Anjuran berzikir dalam tiga masa
Syeikh al-Maghari berkata: Selepas Allah memerintahkan untuk berzikir dengannya di Masy’aril Haram, mereka tidaklah berzikir kepadanya di sana dan memerintahkan dengan zikirnya ketika sempurna menunaikan ibadat haji selepas hari-hari Mina. Dengan mereka banyak menyebut kelebihan nenek moyang mereka. Lantas Allah menyuruh mereka berzikir pada hari-hari Mina.
Allah berfirman, Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya. (Al-Baqarah: 203)
Firman Allah s.w.t: Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Ibn al-Jauzi berkata:
i. Iaitu takbir di sisi Jamarat dan selesai solat, begitu juga waktu-waktu lain dari waktu haji.
ii. Takbir selepas solat fardu. Berhubung dengan pendapat ini mereka telah khilaf waktu dimulakan takbir dan disudahinya dengan enam pendapat:
* Dimulakan takbir dari solat fajar hari Arafah hingga selepas solat Asar pada akhir hari tasyrik. Inilah pendapat Ali, Abu Yusuf dan Muhammad.
* Dari solat fajar hari Arafah hingga solat Asar hari raya. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan Abu Hanifah.
* Dari selepas solat Zuhur hari korban hingga selepas Asar pada akhir hari Tasyrik. Inilah pendapat Ibn Umar, Zaid bin Thabit, Ibn Abbas dan ‘Ata’.
* Bahawa dimulakan takbir dari solat Zuhur hari korban hingga selepas solat Zuhur hari nafar, iaitu hari kedua dari hari tasyrik seperti kata al-Hasan.
* Dimulakan takbir dari waktu zuhur hari korban hingga solat Subuh pada akhir hari tasyrik. Inilah pendapat Malik bin Anas dan satu pendapat dari Imam Syafie.
* Dimulakan takbir pada waktu solat Maghrib malam raya korban sehingga solat subuh pada akhir hari-hari tasyrik. Inilah pendapat Imam Syafie dan juga Imam Ahmad.
Berkenaan maksud hari yang dikira (ma’dudat) dengan tiga pendapat:
* Hari-hari tasyrik seperti pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, al-Hasan, ‘Ata’, Mujahid dan Qatadah.
* Hari korban dan dua hari selepasnya seperti riwayat Ali dan Ibn Umar.
* Hari 10 Zulhijjah seperti riwayat Sa’id bin Jubair dan al-Nakha’ie.
Hari-hari berzikir dan menyebut nama Allah (dengan bertakbir dan bertahmid) mengikut pendapat yang rajih ialah hari Arafah, hari korban dan hari tasyrik selepasnya. Ujar Ibn Abbas yang dimaksudkan dengan hari-hari tertentu ialah hari-hari tasyrik. Ujar Ikrimah: maksud berzikir pada Allah pada hari-hari tertentu itu ialah bertakbir pada hari-hari tasyrik selepas menunaikan sembahyang fardu iaitu ucapan Allahu Akbar, Allahu Akbar.
Di dalam hadis yang telah lepas daripada Abdul Rahman Ibn Ma’mar al-Dailami, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Dan hari-hari tinggal di Mina itu tiga hari dan sesiapa yang bertolak segera meninggalkan Mina pada yang kedua, maka tidak ada apa-apa dosa ke atasnya dan sesiapa yang lewat meninggalkan Mina, maka tidak ada apa-apa dosa ke atasnya.
Hari-hari Arafah, korban, tasyrik merupakan hari-hari yang wajar untuk berzikir kepada Allah iaitu dua hari yang pertama darinya atau dua hari yang akhir darinya. Semuanya itu dengan syarat takwa.
Firman Allah: (Ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa. Kemudian ayat yang berikut mengingatkan mereka dengan pemandangan mahsyar sesuai dengan pemandangan haji. Ia merangsangkan perasaan takwa di dalam hati mereka di hadapan pemandangan mahsyar yang ngeri itu.
Jika ditanya; sesungguhnya ditakuti dosa yang segera maka bagaimana pula yang mentakhirkan diikuti dengannya dan yang datang dengannya lebih afdal? Ada empat jawapan berkenaan persoalan di atas:
i. Maknanya tiada dosa bagi yang segera dan bagi yang takhir mendapat pahala.
ii. Tiada dosa bagi yang terakhir dalam meninggalkan rukhsah.
iii. Telah hilang segala dosa yang segera dan takhir sebelum haji kedua-duanya.
iv. Dibuang dosa dari yang segera dan takhir dengan syarat takwa.
Firman Allah s.w.t: Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah. Maksud bagi siapa yang bertakwa dengan tiga pendapat:
* Bagi siapa yang bertakwa untuk membunuh binatang buruan seperti pendapat Ibn Abbas.
* Bagi siapa yang bertakwa dari maksiat ketika melaksanakan ibadat haji seperti kata Qatadah. Ibn Mas’ud berkata: Sesungguhnya keampunan Allah bagi siapa yang bertakwa dalam hajinya.
* Bagi siapa yang bertakwa daripada usianya yang berbaki seperti kata Abu al-‘Aliyah dan Ibrahim.
Al-Alusi berkata: Pada segala urusanmu yang berkaitan dengan keazaman untuk kamu susun dan atur mengikut perjalanan mereka yang berkemenangan dengan segala hukum yang tersebut atau hendaklah kamu mengawasi daripada berlaku kecacatan dengan apa yang disebut berkenaan dengan urusan haji.
Sayid Qutub berkata: Demikianlah kita dapati di dalam ayat-ayat ini bagaimana al-Quran menjadikan haji sebagai satu ibadat Islam yang wajib, dan bagaimana ia mencabut darinya segla akar umbi jahiliah dan mengikatkannya dengan tali ikatan Islam dan menambatkannya pada tiang paksi Islam serta menaunginya dengan kefahaman-kefahaman dan kepercayaan-kepercayaan Islam dan membersihkannya daripada segala noda dan kelodak jahiliah.
Inilah cara yang dilakukan oleh Islam dalam mana-mana adat dan upacara ibadat yang mahu dikekalkannya. Ia tidak lagi berada dalam bentuk lamanya yang wujud di zaman jahiliah, malah ia kembali dalam bentuk yang baru sesuai dengan pakaiannya yang baru. Ia bukan lagi merupakan satu tradisi orang arab, malah ia kembali menjadi ibadat Islamiah. Hanya Islam sahaja yang kekal dan terpelihara.
Firman Allah s.w.t: Dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya. Ini kerana balasan yang akan dikenakan atas segala amalanmu selepas dihidupkan dan dibangkitkan. Ayat ini ditutup supaya manusia beriman seterusnya melakukan amalan yang soleh yang boleh melazimi sifat ketaqwaan kerana yakin kepada hari balasan.
Hal ini menunjukkan bahawa segala tindakan manusia akan dikira di hadapan Allah pada hari yang tidak boleh memberi manfaat oleh harta benda dan anak pinak kecuali yang datang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera dan juga amalan yang soleh. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang beriman dengan segala rukun iman dan beramal dengan amalan yang soleh.
Iktibar dan pengajaran ayat:
*Kelebihan zikrullah.
*Rukhsah dalam melakukan ibadat haji.
*Sifat takwa merupakan tuntutan untuk kebahagiaan.
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
No Comment
Post a Comment