Ancaman arak dan judi kepada masyarakat

By mfrstudio

Sayid Qutub berkata: Kemudian ayat yang berikut menerangkan kepada kaum muslimin hukum arak dan berjudi. Kedua-duanya merupakan kenikmatan hidup yang amat disukai oleh orang Arab pada masa mereka belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang yang tinggi, yang dapat mereka habiskan kegiatan-kegiatan mereka atau belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang tinggi yang melibatkan seluruh perasaan mereka dan menelan seluruh waktu mereka.

Allah berfirman, Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir. (Al-Baqarah: 219)

Firman Allah: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu…”

Sehingga pada waktu ini belum lagi diturunkan hukum mengharamkan arak dan judi tetapi tidak ada pula satu nas al-Quran yang menghalalkan kedua-duanya. Malah Allah membimbing kelompok Muslimin yang baru itu selangkah demi selangkah ke jalan yang dikehendaki oleh-Nya.

Allah menciptakan kelompok ini di bawah perhatian-Nya untuk memainkan peranan yang ditentukan untuk mereka. Peranan yang amat besar ini tentulah tidak sesuai dengan kegiatan membuang waktu di dalam penagihan arak dan permainan judi. Ia tidak selaras dengan kerja-kerja membuang umur, membuang masa sedar dan membuang tenaga yang dilakukan oleh orang-orang yang kosong dari pekerjaan, iaitu orang-orang yang hanya asyik memuaskan kenikmatan nafsu mereka sahaja. Atau orang-orang yang diburu oleh kekosongan hidup lalu mereka penuhkannya dengan kemabukan arak dan bermain judi, atau orang yang diburu oleh jiwa mereka lalu mereka melarikan diri di dalam arak dan judi sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang hidup di dalam jahiliah, sekarang dan masa akan datang.

Namun, dalam menjalankan cara pendidikannya terhadap jiwa manusia, Islam bertindak dengan perlahan-lahan, selesa dan hati-hati. Ayat yang kita sedang bicarakan ini merupakan langkah pertama dari langkah-langkah pengharaman. Segala benda dan segala perbuatan kadang-kadang tidak semuanya tidak baik belaka.

Yang baik kadang-kadang bercampur dengan yang tidak baik dan yang tidak baik bercampur dengan yang baik di bumi ini, tetapi menjadi asas halal dan haram ialah wujudnya lebih banyak kebaikan atau wujudnya lebih banyak kejahatan. Jika dosa (keburukan) dalam penagihan arak dan permainan judi itu lebih besar dari manfaatnya, maka itulah sebab pengharaman dan larangan walaupun tidak dijelaskan di sini dengan lafaz pengharaman dan larangan.

Di sini penulis akan menyebut dua perkara iaitu arak dan judi. Ancamannya berdasarkan kitab al-Kabair oleh al-Zahabi:

Pertama: Ancaman daripada minum arak

Terdapat banyak hadis yang melarang keras daripada minum arak. Antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

* “Jauhilah minuman keras, kerana sesungguhnya minuman keras itu punca dari segala kejahatan.” (Riwayat Hakim)

* “Semua minuman yang memabukkan itu adalah khamar dan setiap khamar itu adalah haram. Dan barang siapa yang minum khamar di dunia. Lalu mati dalam keadaan tidak bertaubat, sedangkan dia sangat menggemarinya, maka nanti dia tidak akan dapat merasainya di akhirat”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)

* Siapa yang meminum khamar di dunia, maka dia akan diharamkan minuman khamar di akhirat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

* “Barang siapa yang meminum minuman keras, Allah tidak akan menerima sesuatu (kebaikan) daripadanya. Dan jika dia mabuk dari sebab minuman keras itu, tidak akan diterima solatnya selama 40 pagi (hari). Kemudian jika dia bertaubat, lalu kembali semula meminum minuman keras maka berhak Allah memberikannya minuman dari kotoran darah atau nanah neraka jahanam.” (Riwayat Ahmad dan Turmidzi)

Penulis menutup perbincangan ini dengan menukilkan kata-kata Prof. Dr. H. Mahmud Yunus dalam tafsirnya. Dalam ayat 219 teranglah bahawa arak itu sebenarnya ada manfaatnya seperti memanaskan tubuh, menghilangkan dukacita dan sebagainya. Tetapi kemudaratannya terlebih besar dari manfaatnya kerana ia berbahaya kepada kesihatan badan dan fikiran serta pembaziran.

Berkata salah seorang doktor dari Jerman, orang yang banyak minum arak ketika umurnya 40 tahun, tubuhnya dan fikirannya seperti orang yang berumur 60 tahun.

Zarro Aga seorang peladang Turki, telah berumur lebih 100 tahun, sedangkan kekuatan tubuhnya dan fikirannya seperti orang muda. Tatkala ditanyakan kepadanya, apakah yang menyebabkan yang demikian itu? Maka dia mengatakan, bahawa dia tidak minum arak sejak kecil lagi.

Doktor-doktor Eropah telah bersepakat, bahawa bahaya arak itu lebih besar dari manfaatnya. Seolah-olah mereka menerima peraturan al-Quran yang telah turun lebih 1,300 tahun dahulu.

Ulama bersepakat, bahawa minum arak yang diperbuat daripada buah anggur, hukumnya haram, baik sedikit ataupun banyak. Arak yang diperbuat selain daripada anggur boleh diminum sedikit (tidak memabukkan) menurut mazhab Hanafi.

Kedua: Ancaman daripada berjudi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

* Sesungguhnya ramai orang yang cuba mendapatkan harta Allah dengan cara yang tidak benar, maka mereka berhak memasuki neraka pada hari kiamat. (Riwayat Bukhari)

* Sesiapa yang mengatakan kepada temannya: Marilah kita bermain judi! Maka hendaklah dia bersedekah (sebagai kaffarah). (Riwayat Bukhari)

Kalau sekadar mengajak teman judi saja sudah diwajibkan membayar kaffarah (tebusan) dengan bersedekah, apatah lagi kalau sudah bermain judi.

Bahaya berjudi amat jelas. Seseorang boleh menjadi kaya-raya dalam masa yang singkat, sebaliknya boleh menjadi papa-kedana sehingga boleh merobohkan rumah tangga yang bahagia dan menjadi hina dina dalam masa yang singkat juga.

Firman Allah: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.

Al-Maraghi berkata: Allah menyebut keampunan dan penambahan bagi mentakdirkan setiap kaum mengikut masa mereka dan yang layak dengan keadaan mereka. Yang dikehendaki dengan infak di sini ialah sedekah sunat kepada individu dan juga maslahah ummah.

Iktibar Ayat

* Setiap larangan Allah pasti mempunyai mafsadah jika dilakukannya, sebaliknya jika ditinggalkan pasti mendapat maslahah dan manfaat.

* Mudarat arak bukan semata-mata berkenaan kesihatan tetapi merangkumi keseluruhannya seperti badan, jiwa, akal, harta dan termasuk juga hubungan sesama manusia.

* Judi merupakan ancaman kepada masyarakat dan mudaratnya lebih besar daripada manfaat.

Wajib berjihad melawan pencerobohan

By mfrstudio

Syeikh al-Maraghi berkata, kalam Allah yang terdahulu membincangkan berkenaan dengan infak dan membelanjakan harta pada jalan Allah mengikut bahagian orang-orang beriman yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Ia boleh mewujudkan ruh ta’awun antara ikhwah dalam iman.

