baik.

Ayat ke-149

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengingatkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar tidak mentaati orang-orang kafir dan orang-orang munafik, kerana ketaatan kepada mereka akan menyebabkan kebinasaan di dunia dan akhirat.

Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Jika kamu mentaati orang-orang kafir, nescaya mereka mengembalikanmu ke belakang (kepada kekafiran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.

ii. Al-Qurtubi berkata: Apabila Allah SWT memerintahkan supaya mengikut sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan Ansar terhadap Nabi-nabi, maka diberi peringatan supaya tidak menghormati golongan yang kafir iaitu musyrikin Arab seperti Abu Sufyan dan sahabat-sahabatnya ketika itu.

iii. Al-Maraghi berkata: Jika kamu mentaati golongan yang mengingkari kenabian Muhammad SAW, dan menerima pendapat mereka serta meminta nasihat daripada mereka lantaran kamu menganggap mereka sebagai penasihat kamu, nescaya kamu akan dilabelkan sebagai orang murtad setelah beriman kepada Allah SWT dan ayat-ayat-Nya.

Bahkan kamu akan dikembalikan kepada agama asal, sehingga kamu mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kerugian di dunia ialah kamu berada di bawah kekuasaan mereka, dihina dalam lingkungan mereka, dan kamu tidak akan memperoleh sebarang kebahagiaan dan kekuasaan di bumi seperti yang dijanjikan Allah kepada golongan yang beriman dengan keamanan yang sejati.

iv. Hamka berkata: Ayat ini adalah teguran kepada yang lemah atau tergoncang perasaan melihat pihak Islam telah terdesak.

Adapun dalam pimpinan tertinggi, Nabi SAW dengan sahabat-sahabat yang lain termasuk Abu Bakar, Umar, Ali, Saad bin Ubadah, Abu Ubaidah dan lain-lain sekali-kali tidak mengaku tunduk kepada musuh. Bahkan ada lagi beberapa orang perempuan yang ikut berperang dengan penuh semangat.

v. Quraish Shihab berkata: Ayat ini memperingatkan mereka agar jangan mengikut orang-orang kafir, kerana hal tersebut akan mengakibatkan kegagalan.

Jika kamu menunduk dan taat serta meminta perlindungan kepada orang-orang kafir termasuk orang munafik baik yang memerangi kamu di Uhud ataupun selain mereka, baik saat atau beberapa saat ketika malapetaka Uhud menimpa kamu mahupun selepas itu, jangan kamu tunduk kepada mereka dan menerima saranan daripada mereka yang bertentangan dengan tuntutan Alah SWT dan Nabi SAW.

vi. Al-Sonhaji berkata: Yang dimaksudkan orang-orang kafir dalam ayat ini ialah mengikut sesetengah ulama seperti Abu Sufyan yang terkenal sebagai ketua pembuat fitnah.

Menurut sesetengah ulama yang lain ialah orang Yahudi dan Nasrani dan ada pula yang mengatakan iaitu Abdullah bin Ubai bersama sahabat-sahabatnya dari golongan orang-orang munafik yang terkenal sebagai penghasut orang-orang mukmin yang lemah imannya.

Ayat ke-150

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dialah sebaik-baik penolong.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu bandingkan kekuasaan Abu Sufian dengan pengikutnya dan kekuasaan Abdullah Ibn Ubai dengan kelompoknya.

Janganlah kamu terpedaya oleh kesesatan mereka. Mereka tidak akan sanggup menolong kamu. Hanya Allah SWT yang berkuasa menolong kamu melalui bimbingan-Nya yang telah dijanjikan kepada kamu.

ii. Hamka berkata: Setelah selesai peperangan, maka bergelimpanganlah mayat para syuhada. Abu Sufyan berdiri di puncak sebuah bukit dan bersorak memanggil nama-nama pahlawan Islam yang disangka telah tewas.

Dipanggilnya Abu Bakar, kemudian Umar. Jika tidak menjawab, tentu pengikutnya gembira kerana mereka menyangka Abu Bakar dan Umar telah mati. Tetapi Umar al-Khattab tidak tahan mendengarnya, lalu disahutinya: "Kami semuanya masih hidup".

Akhirnya Sufyan membanggakan lambang perjuangannya: "Kami mempunyai Uzza dan tidak ada Uzza padamu". Mendengar itu, Rasulullah SAW menyuruh Umar menyahut: "Pelindung kami adalah Allah dan tidak ada pelindung bagi kamu".

Abu Sufyan terdiam sebab Uzza itu hanyalah berhala yang mereka lindungi, sebab itulah mereka banggakan. Sedangkan mereka memerangi Allah SWT kerana mempertahankan Uzza. Penangkisan Umar atas sorak Abu Sufyan inilah dikuatkan oleh ayat ini.

iii. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menunjukkan bahawa boleh jadi ada penolong selain-Nya, tetapi sesiapa pun mereka, tidak memiliki kemampuan dari dirinya sendiri. Kemampuan memberi bantuan hanyalah datang daripada Allah SWT.

Bahkan jika penolong itu adalah orang-orang kafir, akan mengakibatkan kerugian dan kekecewaan di masa akan datang.

iv. Al-Sonhaji berkata: Jangan kamu fikir orang-orang seperti Abu Sufyan dengan kumpulannya dan Abdullah bin Ubai dengan sahabat-sahabatnya yang menggoda kamu itu dapat memberikan pimpinan. Tidak akan dapat mereka menolongmu.

Hanya Allah SWT jua yang menolong kamu dengan pimpinan-Nya dan pemeliharaan-Nya dan Dialah sebaik-baik Penolong.

Ayat ke-151

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Qurtubi berkata: Perkataan sultan memberi maksud hujah, bukti dan penerangan. Justeru, dikatakan kepada pemerintah itu sultan kerana ia menjadi hujah Allah di muka bumi. Antara maksud sultan di mana ia diberi cahaya dengannya dalam menegakkan kebenaran dan membasmi kebatilan.

ii. Al-Maraghi berkata: Kandungan ayat ini membatalkan amalan syirik, kesannya yang amat jelik terhadap jiwa.

Perbuatan syirik akan menyebabkan seseorang itu mempunyai jiwa yang pengecut kerana kepercayaan terhadap beberapa makhluk yang mempunyai kuasa ghaib, dan berada di sebalik perjalanan peraturan ilahi dan hukum sebab akibat.

Ringkasnya, watak orang musyrik apabila berhadapan dengan kamu wahai orang yang beriman, hati mereka akan cepat gundah, penuh dengan perasaan takut terhadap kamu.

Oleh yang demikian, kamu janganlah berasa takut kepada mereka. Jangan sesekali mempedulikan mereka dan menjadi teman mereka.

iii. Hamka berkata: Meskipun mereka telah berhasil dapat menewaskan 70 orang yang beriman, antaranya pahlawan yang gagah berani kebanggaan Islam iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, namun kemenangan itu tidaklah menambahkan keberanian mereka, tetapi mereka kian merasa takut.

Apatah lagi apabila diseru oleh Umar dengan suruhan Rasulullah SAW perkataan, "bahawa pelindung kami adalah Allah. Sedangkan kamu tidak mempunyai sebarang pelindung". Hal ini meninggalkan kesan kengerian di hati mereka.

iv. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menjelaskan salah satu bentuk pertolongan dan perlindungan Allah SWT.

Ayat ini memberi maksud akan dicampakkan dengan keras sehingga menggoncang hati orang-orang kafir yang tidak takut kepada Allah SWT dan melanggar perintah serta mengabaikan larangan-Nya.

Selain itu akan rasa takut untuk menyerang kaum muslimin, antara lain disebabkan mereka menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Bahkan banyak sekali keterangan membuktikan keesaan-Nya.

v. Al-Sonhaji berkata: Sebenarnya rasa takut yang menyelubungi hati orang-orang yang kufur (kafir) itu adalah disebabkan mereka menyekutukan Allah dengan sesuatu.

Mereka tiada mendapat apa-apa hujah atau bukti yang diturutkan oleh Allah kepada mereka iaitu hujah yang mempunyai daya kekuatan untuk menolak perkara-perkara yang batil dan salah. Disebabkan tidak adanya hujah-hujah dan bukti inilah hati mereka sentiasa diselubungi rasa khuatir dan ketakutan.

Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan betapa orang Islam mesti menolak bentuk kekufuran dan meletakkan tawakal kepada Allah SWT. Semoga Allah selamatkan kita daripada gaung api neraka. Amin.


Nabi ketuai Perang Uhud

By mfrstudio

Al-Qurtubi berkata: "Imam al-Zuhri menyebut bahawa syaitan bertempik pada hari peperangan Uhud dengan meuar-uarkan bahawa Muhammad telah terbunuh hingga menyebabkan sahabat merasa lemah dan patah semangat."

Kata Ka'ab bin Malik: "Aku orang yang pertama melihat Rasulullah SAW dengan dua mataku seraya menyeru dengan suara yang lantang: Ini Rasulullah SAW, kemudian Baginda mengisyaratkan kepadaku supaya diam, lantas turunnya ayat ini."

Iktibar dan fiqh ayat 148:

i. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini memberi maksud berapa banyak para nabi dan para sahabatnya yang mati terbunuh." Inilah pilihan Ibn Jarir.

ii. Ibn Kathir juga berkata: "Pendapat tersebut menjadi pilihan Ibn Jarir, kerana dia berkata: Ada pun orang-orang yang membaca firman Allah yang bermaksud: Berapa ramai Nabi yang terbunuh bersama sejumlah besar sahabat mereka.

"Ini kerana mereka berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan terbunuhnya Nabi dan sebahagian sahabat yang ikut bersamanya adalah bukan kesemuanya. Sedangkan bukan kelemahan itu ditujukan kepada para pengikutnya yang tidak terbunuh."

Seterusnya dia berkata lagi: "Orang yang membaca Qaatala (berperang), ia memilih hal tersebut kerana ia berkata: Seandainya mereka terbunuh, maka tidak ada firman Allah yang bermaksud: Mereka yang tidak lemah. Yang demikian itu jelas, kerana suatu hal yang mustahil bahawa mereka disifatkan dengan tidak lemah setelah mereka terbunuh."

iii. Al-Qurtubi berkata: "Menjadi kewajipan ke atas manusia beramal apa yang ada dalam kitab Allah dan sunnah yang sahih untuk berdoa dan meninggalkan yang lain yang tidak sewajarnya seseorang berkata: Saya pilih begini sedangkan Allah telah pilih untuk nabi dan walinya bagaimana cara mereka berdoa."

iv. Al-Maraghi juga berkata: "Ramai para nabi yang keluar berperang dengan disertai oleh pengikut-pengikut mereka. Mereka adalah orang yang menjadi pembawa petunjuk dan para guru agama, bukan menjadi pendeta-pendeta yang disembah.

