By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
IBNU Kathir berkata: Firman Allah SWT yang memberi ancaman dan amaran kepada siapa yang kufur setelah beriman kemudian bertambah kekufurannya dan berkekalan hingga mati. Ia tidak akan diterima taubat mereka ketika hampir meninggal dunia.
Sebab Nuzul ayat ke-90
Mengikut riwayat Ibnu Abbas r.a terdapat satu kaum yang telah memeluk Islam kemudian murtad, Islam kembali dan murtad semula lantas mereka menghantar kepada kaum mereka untuk bertanya tentang hal tersebut yang diadukan kepada Rasulullah SAW kemudian turunnya ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Mawardi dalam tafsirnya al-Nukat Wal 'uyum berkata, mereka yang kufur dalam ayat ini ada empat pendapat:n Mereka adalah golongan Yahudi yang kufur dengan Nabi Isa as kemudian bertambah kufur dengan Nabi Muhammad SAW. Inilah pendapat Qatadah.n Mereka adalah ahli Kitab yang tidak diterima taubat mereka kerana melakukan dosa kekufuran. Inilah pendapat Abi al-'Aliah.n Mereka yang murtad kemudian berazam untuk menzahirkan taubat secara sembunyi sedangkan Allah SWT mengetahui rahsia mereka. Inilah pendapat Ibnu Abbas.n Mereka adalah golongan Yahudi dan Kristian yang kufur dengan Nabi SAW selepas beriman dengannya sebelum kebangkitannya kemudian bertambah kufur apabila hampir sampai ajal mereka. Inilah pendapat al-Hassan.
lAl-Maraghi berkata, pada zahirnya, ayat di atas menunjukkan pertentangan maksud dengan ayat al-Quran yang lain. Sebagaimana yang dapat dilihat pada firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya (yang bertaubat). (al-Syura': 25) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Kecuali orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu……(ali-'Imran: 89).
lMohamad Quraish Shihab berkata, ada yang memahami ayat ini berbicara tentang orang-orang Yahudi. Mereka kufur kepada Isa as dan Injil yang diturunkan Allah SWT. Setelah mereka beriman kepada Musa as dan Taurat, tetapi mereka menjadi kufur kerana mengingkari kenabian Muhammad SAW serta kitab suci al-Quran. Ada juga yang berpendapat bahawa ayat ini turun menyangkut orang-orang Yahudi dan Nasrani sebelum Nabi Muhammad SAW diutus. Sebagaimana termaktub dalam kitab suci mereka Taurat dan Injil, tetapi setelah Baginda diutus dan mengajak mereka beriman kepada Allah SWT dan kepada Baginda sebagai utusan-Nya, mereka kafir dan ingkar bahkan bertambah kekufuran serta tipu daya untuk menggagalkan risalah beliau.
lAl-Sonhadji berkata, ayat ini ditujukan kepada Ahli Kitab dari golongan orang Yahudi dan Nasrani yang mana mereka itu mengingkari Nabi Isa dan kitab Injil sesudah mereka itu beriman dengan Nabi Musa dan para nabi yang lain. Kemudian bertambah pula keingkaran mereka disebabkan mengingkari Nabi Muhammad SAW.
Iktibar dan fiqh ayat ke-91:
lIbnu Kathir berkata, siapa yang mati dalam keadaan kufur nescaya tidak diterima daripadanya sebarang kebaikan selama-lamanya sekalipun dia bersedekah seluas bumi daripada emas.
lAl-Maraghi berkata, ayat di atas mempunyai persamaan dengan firman Allah SWT. Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri daripada kamu, dan tidak juga daripada orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu! (terjemahan al-Hadid: 15).
lAl-Maraghi berkata, ayat ini bermaksud pertolongan yang dapat mengurangkan seksaan ke atas mereka atau meringankannya, sebagaimana yang dapat mereka beri pertolongan ini sewaktu di dunia, iaitu apabila ada orang yang menyakiti mereka atau menimbulkan situasi yang tidak menyenangkan mereka.
lMohamad Quraish Shihab berkata, jangan fikir mereka akan dibiarkan tanpa seksa. Bagi mereka itulah, yakni orang-orang yang sangat jauh dari rahmat Allah dan jauh pula tingkat kedurhakaannya yang mereka miliki dan melekat pada diri mereka sebagaimana difahami dari huruf lam yang dirangkaikan dengan hum (lahum) seksa yang pedih. Salah satu makna huruf lam adalah menunjukkan kepada pemilik.
lAl-Sonhadji berkata, Allah menjelaskan pula pada ayat ini, iaitu orang-orang kafir yang mati di dalam kekafiran sama ada dari golongan Ahli kitab mahupun dari golongan penyembah berhala. Tidak seorang pun dari mereka itu akan diterima taubatnya, walaupun ia mempunyai harta yang banyak, penuh bumi ini dengan emasnya, tidak dapat digunakan untuk penebus dirinya pada hari kiamat dan tidak dapat dibelanjakan untuk mengelakkan dirinya dari seksa api neraka.
