Keengkaran Bani Israel berterusan
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SAYID Qutub berkata: Rujukan kepada Bani Israel di sini merupakan satu rujukan yang tabie kerana ia mengingatkan sikap Bani Israel yang teragak-agak menyambut dakwah.
Sikap mereka yang menolak dan enggan memasuki ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka. Mereka juga degil dan menuntut mukjizat-mukjizat, kemudian sikap mereka yang terus keras kepala dan kufur. Sikap-sikap inilah yang menjadi penggelincir-penggelincir jalan yang diperingatkan Allah kepada kaum Muslimin supaya mereka menghindarinya agar mereka terselamat dari akibat kecelakaan yang telah menimpa Bani Israel.
Firman Allah, Bertanyalah kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya. (al-Baqarah: 211)
Firman Allah s.w.t: Bertanyalah kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Ibn Kathir menyebut: Allah berfirman menceritakan kisah Bani Israel berapa banyak yang telah mereka saksikan bersama Nabi Musa, hujah dan bukti yang benar yang telah dibawa kepada mereka seperti tangannya yang boleh mengeluarkan cahaya. Tongkatnya yang boleh bertukar menjadi ular, dapat membelah lautan dan boleh memukul batu sehingga keluarnya air.
Begitu juga dengan awan melindungi mereka dari panahan terik matahari dan diturunkan kepada mereka rezeki daripada al-Man dan al-Salwa. Begitu juga dengan perkara yang mencarikkan adat berlaku kepada Nabi Musa. Namun malangnya Bani Israel banyak berpaling dan ingkar di samping menukar nikmat Allah dengan kekufuran. Mereka menjual keimanan dengan kufur dan berpaling daripada-Nya.
Syeikh Sya’rawi membahaskan dengan panjang lebar berkenaan persoalan yang diajukan kepada Bani Israel ini. Al-Mawardi berkata: Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan persoalan terhadap Bani Israel:
* Nabi mereka.
* Ulama mereka.
* Kesemuanya.
Pertanyaan ini tidak terhenti setakat hakikatnya (yang lahir sahaja). Malah pertanyaan ini merupakan salah satu cara penerangan untuk menjelaskan betapa banyaknya bukti-bukti kebenaran yang telah ditunjukkan Allah kepada Bani Israel. Dan betapa banyaknya mukjizat yang diperlihatkan kepada mereka sama ada atas permintaan mereka atau kerana kedegilan mereka atau diperlihatkan terus secara langsung kepada mereka kerana sesuatu hikmat yang tertentu.
Walaupun sebanyak mana mukjizat yang telah diperlihatkan kepada mereka, namun mereka masih bersikap ragu-ragu, teragak-agak, degil dan menjauhkan diri dari kedamaian yang memayungi dengan naungan keimanan.
Nikmat
Firman Allah s.w.t: Dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.
Nikmat Allah yang disebutkan di sini ialah nikmat kedamaian atau nikmat keimanan, kedua-duanya seerti sahaja. Amaran dari perbuatan menukarkan nikmat itu adalah tepat dengan sikap Bani Israel dan keadaan mereka yang dinafikan dari nikmat kedamaian, ketenteraman dan kemantapan sejak mereka menukarkan nikmat Allah dan mereka enggan mematuhi perintah Allah dengan menyerah kepada arahan-Nya.
Mereka selama-lamanya bersikap ragu-ragu, teragak-agak dan meminta-minta bukti mukjizat pada setiap langkah dan harakat. Kemudian mereka tidak juga percaya kepada mukjizat dan yakin kepada nur Allah dan hidayat-Nya.
Ancaman dengan keseksaan Allah yang amat berat itu memang sesuai dengan sikap Bani Israel, juga sesuai orang-orang yang menukarkan nikmat Allah dan berlagak angkuh terhadapnya di setiap zaman.
Al-Sonhadji berkata: Allah menyuruh Nabi s.a.w bertanya kepada kaum Yahudi di Madinah – bukan bertanya untuk mengetahui, kerana Nabi s.a.w sudah diberitahu oleh Allah. Pertanyaan itu sekadar untuk mengeji tentang keengganan mereka untuk mengakui nikmat-nikmat Allah yang telah mereka terima, supaya mereka ingat kembali kepada Allah dan bersyukur kepada-Nya atau istifhamun taqriri.
Pertanyaan yang tidak berhajat kepada jawapan, berapa banyak Allah telah anugerahkan kepada mereka seperti kebangkitan Nabi Musa a.s, mukjizat tongkatnya, tangannya bercahaya putih, terbelahnya Laut Merah, tenggelamnya Firaun di hadapan mata mereka, mereka dilindungi awan, dikurniakan manisan yang bernama Manna dan burung Salwa.
Perjanjian
Semuanya itu adalah ayat (keterangan-keterangan) Allah yang nyata, tetapi mereka salahi dengan membunuh para Nabi dan utusan Allah, mereka juga telah mengubah perjanjian dan wasiat Allah. Allah menyatakan; barang siapa menukar nikmat Allah (agama Islam) setelah datang kepadanya, iaitu mengubah peraturan agama Islam, tidak mahu beramal dengannya ataupun mengingkarinya, Allah akan menyediakan baginya seksa yang amat pedih.
Kesimpulan dari ayat 208 hingga 211 ditakwilkan seperti berikut: Hai orang-orang yang beriman dengan Taurat! Percayalah kamu kepada Taurat dan masuklah kesemuanya ke dalam agama Islam. Tinggalkanlah pekerti kufur dan segala seruan syaitan yang membawa kesesatan. Kamu telah pun didatangkan keterangan-keterangan yang nyata daripada-Ku (Allah) dan Muhammad yang telah menunjukkan kepada kamu beberapa bukti maka janganlah kamu ubah perjanjian-Ku kepada kamu dan segala apa yang dibawanya daripada-Ku yang tersebut di dalam kitab Taurat kamu – bahawa dialah (Muhammad) Nabi dan utusan-Ku. Maka barang siapa mengubah atau menukarkannya nescaya Ku sediakan seksa yang amat sangat pedihnya.
No Comment
Post a Comment