Ia sebagai takaful umum dalam sebuah keluarga Islam yang seluruh anggotanya seperti sebuah badan, tidak mengadu satu anggota kecuali anggota yang lain memainkan peranannya.

Kemudian selepas itu dinyatakan bab peperangan dengan pengorbanan jiwa semata-mata meninggikan agama Allah. Sebagaimana yang dinyatakan bahawa harta adalah saudara kepada ruh. Justeru, hubungan antara keduanya amat kuat, amat munasabahlah disebut ayat perang selepas menyebut semua hukum sedekah.

Allah berfirman:

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216)

Dinukilkan hukum jihad menurut para Fuqaha, Hasan al-Banna berkata: Di sini ingin saya petik beberapa pendapat ulama mazhab termasuk para ulama terkini berhubung hukum jihad dan persediaan berjihad.

Menurut pengarang kitab Majma’ al-Anhar Fi Sharh Multaqa al-Abhar yang menjelaskan hukum jihad dalam mazhab Hanafi: Jihad menurut bahasa ialah memberikan apa yang termampu baik dalam bentuk kata-kata atau tindakan. Menurut syariat pula ialah membunuh orang kafir atau seumpama dengannya dengan cara memukul mereka, merampas harta mereka, menghancurkan tempat ibadat dan memecahkan berhala mereka.

Tujuannya, mengukuhkan agama dengan cara memerangi kafir harbi atau zimmi yang melanggar perjanjian dan juga orang murtad yang merupakan orang kafir paling keji kerana dia mereka membatalkan pengakuannya. Jika kita yang mulakan peperangan ini ialah fardu kifayah. Maksudnya kita wajib memulakan peperangan selepas kita sampaikan dakwah Islam. Jika mereka tidak memerangi kita, pemerintah wajib mengutus pasukan tentera ke negara setiap tahun sekali atau dua kali.

Rakyat pula perlu menyokong pemerintah. Apabila perkara ini dilaksanakan oleh sebahagian, yang lain tidak diwajibkan. Jika kewajipan ini tidak terlaksana, penduduk yang berdekatan dan seterusnya yang terdekat wajib melaksanakannya. Jika masih tidak cukup dan memerlukan penyertaan semua, ketika itu jihad adalah fardu ain sama seperti sembahyang.

Hukum ini wajib berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Maka perangilah orang-orang musyrikin itu. Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

Jihad itu terus hingga hari kiamat. Jika ditinggalkan, semua orang Islam berdosa.

Di akhirnya pengarang menyebut: Jika musuh berjaya menguasai sebahagian bumi Islam atau sebahagian wilayah Islam, hukum ketika itu adalah fardu ain. Wanita dan hamba boleh keluar tanpa izin suami dan tuannya. Begitu juga anak boleh keluar tanpa izin ibu bapanya. Pemiutang boleh keluar tanpa izin penghutangnya.

Dalam buku al-Bahr dinyatakan, jika seseorang wanita Islam ditawan di sebelah Timur, seluruh penduduk Barat wajib membebaskannya selagi wanita itu tidak dibawa pulang ke kota atau kubu mereka.

Menurut pengarang Bulghah al-Masalik Li Aqrab al-Masalik Fi Mazhab Imam Malik (Mazhab Maliki): Jihad di jalan Allah untuk memartabatkan kalimah Allah pada setiap tahun adalah fardu kifayah. Jika telah dilaksanakan oleh sebahagian, yang lain tidak diwajibkan.

Namun jihad menjadi fardu ain kepada orang tertentu seperti sembahyang dan puasa apabila dia dipilih oleh pemerintah melaksanakan tugas tersebut atau apabila sebuah wilayah Islam diserang musuh. Ketika itu penduduk itu wajib dan jika tidak mampu penduduk berdekatan juga diwajibkan.

Dalam keadaan ini, wanita dan hamba juga diwajibkan walaupun mereka dilarang oleh wali, suami, tuan dan peminjam bagi yang berhutang. Jihad juga wajib jika bernazar. Ibu bapa hanya boleh melarang jika jihad adalah fardu kifayah. Membebaskan seorang tawanan perang yang ditawan musuh adalah fardu kifayah jika wangnya tidak mencukupi untuk membebaskan dirinya. Walaupun ini bermakna terpaksa menggunakan semua harta umat Islam untuk membebaskannya.

Menurut Matan al-Minhaj karangan Imam Nawawi bermazhab Syafie, jihad di zaman Rasulullah s.a.w adalah fardu kifayah dan ada yang berpendapat fardu ain. Selepas zaman Rasulullah s.a.w pula bergantung pada kedudukan orang kafir.

Pertama: Jika orang kafir berada di negara mereka, jihad adalah fardu kifayah. Jika jihad ini dapat dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam, yang lain tidak tidak wajib melaksanakannya.

Kedua: Jika orang kafir menceroboh ke dalam negara kita, penduduknya wajib mempertahankannya dengan segala upaya mereka. Jika mereka boleh bersiap sedia untuk berperang, mereka diwajibkan termasuklah orang miskin, anak lelaki, pemiutang dan hamba walaupun tanpa izin.

Menurut kitab al-Mughni karangan Ibnu Qudamah bermazhab Hanbali, jihad adalah fardu kifayah.

Namun ia menjadi wajib (fardu ain) dalam tiga keadaan:

* Jika dua bala tentera bertembung dan bersemuka, sesiapa yang ada ketika ini diharamkan beredar dan masing-masing wajib menyertainya.

* Jika orang kafir menceroboh sesebuah wilayah, seluruh penduduk wilayah itu wajib berperang dan bertahan.

* Apabila pemerintah mengerah kumpulan tertentu, kumpulan itu wajib keluar berjihad.

Sekurang-kurangnya jihad ini dilakukan setahun sekali.

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, “setahu saya tidak ada amalan fardu yang lebih baik daripada jihad, manakala perang di laut lebih baik daripada perang di darat”.

Menurut kitab al-Muhalla, karangan Ibnu Hazm bermazhab Zahiri, jihad adalah fardu kepada umat Islam. Jika telah ada orang yang menghadapi serangan musuh, melancarkan serangan ke kubu musuh, memelihara sempadan umat Islam, orang lain tidak diwajibkan. Jika tidak ada, maka jihad diwajibkan kepada setiap orang Islam.

Allah berfirman yang bermaksud,

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu. (at-Taubah: 41)

Jihad hanya boleh dilaksanakan jika diizinkan oleh ibu bapa. Namun jika musuh menyerang sekumpulan umat Islam, jihad menjadi wajib kepada semua yang mampu menolong mereka sama ada ibubapa izinkan atau tidak. Kecuali jika tanpa kehadirannya boleh menyebabkan ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka akan terbiar.

Menurut al-Syaukani dalam kitab Al-Sail Al-Jarrar: Dalil-dalil daripada al-Quran dan sunah yang menyatakan jihad adalah wajib terlalu panjang untuk dituliskan di sini. Walau bagaimanapun jihad ini hanya fardu kifayah iaitu jika telah dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam, maka yang lain tidak diwajibkan. Namun begitu, sebelum sebahagian tadi melaksanakannya, jihad ini adalah fardu ain kepada semua yang mampu.

Bagi sesiapa yang dikerah untuk berperang oleh pemerintah, dia wajib berperang dan hukum baginya adalah fardu ain.

Para ulama, ahli sufi, ahli profesional dan sebagainya tidak pernah meninggalkan dan mengabaikan jihad. Mereka sentiasa bersiap sedia.