"Mereka tidak mudah menjadi lemah, apabila ada di kalangan mereka yang luka atau terbunuh, biarpun yang terbunuh itu nabi mereka sendiri. Sebab mereka berperang semata-mata di jalan Allah SWT, bukan di jalan nabi mereka.

"Mereka menyedari bahawa nabi hanyalah orang yang menyampaikan ajaran Tuhannya dan memberi petunjuk kepada umatnya."

v. Hamka berkata: "Banyak diceritakan kepada kita di dalam al-Quran tentang perjuangan Nabi-nabi terdahulu menegakkan agama dalam kalangan kaumnya dan kita mengetahui bagaimana kebiasaan kaum yang menentang itu."

Maka ayat ini memberikan bayangan kepada kita, bahawasanya di samping kaum yang menentang, ada juga yang setia, sehidup semati dengan Rasul dan menerima apa sahaja yang diajarkan serta bersedia menimpa pelbagai musibah dan dugaan kerana menegakkan kebenaran. Tidak pernah mengeluh, lemah dan patah semangat.

vi. Quraish Shihab berkata: "Ayat ini masih merupakan lanutan kecaman. Kali ini dengan membandingkan keadaan mereka dengan umat-umat terdahulu. Dan berapa banyak bermaksud nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar daripada pengikutnya yang bertaqwa yang juga luka dan terbunuh sebagaimana yang kamu alami wahai kaum muslimin di Uhud.

"Mereka tidak menjadi lemah dan lesu iaitu mental mereka tidak mengendur dan tidak menyerah diri kepada musuh, atau berusaha meminta perlindungan kepada mereka sebagaimana mereka yang lemah imannya setelah ditimpa malapetaka di Uhud yang mengusulkan agar meminta perlindungan kepada tokoh musyrik ketika itu iaitu Abu Sufyan.

"Allah SWT menyukai dan memberi anugerah kepada orang-orang yang sabar dan tabah dalam melaksanakan kewajipan, menderita ujian serta dalam peperangan menghadapi musuh."

vii. Al-Sonhaji berkata: "Terlalu ramai Nabi pada zaman dahulu yang berperang dan diikuti oleh orang-orang yang beriman dengannya.

"Mereka menganggap para Nabi itu sebagai guru yang membawa petunjuk kepada mereka, bukan sebagai orang yag diagung-agungkan untuk disembah.

"Mereka tidak takut sekiranya ada di antara mereka yang luka atau terbunuh dalam peperangan walaupun yang terbunuh itu Nabi mereka sendiri kerana mereka berperang kerana Allah bukan kerana Nabi, kerana Nabi itu hanya menyampaikan perintah dari tuhannya untuk membimbing umatnya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 48 yang bermaksud: Tiadalah Kami (Allah) utuskan Rasul-rasul itu melainkan untuk memberi khabar kegembiraan dan khabar ancaman."

Iktibar dan fiqh ayat 147:

i. Qatadah dan al-Rabi' bin Anas berkata: "Mereka tidak lesu atas kematian Nabi mereka, sedangkan firman Allah SWT yang bermaksud: Serta tidak pula menyerah."

Qatadah berkata lagi: "Mereka tidak mundur dari usaha memenangkan perang dan membela agama mereka. Tetapi mereka terus memerangi apa yang diperangi Nabiyullah sehingga mereka menghadap Allah SWT (menemui ajal)"

ii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengisyaratkan bahawa dosa dan perbuatan melampaui batas menjadi punca kepada kehinaan. Sedangkan unsur-unsur ketaatan, keteguhan dan istiqamah menjadi sebab untuk mereka memperoleh kemenangan dan kejayaan.

"Oleh itu, mereka menadah tangan memohon kepada Allah SWT agar hati mereka dibersihkan daripada sebarang dosa dan diberi taufik agar tetap teguh ketika hati mereka diuji.

"Allah SWT menyatakan berkenaan dengan perkataan doa yang diucapkan mereka ini, bukan atas dasar takut yang dialami mereka dalam menghadapi musuh tetapi tujuan sebenarnya untuk menyindir sahabat-sahabat nabi yang bercita-cita untuk melarikan diri dari Perang Uhud."

iii. Hamka berkata: "Pada ayat di atas diberikan kunci kemenangan, iaitu sabar. Kemudian datang ayat ini sebagai lanjutan. Iaitu ayat tentang orang-orang yang telah menyatakan setia dan bersandar teguh kepada Allah SWT di samping Nabi mereka yang tercinta.

"Mereka tidak patah semangat kerana percubaan, tidak menjadi lesu dan berdiam diri, melainkan sabar menantikan hasil perjuangan, kemudian mereka memohon ampun jika mereka melakukan dosa."

iv. Quraish Shihab berkata: "Pada ayat ini dijelaskan sikap batin yang dicerminkan oleh ucapan-ucapan mereka.

"Ini menunjukkan bahawa walau ujian sedemikian berat, tetapi mereka tetap tabah, sehingga mereka tidak goyah pendirian, tidak pula mengucapkan kecuali kalimat-kalimat yang wajar dan permohonan yang sesuai. Kerana mereka berhati-hati, khuatir apa yang mereka alami itu adalah akibat daripada dosa dan kesalahan mereka."

Iktibar dan fiqh ayat 148:

i. Al-Qurtubi berkata: "Pahala di dunia ialah kemenangan dan boleh mengalahkan musuh sedangkan pahala di akhirat iaitu dengan syurga."

ii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT menyukai mereka kerana melaksanakan segala peraturan di dunia dan dicernakan sama ada di dalam tindakan mereka, sebagai orang yang layak menjadi khalifah Allah SWT di bumi.

Perbuatan yang dilakukan oleh mereka hanyalah untuk mencari keredaan Allah SWT. Mereka bertindak demikian demi untuk memperoleh kurnia keredaan Allah SWT.” Dalam ayat ini dijelaskan susunan pemberian ganjaran seperti berikut:

*Pemberian taufik terhadap mereka yang taat.

*Pemberian pahala kerana ketaatannya.

*Pemberian pujian, sebab mereka tergolong dalam golongan yang melakukan kebaikan.

iii. Hamka berkata: “Ayat ini menjelaskan bahawa permohonan mereka akhirnya dimakbulkan oleh Allah SWT setelah mereka memenuhi syarat-syarat berikut:

*Tidak mengeluh kerana dugaan.

*Tidak lesu dan patah semangat.

*Tidak mundur.

*Sabar menanti hasil perjuangan.

*Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap dosa yang dilakukan.

*Selalu memohon pertolongan kepada Allah SWT.

Dengan memenuhi keenam syarat ini, ganjaran Allah SWT pasti datang. Permohonan mereka tidak disia-siakan. Mereka diberikan kebahagiaan di dunia iaitu kemerdekaan dan mendapat kebahagiaan di akhirat kelak.”

iv. Quraish Shihab berkata: “Ayat ini menggambarkan sambutan Allah SWT atas permohonan mereka. Mereka ikhlas dan tulus berdoa, mengharapkan pertolongan Allah SWT bersungguh-sungguh dalam berjuang dan taat kepada Allah dan Rasul.

“Maka kerana itu, Allah SWT menganugerahkan mereka pahala di dunia berupa kemenangan, ketenangan dan nama yang baik yang tidak dapat dilukiskan dengan kata-kata.”

v. Al-Sonhaji berkata: “Sebaik-baik pahala di akhirat ialah syurga dan kenikmatan abadi yang ada di dalamnya. Pahala tersebut tidak akan berkurang sedikit pun bahkan melebihi pahala yang diterima di dunia.

“Allah mengasihi orang yang berbuat baik iaitu orang yang menegakkan peraturan Allah di bumi-Nya dengan amalan-amalan yang didasarkan daripada perintah Allah dan kerana Allah SWT.”

Semoga kita menjadi golongan yang benar-benar mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya.


Hidup dan mati ketentuan Allah

By mfrstudio


APABILA tiba ajal ia tidak akan dicepat atau dilewatkan walaupun sesaat. - Gambar hiasan


Setelah kaum Muslimin mengalami kekalahan dalam perang Uhud dan terdapat beberapa orang yang terbunuh di kalangan mereka, syaitan pun berseru: "Ketahuilah bahawa Muhammad telah terbunuh."

Ibn Qam'ah menemui orang-orang musyrik dan berkata: "Aku telah berjaya membunuh Muhammad". Padahal sebenarnya ia hanya memukul Rasulullah SAW dan sedikit terluka di kepala Baginda.

Peristiwa ini banyak menggoncangkan hati ramai orang dan ada di antara mereka yang yakin bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Dalam keadaan ini, mereka beranggapan mungkin perkara itu terjadi kepada Rasulullah SAW sebagaimana Allah SWT menceritakan kisah para Nabi yang terdahulu sehingga perkara itu mengakibatkan kelemahan, ketakutan dan keengganan kaum muslimin meneruskan peperangan.

Pada saat Allah SWT menurunkan firman-Nya yang bermaksud: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Maksudnya, Nabi Muhammad SAW mengikut jejak langkah para Nabi dalam kerasulan dan kemungkinan terbunuh.

Sebab Nuzul ayat 144

Al-Qurtubi berkata: Sebab nuzul ayat ini kerana kekalahan orang Islam dalam perang Uhud sehingga syaitan bertempik Muhammad telah terbunuh. Sebahagian orang ramai berkata telah terkena Muhammad, justeru berilah tangan kamu kerana mereka adalah saudara-saudara kamu untuk meneruskan jihad.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi sebesar-besar dalil atas keberanian Saidina Abu Bakar r.a.

ii. Al-Maraghi berkata: Nabi Muhammad SAW hanyalah manusia biasa. Sebelum Baginda, telah wujud beberapa orang rasul. Mereka semua telah wafat.

Sebahagian daripada mereka ada yang dibunuh oleh musuhnya. Mereka seperti Nabi Zakaria AS dan Nabi Yahya AS. Tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang ditetapkan untuk hidup kekal.

Ayat ini mengandungi bimbingan dan petunjuk bahawa peperangan itu tidak sepatutnya berhenti ataupun terus berlanjutan kerana adanya komandan.

