Orang zalim tidak diberi petunjuk

By mfrstudio

Sheikh Abu Zahrah berkata, sesungguhnya Allah SWT mempunyai peraturan dan sunnah yang kukuh pada makhluknya. Sebagaimana alam berjalan atas qanun yang thabit, tidak menerima perubahan kecuali dengan kehendak Allah.

Begitu juga di sana peraturan-peraturan pada jiwa yang tidak menerima perubahan kecuali dengan kehendak Tuhan.

Termasuk dalam sunnahnya bahawa jiwa-jiwa tidak mendapat petunjuk kecuali yang menuntut kebenaran dengan penuh keikhlasan kepada Allah.

Ayat ke-86

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim.

Sebab Nuzul

Terdapat tiga sebab nuzul:

*Seorang lelaki di kalangan Ansar telah murtad dan mengikut golongan musyrikin kemudian turunnya ayat ini. Selepas itu kaumnya menulis surat kepadanya dan dia pulang bertaubat. Inilah riwayat Ikrimah daripada Ibn Abbas r.a.

*Diturunkan pada ahli kitab yang mengenali Nabi SAW kemudian kufur. Inilah riwayat 'Atiah daripada Ibn Abbas r.a.

*Ikrimah berkata, ada 12 lelaki termasuk Abu Amir al-Rahib dan al-Harith Ibn Suwayd keluar daripada Islam dan bergabung dengan golongan Quraisy.

Mereka kemudiannya menulis surat kepada keluarga mereka, menanyakan: "Apakah kami masih ada peluang bertaubat? Lalu turunlah ayat ini kepada mereka. Dan sebahagian besar riwayat menyebut kejadian ini menjadi sebab turunnya ayat ini".

Iktibar dan fiqh ayat

*Al-Maraghi berkata, ayat ini menyatakan betapa jauhnya kemungkinan mereka untuk mendapat hidayah menurut sunnatullah yang berlaku pada manusia dan sebagai makluman kepada nabi agar jangan mengharapkan sangat mereka ini beriman.

Ini kerana salah satu sunnatullah untuk menunjukkan manusia kepada kebenaran ialah dengan mengutarakan dalil-dalil dan bukti-bukti kepada mereka, di samping melenyapkan rintangan-rintangan yang dapat menghalang daripada keadaan yang sebenar bagi mencapai matlamat.

Lantaran demikian, Allah SWT menetapkan bahawa mereka berada jauh daripada orang yang sebelum mereka. Dengan cara ini mereka akan mengimani kerasulannya.

*Mohamad Quraish Shihab berkata, keberatan atau pertanyaan itu menghairankan kerana bagaimana Allah akan memberi petunjuk.

Yakni kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakan petunjuk-petunjuk kepada suatu kaum yang kafir enggan taat sesudah mereka beriman dengan adanya fitrah kesucian yang dianugerahkan Allah kepada setiap manusia. Serta mereka telah mengakui bahawa Muhammad itu benar-benar Rasul, dengan bukti-bukti yang terdapat dalam diri baginda serta bukti-bukti yang lain khususnya al-Quran.

Selain itu, telah datang keterangan-keterangan kepada mereka melalui para nabi terdahulu dan termaktub pula dalam kitab Taurat dan Injil.

Bagaimana mungkin Allah memberi kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakan tuntutan-Nya kepada mereka sedangkan mereka sendiri tidak mahu patuh dan memanfaatkan petunjuk yakni potensi dan informasi yang diberikan Allah SWT. Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

*Al-Hasan meriwayatkan bahawa orang-orang Ahli Kitab dari Yahudi dan Nasrani telah mengetahui tentang sifat-sifat Nabi SAW di dalam kitab mereka.

Mereka telah mengaku serta memberikan penyaksiannya bahawa yang demikian itu adalah benar. Apabila Nabi yang dibangkitkan bukan di kalangan mereka lalu dimusuhi dan diingkari seruannya.

Ayat ke-87

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikat-Nya sekelian orang-orang (yang beriman).

Iktibar dan fiqh ayat

*Ibn Kathir berkata, mereka dilaknat oleh Allah dan segala makhluk Allah melaknat kepada mereka.

