Al-Quran benarkan kitab terdahulu

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Selepas Allah SWT menyebut berkenaan dengan sifat Allah SWT Yang Maha Berdiri dengan sendiri-Nya lagi Maha Hidup. Kalam-Nya membicarakan pula berkenaan dengan kitab samawi termasuk al-Quran yang antara lain bersifat hidayah dan penerang yang sebenarnya.

Ayat Ketiga:
Firman Allah SWT yang bermaksud : Ia menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Maraghi berkata: “al-Quran membenarkan kitab-kitab suci yang telah diturunkan kepada para nabi dahulu. Al-Quran menegaskan bahawa kitab-kitab itu sebagai wahyu dan turut menyebut Allah SWT mengutus beberapa orang rasul dengan diberi wahyu.”

lIbn al-Jauzi berkata: “Perkataan turun digunakan dengan anzala kepada Kitab Taurat dan Injil kerana kedua-duanya diturunkan sekali gus. Sedangkan kepada al-Quran digunakan dengan nazzala kerana maksudnya diturunkan beransur-ansur dan bukan sekali gus.” Pendapat ini sama seperti yang diutarakan oleh al-Khazin dalam tafsirnya.

lAl-Syaukani berkata: “Dengan kebenaran di sini maksudnya dengan hujah yang kuat dan menang.”

lDiriwayatkan daripada al-Farra’ berkata: “Ishtiqaq (kata pecahan) kalimah Taurat dengan maksud apa yang zahir daripada cahaya dan di namakan Taurat dengannya kerana zahir dengannya cahaya kepada Bani Israel dan pengikut mereka. Ada pun Injil dinamakannya kerana ia menzahirkan agama selepas mana telah hilang atau luput.”

lHamka berkata: “Ditujukan-Nya kepada utusan-Nya, sebuah kitab dengan kebenaran iaitu kebenaran yang dapat diuji dan dibanding, yang datang daripada Tuhan, disampaikan oleh Malaikat Jibril yang kadang-kadang disebut Ruhul-Qudus”.

lAl-Sonhadji berkata: “Allah SWT menurunkan wahyu yang merupakan al-Quran tidak sekali-kali mengandungi keraguan dan diturunkan-Nya berperingkat-peringkat. Al-Quran menerangkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan kepada para Nabi yang terdahulu”.

lAyat ini jelas menunjukkan wajibnya kita beriman dengan kitab Allah sama ada Taurat, Zabur, Injil dan juga al-Quran. Al-Quran juga bersifat membenarkan segala kitab-kitab yang terdahulu.

Sewajarnya umat Islam menjadikan al-Quran sebagai kitab manhaj al-Hayah yang boleh menyelesaikan segala kemelut kehidupan dan memandu arah untuk ketakwaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Berpegang dengannya sudah pasti mendapat keselamatan di dunia dan akhirat.

Ayat Keempat
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan ia juga yang menurunkan al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Maraghi berkata: “Allah SWT menurunkan al-Quran dengan diiringi akal. Akal menjadi alat untuk membezakan antara akidah yang benar dengan yang batil. Allah SWT juga menurunkan keadilan yang digunakan untuk mengenali hak-hak hukum dan berlaku adil sesama manusia”.

lAl-Alusi berkata: “Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa diturunkan al-Quran yang mengandungi irhas berkenaan kebangkitan Nabi SAW sekira-kira dikaitkan penurunan dengan sebelumnya sebagai hidayat kepada manusia.”

lAl-Quran di sini disebut dengan furqan kerana maksud furqan adalah pembeza untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan seperti mana kata Qatadah.

lAl-Alusi berkata: “Allah menyebut azab yang ditimpa kepada mereka yang kafir dengan ayat Allah dengan zaraf dan nakirah bertujuan untuk menggambarkan betapa besar dan dahsyatnya azab Allah SWT”.

lHamka berkata: “Bahawa sebelum kitab al-Quran itu diturunkan kepada Rasul-Nya yang terakhir iaitu Muhammad SAW, terlebih dahulu telah diturunkan Taurat dan Injil. Al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad SAW membenarkan atau mengakui isi wahyu daripada kedua kitab tersebut. Segala kitab suci yang diturunkan dari makam yang mulia itu, baik Taurat ataupun Injil mahupun al-Quran bertujuan sama sahaja, iaitu memberi petunjuk dan bimbingan bagi manusia. Ia bertujuan supaya manusia kenal hubungan mereka dengan Tuhan, al-Khaliq Pencipta alam dan Pencipta Manusia”.

lAl-Sonhadji berkata: “Pada permulaan surah al-Baqarah, Allah SWT menyebutkan bahawa al-Quran itu petunjuk bagi orang yang takwa, dan ayat ini pula Dia menyebutkan bahawa Taurat dan Injil merupakan petunjuk bagi manusia. Orang yang bertaqwa mendapat faedah yang amat banyak dari al-Quran, lalu mengikutinya. Setelah Allah SWT menyebutkan ketiga-tiga buah kitab iaitu Quran, Taurat dan Injil, maka disebutkan-Nya kitab-kitab Tuhan yang lain secara umum”. Semuanya mengandungi pengajaran yang dapat membezakan antara yang hak dengan batil, benar dengan yang salah, iaitu diberi nama Furqan. Sesiapa yang mengingkari ayat-ayat Allah SWT sama ada quran atau lainnya iaitu ayat-ayat yang telah menjelaskan keesaan Allah SWT dan kesucian-Nya, nescaya Allah SWT akan mengazab mereka dengan seksaan yang pedih.

Seterusnya selayaknya kita beriman dengan kitab Allah SWT dan mengkaji isi kandungan al-Quran untuk dihayati, diamali seterusnya mendapat hidayat dan petunjuk daripada-Nya. Allah SWT mengakhiri ayat ini dengan kalam-Nya, Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

Ini menunjukkan Allah SWT bersifat Maha Perkasa dan Maha Kuasa di mana digunakan perkataan Aziz dalam bentuk nakirah sebagai tanda dan lambang kekuasaan-Nya yang mutlak. Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dengan al-Quran. Amin.

1 Comment

salam ustaz... kitab apa yang boleh dirujuk untuk topik ini?

Post a Comment