Abdullah bin al-Mubarak, seorang ahli fikah yang zuhud sentiasa secara sukarela menyumbangkan banyak masa untuk berjihad. Demikian juga Abdul Wahid bin Zaid, seorang ahli sufi yang zuhud. Shaqiq al-Bajkhli, mahaguru sufi di zamannya sentiasa membawa diri dan anak murid untuk berjihad.

Bagi al-Badar al-Aini, penulis huraian hadis al-Bukhari seorang ulama fikah dan hadis, beliau akan membuat giliran, tahun ini berperang, tahun hadapan mengajar dan tahun berikutnya menunaikan haji. Al-Qadi Asad bin al-Furat al-Maliki adalah ketua tentera laut pada zamannya. Al-Imam al-Syafie apabila memanah sepuluh anak panah, tiada satupun yang tersasar.

Demikianlah budaya ulama silam. Cubalah bandingkan kita dengan sejarah ini.

Iktibar Ayat:

* Berperang mempunyai matlamat untuk menegakkan kebenaran dan keharmonian ummah.

* Kadang-kadang apa yang kita tidak suka mempunyai hikmah yang cukup besar dan jauh lebih baik daripada apa yang kita suka.

* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Mengetahui.

Dosa besar halang umat Islam ke Masjid al-Haram

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sayid Qutub berkata: Itulah cara pendidikan yang mengagumkan, mendalam tetapi mudah. Ia adalah satu cara pendidikan yang mengenal liku-liku jalan untuk memasuki ke dalam jiwa manusia dan lorong-lorongnya yang banyak.

Ia membawa saranan yang benar, bukannya saranan yang palsu dan cakap-cakap yang menipu.

Memang benar jiwa manusia yang lemah itu membencikan sesuatu sedangkan pada hakikatnya ia penuh mengandungi kejahatan dan kemudaratan. Memang benar pula bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui, sedangkan manusia tidak mengetahui.

Adakah manusia mengetahui akibat-akibat dari sesuatu urusan? Adakah manusia mengetahui rahsia di sebalik tabir? Adakah manusia mengetahui hakikat-hakikat yang tidak terjejas oleh hawa nafsu, kejahilan dan kelemahan?

Cara sentuhan Rabbani terhadap hati manusia dapat membuka di hadapannya sebuah alam yang lain dari alam yang dilihat oleh dua matanya dan dapat menonjolkan di hadapannya beberapa faktor lain yang bekerja di hati alam buana.

Mengubah keadaan dan mengatur akibat yang berlainan dari apa yang difikir dan diduga olehnya. Sentuhan Rabbani akan menjadikan seseorang itu – apabila hatinya menyambut sentuhan itu – begitu patuh kepada kuasa takdir Allah, di mana ia bekerja sambil berharap, bercita-cita dan merasa takut kepada Allah. Tetapi ia memulangkan segala-galanya kepada kuasa Allah yang Maha Bijaksana dan kepada ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu dengan hati yang rela dan tenang. Itulah erti kedamaian dari pintunya yang luas.

Firman Allah, Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah.

Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya). (Al-Baqarah: 217)

Menurut riwayat yang banyak, ayat ini turun mengenai pasukan tentera pimpinan Abdullah ibni Jahsy r.a. Dia telah dikirim oleh Rasulullah s.a.w bersama-sama lapan orang muhajirin dan tiada seorang Ansar pun di dalam pasukan ini. Kepada Abdullah baginda menyerahkan sepucuk surat dan diperintahkan jangan membuka surat itu kecuali selepas dua malam.

Apabila Abdullah membuka surat itu ia dapati tertulis begini: Setelah anak membaca suratku ini teruskan perjalanan anda sehingga anda berhenti di Batni Nakhlah – di antara Mekah dan Taif - dan di sini perhatikan gerak-geri orang-orang quraisy dan sampaikan kepada kami berita-berita mereka, tetapi anda jangan paksa mana-mana sahabat anda meneruskan perjalanan bersama anda.

Perintah

Peristiwa ini berlaku sebelum Perang Badar. Setelah selesai melihat surat itu Abdullah pun berkata: Segala perintah dijunjung. Kemudian dia berkata kepada sahabatnya: Rasulullah s.a.w menyuruh supaya aku meneruskan perjalanan sehingga sampai kepada Batni Nakhlah untuk memerhati pergerakan orang-orang Quraisy di sana dan menyampaikan berita mereka kepada baginda. Baginda juga menghalang aku memaksa sesiapa daripada kamu.

Oleh itu sesiapa yang mahu mati syahid dan gemar kepadanya, maka bolehlah ia ikut pergi dan sesiapa yang tidak suka, maka hendaklah ia pulang sahaja. Aku sendiri akan pergi melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w itu. Lalu dia pun pergi bersama-sama sahabat-sahabatnya, tiada seorang pun yang ketinggalan.

Dia mengikut jalan ke Hijaz dan di pertengahan jalan unta Saad Ibn Abi Waqqas dan Utbah Ibn Ghazwan telah hilang menyebabkan kedua-dua sahabat itu meninggalkan kumpulan Abdullah Ibn Jahsy untuk mencari unta yang hilang itu. Enam sahabat yang lain meneruskan perjalanan mereka.

Apabila pasukan ini sampai di Batni Nakhlah, tiba-tiba satu kafilah Quraisy membawa dagangan lalu di situ dan dalam kafilah itu terdapat ‘Amru Ibn al-Hadhrami dan tiga orang yang lain, lalu pasukan itu membunuhnya dan menawan dua orang lagi, manakala seorang lagi dapat melarikan diri.

Mereka juga merampas unta-unta yang merampas dagangan itu. Mereka fikir masih berada dalam bulan Jamadilakhir, tiba-tiba mereka dapati mereka berada pada hari pertama bulan Rejab yang menandakan masuknya bulan haram yang dihormati oleh orang-orang Arab, juga dihormati oleh Islam dan diakui kesuciannya.

Apabila pasukan ini membawa unta-unta dan dua orang tawanan itu kepada Rasulullah s.a.w bersabda: Aku tidak menyuruh kamu berperang di bulan haram. Unta-unta dan dua orang tawanan itu berdiri di situ, sedangkan beliau enggan menerima sesuatu apa pun. Setelah Rasulullah s.a.w bersabda begitu mereka pun menyesal dan menyangka bahawa mereka tetap binasa.

Perbuatan mereka telah dikecam oleh saudara-saudara mereka kaum Muslimin. Orang berkata: Muhammad dan sahabatnya telah menghalalkan bulan haram. Mereka telah menumpahkan darah, merampas harta dan menawan musuh di bulan itu.

Orang-orang Yahudi mengambil sempena kejadian itu untuk memburukkan Muhammad. Mereka berkata: (memang tepatlah) Amru Ibn al-Hadhrami dibunuh oleh Waqid Ibn Abdullah kerana kata-kata Amru (Amar) itu diambil dari kata-kata, “api peperangan telah hidup” dan kata-kata al-Hadhrami diambil dari kata-kata “peperangan telah tiba” dan kata-kata Waqid Ibn Abdullah diambil dari kata-kata, “peperangan telah bernyala”.

Demikianlah propaganda yang mengelirukan dengan berbagai-bagai cara jahat yang digembar-gemburkan di dalam masyarakat Arab. Propaganda itu menonjolkan Muhammad dan para sahabatnya sebagai penceroboh yang mencabul kesucian-kesucian orang Arab dan sanggup melanggar kesucian itu apabila ada muslihat. Sehingga apabila turun ayat ini yang menolak segala propaganda itu dan menjelaskan perkara itu dengan penjelasan yang benar barulah Rasulullah s.a.w menerima dua orang tawanan itu dan rampasan itu.