Jika komandannya terbunuh, secara tidak langsung pasukannya akan terus menerima kekalahan atau menyerah diri kepada pihak musuh. Tetapi perlu diingat bahawa kepentingan umum lebih utama berbanding dengan undang-undang yang ditetapkan.

Ini tidak akan menyangsikan fikiran sesiapa meskipun para pemimpin perang terkorban. Inilah prinsip yang digunakan oleh pemerintah dalam menyusun strategi peperangan.

Allah SWT mewajibkan kita menurut segala petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Oleh itu musibah yang menimpa Baginda, seperti luka dan saki atau hidup dan mati, sama sekali tidak ada hubungannya dengan kebenaran dakwah yang dibawanya, sebab baginda adalah manusia biasa seperti kamu. Baginda hanya tunduk kepada peraturan Ilahi.

iii. Hamka berkata: Dalam ayat ini menerangkan bahawa Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, seperti rasul-rasul yang lain yang terdahulu daripadanya. Iaitu manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi utusan-Nya dalam kalangan manusia sendiri.

Maka dia bukanlah malaikat atau jin. Telah berlalu daripadanya rasul-rasul yang lain, mulanya mereka lahir ke dunia, kemudian diangkat menjadi rasul dan bila tiba waktunya, mereka pun wafat. "Apakah apabila dia mati atau terbunuh, kamu akan berpaling di atas kedua tumit kamu?"

iv. Quraish Shihab berkata: Dalam al-Quran nama Nabi Muhammad SAW, bila disebut selalu dirangkaikan dengan gelaran Baginda, kecuali sekali iaitu dalam surah yang menyandang nama beliau iaitu Muhammad. Berbeza dengan nama nabi dan rasul yang lain, yang biasanya disebut tanpa gelaran mereka.

Redaksi ayat ini menunjukkan sifat kerasulan Nabi Muhammad SAW yang serupa dengan rasul-rasul yang telah wafat untuk membangkang mereka yang menduga bahawa sifat kerasulan bertentangan dengan kematian atau menduga bahawa kerasulan Nabi Muhammad SAW memiliki kelebihan berbanding dengan kerasulan yang lain.

Bahkan boleh terjadi mereka menduga bahawa usia Baginda akan panjang, sehingga ada yang tidak percaya bila satu saat Baginda akan wafat sebagaimana yang dialami oleh Saidina Umar al-Khattab.

v. Ibn Abi Najih berkata dari ayahnya: Ada seseorang dari kaum Muhajirin yang telah lalu di hadapan seorang dari kaum Ansar yang berlumuran darah. Lalu ditanya kepadanya: hai fulan, apakah kamu rasa Rasulullah SAW telah terbunuh?

Orang Ansar itu menjawab: Jika Muhammad telah terbunuh, bererti ia telah menyampaikan risalahnya. Maka berperanglah kamu demi membela agama kamu. Lalu turunlah ayat ini:

Maksudnya: Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh).

vi. Al-Zuhri berkata: Abu Salamah telah menceritakan kepadaku dari Ibn Abbas bahawa Abu Bakar keluar, sementara Umar sedang berbicara kepada khalayak.

Kemudian Abu Bakar berkata: Duduklah wahai Umar. Lalu Abu Bakar berkata: Amma ba'du. Barang siapa menyembah Muhammad maka Muhammad telah wafat. Dan barang siapa menyembah Allah, maka Allah itu sentiasa hidup dan tidak akan pernah mati. Selanjutnya Abu Bakar menegaskan bahawa Allah berfirman, maksudnya: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

vii. Al-Zuhri berkata: Demi Allah, seolah-olah orang yang tidak mengetahui bahawa Allah telah menurunkan ayat ini sehingga Abu Bakar membacakannya kepada mereka. Maka orang-orang pun membaca ayat ini dari Abu Bakar. Sehingga setiap orang yang mendengar ayat ini, ia membacanya.

viii. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini mengandungi pengajaran bahawa meneruskan sesuatu peperangan atau menghentikannya janganlah dihubungkan dengan hidup atau matinya seseorang pemimpin.

Contohnya, jika pemimpin itu hidup, perjuangan diteruskan, tetapi jika pemimpin itu mati perjuangan dihentikan. Kemaslahatan umum yang berjalan di atas dasar yang kukuh hendaklah dipertahankan bermati-matian.

Jangan pula goyah disebabkan kehilangan pemimpin atau jatuhnya pemimpin. Atas dasar inilah berjalannya pemerintahan dan peperangan pada zaman kita ini.

Iktibar dan fiqh ayat 145:

i. Ibn Kathir berkata: Tidak mati seseorang melainkan mengikut qadar Allah SWT dan menjalani masa yang telah ditetapkan oleh Allah.

ii. Ibn Kathir juga berkata: Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Ayat ini memberikan motivasi bagi para pengecut dan dorongan bagi mereka untuk berperang, kerana maju berperang atau mundur darinya tidak akan mengurangkan atau memanjangkan usia.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dari Habib bin Zhabiyan, ia berkata: Apa yang menjadi halangan kepada kalian untuk menyeberangi Sungai Tigris ini untuk menemui musuh-musuh Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.

Setelah itu, ia terus menepuk kudanya menyeberangi Sungai Tigris. Ketika dia menyeberangi sungai itu, mereka yang lain pun mengikutinya. Pada saat musuh mengetahui kedatangan mereka, musuh pun berteriak dan mereka pun lari kebelakang.

iii. Al-Qurtubi berkata: Ini adalah galakan berjihad dan pemberitahuan bahawa kematian mesti berlaku kepada manusia sama ada dibunuh atau tidak.

iv. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengandungi galakan agar berjihad dengan penuh semangat berani menentang musuh. Oleh itu apabila ajal sudah menjadi ketetapan, lalu kematian tidak akan tiba sebelum sampai waktunya. Walaupun berada di medan peperangan, tidak ada sebarang alasan untuk takut menjadi pengecut.

Ayat ini juga memberi satu isyarat bahawa Allah SWT selalu melindungi rasul-Nya.

Ayat ini mengandungi sindiran kepada para sahabat yang sibuk mengambil harta rampasan dalam Perang Uhud iaitu mereka yang meninggalkan tempat yang telah ditugaskan oleh Nabi SAW agar mempertahankan tempat tersebut.

v. Hamka berkata: Dalam ayat ini mengandungi dua tafsir dan maksud. Pertama sebagai peringatan keras kepada mereka yang lemah imannya, kerana mendengar Rasulullah SAW telah wafat.

Mengapa iman menjadi goncang, padahal menentukan hidup dan mati seseorang bukanlah di tangan manusia bahkan ia adalah ketentuan Allah SWT.

Isi tafsir yang kedua pula ialah, ayat ini adalah perangsang paling kuat untuk meneguhkan hati orang yang beriman di dalam menghadapi tugasnya, baik membina dan memajukan agamanya, ataupun di dalam menangkis serangan musuh.

vi. Quraish Shihab berkata: Al-Biqa'i menghubungkan ayat ini dengan ayat sebelumnya dengan berkata bahawa kematian pimpinan pendukung-pendukung suatu agama tidak wajar dijadikan sebab untuk mengelak dari pertempuran dan meninggalkan medan peperangan, kecuali kematian itu terjadi tanpa izin Allah SWT.

vii. Al-Sonhaji berkata: Ayat yang diperkatakan ini ditujukan oleh Allah SWT kepada pasukan-pasukan yang telah terpengaruh oleh harta rampasan dalam perang Uhud sehingga tergamak mereka meninggalkan kedudukan mereka.

Jadi seolah-olah Allah mengatakan: Sekiranya kamu mengejar upah dunia, tiadalah Allah menghalangnya, terserahlah kamu untuk merebutnya. Tetapi bukanlah ini yang menjadi dasar seruan pemimpin besar kamu Muhammad SAW. Malah kamu diseru ke arah kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.

Semoga kita menjadi golongan yang cintakan Rasulullah SAW serta mengikut jejak langkahnya tanpa berpaling dan keluar daripada sunnahnya. Amin.


Allah uji orang beriman

By mfrstudio


Orang beriman perlu bersabar dalam menghadapi sebarang musibah dan ujian daripada Allah dalam hidup ini. - Gambar hiasan


Sheikh Sya'rawi berkata : Sesungguhnya iman bukan semata-mata ucapan tetapi memerlukan ujian untuk menthabitkan bahawa kamu diuji dan berjaya dalam ujian. Fitnah merupakan ujian, justeru jangan menyangka masalah berlaku secara mudah dengan hanya berkata kami membawa dakwah kebenaran.

Ayat ke-142

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Iktibar dan fiqh ayat

i. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Peristiwa perang Uhud banyak memberi pengajaran kepada umat Islam.

"Apa yang berlaku banyak hikmahnya antaranya memberi peluang kepada kaum Muslimin untuk muhasabah dan merapatkan saf perpaduan dan perjuangan.

"Ia juga ujian kepada kaum Muslimin dalam perjuangan mengejar syahid dan syurga".

ii. Hamka berkata: "Sebagai guru yang dijelaskan peranannya, menjadi satu harapan kepada kita semua untuk meneruskan setiap peninggalan daripada mereka.

"Banyak yang bersuara lantang, berfatwa menyuruh orang berjuang dan bersabar.

"Sangat mudah untuk berkata sedemikian sebelum mereka menyaksikan sendiri betapa payahnya berjuang dan pahitnya untuk bersabar".

iii. Al-Sonhadji berkata: "Sesungguhnya memerangi hawa nafsu untuk menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak manusia amatlah berat memikulnya.

"Namun jika menang dalam perjuangan itu, ganjaran yang akan diperolehi ialah mendapat kemenangan dan kejayaan di dunia ini, dan mendapat ganjaran di akhirat dengan memperolehi syurga jannatunna'im".

Ayat ke-143

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Kamu orang yang beriman begitu bersemangat untuk bertempur dengan musuh sebelum hari ini. Sedangkan apabila bertemu dengan mereka kamu bimbang pula".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini menjadi celaan bagi mereka yang kalah lebih-lebih lagi yang menggesa Nabi SAW supaya keluar daripada Madinah dalam peperangan Uhud.

"Walaupun begitu, ditegaskan di sini ada di kalangan orang yang beriman yang memohon daripada Allah supaya dikurniakan syahid dan mereka memohon kesabaran untuk berjihad sekalipun membawa kepada kematian".

iii. Al-Alusi berkata: "Ayat ini ditujukan kepada kumpulan orang yang beriman yang tidak menyertai perang Badar kerana tidak menyangka berlakunya peperangan".