Sebab Nuzul ayat ke-92
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas yang berkata bahawa Abu Talhah adalah penduduk Ansar Madinah yang memiliki banyak pohon tamar.
Antara tamar yang paling disayangi beliau adalah yang terletak di kebun Yarya'. Kedudukan kebun itu menghadap ke arah masjid.
Rasulullah SAW sering masuk ke sana dan minum airnya yang nyaman. Sebaik sahaja ayat ini turun, Abu Talhah berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya harta yang paling ku cintai adalah kebun tamar yang terletak di Yarya'. Walau bagaimanapun aku berhasrat mendermakan kebun tamar ini kepada Allah SWT semata-mata. "Di samping itu aku mengharapkan kebaikan daripada pokok tamar ini dan sebagai tabungan di sisi Allah SWT. Untuk itu, terserahlah kepada tuan untuk menguruskan kebun tamar tersebut, wahai Rasulullah sebagaimana yang Allah telah perlihatkan kepadamu".
Dalam situasi tersebut, Rasulullah SAW bersabda: "Bagus! Bagus! Bagus!...harta tersebut mempunyai keuntungan. Aku mendengar ucapanmu itu dan aku berpendapat, hendaklah engkau gunakan harta tersebut untuk kaum kerabatmu".
Abu Talhah kemudian berkata: "Aku akan melaksanakannya wahai Rasulullah!". Abu Talhah kemudian membahagikan harta tersebut kepada kaum kerabat dan sanak saudaranya.
Ibnu Abu Hatim meriwayatkan hadis daripada Muhammad Ibn al-Munkandar yang berkata: "Sewaktu ayat ini turun, pada saat itu Zaid Ibn Harith datang dengan menunggang kuda yang bernama Sabal. Beliau tidak mempunyai sebarang harta yang disayangi selain binatang yang ditunggangnya itu.
Tiba-tiba Zaid berkata: "Binatang ini aku jadikannya sebagai derma". Rasulullah SAW menerima dan membawa binatang tersebut untuk diberikan kepada putera Usamah.
Pada saat itu, kelihatan Zaid seolah-olah berasa sedih. Sebaik sahaja Rasulullah SAW melihat situasi seperti itu pada dirinya, lalu Baginda bersabda, "Ketahuilah, bahawa Allah SWT telah menerima sedekahnya (binatang itu)".
Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Mawardi berkata, perkataan kebajikan ada tiga tafsiran:n Pahala Allah SWT.n Perbuatan kebaikan yang melayakkan mendapat pahala.n Syurga dan inilah pendapat al-Suddi.
lAdapun perkataan sehingga kamu bernafkah juga tiga pendapat:n Pada sedekah yang fardu, inilah pendapat al-Hassan.n Semua sedekah sama ada fardu atau sunat. Inilah pendapat Ibn Umar.n Semua jalan kebaikan dari sedekah dan lain-lain lagi.
lAl-Maraghi berkata, dalam ayat ini pula, Allah SWT menyatakan kepada mereka bahawa pengenalan tanda dan ciri-ciri orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang bercita-cita untuk mendermakan harta yang disayangi ke jalan Allah SWT dengan niat yang tulus ikhlas dan baik. Akan tetapi kamu, wahai mereka yang mendakwa dan membuat pengakuan di atas ternyata kamu adalah orang yang lebih suka mengutamakan kemewahan harta daripada mencari keredaan Allah SWT. Meskipun ada di kalangan kamu yang ingin mendermakan hartanya, tetapi dia mendermakan harta yang paling buruk atau harta yang memang tidak disukainya. Ini kerana, kecintaan dia terhadap Allah SWT malahan kecintaan dia menyimpan hartanya melebihi kecintaannya mendapat keredaan serta balasan pahala daripada Tuhan-Nya.
lAl-Maraghi berkata, ayat ini mengandungi unsur galakan, ancaman dan saranan agar menderma secara sunyi (tanpa diketahui orang lain). Tujuannya agar syaitan tidak dapat menceroboh hati golongan dermawan daripada kalangan orang soleh dan membawa kepada riak.
lMohamad Quraish Shihab berkata, Rasulullah SAW ketika ditanya tentang al-Birr baginda menjawab bahawa: al-Birr adalah sesuatu yang tenang hati dan tenteram jiwa menghadapinya. Dosa adalah sesuatu hati yang ragu menghadapinya dan bimbang dada menampungnya, hati pun malu jika orang mengetahui bahawa kita melakukannya walau sudah ada yang memfatwakan kebenarannya.
lIbn Abbas RA mentakwilkan al-Birra di sini ialah syurga. Setengah qaul mengatakan al-Birra adalah takwa dan ada pula yang mengatakan ketaatan. Maka takwa dan ketaatan keduanya ini boleh dimelayukan bererti kebaktian.Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa berinfaq dan penyumbang kebaikan pada jalan Allah.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sheikh Abu Zahrah berkata, sesungguhnya Allah SWT mempunyai peraturan dan sunnah yang kukuh pada makhluknya. Sebagaimana alam berjalan atas qanun yang thabit, tidak menerima perubahan kecuali dengan kehendak Allah.