Persoalannya kenapa orang Islam berperang?

Untuk menjawab perkara ini dipinjam jawapan Imam al-Banna. Antara lain katanya yakni pernah suatu ketika manusia mengecam Islam kerana Islam mewajibkan jihad dan membenarkan peperangan. Namun apabila ayat Allah ini menjadi suatu kenyataan seperti yang diterangkan dalam surah Fussilat, ayat 53 yang bermaksud: Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.

Mereka kini mengakui bahawa siap siaga adalah jalan terbaik untuk mencapai kesejahteraan. Allah mewajibkan umat Islam berjihad bukan bagi menindas atau kepentingan peribadi. Sebaliknya jihad bertujuan memelihara dakwah Islam, menjaga kesejahteraan dan membolehkan umat Islam menunaikan tanggungjawab besar dipikul iaitu membimbing manusia ke arah jalan yang benar dan adil.

Walaupun Islam mewajibkan perang tetapi Islam menganjurkan keamanan dan kedamaian. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Anfal ayat 61 yang bermaksud: Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah.

Apabila orang Islam keluar berperang, hanya ada satu tujuan sahaja dalam dirinya iaitu berjuang menegakkan kalimah Allah yang mulia. Agama Islam mewajibkannya supaya tidak mencampur adukkan matlamat suci ini dengan matlamat-matlamat yang lain. Dia diharamkan mencari kedudukan. Dia diharamkan mencari nama, mencari harta benda, mengejar harta perang dan memperolehi kemenangan dengan cara yang salah. Satu tujuan sahaja yang dihalalkan iaitu menyerahkan darah dan nyawanya demi akidah dan demi membimbing manusia.

Jika anda membaca sejarah para sahabat yang diredai Allah dan bagaimana mereka mara menakluk sesebuah negara, anda akan dapat lihat bagaimana mereka mengetepikan ketamakan dan hawa nafsu mereka. Sebaliknya mereka hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat asasi iaitu memimpin manusia ke jalan yang benar supaya kalimah Allah berada di tempat yang mulia.

Iktibar ayat

* Al-Maraghi berkata, jenayah yang dilakukan oleh orang musyrikin jauh lebih besar daripada apa yang dilakukan oleh orang Islam berkenaan dengan berperang pada bulan haram.

* Fitnah lebih besar daripada bunuh. Ini kerana membawa kepada syubhah sehingga mengheret ke neraka.

* Kelebihan berjihad Fi Sabilillah.

Kita digalak berinfak

By mfrstudio

Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Syeikh al-Maraghi berkata, selepas Allah menyebut sifat manusia yang sukakan perhiasan dunia yang memperdayakan mereka, sedangkan ahli haq mereka yang menanggung pelbagai kesengsaraan terhadap harta dan jiwa mereka serta mencari keredaan Allah.

Amat munasabah Allah menyebut golongan yang digalakkan berinfak fi sabilillah.

Firman Allah: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya). (al-Baqarah: 215)

Firman Allah s.w.t: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?

Al-Mawardi mengemukakan sebab nuzul dengan dua pendapat:

a) Ia diturunkan sebelum turun ayat zakat berkenaan kewajipan infak kepada keluarga dan sedekah kemudian dinasakhkan oleh ayat zakat. Inilah pendapat al-Suddi.

b) Bahawa sahabat Rasulullah bertanyanya tentang harta mereka yang mereka gunakan. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Ibn Jauzi menambah dengan lisan Amru bin al-Jumuh al-Ansari yang mempunyai banyak harta dan bertanya: Hai Rasulullah, dengan apa kami sedekah dan siapa yang kami infakkan?

Al-Qurtubi berkata: Dikatakan yang bertanya adalah kaum yang beriman. Ini bermaksud mereka bertanyamu dari segi wajah yang mereka nafkahkan kepadanya dan di mana mereka letakkan apa yang lazim untuk diinfakkannya.

Sayid Qutub berkata: Banyak ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tentang infak telah diturunkan sebelum dikemukakan pertanyaan ini. Khidmat infak dalam suasana-suasana pertumbuhan Islam itu merupakan satu khidmat yang perlu untuk membangun masyarakat Islam bagi menghadapi cabaran kesulitan-kesulitan dan peperangan yang sedang dihadapi olehnya.

Ia juga merupakan satu khidmat yang perlu dari kerjasama dan takaful antara ahli-ahli kelompok Muslimin dan dari segi untuk menghapuskan perbezaan perasaan agar setiap ahli kelompok merasa dirinya sebagai anggota dalam badan kelompok itu, di mana dia tidak dihalang dan tidak ditahan dari sesuatu apa.

Tegasnya khidmat infak itu mempunyai nilainya yang amat besar dalam menegakkan kelompok Muslimin dari segi perasaan, kerana khidmat memenuhi keperluan kelompok itu mempunyai nilai dalam menegakkan kelompok dari segi amali.

Firman Allah: Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.

Dua sasaran

Sayid Qutub berkata: Ungkapan ini memberi dua sasaran. Pertama ia menyarankan bahawa sesuatu yang dibelanjakan itu adalah baik, iaitu baik kepada si pemberi, baik kepada si penerima, baik kepada masyarakat dan ia sendiri merupakan suatu kebaikan kerana ia adalah suatu amalan yang baik, jasa yang baik, dan khidmat yang baik.

Kedua ia menyarankan agar pihak yang memberi infak itu memilih sesuatu yang terbaik yang ada padanya untuk diinfakkannya agar orang lain dapat agar orang lain dapat menikmatinya bersama-sama dengannya.

Khidmat itu membersihkan hati dan menyucikan jiwa, di samping memberi faedah dan pertolongan kepada orang lain. Kesanggupan memilih harta milik yang baik dan melepaskan kepada orang itulah yang dapat mewujudkan kebersihan kepada hati dan jiwa. Kesanggupan mengutamakan kepentingan orang lain mempunyai maknanya yang amat mulia.

Tetapi saranan ini bukannya mengertikan suatu tuntutan yang diwajibkan. Sebabnya tuntutan yang ditetapkan syarak – sebagaimana yang disebut di dalam ayat yang lain – ialah seseorang itu harus menginfakkan suatu harta yang sederhana sifatnya bukannya suatu harta yang paling murah atau paling mahal yang ada padanya.

Namun demikian saranan di sini cuba membiasakan seseorang supaya mengorbankan hartanya yang paling baik dan cuba menggalakkannya berbuat demikian mengikut cara al-Quran yang mendidik jiwa manusia dan melengkapkan hati mereka.

Al-Qurtubi berkata: Zahir ayat ini menunjukkan khabar yang mengandungi janji balasan baik kepada mereka yang melakukan segala kebaikan. Di sini disebut pemberian kepada kaum kerabat, orang miskin dan juga orang musafir yang keputusan bekalan untuk dibantu supaya meringankan kesukaran mereka.

Perbuatan seperti ini menggambarkan betapa Islam memandang berat berhubung dengan kebajikan masyarakatnya. Ini jelas terbukti melalui hadis, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Siapa yang tidak prihatin terhadap saudaranya yang Islam maka dia bukan dari kalangan mereka.