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Mereka dikecam kerana berpaling dari pertemuan dengan musuh ketika diberikan kesempatan.

"Dalam satu riwayat Rasulullah SAW mengingatkan: Wahai manusia, janganlah mengharapkan pertemuan dengan musuh (peperangan), mohonlah perlindungan Allah SWT dan bersabarlah apabila bertemu mereka. Sesungguhnya syurga di bawah bayang-bayang dan naungan pedang".

v. Al-Sonhadji berkata: "Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang berjuang dalam medan perang Uhud.

"Yang demikian itu ialah kerana ramai sahabat Nabi SAW yang tidak turut serta dalam peperangan Badar, ingin benar hendak keluar menerpa musuh yang telah berkhemah menunggu di luar bandar Madinah, dengan harapan mereka dapat mengalahkan musuh dan di samping itu memperoleh pula keuntungan seperti orang-orang yang bertempur di medan perang Badar dahulu".

Ketahuilah saudaraku, syurga Allah SWT nilainya amat tinggi dan mahal. Justeru, marilah sama-sama kita melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya untuk melayakkan kita memasuki syurga-Nya. Amin.

lDR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan


Jangan zalim sesama manusia

By mfrstudio

Al-Maraghi berkata: "Dalam perbincangan sebelum ini, telah membicarakan tentang Perang Uhud dan peristiwa-peristiwa penting. Kemudian dinyatakan juga kisah Perang Badar dan kemenangan umat Islam, walaupun jumlah tentera Islam dan persiapan mereka amat kecil.

"Sehubungan itu, ayat-ayat ini dan berikutnya, Allah SWT mengingatkan mereka bahawa adanya peraturan Ilahi yang berlaku kepada makhluk-Nya".

Iktibar dan fiqh ayat ke-137

i. Ibn Kathir berkata: "Allah berfirman dengan berucap kepada hamba-hamba-Nya apa yang terjadi musibah pada hari peperangan Uhud dan yang terbunuh seramai 70 orang".

ii. Al-Maraghi berkata: "Berjalanlah kamu di atas muka bumi. Perhatikanlah beberapa kejadian yang telah berlaku kepada beberapa umat sebelum kamu supaya kamu memperoleh ilmu yang benar didasari oleh kenyataan dan pengalaman dan ambillah pengajaran daripada kejadian itu. "Sesungguhnya pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sering terjadi kepada beberapa umat terdahulu. Walau bagaimanapun kebenaran akan memihak kepada mereka serta berjaya mengalahkan kebatilan.

"Sesungguhnya kemenangan ini diperoleh mereka kerana semangat yang teguh berjuang dengan sabar dan takwa".

iii. Hamka berkata: "Dalam ayat yang lalu Tuhan menerangkan sekiranya mereka berpegang teguh pada kesabaran, takwa dan tawakal malaikat pun akan datang membantu. Menang dan kalah suatu perjuangan tidaklah bersangkut dengan benar dan salahnya suatu pendirian atau cita-cita.

"Allah SWT mempunyai Sunnah atau undang-undang terhadap sebarang perkara yang berlaku secara langsung atau tidak".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Ayat ini mengingatkan kepada mereka bahawa sebelum kamu telah ada beberapa sunatullah pada umat-umat yang telah lalu. Ada yang binasa dan terhapus dari muka bumi kerana mereka menyalahi pengajaran yang dibawa oleh para Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada mereka.

"Bahkan mereka utamakan kenikmatan dan kelazatan dunia semata-mata".

Iktibar dan fiqh ayat ke-138

i. Ayat ini merupakan penolakan yang kuat terhadap kaum musyrikin dan munafik yang masih diserang perasaan ragu-ragu terhadap Rasulullah SAW.

Mereka mengatakan, sekiranya baginda itu seorang rasul yang benar, tentu baginda tidak akan kalah dalam Perang Uhud. Maka petunjuk dan penjelasan ayat ini member bimbingan bahawa peraturan Ilahiyyah itu berlaku pada semua nabi dan rasul sebagaimana yang berlaku kepada semua makhluk Allah SWT.

Berhubung ayat ini, ia merupakan petunjuk dan nasihat kepada orang yang bertakwa khususnya sebab mereka sahaja yang berpegang dengan kebenaran seperti ini.

Mereka juga mahu menjadikan segala hal yang telah terjadi sebagai pengajaran dan berpegang dengan petunjuk al-Quran dan mematuhi nasihat-nasihatnya.

ii. Muhamamd Quraish Shihab berkata: "Ayat ini memerintahkan untuk mempelajari sunnah iaitu kebiasaan-kebiasaan atau ketetapan Ilahi dalam masyarakat. Sunnatullah adalah kebiasaan Allah SWT dalam memperlakukan masyarakat".

iii. Hamka berkata: "Mempelajari sejarah umat-umat terdahulu dan melihat bekas tapak sejarah peninggalan mereka memberi manfaat dan pengajaran yang sempurna menghadapi mehnah cabaran dan dugaan yang sangat hebat di akhir zaman ini.

"Ilmu kita akan bertambah-tambah tentang perjuangan hidup manusia di alam ini".

iv. Al-Sonhadji berkata: Perkataan yang bermaksud 'ini' dimaksudkan al-Quran, ataupun isyarat kepada yang telah lalu daripada suruhan-suruhan dan tegahan-tegahan Allah yang menyebabkan beroleh pahala atau seksa, adalah ia merupakan penerangan bagi semua manusia. "Penerangan tersebut mengandungi hidayah (petunjuk) bagi manusia supaya ia jangan sampai tersesat. Dan penerangan tersebut mengandungi mauizah (pengajaran) bagi orang yang takwa (takut) supaya ia jangan sampai mengerjakan yang tidak patut".

Iktibar dan fiqh ayat ke-139

i. Al-Maraghi berkata: "Janganlah kamu berasa lemah untuk berperang dan melengkapkan diri disebabkan oleh kecederaan dan kegagalan kamu dalam Perang Uhud.

"Janganlah kamu menjadi sedih dengan adanya beberapa orang yang meninggal pada hari itu. Adakah wajar kamu berdukacita dan berasa hina padahal kedudukan kamu lebih tinggi daripada mereka?

"Sesungguhnya telah menjadi peraturan Ilahi bahawa setiap hasil yang baik itu akhirnya akan berada di tangan orang yang bertakwa kerana inilah golongan yang tidak menyalahi segala peraturan Ilahiah.

"Bahkan mereka ini akan tetap membela orang yang mahu menegakkan kebenaran dan keadilan".

ii. Hamka berkata: "Setelah selesai peperangan Uhud yang telah mengorbankan 70 syahid antaranya Hamzah bin Abdul Muthalib, pakcik Rasulullah SAW.

"Baginda SAW sangat kecewa dan berdukacita di atas perkembangan yang melanda mereka semua. Allah SWT mengetahui segalanya dan yakin dengan perkembangan yang berlaku di sana".

iii. Al-Sonhadji berkata: "Dan ayat ini merupakan perangsang atau galakan memberi semangat kepada mereka".

Iktibar dan fiqh ayat ke-140

i. Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini menjadi dalil bahawa kehendak bukanlah perintah sebagaimana kata ahli sunnah. Allah SWT melarang orang kafir membunuh orang beriman seperti Hamzah r.a dan sahabatnya tetapi menghendaki pembunuhan tersebut".

ii. Al-Maraghi berkata: "Jika dalam Perang Uhud, senjata telah melukai kamu, sesungguhnya pada hari itu kaum musyrik juga mengalami nasib yang sama. Antara mereka ada juga yang terbunuh seperti keadaan yang menimpa kamu. Mereka juga tidak memperoleh kemenangan. "Kesimpulannya, kamu tidak boleh berhenti daripada berjihad. Sebenarnya kamu tidak ada sebarang alasan untuk berhenti daripada berjihad disebabkan kecederaan yang menimpa kamu.

"Ini kerana musuh-musuh kamu turut sama mendapat luka seperti kamu sebelum Perang Uhud lagi. Walaupun mereka berada dalam kebatilan, tetapi mereka tidak sedikit pun berputus asa atau berasa lemah semangat untuk berperang.

"Seharusnya kamu lebih wajar mempunyai semangat yang membara kerana kamu telah mengetahui adanya janji baik pada kemudian hari, dan kamu berpegang dengan kebenaran".

iii. Hamka berkata: "Meskipun perjuangan di medan Uhud, kamu ditimpa kekecewaan bukan bermaksud Allah SWT menyukai orang kafir dan zalim tetapi keluarga yang selalu mengikuti perkembangan dan sebagainya tidak akan leka dan cuai".

iv. Al-Maraghi berkata: "Peredaran hari itu merupakan sunnatullah (ketetapan-Nya) bagi kepentingan pergaulan sesama manusia yang digambarkan-Nya seperti sebuah pemerintahan. "Maka pemerintahan itu terkadang beredar kepada golongan orang-orang yang memperjuangkan kebatilan dan terkadang pula beredar kepada golongan orang-orang yang memperjuangkan kebenaran atau yang hak, tetapi biasanya kesudahan kemenangan itu berada di pihak yang hak dan benar".

Iktibar dan fiqh ayat ke-141

i. Al-Alusi berkata: "Supaya Allah membersihkan mereka dari sebarang dosa dan mensucikan mereka daripada maksiat dan kejahatan".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Gugur dalam peperangan di jalan Allah SWT dinamakan mati syahid kerana para malaikat menghadiri pengebumiannya.

"Syahid bererti objek atau subjek. Ada juga yang mengumpamakan kesaksian atau penyaksian. Setiap yang syahid sudah dijanjikan ganjaran syurga untuk mereka kerana ikhlas dalam perjuangan di jalan Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Di dalam kejadian ini kita melihat betapa pentingnya satu-satu kejadian sejarah yang kadang-kadang menjadi kuat untuk terbitan dan permintaan orang ramai supaya memutuskan hak dan batil.

"Orang Islam dilarang mengumpat dan mengeji sesiapa sahaja melainkan keizinan dari seseorang atau pada perkara yang munasabah".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Allah memperedarkan hari-hari itu sebagai hari ujian yang perit dan payah gunanya ialah supaya dapat dibersihkan keimanan orang-orang yang masih lemah daripada kekotoran sifat nifak atau dosa yang mereka lakukan, dan dibinasakan orang-orang kafir itu dengan meletakkan perasaan putus asa yang menakluki hati mereka".

