Perintah mencegah kemungkaran

By mfrstudio


budaya dan pembudayaan ilmu mampu menjadi pendinding dari terjerumus dalam gejala kemungkaran. - Gambar hiasan


SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: "Selepas Allah SWT mengarahkan orang Islam supaya berpegang dengan tali Allah SWT iaitu al-Quran al-Qarim dan jangan berpecah-belah lantas Allah menerangkan jalan dan cara untuk berpegang iaitu kesatuan dan juga pelaksanaan amar makruf nahi mungkar." Oleh yang demikian Allah SWT fardukannya dengan ayat di atas.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Kalimah lam (pada perkataan waltakum adalah lam perintah). Yakni hendaklah terdapat di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Ayat ini mengandungi perintah menyeru kepada kebaikan. Ditafsirkan oleh sebahagian ulama seperti berikut. Kalimah man di dalam ayat ini dinamakan litab'ngid ertinya untuk sebahagian.

Jelasnya perintah menyeru kepada kebaikan di sini bukanlah ditumpukan hanya kepada sebahagian umat Islam sahaja, tetapi ditumpukan kepada setiap umat Islam yang mukalaf berdasarkan firman Allah SWT (Terjemahan: surah al-Imran: 110) Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Maka berdasarkan ayat ini wajiblah atas setiap umat Islam yang mukalaf itu melaksanakan al-Amr Makruf al-Nahi al-Munkar iaitu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang berbuat kejahatan.

ii. Adapun cara melarang berbuat kejahatan atau mungkar itu sama ada dengan tangannya yakni tindakan keras, atau lisannya dengan memberikan nasihat atau sekurang-kurangnya mengingkarkan dengan hati.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim )

iii. Cara mengubah mungkar ada tiga jenis:

lMengubah dengan tangan iaitu menggunakan kekuatan atau kekuasaan orang menurut cara yang lebih berkesan. Bukan dengan cara yang membawa pertumpahan darah atau menimbulkan kekacauan yang lebih dahsyat bencananya dari perbuatan mungkar itu sendiri.

lMengubah dengan lidah setelah tidak dapat gunakan tangan. Ini dibolehkan jika ada faedah atau kesannya kerana dapat diterima dan dipatuhi nasihat atau tunjuk ajar kemudian perkara mungkar itu dihentikan.

lMengubah dengan hati setelah kedua-dua cara yang diterangkan tadi gagal dan tidak memberi kesan. Ini dikenali sebagai tanda selemah-lemah iman.

Namun demikian, ia adalah fardu ain ke atas tiap-tiap orang Islam. Ertinya wajib atas mereka mengingkari perkara yang mungkar itu dengan hati. Hal ini pernah dikatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabda-Nya yang bermaksud: "Apabila dikerjakan kejahatan dalam permukaan bumi, maka orang yang menyaksikannya tetapi dia membencinya seperti orang yang tidak melihat perbuatan tersebut. Dan barang siapa yang tidak melihat kejahatan itu tetapi dia suka akannya maka dia seperti orang yang menyaksikan perbuatan tersebut".

Maka di atas tafsiran ayat dan hadis yang disebutkan itulah membawa pengertian hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru orang supaya berbuat kebajikan dan mencegah orang daripada mengerjakan kejahatan

iv. Al-Maraghi berkata: "Mereka yang melaksanakan dakwah ini harus memenuhi syarat-syaratnya agar dapat mencapai matlamat dengan baik dan teladan dalam aspek ilmu dan amalan:

lMemahami isi kandungan al-Quran, sunnah dan jejak langkah Nabi SAW serta para Khalifah al-Rasyidin.

lPeka dengan keadaan masyarakat yang menjadi sasaran dakwah, dari aspek selok-belok masalah, kesediaan, tabiat, akhlak dan pergaulan mereka dengan masyarakat.

lMenguasai bahasa masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya. Nabi SAW pernah menyuruh beberapa orang sahabatnya mempelajari bahasa Ibrani bagi kemudahan berkomunikasi dengan bangsa Yahudi yang menjadi jiran Baginda dan mengetahui mereka yang sebenar.

lMengetahui agama dan tradisi serta berbagai-bagai aliran di kalangan pelbagai umat demi memudahkan dirinya mengetahui mana yang batil dari yang betul.

v. Al-Sonhadji berkata: "Kita mendapati bahawa ayat ini ditujukan kepada setiap umat Islam bertanggungjawab dengan tidak ada kecualinya bahkan semuanya hendaklah menyeru kepada kebaikan, caranya dengan menyuruh manusia berbuat kebajikan dan menegah kejahatan.

Tanggungjawab untuk melaksanakan

"Masing-masing mengikut taraf dan kemampuannya. Hendaklah mereka melantik sekumpulan umat yang dapat menjalankan kewajipan itu, manakala sesuatu kesalahan atau penyelewengan segeralah memperbaikinya supaya tidak menimbulkan kebinasaan terhadap umat tadi".

vi. Sayid Qutub dalam tafsirnya berkata: "Penggunaan dua kata yang berbeza itu menunjukkan keharusan adanya dua kelompok dalam masyarakat Islam.

"Kelompok pertama yang bertugas mengajak dan kelompok kedua bertugas memerintah dan melarang. Kelompok kedua ini tentulah memiliki kekuasaan di bumi.

"Ajaran Ilahi di bumi ini bukan sekadar nasihat, petunjuk dan penjelasan. Ini adalah salah satu tanggungjawab untuk melaksanakan pemerintahan dan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran".

Akhir kata penulis meminjam kata-kata Dr. Aid al-Qarni berkenaan dengan nasihatnya melalui buku Ihfazillah Yahfazka yang menyebut: "Dan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah dan para wali Allah itu adalah orang yang bergelut dan bergaul dengan masyarakat yang luas.

"Di dalam Islam, tidak ada seorang alim yang menutup dirinya hanya di dalam rumah dan tidak keluar ke khalayak ramai untuk menyebarkan manfaat ilmunya kepada mereka. Orang seperti ini bukan Ahli Sunnah wal-Jamaah.

"Kamu akan mendapati para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah di masjid, di tempat terbuka, di jalan raya, di forum-forum, di tempat perkumpulan manusia dan di kampus-kampus universiti dan sebagainya.

"Mereka sentiasa mengajar manusia dan menginfaqkan sebahagian rezeki yang Allah anugerahkan kepada mereka dan tidak kedekut terhadap ilmunya".

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan kita semua harus mencontohi dan meneladani pendirian dan peranan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat Allah yang melayakkan untuk menghuni syurganya. Amin.


No Comment

Post a Comment