Firman Allah: Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Balasan

Apa pun kebajikan yang kamu buat kepada mereka yang disebutkan dalam ayat ini, ataupun kepada golongan yang tidak disebutkan dalam ayat ini, tetapi disebutkan dalam ayat yang lain seperti, orang fakir yang meminta-minta dan hamba yang menuntut kemerdekaan, juga kepada golongan yang lain, semata-mata kerana Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, sesungguhnya Allah amat mengetahui dan kelak akan memberikan balasannya.

Muqatil berkata: Ayat ini berhubung dengan nafkah yang sunat sebagaimana yang diterangkan Allah berdasarkan jawapannya. Begitu juga apa yang disebut di dalam hadis riwayat Ahmad daripada Abi Ramsah, Rasulullah s.a.w: Orang yang patut kamu infak ialah ibumu, bapamu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu kemudian yang hampir denganmu.

Maimun bin Mihram membaca ayat ini kemudian berkata: Inilah tempat-tempat nafkah tidak disebut padanya gendang, seruling, kayu-kayu yang diukir dan juga perhiasan pada dinding-dinding.

Ibn Kathir berkata: Allah s.w.t menutup ayat ini dengan menyatakan apa yang kamu lakukan dari sebarang kebaikan maka Allah pasti mengetahuinya dan membalas kamu dengan sebaik-baik balasan. Sesungguhnya Dia sekali-kali tidak menzalimi seseorang sekalipun seberat zarah.

Iktibar Ayat:

* Syeikh al-Maraghi berkata: Daripada yang maklum bahawa membelanjakan harta seperti mengorbankan jiwa kerana kedua-dua daripada ayat iman.

* Ibn Kathir berkata: Ayat ini berkenaan dengan nafkah yang sunat.

* Berihsan kepada keluarga dan miskin serta golongan yatim amat-amat digalakkan.

Beriman kepada Allah antara bukti kebaktian umat Islam

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH Sya’rawi berkata: Ketika datang perintah daripada Allah menukar arah kiblat ke Kaabah selepas orang Islam mengadap ke Baitulmaqdis, ini menyebabkan perasaan tidak senang dan jadilah setiap pengikut agama mempunyai kiblat masing-masing yang mana orang Islam berkiblat ke Kaabah, orang Yahudi ke Baitulmaqdis dan orang Nasrani ke timur.

Ini menunjukkan bahawa khilaf bukan masalah dalam mengadap kiblat ketika solat, sebelum ini pun setiap yang solat mempunyai arah kiblat masing-masing. Justeru ia bukan masalah besar dengan sebab itulah Allah menyebut dalam ayat ini.

Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke arah Timur dan Barat, tetapi kebaktian itu ialah mereka beriman kepada Allah, hari Akhirat, para malaikat, kitab-kitab suci, para nabi, dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar di dalam perjalanan, orang yang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji dan orang-orang yang sabar menghadapi kesempitan dan penderitaan dan sabar dalam masa peperangan. Merekalah orang -orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang-orang yang benar-benar bertaqwa. (al-Baqarah: 177)

Firman Allah: Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke arah Timur dan Barat. Ibn al-Jauzi berkata, ayat ini ditujukan kepada orang Islam dan pendapat yang kedua kepada ahli kitab. Kebaktian atau kebajikan merupakan nama yang terhimpun dalam semua jenis kebaikan dan ketaatan yang mendekatkan kepada Allah, ayat ini diturunkan kepada ahli kitab, seperti kata al-Alusi.

Seterusnya maksud kebaktian di situ dikatakan dengan maksud iman atau taqwa atau amalan yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Mengikut pendapat Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah tentang kebaikan lantas Allah menurunkan ayat ini. Lalu lantas baginda bersabda: Adalah seorang lelaki sebelum difardukan kewajipan apabila mengucap dua kalimah syahadah dan kemudian meninggal dunia maka wajib baginya syurga.

Lantas Allah turunkan ayat ini: Tetapi kebaktian itu ialah mereka beriman kepada Allah, hari Akhirat, para malaikat, kitab-kitab suci, para nabi.

Al-Maghari berkata, kebaktian itu ialah beriman dan segala yang mengikutnya daripada amalan dengan iktibar sebagai para perlaku yang baik.

Berdasarkan ayat ini antara kebaikan itu ialah masalah iman, ia terbahagi kepada lima mengikut ayat ini tanpa menyebut beriman kepada qada dan qadar.

i. Beriman dengan Allah merupakan asas kebajikan tetapi boleh dilaksanakan kecuali mampu mengekang hawa nafsu disertai dengan tunduk dan patuh serta toma’ninah pada hati.

ii. Beriman dengan hari akhirat dengan maksud diketahui bahawa adanya kehidupan yang lain pada alam ghaib dan bukan pada alam sekarang ini. Justeru ia tidak akan cuai usahanya dan amalnya sebaliknya menjadikan matlamatnya untuk akhirat mengatasi kelazatan dunia dan syahwat.

iii. Beriman dengan malaikat yang merupakan salah satu rukun iman dan siapa yang mengingkarinya ia dianggap tidak beriman.

iv. Beriman dengan kitab-kitab samawi yang dibawa oleh para nabi menuntut pelaksanaan dan mengambil petunjuk dengan hidayat mereka, berakhlak dengan akhlak mereka dan beradab dengan adab mereka.

Firman Allah: Dan memberi harta yang di sayanginya kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar di dalam perjalanan, orang yang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi. Memberi sebahagian harta kepada golongan yang memerlukan sebagai lambang dan tanda rahmat kepada mereka yang patut diberi bantuan ialah:

i. Kaum kerabat yang berhajat, inilah yang patut diutamakan berdasarkan kepada hadis sahih sabda Rasulullah, Sedekah kamu pada orang Islam sebagai sedekah dan kepada ahli keluargamu dua pahala.

ii. Anak-anak yatim yang kematian bapa, apatah lagi hidup dalam kemiskinan dan amat memerlukan bantuan orang-orang kaya di kalangan orang Islam.

iii. Golongan miskin yang pendapatan mereka kurang daripada keperluan daripada sepatutnya, justeru pertolongan boleh membawa kepada kebaikan kepada masyarakat.

iv. Ibn Sabil iaitu orang yang musafir dan keputusan bekalan yang memerlukan bantuan untuk sampai kepada kampung halamannya.

v. Peminta sedekah yang terpaksa memohon bantuan masyarakat kerana kefakiran dan keperluan yang amat sangat.

vi. Membebaskan hamba abdi dan pertolongan kepada tawanan untuk menebus diri serta menolong orang yang berhutang yang belum selesai untuk pembebasan.

Firman Allah: Mendirikan solat. Mendirikan solat itu dengan cara mengikut sunah Rasulullah serta memahami segala maksud sir solat yang menatijahkan solat berfungsi untuk mencegah mungkar dan kekejian.

Firman Allah: Mengeluarkan zakat. Mengeluarkan zakat yang wajib di mana biasanya zakat disekalikan dengan solat kerana sifat solat menyucikan roh dan harta rakan karib kepada roh, justeru membelanjanya merupakan rukun yang besar daripada amalan kebajikan. Hal ini jelas apabila para sahabat berijmak memerangi golongan yang enggan membayar zakat selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Firman Allah: Menunaikan janji apabila mereka berjanji. Menunaikan janji apabila mereka membuat perjanjian sama ada manusia sesama mereka apatah lagi orang yang beriman dengan, tuhannya untuk melakukan ketaatan dan menjauhi maksiat.

Syeikh Al-Maghari berkata, tiadalah mana-mana bangsa mengabaikan perjanjian yang menjadi rukun amanah dan tiang kebenaran kecuali akan ditimpa dengannya hukum ilahi.