Marilah sama-sama kita mengambil iktibar dengan merenungi kisah lampau. Mudah-mudahan kita menjadi golongan yang berbahagia. Amin.


Segera mohon keampunan Allah

By mfrstudio

MUHAMMAD Quraish Shihab berkata : Setelah ayat yang lalu digambarkan sekelumit tentang syurga, ayat ini menggambarkan sifat-sifat mereka yang layak menghuninya.

Ia berkaitan erat dengan peristiwa perang Uhud dan malapetaka terjadi kerana keinginan memperoleh harta rampasan perang yang belum sampai waktunya untuk diambil, maka nasihat pertama adalah berinfak dengan menyatakan ciri-ciri orang yang bertakwa adalah mereka yang kebiasaannya berterusan menafkahkan hartanya di jalan Allah SWT tidak mengira waktu senang atau susah.

Ayat ke-133

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa..

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah menyeru orang yang beriman supaya segera melakukan kebaikan dan ketaatan".

ii. Al-Maraghi berkata: "Syurga disediakan untuk mereka yang bertakwa. Ayat ini menyatakan bahawa syurga itu sekarang sudah ada di luar alam kita ini. Ini disebabkan syurga ini dinyatakan lebih besar dari alam.

"Oleh itu, syurga tidak dapat dicakupi oleh alam. Kemudian Allah SWT menerangkan ciri-ciri orang yang bertakwa dengan beberapa sifat. Keseluruhannya adalah sifat-sifat yang terpuji dan menjadi kebanggaan".

iii. Abu Muslim berkata: "Perkataan luas dalam ayat ini bermaksud bukanlah luas seperti benda yang dapat dijual beli dengan harga tertentu seperti langit dan bumi, tetapi luas di sini untuk menyatakan ketinggian martabat dan keunggulan nilainya. Tidak boleh dinilaikan pengertian luas dengan kebendaan walaupun betapa besarnya".

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Maksud lebar syurga di sini adalah luasnya yang membawa maksud kepada perumpamaan. Ia tidak harus difahami dalam erti harfiahnya.

"Dalam hati manusia tidak ada sesuatu yang dapat menggambarkan keluasan melebihi luas langit dan bumi. Untuk menggambarkan luasnya syurga Allah SWT memilih kata-kata 'selebar langit dan bumi'".

v. Hamka berkata: "Segera memohon keampunan Allah SWT tidak kira orang kaya atau miskin. Berlumba-lumba mengajar ganjaran syurga yang telah dijanjikan oleh-Nya.

"Sesungguhnya amalan mulia seperti tolong-menolong sesama manusia, bersedekah, berwakaf dan bernazar mengandungi makna yang lebih besar iaitu keselamatan pergaulan hidup di dunia berdasarkan kepada takwa jambatan ke akhirat".

Ayat ke-134

Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Mereka adalah orang yang menafkahkan harta mereka pada waktu senang mahupun pada waktu susah. Mereka menafkahkan harta sesuai dengan tuntutan keadaan dan tidak pernah menolak untuk mengeluarkan infak pada bila-bila masa".

ii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT amat menyukai orang yang mengutamakan kepentingan orang lain yang berada dalam kesulitan dan memberikan sebahagian nikmat Allah SWT kepada mereka sebagai tanda syukur kepada Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Ayat ini memperincikan lebih jelas keazaman setiap hamba-Nya yang bersedekah dan menderma untuk mengejar syurga yang sangat luas untuk diperkatakan.

"Orang miskin dan kaya tidak terkecuali dalam matlamat yang serupa mencari keredaan Allah SWT".

Ayat ke-135

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka , dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Susunan ayat ini merupakan lanjutan daripada susunan ayat yang sebelumnya.

"Tujuan ayat ini adalah untuk menyenangkan hati orang yang bertaubat dalam usaha membersihkan hati mereka, memberi khabar gembira bahawa adanya rahmat Allah Yang Maha Luas, keampunan-Nya yang dekat, serta menghargai usaha mereka.

"Mereka mengetahui bahawa hanya dengan sifat rahmat dan kurniaan-Nya orang yang berdosa itu tidak lagi mempunyai perasaan takut dan kerana rahmat-Nya juga orang yang bertaubat dari dosanya menjadi seperti orang yang tidak berdosa.

"Seseorang yang ingin mencari perlindungan daripada-Nya, menjauhi sebarang perbuatan dosa sedaya upaya yang mungkin, maka Allah SWT akan mengampuninya dan menghapuskan segala dosanya, meskipun dosanya begitu besar.

"Ini kerana pengampunan-Nya adalah lebih besar dan rahmat-Nya lebih luas. Ayat ini mengandungi dorongan kepada hamba-Nya agar segera bertaubat dan memberi pesanan agar jangan mudah berputus asa dan patah hati".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kalau diamati sifat-sifat para penghuni syurga atau orang-orang bertakwa di atas ditemukan maksiat dan kederhakaan yang dilakukan sebegitu pantas dia menyedarinya dan tidak tercabut ketakwaannya.

"Hal ini membuktikan betapa benarnya ajaran dari al-Quran.

"Allah SWT tidak menutup pintu taubat dan mengharuskan semua hamba-Nya sebersih kain putih sehalus sutera.

"Dia menerima hamba yang melakukan dosa dan perkara-perkara yang dimurkainya dengan syarat menyedari setiap perbuatan tersebut adalah satu kesalahan yang besar".

iii. Hamka berkata: "Demikianlah Allah SWT menggariskan kehidupan orang yang beriman yang mesti mereka tempuhi dengan iman, amal, takwa dan usaha.

"Membentuk sahsiah diri dengan penuh kasih sayang limpah kurnia dari Yang Maha Esa. Selalu berusaha memperbaiki kehidupan dan mengabdikan diri hanya kepada ilahi".

Ayat ke-136

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: "Dimulakan dengan kalimah mereka sebagai isyarat berdasarkan sifat mereka yang baik dan terpuji, di samping menunjukkan kemuliaan mereka".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Allah SWT menyusun kemuliaan-Nya dan kelebihan-Nya dengan keampunan bagi siapa yang ikhlas dalam taubatnya serta tidak kekal dalam melakukan dosa".

iii. Al-Maraghi berkata: "Orang yang bertakwa ialah mereka yang telah disebutkan ciri-cirinya di atas. Mereka ini aman daripada seksa, mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Tuhan mereka dengan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

"Kesimpulannya, balasan terbaik yang disebut itu terdiri daripada pengampunan, dan syurga merupakan satu kurniaan kepada orang yang mengerjakan beberapa amalan tersebut sama ada amalan bersifat material.

"Contohnya, mendermakan harta atau bersifat moral seperti tidak mendatangkan kerugian kepada orang lain. Balasan ini pula berbeza-beza menurut besar kecil perbuatan yang dilakukan".

iv. Hamka berkata: "Balasan Tuhan itulah yang sentiasa diharapkan oleh setiap orang yang beriman. Sebab iman pasti menimbulkan amal dan ia sentiasa diperbaharui dengan perkara-perkara yang mulia".

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa memohon keampunan Allah dengan berinfak, menahan kemarahan serta sentiasa memaafkan orang lain. Amin.


Sabar dan takwa kunci kejayaan

By mfrstudio




SHEIKH Sya'rawi berkata: "Ayat ini menerangkan mengenai peristiwa peperangan Uhud yang mana golongan kafir bersama 3,000 bala tentera menentang umat Islam yang bilangannya hanya 700 orang sahaja.

Ia menerangkan kebenaran isu ini dengan menyatakan jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tidak memudaratkan kamu oleh tipu daya mereka sesuatu pun. Bukanlah bermaksud di sini tipu daya secara sembunyi tetapi secara terang-terangan."

Iktibar dan fiqh ayat ke-121:

i. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar segala sesuatu yang diucapkan oleh orang mukmin kepadamu ketika berlangsungnya musyawarah untuk menghadapi kedatangan musuh engkau dan musuh mereka."

Antara lain ada yang berkata: "Marilah kita keluar menghadapi mereka di luar Madinah." Kemudian yang lain pun berkata: "Janganlah tuan keluar menghadang mereka. Tinggallah di Madinah sahaja sampai mereka datang menyerang kita."

Apapun yang kamu kemukakan kepada mereka, semua itu Allah SWT mendengarnya. Allah Maha Mengetahui mana yang terbaik untukmu dan bagi mereka, Allah juga Maha Mengetahui niat masing-masing.

ii. Ibn Jarir berkata: "Dalam ayat yang lalu Allah SWT mengutarakan satu atau dua perumpamaan yang menyatakan kebenaran janji-Nya: Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. (terjemahan ali-'Imran: 120), mengingatkan mereka akan kejadian yang menimpa mereka pada Perang Uhud kerana pasukan pemanah telah meninggalkan kedudukan masing-masing lantaran tidak sabar."

Ayat ini juga mengingatkan mereka akan kejadian Perang Badar, ketika mereka diberi kemenangan sekalipun mereka dalam jumlah yang sedikit dan lemah.

iii. Al-Biqa'i melihat bahawa huraian ayat yang lalu memerlukan bukti konkrit di dunia nyata. Kalau dalam ayat yang lalu dinyatakan bahawa seandainya mereka bersabar dan bertakwa tentu tidak akan mendapat mudarat, dan begitulah sebaliknya. Dan dalam ayat ini, kaum muslimin disajikan bukti konkrit tentang kebenaran janji ini.

iv. Hamka berkata: "Pada hari Sabtu, 15 Syawal tahun ketiga Hijrah, Rasulullah SAW memimpin 1,000 tentera Islam menuju Uhud. Tempat itulah yang baginda pilih menjadi Maqa'ida lilqitali, iaitu tempat atau kedudukan untuk berperang.

Tempat yang Baginda pilih sangat strategik untuk menangkis serangan ataupun pangkalan menyerang hendap."

Iktibar dan fiqh ayat ke-122

i. Al-Qurtubi berkata: "Maksud dua puak di sini ialah Banu Silmah daripada Khazraj dan Banu Harisah daripada Aus. Kedua-duanya sebagai sayap dalam peperangan Uhud."

ii. Al-Maraghi berkata: "Sewajarnya bagi orang yang beriman menghadapi segala kesusahan dan penderitaan dengan berserah kepada Allah, bukan dengan melalui kekuatan teman-teman dan para pembantu mereka.

