Azabnya seksa neraka

By mfrstudio

Allah SWT menyebut lagi tanda-tanda kekuasaannya dan semua penciptaannya menggambarkan betapa hebatnya kudrat Ilahi.

Justeru, dengan menghayati ayat-ayat al-Quran yang membabitkan hari balasan dan keajaiban penciptaannya akan menambahkan lagi keimanan kita.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Hari Jumaat adalah Hari Pembalasan sama ada baik atau tidak mengikut amalan keimanan seseorang.

Firman Allah SWT: Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke padang Mahsyar). Ini mengikut ketentuan Ilahi dan wajib kita imani dan yakin.

Firman Allah SWT: Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas. Dan gunung-ganang setelah dihancurkan diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.

Syed Qutb berkata: Itulah keadaan yang amat dahsyat jelas dilihat pada revolusi alam buana seperti keadaan di Mahsyar selepas ditiup sangkakala. Itulah hari pengadilan yang telah ditentukan dengan hikmah dan tadbir Ilahi.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya neraka jahanam adalah disediakan. Ibn Jarir dan Ibn Mundhir meriwayatkan hadis daripada al-Hasan berkata: "Seseorang itu tidak dimasukkan ke dalam syurga sebelum melintasi neraka. Jika dia dapat melintasinya, maka dia akan selamat dan jika tidak dia tertahan di neraka.

Firman Allah SWT: Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum tuhan, sebagai tempat kembalinya.

Al-Maraghi berkata: Neraka merupakan tempat kembali orang yang melampaui batas, sombong dan tidak mahu mendengar ajakan yang membawa mereka kepada petunjuk Allah SWT dan cahaya kebenaran.

Firman Allah SWT: Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. Ditafsirkan oleh al-Qurtubi: Kinayatun anit ta'bidd, sebagai kata ungkapan daripada kekekalan. Bila telah masuk, payah akan keluar lagi. Ibn Jarir berkata: Dan yang benar bahawa hal itu tidak ada akhirnya.

Firman Allah SWT: Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman. Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir.

Ibn Kathir berkata: Di neraka mereka tidak mendapatkan sesuatu yang dingin bagi mereka dan tidak juga mendapatkan minuman segar yang dapat mereka minum. Abul 'Aliyah berkata: Dikecualikan dari dingin adalah panas dan daripada minuman itu nanah.

Firman Allah SWT: Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal. Semua yang mereka alami berupa hukuman, sesuai dengan amal perbuatan mereka yang tidak benar yang mereka kerjakan semasa di dunia.

Demikian yang dikemukakan oleh Mujahid dan Qatadah. Al-Biqa'ie berkata: Untuk lebih menekankan sifat buruk mereka itu kerana biasanya manusia mengharap dan menginginkan sesuatu yang baik, walau kemungkinan terjadinya sangat kecil namun sikap mereka sebaliknya.

Firman Allah SWT: Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan kami.

Ibn Kathir berkata: Mereka berdusta semua hujah dan bukti-bukti Allah yang diturunkan kepada Rasul dengan penentangan.

Firman Allah SWT: Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.

Al-Maraghi berkata: Di sebutkan dengan perkataan kitaban (tertulis) bukan ihsa'an (terhitung) kerana menulis itu adalah asas untuk menguatkan sesuatu yang diketahui.

Orang yang ingin menghimpun percakapan seseorang supaya tidak hilang sedikit pun, ia hendaklah dibantu dengan tulisan.

Di sini Allah SWT berfirman: Segala sesuatu telah Kami hitung dengan teliti dan memadai dengan suatu kepastian.

Firman Allah SWT: (setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain daripada menambah berbagai azab kepada kamu".

Hamka berkata: Setelah dimasukkan ke dalam neraka jahanam, janganlah berharap untuk dikurangkan azab bahkan ia akan terus bertambah dengan berlipat kali ganda secara terus menerus.

Penutup

Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan betapa dahsyatnya hari kiamat dan seterusnya menggambarkan sifat neraka Allah.

Seperti kata al-Maraghi: Disebabkan mereka tidak mahu bersiap sedia menunggu kedatangan hari perhitungan amal, mereka selalu melakukan perbuatan buruk dan maksiat serta mendustakan bukti-bukti yang dikemukakan Allah SWT untuk membenarkan Rasul-Nya.

Semoga kita menjadi golongan yang selamat daripada balasan seksaan. Amin.


No Comment

Post a Comment