Firman Allah: Dan orang-orang yang sabar menghadapi kesempitan dan penderitaan dan sabar dalam masa peperangan. Disebut tiga tempat atau keadaan dalam ayat ini iaitu pertama sabar ketika kefakiran dan kesusahan kedua sabar ketika kesakitan dan kehilangan harta benda dan anak pihak. Ketika sabar di medan peperangan, ini kerana tempat-tempat ini kesabaran amat dipuji dan diperlukan justeru dengan mengikut segala arahan seperti yang disarankan Allah membawa kepada keunggulan umat ini.

Firman Allah: Merekalah orang -orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang-orang yang benar-benar bertakwa.

Al-Syahid Sayid Qutub berkata: Yang kuat dan nyata ialah di sana ada hubungan di antara penerangan ini dengan perintah kiblat dan pertikaian yang timbul di sekitarnya. Sebelum ini telah pun dibicarakan tentang hikmat perubahan kiblat.

Kini tibalah rangkaian ayat ini menerangkan tentang hakikat agung di sekitar persoalan yang menjadi bahan pertikaian yang ditimbulkan oleh kaum Yahudi di sekitar bentuk syiar-syiar dan ibadat-ibadat.

Mereka seringkali menimbulkan pertikaian di sekitar perkara-perkara ini. Tujuan perubahan kiblat dan syiar-syiar ibadat pada umumnya bukanlah supaya manusia menghadapkan muka mereka ke hala Timur dan Barat atau hala Baitulmaqdis atau Masjid al-Haram.

Sementara itu, matlamat amalan-amalan kebaktian atau seluruh amalan yang baik bukanlah syiar-syiar yang lahir. Ini kerana syiar-syiar yang lahir itu sendiri sunyi daripada perasaan-perasaan yang menyertai di dalam hati dan sunyi daripada perilaku di dalam kehidupan ia tidak melahirkan kebaktian dan tidak mewujudkan kebaikan.

Malah kebaktian itu ialah pandangan, kefahaman, perasaan, tindakan-tindakan atau perilaku, iaitu kefahaman yang melahirkan kesannya di dalam hati nurani individu dan masyarakat dan tindakan dan amalan yang melahirkan kekesanan di dalam kehidupan individu dan masyarakat.

Hakikat yang mendalam ini tidak boleh digantikan dengan semata-mata menghalakan muka ke arah Timur dan Barat sama ada mengadap ke arah kiblat ini atau kiblat itu, atau memberi salam ke kanan dan ke kiri di dalam solat atau di dalam seluruh harakat yang dilakukan manusia dalam melaksanakan syiar-syiar ibadat.

Iktibar dan pengajaran ayat:

lKeimanan merupakan asas dalam kehidupan manusia dengan melaksanakan segala tuntutan dan kehendak-Nya

lSyeikh al-Maghari menaqalkan pendapat sebahagian ulama berkata, siapa yang beramal dengan ayat ini maka sempurnalah imannya dan tercapailah setinggi martabat keyakinannya.

lSifat suka membantu merupakan lambang kebaikan apatah lagi terhadap golongan yang berhajat dan memerlukan bantuan.

Syurga bagi yang lulus ujian

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI ALBAKRI

Syeikh al-Maraghi berkata: “Selepas Allah memerintahkan kepatuhan dan mengikut ajaran Islam beliau menunjukkan betapa perlunya manusia pertolongan sebahagian mereka dengan yang lain kerana terlalu banyak tuntutan dan kehendak. Ini menyebabkan membawa kepada pertelingkahan.

“Justeru diletakkan satu nizam dan peraturan untuk membataskan hak masing-masing serta dipandu dengan akal bagi menyelesaikan segala perkara apatah lagi bukti daripada Allah. Kemudian disebut ihsannya Allah terhadap hamba-hambanya dengan menurunkan kitab dan mengutuskan Nabi supaya mereka berhukum dengan keduanya.”

Kemudian dinyatakan bagaimana golongan yang cuba keluar dari daerah kepatuhan sehingga menyusahkan orang Islam menyebabkan mereka terpaksa bersabar dan tetap pendirian dalam menghadapi situasi seperti ini, lantas Allah menurunkan ayat.

Firman Allah: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah: 214)

Firman Allah s.w.t.: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya.

Ibn Kathir berkata: “Apakah kamu sangka bahawa kamu layak masuk syurga tanpa sebarang ujian dan tribulasi sebagaimana yang telah berlaku mereka yang terdahulu daripada kamu. Antara ujian tersebut seperti pelbagai penyakit, musibah, bencana dan kedukacitaan.”

Sayid Qutub berkata: “Demikianlah Allah berbicara dengan angkatan Muslimin yang pertama dan mengemukakan kepada mereka pengalaman-pengalaman golongan orang yang beriman di zaman silam dan membentangkan sunah-Nya kepada mereka panji-panji agama-Nya dan dibebankan di bahu mereka amanah-Nya, sistem hidup-Nya dan syariat-Nya.”

Firman ini berkuatkuasa kepada setiap orang yang dipilih untuk memainkan peranan yang agung ini.

Itulah satu ujian yang amat mendalam. Besar dan ngeri. Pertanyaan yang terbit dari Rasulullah yang sentiasa berhubung rapat dengan Allah dan dari orang-orang yang beriman kepada yang berbunyi.

Mengikut dalam sebuah hadis yang sahih daripada Khabbab bin al-‘Arat katanya, kami bertanya: “Hai Rasulullah, tidakkah kamu minta tolong untuk kami? Tidakkah kamu berdoa kepada Allah untuk kami?” Lantas sabda Nabi: Sesungguhnya terdapat orang di zaman dahulu yang diletakkan gergaji atas kepalanya kemudian digergaji sampai terbelah dua, sedangkan dia tidak berpaling dari agamanya. Begitu juga disikat dengan sikat besi sehingga mengoyakkan daging dan tulangnya, sedangkan dia tidak berpaling dari agamanya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, nescaya Allah sempurnakan urusan ini sehingga yang menunggang dari San’a ke Hadramaut tidak takut kecuali Allah dan serigala atas kambingnya akan tetapi kamu merupakan kaum yang bergopoh-gapah. Hadis ini riwayat Bukhari, Ahmad dan Abu Daud.

Firman Allah: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Sayid Qutub berkata: “Menggambarkan betapa hebatnya kesusahan yang menggoncangkan hati Rasul dan para Mukmin yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah. Kesusahan itu telah memayungkan hati mereka dengan bayangan yang mendung dan menyebabkan terkeluarnya dari mereka pertanyaan yang malang ini: Bilakah datangnya pertolongan Allah?”

Apabila hati mereka dapat berdiri teguh menghadapi ujian yang menggoncangkan ini, maka itulah terlaksananya keputusan Allah dan tiba pertolongan dari Allah.

Firman Allah: Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). Al-Sonhadji berkata: “Tuhan akan memperkenankan harapan orang-orang Mukmin yang betul-betul tabah hatinya, teguh pendiriannya menghadapi segala derita kerana menegakkan yang hak, dengan menyegerakan datangnya pertolongan kepada mereka.

“Percayalah kepada pertolongan Allah, dan ia akan tiba tidak berapa lama lagi. Benarlah tidak berapa lama musuh yang mengepung kota Madinah telah berselisih sesama mereka, yang dituruti pula dengan turunnya angin ribut, hujan lebat dan petir sabung menyabung, sehingga mereka punah-ranah dan mengundurkan diri dengan ketakutan yang amat sangat.”