Tawakal ini adalah setelah menyempurnakan segala persiapan dan persediaan selaras dengan ketentuan Allah SWT telah menetapkan hukum kepada makhluk-Nya."

iii. Al-Biqa'i berkata: "Allah SWT adalah penolong kedua terhadap golongan itu kerana mereka beriman dan berserah diri kepada-Nya. Oleh itu, orang mukmin hendaklah percaya dan berserah diri kepada-Nya agar mereka semua memperoleh pertolongan-Nya."

Iktibar dan fiqh ayat ke-123

i. Ibn Kathir berkata: "Sekalipun bilangan kamu sedikit supaya mereka mengetahui bahawa kemenangan daripada Allah bukan dengan jumlah ramai dan kekuatan senjata."

ii. Al-Maraghi berkata: "Jika kamu dapat bersabar dan bertakwa, maka tipu daya mereka sedikit pun tidak akan membahayakanmu. Sesungguhnya Tuhanmu tetap akan memberi pertolongan kepadamu sebagaimana yang diberikan kepadamu dalam mengalahkan musuhmu di Perang Badar. Padahal waktu itu jumlah pasukanmu amat sedikit dan tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk melawan musuh.

"Walau bagaimanapun, Allah SWT menampakkan ke dalam hati musuh kamu seolah-olah jumlah pasukan kamu besar dan begitu hebat, sehinggakan pada saat itu jumlah kamu lebih banyak daripada yang semestinya.

"Maka jika kamu tabah (sabar) menerima perintah Allah SWT, nescaya kamu akan diberi pertolongan, seperti pada hari itu kamu diberi pertolongan."

iii. Hamka berkata: Kaum muslimin di perang Badar dibandingkan dengan musuh sangatlah lemah. Mereka hanya 313 orang, sedang musuh lebih dari 1,000 orang dengan kelengkapan yang lebih sempurna.

Namun demikian di Badar kaum muslimin beroleh kemenangan gilang-gemilang. Di perang Badar mereka sabar dan takwa, sedangkan di perang Uhud kedua kelengkapan batin itu telah hilang terutama mereka tidak taat kepada pimpinan.

Oleh yang demikian, dengan takwa jiwamu akan tenteram dan barisanmu akan teratur. Dalam takwa terkandung ketakutan kepada Allah dan ketaatan kepada rasul sebagai pimpinanmu.

Dengan itu kamu pasti menang lantaran kamu bersyukur dan sebab takwa bantuan malaikat pasti datang.

iv. Al-Sonhadji berkata: Allah SWT mengingatkan orang mukmin ketika mereka bertempur dengan orang musyrikin di medan perang Badar dahulu adalah bilangan mereka itu sangat sedikit iaitu kira-kira 313 orang.

Ada yang mengatakan 313 orang, tidak mempunyai kelengkapan perang yang cukup, berbanding bilangan kaum Musyrikin seramai kira-kira 1,000 orang yang lengkap dengan peralatan perang. Namun dengan kehendak Allah SWT orang-orang Mukmin menang dalam peperangan tersebut.

Oleh itu, Allah menyeru mereka supaya takut kepada Allah dengan berpendirian tetap bersama-sama Rasulullah SAW. Mudah-mudahan mereka bersyukur dengan sebab memperoleh kemenangan.

Sebab Nuzul ayat ke-124

Ibn Abu Shaibah, Ibn Mundhir dan lain-lain meriwayatkan daripada Sha'biy bahawa umat Islam pada hari Badar diberi khabar bahawa Kuraz Ibn Jabir al-Muharibi ingin membantu kaum musyrikin. Hal ini dirasakan berat oleh mereka. Oleh kerana itu, Allah SWT telah menurunkan firman-Nya ini.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: Dikehendaki dengannya waktu yang memanjang dan didahulukan arahan supaya bertaqwa untuk menzahirkan kesempurnaan inayah dan pemeliharaan Allah SWT.

ii. Imam Fakhr al-Razi dalam kitab Tafsir al-Kabir berkata: Para ahli tafsir dan sejarah berpendapat bahawa Allah SWT telah menurunkan tentera-tentera yang terdiri daripada malaikat-Nya itu dalam Perang Badar telah ikut serta memerangi orang kafir.

iii. Ibn Abbas berkata: Malaikat yang turut sama berperang hanyalah dalam perang Badar. Dalam peperangan lain mereka hanyalah menampakkan kepada musuh besarnya jumlah tentera Islam (padahal jumlah tentera Islam sedikit, lagipun mereka tidak turut berperang mahupun membunuh).

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: Maksud malaikat yang memakai tanda adalah kiasan tentang keberanian dan kekuatan mereka.

Biasanya para pemberani memakai tanda-tanda khusus dalam peperangan seperti bulu berwarna di kepala atau di kudanya untuk memperkenalkan dirinya kepada lawan bahawa dia tidak bersembunyi dan tidak takut untuk berhadapan sesiapa pun.


Larangan lantik munafik sebagai pembantu

By mfrstudio

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi ‘orang dalam’ (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: Kami beriman, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (Wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.” Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka, dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan. (ali-‘Imran: 118-120)

Sheikh Sya’rawi berkata : Selepas Allah menjelaskan betapa Dia tidak menzalimi seseorang tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri kerana menafkah pada tempat yang tidak diterima melainkan gugurlah segala amalan mereka. Itulah keadilan Allah seterusnya Allah berfirman.

Sebab Nuzul ayat ke-118

Ibn Abbas dan Mujahid berkata: “Ayat ini diturunkan kepada kaum yang beriman, berbaik dengan munafik dan Yahudi keran hubungan kerabat, rakan, jiran, susuan, dan perjanjian. Lantas mereka dilarang daripada mengambil golongan tersebut sebagai penasihat”.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: “Allah dengan tegas melarang hamba-Nya yang beriman daripada menjadikan golongan munafik sebagai penasihat dan pembantu setia mereka.

ii. Al-Qadhi Abu Ya’la berkata: “Ayat ini menjadi dalil tidak harus meminta tolong dengan ahli Zimmah dalam urusan orang Islam”.

iii. Al-Maraghi berkata: “Kebiasaan ini diikuti pula oleh pemerintahan Abbasiah dan raja-raja Islam lain dari aspek pemakaian beberapa tenaga dalam menjalani urusan pemerintahan sama ada dilantik daripada kalangan Yahudi mahupun Nasrani.

“Situasi ini berjalan sampai sekarang. Sebahagian besar duta besar kerajaan Uthmani dan konsul-konsulnya adalah terdiri daripada orang Nasrani”.

Firman-Nya: Mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Kalimat ini bukanlah dapat memberi penjelasan yang konkrit. Kerana itu, ia mengandungi perintah untuk mencari bukti-bukti yang lebih nyata dan jelas pada sikap tingkah laku mereka. Itulah agaknya yang menjadi sebab sehingga ayat ini diakhiri dengan jika kamu berakal, bukan bila kamu mengetahui atau memahami. Dalam hal ini, kaum muslimin diperintahkan menggunakan akal dan fikiran untuk menimbang dan menganalisis sikap dan tingkah laku penentang-penentang Islam.

iv. Hamka berkata: “Kalimat ini ialah bhitanah, bermaksud kawan rapat atau sahabat karib. Ayat ini melarang orang mukmin berteman dengan orang yang bukan dari golongan mereka sendiri. “Mereka sangka orang lain akan jujur sepertinya tetapi itulah musuh yang paling jahat dan kejam kerana mereka tidak pernah reda dengan umat Nabi Muhammad SAW”.

Sebab Nuzul ayat ke-119

Ibn Abbas berkata: “Kebanyakan orang Ansar menjalin hubungan dengan orang Yahudi. Apabila mereka memeluk Islam, Yahudi begitu marah terhadap mereka lantas turunnya ayat ini”.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Berkenaan kasih sayang orang beriman terhadap mereka mempunyai empat pandangan:

– Cenderung kepada mereka secara tabiat seperti hubungan kerabat dan lain-lain. Inilah pendapat Ibn Abbas.

– Dengan makna rahmat. Apa yang mereka lakukan maksiat akan dibalas dengan azab. Inilah pendapat al-Qatadah.

– Orang munafikin menzahirkan iman kerana orang munafikin menzahirkan iman. Inilah riwayat Abu al-‘Aliyah.

– Harapan supaya mereka memeluk Islam. Inilah pendapat al-Mufaddhal dan al-Zajjaj.

ii. Al-Maraghi berkata: “Perasaan yang ditonjolkan oleh orang mukmin kepada golongan kafir dan begitulah perwatakan mereka merupakan bukti yang paling jelas bahawa Islam ini adalah agama rahmat dan bersikap toleransi, dan tidak mungkin lagi ada agama lain yang dapat memiliki sikap yang lebih baik daripada ini”.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Penutup ayat ini sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati, dapat difahami sebagai bahagian yang diperintahkan untuk diucapkan sebagaimana dikemukakan di atas.

“Ia juga dapat difahami dalam erti huraian yang tersendiri. Jika demikian, ia adalah informasi kepada mereka dan juga kepada umat Islam bahawa kebencian dan kedengkian mereka itu diketahui Allah.

“Informasi ini penting, kerana mereka menyembunyikan daripada semua pihak termasuk kaum muslimin yang masih menjalin hubungan kasih sayang dengan lawan-lawan itu”.

iv. Hamka berkata: “Kamu belas kasihan kepada mereka dan mengharap ia mendapat petunjuk agar dapat merasakan nikmat hidup beragama tetapi mereka tidak menyambut seruan dan kasih sayang kita”.

Iktibar dan fiqh ayat ke-120

i. Al-Alusi berkata: “Sebahagian ahli tahqiq berpendapat lebih elok dan utama dikatakan ia menjadi dalil atas melampaunya mereka dalam kegembiraan dan dukacita”.

ii. Al-Maraghi berkata: “Ayat ini memberikan pengajaran kepada kaum mukmin dari aspek pergaulan dengan pihak musuh.

“Sesungguhnya Allah SWT telah menyuruh orang beriman agar bersabar menghadapi api permusuhan dengan golongan kafir yang dilitupi dengan perasaan benci kepada mereka dan sentiasa berhati-hati terhadap rancangan jahat mereka.

“Dalam hal ini orang mukmin tidak disuruh membalas kejahatan dengan kejahatan yang sama. Sudah menjadi kebiasaan bagi al-Quran menyuruh mereka melakukan perbuatan yang membawa ke arah kecintaan dan kebaikan dan melawan kejahatan dengan kebaikan.

“Ayat ini masih melanjutkan huraian tentang orang-orang yang tidak wajar diangkat menjadi teman dan tempat untuk menyimpan rahsia atau diserahi urusan-urusan kaum muslimin yang menentukan masa depan Islam dan penganutnya.