*Al-Maraghi berkata, mereka berhak mendapat kemurkaan daripada Allah SWT, kemurkaan malaikat dan semua manusia kerana apabila manusia sedar sifat mereka yang sebenarnya, serta-merta mereka dilaknat Allah SWT.

Ini kerana sifat mereka ini akan mendorong orang yang mengetahuinya mengeluarkan kutukan dan kemarahan.

*Al-Sonhadji berkata, orang-orang yang kufur sesudah beriman akan dibalas dengan azab dan kemurkaan Allah SWT serta laknat Malaikat-malaikat dan sekelian manusia.

Mereka akan jauh daripada mendapat rahmat Allah sehingga tidak akan mendapat belas ihsan sama sekali. Maksud orang yang dikutuk ialah jauh daripada kerahmatan Allah SWT.

Ayat ke-88

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian.

Iktibar dan fiqh ayat

*Ibn Jauzi berkata, mereka menzahirkan dalam kesesatan dan membaiki apa yang mereka rosakkannya dan terpedaya siapa yang mengikut mereka.

*Al-Maraghi berkata, penyeksaan yang diterima tidak akan dikurang sedikit pun dan tidak ditangguhkan waktunya kerana sesuatu alasan yang mereka ajukan itu.

Perkara ini disebabkan hati mereka yang telah dipenuhi titik-titik hitam ingkar menolak kebenaran. Sehubungan itu, kemurkaan Allah SWT ditimpa kepada mereka, walau ke mana mereka pergi atau berada tidak akan dapat lari dari azab ini.

*Mohamad Quraish Shihab berkata, mereka kekal di dalamnya. Yang dimaksud dengan kekal adalah tinggal dalam waktu yang sangat lama di dalamnya, yakni laknat neraka.

Mereka juga tidak diberi tangguh dalam seksaan yang diterimanya sebagaimana penangguhan yang mereka dapatkan ketika hidup di dunia atau mereka tidak akan dilihat oleh Allah dan para malaikat dengan pandangan kasih sayang. Demikian perubahan yang menanti orang-orang yang zalim itu.

*Al-Sonhadji berkata, mereka akan kekal terseksa dan selama-lamanya dalam keadaan terkutuk. Seksa tersebut sedikit pun tidak akan diringankan oleh Allah SWT.

Pelaksanaan seksa yang dijalankan ke atasnya tidak akan ditangguh-tangguh walau sesaat.

Ayat ke-89

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Iktibar dan fiqh ayat

*Ibn Jauzi berkata, ayat ini menjadi pengecualian siapa yang bertaubat daripada yang tidak bertaubat. Sebahagian kaum menyangka bahawa ia dinasakhkan kandungannya kecuali siapa yang bertaubat sebelumnya daripada ancaman.

*Al-Maraghi berkata, ayat ini mengisyaratkan bahawa taubat yang tidak membuahkan amal soleh tidak ada ertinya dari sudut agama.

Ini disebabkan ramai manusia yang melahirkan perasaan taubat melalui penyesalan, istighfar dan meninggalkan dosa tetapi masih melakukan dosa-dosa itu.

Hal ini berlaku kerana taubatnya tidak memberi kesan kepada jiwa yang boleh mengingatkan dirinya di kala lupa, memberinya petunjuk kepada jalan yang boleh memperbaiki sifat-sifat mereka dan meluruskan kebengkokan langkahnya.

*Mohamad Quraish Shihab berkata, ini adalah pengecualian terhadap mereka yang tidak patuh atau mencari agama selain Islam.

Penulis kemukakan bahawa perubahan yang disiapkan Allah bagi yang mencari agama atau kepatuhan kepada Allah ada dua perubahan iaitu perubahan duniawi dan ukhrawi.

*Al-Sonhadji berkata, bahawasanya mereka yang dikatakan dalam ayat ini ialah Abu Amir, seorang pendeta dan al-Harith bin Suaid serta beberapa orang lain yang semuanya berjumlah 12 orang, telah keluar dari agama Islam lalu memihak kepada orang Quraisy Mekah.

Setelah tinggal beberapa di sana mereka menyesal, lalu menulis surat kepada keluarga mereka dan bertanya: "Bolehkah kami bertaubat?" Maka Allah turunkan ayat ini.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa bertaubat dan melakukan islah dan kebaikan kepada masyarakat kepada masyarakat, bangsa dan negara. Amin.


No Comment

Post a Comment