Sayid Qutub berkata: “Kemenangan itu adalah disimpan untuk mereka yang wajar menerimanya dan tiada yang wajar menerimanya melainkan orang- orang yang sanggup berdiri teguh sehingga akhir. Mereka sanggup teguh menghadapi menghadapi kesusahan dan penderitaan, sanggup teguh menghadapi goncangan-goncangan dan mereka sanggup mereka sanggup menghadapi rempuhan ribut badai.

Mereka yakin bahawa tiada kemenangan melainkan kemenangan dari Allah dan ketika dikehendaki Allah. Dan apabila kesusahan dan penderitaan itu sampai ke puncaknya, maka mereka hanya mengharapkan pertolongan dari Allah sahaja bukannya mengharapkan sesuatu penyelesaian yang lain. Bukan pula mengharapkan mana-mana pertolongan yang bukan datang dari Allah, kerana pertolongan yang sebenar itu adalah datang dari Allah.

Dengan keteguhan yang seperti itulah para Mukmin dapat memasuki syurga dan layak menjadi penghuninya setelah menempuh perjuangan dan ujian, kesabaran dan kegigihan, keikhlasan kepada Allah Yang Maha Esa sahaja, pembulatan perasaan terhadap Allah, pengabaian terhadap segala sesuatu dan sekelian yang lain dari Allah.

Penulis menutup perbincangan ini dengan menukilkan kenyataan Ibn al-Jauzi: “Sesungguhnya dan kesukaran hidup yang terkena kepada ummah terdahulu membawa kepada terlewatnya kemenangan di samping tribulasi yang begitu mencabar dan sesungguhnya telah dinyatakan bahawa jalan ke syurga itu hanya dengan kesabaran yang tinggi dan kental.”

Benarlah Aisyah berkata: “Rasulullah s.a.w tidak kenyang tiga hari berturut-turut tanpa sebarang makanan.” Begitu juga Huzaifah berkata: Aku pernah merasa lapar beberapa hari ketika aku pulang kepada keluargaku. Mereka mengadu hal ini kepadaku. Inilah yang terjadi kepada Salaf al-Soleh yang menunjukkan sifat kesabaran serta reda membawa kepada kejayaan sama ada di dunia dan akhirat.

Iktibar Ayat:

*Kelebihan para sahabat.

*Sunnatullah terhadap wali-walinya penuh dengan ranjau dan ujian.

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “Dakwah ini tidak menerima kompromi kerana dakwah ini adalah satu. Orang yang menerima dakwah ini akan hidup bersama dakwah dan dakwah ini akan hidup bersamanya.”

Orang yang tidak bersedia menanggung tanggungjawab ini akan kehilangan ganjaran para mujahid dan berada sebaris di barisan orang-orang yang tercicir bersama orang yang berpeluk tubuh. Justeru Allah akan menggantikan mereka dengan orang lain yang akan mendukung dakwah ini.

Manusia berasal dari Nabi Adam

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah perintahkan mereka yang beriman dengan nabinya supaya memeluk Islam keseluruhannya dan mereka dalam kepatuhan tanpa bangkangan.

Sayugia hidayah yang datang kepada seseorang daripada tuhannya tidak akan berjalan dalam melakukan amalan kepada yang khilaf, tetapi wajib atasnya mengikut petunjuk-Nya. Akhirnya dijelaskan dalam ayat ini.

Firman Allah, Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya). (Al-Baqarah: 213)

Firman Allah s.w.t: Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka).

Al-Qurtubi berkata: Dengan maksud atas satu agama. Sedangkan Ubai bin Ka’ab dan Ibn Zaid pula berkata: Dikehendaki dengan manusia ialah segala anak Adam ketika Allah keluarkan mereka daripada Adam lantas mereka ikrar dengan wahdaniah-Nya.

Mujahid berkata: Manusia adalah Adam sahaja kerana dinamakan satu dengan lafaz jamak (ramai) kerana ia merupakan asal.

Ibn Abi Khaisamah berkata: Semenjak Allah menciptakan Adam hingga dibangkitkan Muhammad s.a.w selama 5,800 tahun. Walaupun begitu dikatakan lebih daripada itu dan dikatakan antara Nabi Adam dengan Nabi Nuh 1,200 tahun sedangkan Nabi Adam hidup hampir 960 tahun.

Sayid Qutub berkata: Kisahnya begini. Dahulu manusia merupakan satu umat sahaja. Mereka hidup di atas satu agama, satu kepercayaan dan kefahaman sahaja. Ini merupakan isyarat kepada sekumpulan umat manusia yang pertama dan kecil dari keluarga Adam dan Hawa dan anak-anak pinak keturunan mereka sebelum timbulnya kefahaman-kefahaman dan kepercayaan-kepercayaan.

Keturunan sahaja

Di sini al-Quran menjelaskan bahawa manusia itu adalah berasal dari keturunan sahaja, iaitu dari zuriat anak-anak keluarga pertama Adam dan Hawa. Dan telah menjadi kehendak masyi’ah Allah menciptakan seluruh umat manusia dari hasil zuriat keturunan satu keluarga yang kecil untuk menjelaskan dasar keluarga dalam kehidupan mereka, dan menjadikan keluarga sebagai asas pertama masyarakat.

Kemudian zaman semua manusia berada dalam satu tahap, satu aliran, satu kefahaman dalam lingkungan keluarga yang pertama itu telah berlalu dan kini bilangan mereka telah berkembang menjadi ramai dan berpecah di merata tempat.

Bentuk dan cara hidup mereka juga telah berubah, dan disini muncullah di kalangan mereka berbagai-bagai bakat kebolehan yang dijadikan Allah untuk mereka kerana sesuatu hikmat yang diketahui-Nya iaitu hikmat kebaikan kehidupan manusia yang terletak di sebalik kepelbagaian bakat-bakat kebolehan, kepelbagaian kekuatan dan tenaga dan kepelbagaian haluan dan tujuan.

Firman Allah: Dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dikatakan jumlah nabi seramai 124,000 sedangkan rasul seramai 313. Ini dinukilkan daripada al-Qurtubi.

Al-Tabari berkata: Alif dan lam pada al-Kitab dengan maksud lil ‘ahdi iaitu dikehendaki dengan kitab Taurat. Sayid Qutub berkata: Di sini ketaralah hakikat agung itu, iaitu antara tabiat manusia ialah mereka berbeza pendapat, kerana perbezaan pendapat ini merupakan salah satu lunas dari lunas-lunas tabiat kejadian mereka.

Perbezaan ini dapat merealisasikan satu hikmat yang tinggi dari pelantikan manusia menjadi khalifah di muka bumi ini, kerana urusan pemerintahan memerlukan kepada berbagai-bagai fungsi dan berbagai-bagai bakat kebolehan dari bermacam-macam jenis. Ia supaya semuanya bersepadu dan selaras dan dapat menyempurnakan peranan agungnya menegakkan pemerintahan dan pembangunan di bumi mengikut perancangan induk yang telah ditentukan di dalam ilmu Allah.

Oleh itu wujudnya kepelbagaian bakat kebolehan merupakan sesuatu yang pasti untuk memenuhi kehendak-kehendak kepelbagaian fungsi. Perbezaan bakat-bakat kesediaan itu perlu untuk melayani berbagai-bagai keperluan.

Firman Allah: Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.