“Mereka itu di samping sifat-sifatnya yang disebutkan pada ayat-ayat yang lalu jika kamu disentuh, yakni mendapatkan walau sedikit kebaikan seperti nikmat kesihatan, keuntungan material, kemenangan nescaya mereka bersedih hati akibat sentuhan yang sedikit itu, tetapi jika kamu ditimpa bencana yang besar barulah mereka bergembira kerananya.

iii. Hamka berkata: “Tidur mereka sudah tidak tenang lagi, makanpun tidak rasa nikmatnya lagi. Mereka sendiri yang meracuni jiwa mereka dengan rasa benci dan dendam itu. Mereka tidak senang dengan kesenangan orang lain.

“Mereka mempunyai hati yang busuk kerana mendengki dan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Perbuatan mereka sungguh aib dan dimurkai Allah SWT”.

Semoga umat Islam sentiasa mendapat keredaan Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin.


Pengertian perintah Iqra'

By mfrstudio

SEPERTI yang dimaklumi, al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan al-Mubarak. Sebahagian ulama berpendapat ia diturunkan pada 17 Ramadan di Gua Hira'.

Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: "Dalam beberapa hadis diterangkan bahawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Gua Hira' dan beribadat di tempat itu selama beberapa malam. Kemudian Baginda pulang ke rumah isterinya, Khadijah dan Baginda dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehinggalah ke saat Baginda diturunkan wahyu.

Semasa Baginda berada di Gua Hira', malaikat Jibril a.s datang lalu berkata kepadanya: "Bacalah!". Lantas jawab Baginda: "Aku tidak tahu membaca."

Lalu Jibril a.s memegang Baginda dan memeluknya dengan erat sehingga Nabi berasa sukar bernafas. Kemudian Jibril melepaskan Baginda lalu berkata: "Bacalah!". Jawab Baginda lagi: "Aku tidak tahu membaca."

Jibril memegangnya lagi dan memeluknya hingga Baginda sekali lagi sukar bernafas. Lalu Jibril a.s membaca firman Allah SWT yang bermaksud:

"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

Para perawi-perawi hadis menambah: Baginda segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar ketakutan sambil bersabda: "Selimutlah aku! Selimutlah aku!". Baginda kemudiannya diselimutkan oleh Khadijah sehingga hilang rasa gementarnya.

Kemudian Baginda menceritakan segala yang berlaku kepada Khadijah, lalu bersabda: "Aku rasa bimbang akan diri sendiri".

Kata Khadijah untuk menyenangkan hati Rasulullah SAW: "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana dirimu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka memikul beban orang lain, menjamu tetamu dan membela kebenaran."

Kemudian Khadijah membawa Baginda ke rumah Waraqah Ibn Nawfal Ibn 'Asad bin Abdul 'Uzza iaitu sepupunya. Waraqah telah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab dan telah menyalin kitab Injil ke bahasa Ibrani. Beliau menjadi buta setelah usia menginjak tua.

Kata Khadijah kepadanya: "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini."

Jawab Waraqah: "Apakah yang terjadi, wahai anak saudaraku?"

Rasulullah SAW terus menceritakan apa yang telah dilihatnya. Sahut Waraqah: "Itu adalah Namus yang turun kepada Nabi Isa a.s. Alangkah baiknya kalau aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu nanti."

Lantas Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kaumku akan mengusirku?". Jawab Waraqah: "Ya! Tidak seorang pun yang membawa apa yang kamu bawa ini tidak dimusuhi. Jika aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku."

Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. - Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).

Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam Fiqh Sirah berkata, hadis permulaan penurunan wahyu itu merupakan masa utama yang memberi implikasi terhadap seluruh hakikat dan de facto akidah dan syariah Islamiah, memahami serta mempercayai dengan penuh yakin.

Ia merupakan titik permulaan dan pengenalan yang semestinya ke arah mempercayai segala apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Antaranya, perkhabaran ghaib dan suruhan syariat lantaran hakikat wahyu itu adalah jenis yang tunggal yang memisahkan di antara manusia yang berfikir dengan otak pemikiran yang bersifat serba kemanusiaan dengan manusia yang menyampaikan segala sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhannya tanpa menukar, menokok tambah dan sebagainya."

Tokoh terkenal, Fadhilatu Sheikh Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti pula menjelaskan, pelukan Jibril kepada Nabi SAW beberapa kali dan disuruh membaca, kemudian pelukan selepas itu bertambah kuat sebagai bukti dan dalil bahawa proses mendapat ilmu memerlukan mujahadah, kesabaran dan kesungguhan. Ini kerana sifatnya yang amat sukar untuk diperoleh di samping memerlukan pengorbanan yang besar."

Sementara itu, Sheikh Muhammad Abduh pula berkata, perintah membaca itu bukan sebagai beban tugas yang harus dilaksanakan sehingga menuntut satu-satu objek tetapi ia adalah perintah takwini yang mewujudkan kemampuan membaca secara umum.

Di sini jelas menunjukkan, kata iqra' digunakan dalam erti dan maksud membaca, mentelaah, menyampaikan dan sebagainya dan kerana objeknya bersifat umum, maka objek kata tersebut mencakupi segala yang dapat terjangkau sama ada bacaan suci bersumberkan Ilahi atau dari yang lain.

Begitu juga, berkenaan dengan ayat yang tertulis atau sebaliknya.

Walhasil, perintah iqra' , mencakupi mentelaah terhadap alam buana, masyarakat dan diri sendiri serta bacaan tertulis baik yang suci ataupun yang lainnya.

Sheikh al-Azhar iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya al-Quran fi Syarhi al-Quran menjelaskan, dengan kalimat iqra' bismi rabbik, al-Quran tidak sekadar memerintahkan untuk membaca, tetapi membaca adalah lambang dari segala apa yang dilakukan oleh manusia, baik yang sifatnya aktif mahupun pasif."

Kalimat tersebut dalam pengertian dan semangatnya ingin menyatakan "Bacalah demi Tuhanmu, bergeraklah demi Tuhanmu, bekerjalah demi Tuhanmu".

Demikian juga apabila anda berhenti bergerak atau berhenti melakukan sesuatu aktiviti, maka hendaklah hal tersebut juga didasarkan kepada bismi rabbik sehingga pada akhirnya ayat tersebut bererti: "Jadikanlah seluruh kehidupanmu, wujudmu, dalam cara dan tujuannya, kesemuanya demi kerana Allah SWT".

Menurut Sheikh al-Maraghi, perintah membaca itu diulang-ulang kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulang-ulang dan dibiasakan. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali.

"Jadi membaca menjadi bakat Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menerangkan keutamaan membaca, menulis dan kepentingan ilmu pengetahuan."

Menurut Sheikh al-Maraghi lagi, dijadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman kepada sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan."

Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.

Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian dan penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca, menjelaskan serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?

Sesungguhnya tanpa qalam, ilmu pengetahuan tidak akan terpelihara. Agama-agama akan hilang lenyap dan generasi kemudian tidak dapat mengenal generasi dahulu.

Aspek ilmu pengetahuan, penemuan-penemuan, kemahiran-kemahiran, sejarah baik buruk umat dahulu kala tidak akan tercatat. Pengetahuan mereka tidak akan menjadi penunjuk jalan kepada umat terkemudian untuk terus maju dalam bidang rekaan dan ciptaan.

Semoga semangat Nuzul al-Quran ini menjadikan kita golongan yang prihatin kepada ilmu dan minat membaca untuk mencapai seterusnya menjadi hamba-Nya yang benarbenar bertakwa. Amin

PENULIS ialah Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan


Umat Islam umat terbaik

By mfrstudio


Umat islam perlu menguasai ilmu untuk muncul sebagai umat terbaik.


SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan dalam ayat-ayat terdahulu berkenaan kelebihan orang yang beriman daripada yang lain kerana mereka mengambil hukum Islam, mengambil hidayah daripadanya,

membentuk jemaah yang utama lagi mulia, yang beriman dengan Allah melakukan amal makruf nahi munkar dan begitu juga saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Kemudian Allah menceritakan pula golongan ahli kitab yang memusuhi orang Islam.

Ayat ke-111

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya), sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

Sebab Nuzul

Ayat ini diturunkan kerana ketua-ketua orang Yahudi di Madinah telah mengganggu dan menyakiti orang-orang yang masuk Islam dari golongan mereka seperti Abdullah bin Salam dan sahabat-sahabatnya. Oleh yang demikian Allah SWT menurunkan ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah mengkhabarkan kepada hamba-nya yang beriman berita gembira tentang kemenangan mereka terhadap ahli kitab dan golongan kafir".

ii. Al-Alusi berkata: "Ayat ini menjadi dalil yang nyata berkenaan dengan kenabian Muhammad SAW kerana perkhabaran yang ghaib telah mengesahkan realiti yang sebenar.

iii. Al-Hassan berkata: "Dakwaan mereka adalah pendustaan terhadap Allah".

Ringkasnya, mereka ini tidak lagi memiliki harga diri dan rasa kebesaran kerana kekuasaan dan kerajaan telah hilang daripada diri mereka.

Sesungguhnya rasa kebesaran itu hanya dapat kembali semula kepada mereka dengan bantuan orang luar serta melalui dua bentuk perjanjian, iaitu perjanjian yang telah ditetapkan Allah SWT dan perjanjian yang berlaku di kalangan manusia.

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata yadhurrikum diambil dari kata dharar, yang difahami oleh ulama dalam erti menyakitkan badan, sedang kata adza difahami dalam erti gangguan yang menyentuh perasaan yang amat terkesan dalam jiwanya.

Sebab itu terjemahan di atas menggunakan kata tetapi gangguan-gangguan saja. Ada juga yang memahami kata adza sebagai mudarat sehingga mereka menterjemahkannya: Sekali-kali mereka tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, kecuali mudarat yang bersifat cemuhan sahaja.

v. Hamka berkata: "Orang yang beriman bersedia mati syahid dalam imannya. Si fasiq hanya mencintai hidup.

Oleh sebab itu peringatan yang dikemukakan Tuhan di dalam ayat ini untuk kita jadikan pedoman mengukuhkan semangat Islam dengan terus berdakwah, berani menegakkan kebenaran dan berjihad di jalan Allah SWT.

