Tidak ada rujuk selepas talak tiga

By mfrstudio

Sayid Qutub berkata: Talak yang ketiga – sebagaimana dijelaskan – merupakan bukti yang menunjukkan ada kerosakan yang sebenar dalam kehidupan suami isteri ini, yang tidak ada jalan lagi untuk memperbaikinya dalam masa yang hampir – jika si suami itu sungguh-sungguh dan benar-benar hendak bercerai – dalam kes yang seperti ini eloklah keduanya masing-masing berusaha mencari kongsi hidup yang baru.

Namun, talak yang dilakukan dengan sikap bermain-main atau gopoh-gapah atau tolol, maka perbuatan ini pastilah dibataskan agar ia tidak terus mempermain-mainkan hak talak yang telah disyariatkan supaya menjadi injap keselamatan (rumahtangga) dan supaya menjadi ubat darurat untuk mengubati penyakit yang sukar diubati, bukannya supaya ia menjadi sasaran permainan dan kegopohan. Dan di waktu itu kehidupan rumahtangga ini pastilah ditamatkan kerana ia tidak lagi mendapat penghormatan dan pengawasan dari suami.

Allah berfirman, Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (mas kahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya. (al-Baqarah: 230)

Firman Allah s.w.t: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.

Al-Mawardi berkata: Maksud talak di sini dengan dua pendapat:

Pertama: Talak tiga. Inilah pendapat al-Suddi.

Kedua: Yang demikian itu pilihan. Inilah pendapat Mujahid.

Said bin al-Musayyib berkata: Isteri yang ditalak tiga menjadi halal kepada suami pertamanya hanya semata-mata berlakunya akad perkahwinan dengan suami kedua sekalipun suami kedua tidak menyetubuhinya berdasarkan firman Allah di atas.

Ini kerana yang dimaksudkan dengan perkahwinan itu ialah akad. Kenyataan ini tidak benar dari dua sudut:

Pertama: Kita katakan kepadanya yag dimaksudkan dengan perkahwinan ialah persetubuhan.

Kedua: Lafaz nikah dalam al-Quran membawa maksud akad dan persetubuhan. Jadi mengapa dalam ayat ini beliau mengkhususkan dalam erti akad sahaja.

Ibn al-Arabi berkata: Dalam ilmu fiqh tidak ada persoalan yang lebih sukar bagiku selain persoalan ini. Hal ini kerana dalam usul fiqh membincangkan adakah hukum itu berkaitan dengan permulaan nama atau akhirnya? Hal itu kerana kami terangkan dalam usul fiqh dan sebahagian penerangan yang lalu.

Firman Allah: Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (mas kahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

Kesalahan

Al-Baghawi berkata: Maksudnya, apabila suami kedua telah menceraikannya setelah bersama dengannya maka tiadalah menjadi kesalahan untuk bekas suami yang pertama berkahwin dengan bekas isteri tersebut.

Ibn al-Arabi berkata: Ayat ini merupakan dalil bahawa isteri itu boleh mengahwininya sendiri kerana akad nikah itu disandarkan kepadanya. Mengikut mazhab Maliki, kalau Said bin Musayyib berpendapat seperti itu di samping pendapatnya bahawa nikah itu bererti akad maka tentulah benar alasannya.

Namun bagi kami dan anda yang berpendapat bahawa pernikahan dalam ayat ini bermaksud persetubuhan maka tidak benarlah kita menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa seseorang perempuan boleh mengahwinkan dirinya sendiri. Inilah sebenarnya pendapat jumhur ulama.

Firman Allah: …dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

Al-Alusi berkata: Ia merupakan isyarat kepada hukum-hukum yang tersebut yang terpelihara daripada menerima perubahan.

Mungkin ada orang berkata: Apakah dosa perempuan yang terancam hidupnya, keamanannya dan kemantapannya disebabkan sepatah kata yang keluar dari mulut seorang lelaki yang bersikap bermain-main?

Kita sedang menghadapi satu realiti dalam kehidupan manusia. Apakah satu cara lain untuk menghadapi perkara ini jika kita tidak menggunakan cara ini? Apakah anda berpendapat kita memaksa si suami yang seperti ini supaya terus hidup dengan isteri yang tidak lagi memandang hormat kepadanya?

Misalnya kita boleh kata kepada si suami itu: Kami tidak mahu berpegang dengan talak awak ini kerana kami tidak mengiktirafkannya dan kami tidak akuinya. Ini isteri awak. Ia adalah tanggungjawab awak. Sekarang ambillah dia!

Tentulah kita tidak boleh buat begitu kerana perbuatan ini merupakan satu penghinaan terhadap isteri dan terhadap hubungan suami isteri yang tidak diredai oleh Islam yang menghormati perempuan, menghormati perhubungan suami isteri dan yang telah mengangkatkan hubungan ini ke tahap ibadat kepada Allah.

Malah hubungan yang betul terhadapnya ialah mengharamkannya dari isteri yang dipermainkan kehormatan perhubungan dengannya dan mewajibkan ke atasnya mengadakan mas kahwin dan akad yang baru jika ia membiarkan isterinya (hingga habis idah) dan berpisah darinya tanpa rujuk di dalam dua talak yang pertama itu, dan mengharamkannya dari isterinya pada talak yang ketiga secara mutlak kecuali si isteri itu telah berkahwin dengan orang lain.

Ini bermakna ia telah kehilangan mas kahwin dan nafkah yang dibelanjakan kepada isterinya dan selepas itu kita mewajibkan ke atasnya nafkah idah dalam semua keadaan. Yang penting kepada kita ialah kita harus melihat realiti jiwa manusia dan realiti kehidupan mereka bukannya melayang-layang dalam alam impian yang tidak berpijak di bumi atau di alam mimpi!

Iktibar Ayat

- Selepas talak tiga tidak boleh bagi bekas suami merujuk sehingga bekas isteri itu berkahwin dengan suami yang baru. Mengikut hadis sehingga dia telah bersama dengan suaminya yang baru kemudian diceraikan ketika itu barulah boleh bekas suami yang pertama berkahwin dengannya semula.

- Talak tidak boleh dibuat main-main, lakonan dan bergurau senda kerana ia dikira sebagai jatuhnya talak.

- Golongan yang berilmu dapat memahami keterangan Allah.

1 Comment

Bagaimana sekiranya melepas muhalil tadi suami yang pertama bernikah semula dgn bekas isteri dan mereka bercerai untuk kali kedua dengan talak 1 kemudian selepas iddah mereka nikah semula. Adakah haram? Saya ada terdengar dari ustaz yg mengatakan sekiranya suami itu cerai semula walaupun talak 1 tetapi tak boleh dirujuk semula . Harap mendpt penjelasan dr.

Post a Comment