Ibn Kathir berkata: Sebenarnya mereka khilaf dalam banyak hal seperti dinukilkan daripada Zaid bin Aslam. Mereka khilaf berhubung dengan penentuan kelebihan hari jumaat begitu juga dengan kiblat di samping solat dan lain-lain.

Bertelingkah

Orang yang dahulunya telah bersatu dalam perkara yang hak dan benar kemudiannya bertelingkah. Tidak lain orang yang bertelingkah itu ialah orang-orang yang dikurniakan kitab Taurat dan Injil. Tetapi masing-masing memperselisihkan isi-isi kitab itu di dalam cara memahami dan memikirkannya – semata-mata didorong oleh rasa hasad dengki dan aniaya sesama mereka – atau kerana tamakkan harta dunia dan berebut hendak menjadi ketua.

Firman Allah: Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).

Hidayat (petunjuk) dalam ayat ini – setengah ulama mentakwilkan – dengan memilihkan hari Jumaat sebagai hari kebesaran umat Islam bukannya hari Sabtu yang dibesarkan oleh kaum Yahudi ataupun hati Ahad yang dibesarkan oleh kaum Nasrani.

Juga ditakwilkan dengan berkiblat ke Mekah bukan ke Baitulmaqdis seperti orang Yahudi, ataupun berkiblat ke timur seperti orang Nasrani. Ataupun ditakwilkan bahawa Nabi Ibrahim bukanlah membawa syariat Yahudi atau Nasrani, tetapi yang dibawanya ialah syariat Islam yang suci dari menyekutukan Allah.

Keengkaran Bani Israel berterusan

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: Rujukan kepada Bani Israel di sini merupakan satu rujukan yang tabie kerana ia mengingatkan sikap Bani Israel yang teragak-agak menyambut dakwah.

Sikap mereka yang menolak dan enggan memasuki ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka. Mereka juga degil dan menuntut mukjizat-mukjizat, kemudian sikap mereka yang terus keras kepala dan kufur. Sikap-sikap inilah yang menjadi penggelincir-penggelincir jalan yang diperingatkan Allah kepada kaum Muslimin supaya mereka menghindarinya agar mereka terselamat dari akibat kecelakaan yang telah menimpa Bani Israel.

Firman Allah, Bertanyalah kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya. (al-Baqarah: 211)

Firman Allah s.w.t: Bertanyalah kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Ibn Kathir menyebut: Allah berfirman menceritakan kisah Bani Israel berapa banyak yang telah mereka saksikan bersama Nabi Musa, hujah dan bukti yang benar yang telah dibawa kepada mereka seperti tangannya yang boleh mengeluarkan cahaya. Tongkatnya yang boleh bertukar menjadi ular, dapat membelah lautan dan boleh memukul batu sehingga keluarnya air.

Begitu juga dengan awan melindungi mereka dari panahan terik matahari dan diturunkan kepada mereka rezeki daripada al-Man dan al-Salwa. Begitu juga dengan perkara yang mencarikkan adat berlaku kepada Nabi Musa. Namun malangnya Bani Israel banyak berpaling dan ingkar di samping menukar nikmat Allah dengan kekufuran. Mereka menjual keimanan dengan kufur dan berpaling daripada-Nya.

Syeikh Sya’rawi membahaskan dengan panjang lebar berkenaan persoalan yang diajukan kepada Bani Israel ini. Al-Mawardi berkata: Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan persoalan terhadap Bani Israel:

* Nabi mereka.

* Ulama mereka.

* Kesemuanya.

Pertanyaan ini tidak terhenti setakat hakikatnya (yang lahir sahaja). Malah pertanyaan ini merupakan salah satu cara penerangan untuk menjelaskan betapa banyaknya bukti-bukti kebenaran yang telah ditunjukkan Allah kepada Bani Israel. Dan betapa banyaknya mukjizat yang diperlihatkan kepada mereka sama ada atas permintaan mereka atau kerana kedegilan mereka atau diperlihatkan terus secara langsung kepada mereka kerana sesuatu hikmat yang tertentu.

Walaupun sebanyak mana mukjizat yang telah diperlihatkan kepada mereka, namun mereka masih bersikap ragu-ragu, teragak-agak, degil dan menjauhkan diri dari kedamaian yang memayungi dengan naungan keimanan.

Nikmat

Firman Allah s.w.t: Dan sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.

Nikmat Allah yang disebutkan di sini ialah nikmat kedamaian atau nikmat keimanan, kedua-duanya seerti sahaja. Amaran dari perbuatan menukarkan nikmat itu adalah tepat dengan sikap Bani Israel dan keadaan mereka yang dinafikan dari nikmat kedamaian, ketenteraman dan kemantapan sejak mereka menukarkan nikmat Allah dan mereka enggan mematuhi perintah Allah dengan menyerah kepada arahan-Nya.

Mereka selama-lamanya bersikap ragu-ragu, teragak-agak dan meminta-minta bukti mukjizat pada setiap langkah dan harakat. Kemudian mereka tidak juga percaya kepada mukjizat dan yakin kepada nur Allah dan hidayat-Nya.

Ancaman dengan keseksaan Allah yang amat berat itu memang sesuai dengan sikap Bani Israel, juga sesuai orang-orang yang menukarkan nikmat Allah dan berlagak angkuh terhadapnya di setiap zaman.

Al-Sonhadji berkata: Allah menyuruh Nabi s.a.w bertanya kepada kaum Yahudi di Madinah – bukan bertanya untuk mengetahui, kerana Nabi s.a.w sudah diberitahu oleh Allah. Pertanyaan itu sekadar untuk mengeji tentang keengganan mereka untuk mengakui nikmat-nikmat Allah yang telah mereka terima, supaya mereka ingat kembali kepada Allah dan bersyukur kepada-Nya atau istifhamun taqriri.

Pertanyaan yang tidak berhajat kepada jawapan, berapa banyak Allah telah anugerahkan kepada mereka seperti kebangkitan Nabi Musa a.s, mukjizat tongkatnya, tangannya bercahaya putih, terbelahnya Laut Merah, tenggelamnya Firaun di hadapan mata mereka, mereka dilindungi awan, dikurniakan manisan yang bernama Manna dan burung Salwa.

Perjanjian

Semuanya itu adalah ayat (keterangan-keterangan) Allah yang nyata, tetapi mereka salahi dengan membunuh para Nabi dan utusan Allah, mereka juga telah mengubah perjanjian dan wasiat Allah. Allah menyatakan; barang siapa menukar nikmat Allah (agama Islam) setelah datang kepadanya, iaitu mengubah peraturan agama Islam, tidak mahu beramal dengannya ataupun mengingkarinya, Allah akan menyediakan baginya seksa yang amat pedih.

Kesimpulan dari ayat 208 hingga 211 ditakwilkan seperti berikut: Hai orang-orang yang beriman dengan Taurat! Percayalah kamu kepada Taurat dan masuklah kesemuanya ke dalam agama Islam. Tinggalkanlah pekerti kufur dan segala seruan syaitan yang membawa kesesatan. Kamu telah pun didatangkan keterangan-keterangan yang nyata daripada-Ku (Allah) dan Muhammad yang telah menunjukkan kepada kamu beberapa bukti maka janganlah kamu ubah perjanjian-Ku kepada kamu dan segala apa yang dibawanya daripada-Ku yang tersebut di dalam kitab Taurat kamu – bahawa dialah (Muhammad) Nabi dan utusan-Ku. Maka barang siapa mengubah atau menukarkannya nescaya Ku sediakan seksa yang amat sangat pedihnya.