Dalam ayat ini ada tiga kegembiraan daripada perkhabaran yang ghaib iaitu:

i. Gangguan musuh-musuh Islam tidak akan menjejaskan umat Islam.

ii. Jika mereka menentang umat Islam di medan pertempuran mereka akan undur kerana kekalahan yang dialami sangat teruk.

iii. Mereka tidak mendapat pertolongan.

Ketiga-tiga kegembiraan ini benar-benar telah berlaku. Benarlah janji-janji Allah SWT dan akhirnya orang-orang Islam akan memelihara agamanya dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Ayat ke-112

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud tali di sini ialah perjanjian. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ata', al-Dhahaq, al-Qatadah, al-Suddi dan Ibn Zaid.

ii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah sifatkan orang yang beriman dengan tiga sifat iaitu:

* Bersyukur kerana syukur itu pertama ketaatan.

* Sabar kerana iman hasil yang pertama dari syukur membawa menahan pencegahan daripada mengikut hawa nafsu.

* Reda.

Mereka (bangsa Yahudi) tetap berada dalam suasana yang bercerai-berai di mana-mana penjuru dunia mereka berada dan dianggap golongan minoriti, memencil dari penguasaan teknik berperang, menjauhkan diri daripada kegiatan bertani.

Ini kerana mereka sibuk memusatkan perhatian kepada manipulasi kekayaan dengan cara yang paling mudah dan pengembangan keuntungan yang paling besar, dan dengan risiko yang paling kecil, iaitu melalui amalan riba.

Allah SWT telah menyebutkan punca mereka melakukan perbuatan yang seperti itu menerusi firman Allah SWT.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata habl atau tali dalam ayat ini diulang dua kali dan keduanya dijelaskan dari siapa.

"Yang pertama dari Allah SWT dan kedua dari manusia. Pengulangan kata yang sama dengan bentuk definisi yang sama mengisyaratkan bahawa ia adalah berbeza di antara satu sama lain. Tali yang dihulur oleh Allah SWT adalah tali agama.

"Jika berpegang teguh dengannya mereka tidak akan terkena balasan yang disebut di atas. Atas dasar itu, mufasir memahami kehinaan dan kerendahan yang mereka alami adalah dalam pandangan hukum agama, bukan sekadar berita yang mereka alami itu adalah kenyataan hidup berdasarkan qada dan qadar ilahi.

iv. Hamka berkata: "Dari ayat ini kita mendapat ilmu tentang kenaikan dan keruntuhan suatu kaum, golongan atau bangsa. Allah SWT menjamin umat Nabi Muhammad SAW menjadi khaira ummatin (umat terbaik)".

v. Al-Sonhadji berkata: "Kehinaan di sini dimaknakan oleh para ahli tafsir (mufasirin) dengan bermacam-macam iaitu: pembunuhan, perhambaan, penawanan dan pembayaran jizyah".

Ayat ini menjelaskan bahawa penghinaan tersebut tidak akan lenyap selagi mereka belum berpegang dengan tali Allah SWT iaitu janji-Nya yang juga janji mereka dahulu dengan Allah untuk memeluk Islam dan berpegang dengan tali perdamaian iaitu menjadi Ahli Zimmah (orang yang dilindungi dengan pembayaran jizyah ).

Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa berqiamullail dan membaca al-Quran seterusnya mengamali dalam kehidupan.


Suruhan buat baik dan cegah mungkar

By mfrstudio


SEMANGAT gotong-royong satu cara membina ukhuwah sesama Muslim. - Gambar hiasan


SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan berkenaan Yahudi dalam sejarah mereka dan bagaimana mereka disesatkan oleh hawa nafsu serta Abbasiah keturunan hingga ditegah mereka daripada sampai kepada cahaya kebenaran lantas Allah menyebut pula berkenaan dengan ayat-ayat-Nya untuk diambil iktibar dan manfaat.

Iktibar dan fiqh ayat 108:

lAl-Maraghi berkata: "Setiap perintah dan larangan yang diberikan Allah SWT kepada mereka semata-mata dimaksudkan untuk memberi petunjuk kepada mereka, menyempurnakan fitrah mereka, dan menyempurnakan lagi tatatertib jemaah mereka."Jika menderhakai perintah-Nya, nescaya mereka akan dikenakan bencana. Hal ini bermaksud mereka telah menzalimi diri mereka sendiri lantaran perpecahan dan perselisihan mereka dan perbuatan dosa yang lain yang mencakupi tatatertib masyarakat dan menjadikan warganya sengsara".

lSheikh Muhammad al-Thahir Ibn Asyur dalam tafsirnya al-Tahrir wa al-Tanwir mengemukakan bahawa tilawah adalah mengulangi suatu ucapan dengan maksud menyampaikannya sesuai redaksinya. Ia sama dengan qiraat hanya untuk mengulangi suatu pembicaraan yang tertulis.

lHamka berkata: "Islam akan terus hidup selama dakwah masih dilakukan dan akan terpadam sekiranya ia telah padam dan tidak aktif. Akan berlaku perpecahan dan perselisihan yang sangat ketara dan semuanya akan hancur lebur dimamah usia mahupun tidak terlibat secara langsung dalam memartabatkan Islam".

lAl-Sonhadji berkata: "Apa-apa yang telah Allah SWT jelaskan daripada al-Quran dan yang telah lalu itu, adalah benar jangan diragukan lagi. Dan tiadalah Allah menghendaki penganiayaan terhadap penduduk alam. "Tuhan tidak akan menganiaya sesiapa pun daripada hamba-Nya umpamanya menyeksa seseorang dengan tidak ada kesalahan. Hanya orang yang berbuat maksiat atau derhaka terhadap Tuhan jualah yang menganiaya dirinya sendiri".

Iktibar dan fiqh ayat 109:

lIbn Kathir berkata: "Semuanya adalah milik Allah dan hamba kepada-Nya sedangkan Dia yang melaksanakan di dunia atau di akhirat segala urusan".

lAl-Maraghi berkata: "Seorang membebankan hambanya atau membebani binatang-Nya di luar kemampuannya, dia dikatakan orang yang zalim dan seorang yang mengurangi hak orang lain, bererti dia telah melakukan kezaliman kepadanya".

lHamka berkata: "Dengan ayat ini Tuhan menjelaskan bahawa buka saja dalam pergaulan hidup manusia ada sosiologi, falsafah sejarah, kenaikan dan keruntuhan, pasang naik dan pasang surut, keinsafan dan kelalaian bahkan merekalah punca saya lewat hadir ke sekolah. "Di mana-mana sahaja manusia tidak akan dapat lari daripada peraturan".

lAl-Sonhadji berkata: "Setelah Allah menjelaskan bahawasanya Allah itu tidak berkehendak dan tidak berhajat sama sekali untuk menganiaya sesiapa pun dari penduduk alam ini, lalu menyatakan pula sifat kesempurnaan-Nya dengan menunjukkan kebesarannya iaitu langit dan bumi dengan segala isinya itu adalah kepunyaan-Nya."Dan urusan semua makhluk-Nya akan terpulang kepada-Nya untuk menguruskannya".

Sebab Nuzul ayat 110

Ibn Jauzi berkata: Sebab nuzul ayat ini bahawa Malik bin Al-Daif dan Wahab bin Yahuza, kedua-duanya di kalangan Yahudi berkata kepada Ibn Mas'ud dan Salim: Agama kami lebih baik daripada apa yang kamu dakwah dan kami lebih afdal daripada mu.

Lantas turun ayat ini dan inilah pendapat Ikrimah dan Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat:

Dalam konteks sosiologis, umat adalah himpunan manusiawi yang seluruh anggotanya menuju satu arah yang sama, tolong menolong dan bergerak secara dinamik di bawah kepimpinan yang padu.

lIbn Jauzi berkata: "Empat pendapat berkenaan maksud ayat ini:l Ahli Badar.l Golongan Muhajirin.l Semua sahabat.l Semua umat Nabi Muhammad SAW.Seluruh pendapat tersebut dinisbahkan kepada Ibn Abbas.

lAl-Maraghi berkata: "Umat Islam ini tetap menjadi umat yang terbaik selama mana mereka tidak meninggalkan tugas menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran."Kedua-dua tugas ini (menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran) ditinggalkannya sejak timbulnya pemerintahan diktator, yang dipopularkan oleh raja dan amir dari golongan Bani Umaiyah dan pemerintah yang meniru jejak langkah mereka. Orang pertama dari pemerintah Bani Umaiyah yang berani melakukan perbuatan maksiat dan kurang ajar adalah Abd. Malik Ibn Marwan, ketika di atas mimbar beliau berkata: "Barang siapa yang berani menegurku dengan ungkapan takutlah kamu kepada Allah SWT, nescaya aku akan penggal lehernya".

lMuhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat di atas menggunakan kata ummah atau umat. Kata ini digunakan untuk menunjuk semua kelompok yang dihimpun oleh sesuatu seperti agama yang sama, waktu atau tempat yang sama, baik penghimpunannya secara terpaksa, mahupun atas kehendak mereka. Demikian al-Raghib dalam al-Mufradat Fi Gharib al-Quran. Bahkan al-Quran dan hadis tidak membatasi pengertian umat hanya pada kelompok manusia. Tidak satu burung pun yang terbang dengan kedua sayapnya kecuali umat-umat juga seperti kamu. (Terjemahan surah al-An'am: 38 ). Semut yang berkeliaran, juga umat dari umat-umat Tuhan. (riwayat Muslim ).

lHamka berkata: "Pada ayat yang telah lalu telah diperintahkan dengan nyata dan tegas supaya di kalangan jemaah Islamiah itu diadakan umat yang khusus menyuruh kepada kebaikan dan melarang perbuatan yang mungkar."Dijelaskan sekali lagi, bahawa kamu mencapai darjat yang tinggi kerana memenuhi ketiga-tiga syarat iaitu amar makruf nahi munkar, iman kepada Allah SWT dan ketiga itulah disebut sebaik-baik umat".

lAl-Sonhadji berkata: "Tuhan telah menyifatkan demikian terhadap Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabatnya waktu turunnya ayat ini. Mereka telah bermusuhan sesama mereka pada masa lampau kemudian disatukan hati mereka lalu berpegang teguh dengan tali Allah SWT.Al-Sonhadji berkata: "Kebaikan umat bergantung kepada tiga perkara:l Menyuruh berbuat kebajikan.l Melarang melakukan kejahatan.l Percaya kepada Allah SWT.

Jika ini ditinggalkan, sudah tidak ada lagi kebaikannya kepada umat.

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang putih mukanya dan berseri kerana mendapat rahmat Allah. Amin.