Orang kafir tempatnya neraka

By mfrstudio


UMAT Islam yang meninggalkan solat juga akan dihumban ke neraka. – Gambar hiasan


M. Quraish Shihab berkata: “Kalau Firaun dan rejimnya yang begitu perkasa, bahkan menganggap dirinya Tuhan mendapat seksa duniawi dan ukhrawi, maka apalagi mereka yang tidak mencapai tingkat keperkasaan Firaun. Kerana itu Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk menyampaikan kepada setiap orang yang mengingkari keesaan-Nya dan menolak ayat-ayat-Nya, bahawa: “Kamu pasti akan dikalahkan sebagaimana Firaun dan rejimnya yang telah dikalahkan Allah SWT dalam kehidupan dunia ini, bahkan bukan hanya di dunia, di akhirat nanti pun kamu akan diiringi ke jahanam. Dan itulah ayunan (tempat) yang seburuk-buruknya”.

Ayat ke-12:
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Sebab Nuzul
Terdapat tiga sebab nuzul:

lSebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a: “Bahawasanya kaum Yahudi Madinah telah menyaksikan kemenangan Rasulullah SAW terhadap kaum Musyrikin Mekah dalam peperangan Badar dan mereka berkata: “Demi Allah SWT, dialah Nabi yang diberitakan oleh Nabi Musa AS, dan dalam Taurat ada tersebut sifat-sifatnya (Muhammad SAW)”.

Mereka telah bercadang hendak mengikut Nabi masuk Islam tetapi sesetengah daripada mereka telah berkata: “Jangan terburu-buru masuk Islam, sehingga kamu lihat peperangan yang lain pula berlaku. Maka apabila berlaku peperangan Uhud antara mereka dengan Rasulullah SAW telah termeterai perjanjian untuk saling membantu namun mereka telah mengingkari perjanjian tersebut dengan penarikan pasukan askar yang terdiri dari 60 orang penunggang diketuai oleh Ka’bubnul Asyraf menyebelahi musuh iaitu kaum Quraisy Mekah untuk bersama-sama memerangi Rasulullah SAW. Maka ayat ini diturunkan bagi mengancam mereka.

- Diturunkan kepada Quraisy sebelum berlakunya perang Badar dan Allah SWT mentahkikkan janjinya pada perang Badar. Inilah yang diriwayatkan Ibn Abbas dan al-Dhahak.

- Abu Sufian dan kumpulan Quraisy yang berhimpun selepas perang Badar. Inilah pendapat Ibn Sa’ib.

Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Maraghi berkata: Ayat di atas bermaksud, “Katakanlah kepada orang Yahudi itu, bahawa mereka akan kalah di dunia ini dan ditimpa bencana yang diancam oleh Allah SWT ke atas mereka. Di akhirat kelak, mereka akan dipandu ke neraka jahannam, tempat yang paling jelik yang telah mereka siapkan untuk diri mereka sendiri”.

lHamka berkata: “Akan datang masanya harta bendamu itu tidak akan dapat mempertahankan kamu. Kalah di dunia dan akhirat. Anak-anak yang kamu manjakan akan menghancurkan hatimu dengan lagaknya yang tersendiri”.

- Al-Sonhadji berkata: “Katakan! Ya Muhammad kepada orang-orang Yahudi itu, bahawasanya kamu akan dikalahkan di dunia, dan dengannyalah terlaksana seksa Allah SWT ke atas kamu, dan di akhirat kelak akan dihumban ke dalam neraka jahanam iaitu seburuk-buruk tempat yang menjadi hamparan untuk tempatmu”.

- M. Quraish Shihab berkata: “Tempat tinggal di neraka jahanam dinamai ayunan sebagai ejekan buat mereka, atau untuk mengisyaratkan bahawa mereka tidak memiliki ruang gerak yang bebas, sebagaimana sempitnya ayunan bagi bayi yang diayun”.

Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingan dan bandingan dan wajib kita beriman adanya neraka sebagai tempat seksaan golongan yang mengingkari perintah Allah SWT.

Ayat Ke-13:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

Sebab Nuzul:
Telah dikeluarkan daripada Abdul Razak bahawa ayat ini telah diturunkan kepada ahli peperangan Badar.

Iktibar dan fiqh ayat:
1. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: “Ucapan ini ditujukan kepada:

- Orang kafir. Inilah pendapat Ibn Abbas.
- Orang Yahudi. Inilah pendapat al-Farra’ dan Ibn al-Anbari.
- Orang yang beriman. Inilah pendapat Ibn Masud dan al-Hasan.

2. Al-Syaukani berkata: “Jumlah orang Islam yang menyertai peperangan Badar seramai 313 orang sedangkan jumlah kaum Musyrikin seramai 950 orang.

3. Al-Syaukani berkata: “Maksud ayat di sini ialah pengajaran, iktibar dan tafakkur”.

4. Al-Maraghi berkata: “Justeru, halakan pandangan kamu kepada dua pasukan yang sedang bertempur di medan Badar. Nescaya kamu akan mendapati bahawa jumlah tentera daripada kalangan mukmin yang sedikit dan berjuang di jalan Allah SWT demi membela agama-Nya telah berjaya memenangi dan mengalahkan pasukan musyrikin yang memiliki barisan tentera yang agak ramai”.

5. Hamka berkata: “Hal ini ketika peperangan Badar. Umat Islam yang berjuang pada jalan Allah SWT menghadapi kaum kafir tiga kali ganda lebih dari mereka. Allah SWT memberikan kemenangan kepada mereka yang berjuang pada jalan Allah bukan kerana harta dan anak”.

6. Al-Sonhadji: “Hanya dengan keizinan Allah SWT dan kekuasaannya menimbulkan daya kekuatan yang maha besar, melebihi dari segala-galanya hinggakan kumpulan yang sedikit boleh mengatasi kumpulan yang lebih besar jumlah bala tenteranya”.

Ini sebagai petanda betapa kuasanya Allah SWT dalam memberi kemenangan kepada golongan yang taat dan patuh hanya kepada-Nya sahaja.