Begitu juga di sana peraturan-peraturan pada jiwa yang tidak menerima perubahan kecuali dengan kehendak Tuhan.
Termasuk dalam sunnahnya bahawa jiwa-jiwa tidak mendapat petunjuk kecuali yang menuntut kebenaran dengan penuh keikhlasan kepada Allah.
Ayat ke-86
Firman Allah SWT yang bermaksud: Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim.
Sebab Nuzul
Terdapat tiga sebab nuzul:
*Seorang lelaki di kalangan Ansar telah murtad dan mengikut golongan musyrikin kemudian turunnya ayat ini. Selepas itu kaumnya menulis surat kepadanya dan dia pulang bertaubat. Inilah riwayat Ikrimah daripada Ibn Abbas r.a.
*Diturunkan pada ahli kitab yang mengenali Nabi SAW kemudian kufur. Inilah riwayat 'Atiah daripada Ibn Abbas r.a.
*Ikrimah berkata, ada 12 lelaki termasuk Abu Amir al-Rahib dan al-Harith Ibn Suwayd keluar daripada Islam dan bergabung dengan golongan Quraisy.
Mereka kemudiannya menulis surat kepada keluarga mereka, menanyakan: "Apakah kami masih ada peluang bertaubat? Lalu turunlah ayat ini kepada mereka. Dan sebahagian besar riwayat menyebut kejadian ini menjadi sebab turunnya ayat ini".
Iktibar dan fiqh ayat
*Al-Maraghi berkata, ayat ini menyatakan betapa jauhnya kemungkinan mereka untuk mendapat hidayah menurut sunnatullah yang berlaku pada manusia dan sebagai makluman kepada nabi agar jangan mengharapkan sangat mereka ini beriman.
Ini kerana salah satu sunnatullah untuk menunjukkan manusia kepada kebenaran ialah dengan mengutarakan dalil-dalil dan bukti-bukti kepada mereka, di samping melenyapkan rintangan-rintangan yang dapat menghalang daripada keadaan yang sebenar bagi mencapai matlamat.
Lantaran demikian, Allah SWT menetapkan bahawa mereka berada jauh daripada orang yang sebelum mereka. Dengan cara ini mereka akan mengimani kerasulannya.
*Mohamad Quraish Shihab berkata, keberatan atau pertanyaan itu menghairankan kerana bagaimana Allah akan memberi petunjuk.
Yakni kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakan petunjuk-petunjuk kepada suatu kaum yang kafir enggan taat sesudah mereka beriman dengan adanya fitrah kesucian yang dianugerahkan Allah kepada setiap manusia. Serta mereka telah mengakui bahawa Muhammad itu benar-benar Rasul, dengan bukti-bukti yang terdapat dalam diri baginda serta bukti-bukti yang lain khususnya al-Quran.
Selain itu, telah datang keterangan-keterangan kepada mereka melalui para nabi terdahulu dan termaktub pula dalam kitab Taurat dan Injil.
Bagaimana mungkin Allah memberi kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakan tuntutan-Nya kepada mereka sedangkan mereka sendiri tidak mahu patuh dan memanfaatkan petunjuk yakni potensi dan informasi yang diberikan Allah SWT. Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.
*Al-Hasan meriwayatkan bahawa orang-orang Ahli Kitab dari Yahudi dan Nasrani telah mengetahui tentang sifat-sifat Nabi SAW di dalam kitab mereka.
Mereka telah mengaku serta memberikan penyaksiannya bahawa yang demikian itu adalah benar. Apabila Nabi yang dibangkitkan bukan di kalangan mereka lalu dimusuhi dan diingkari seruannya.
Ayat ke-87
Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikat-Nya sekelian orang-orang (yang beriman).
Iktibar dan fiqh ayat
*Ibn Kathir berkata, mereka dilaknat oleh Allah dan segala makhluk Allah melaknat kepada mereka.
*Al-Maraghi berkata, mereka berhak mendapat kemurkaan daripada Allah SWT, kemurkaan malaikat dan semua manusia kerana apabila manusia sedar sifat mereka yang sebenarnya, serta-merta mereka dilaknat Allah SWT.
Ini kerana sifat mereka ini akan mendorong orang yang mengetahuinya mengeluarkan kutukan dan kemarahan.
*Al-Sonhadji berkata, orang-orang yang kufur sesudah beriman akan dibalas dengan azab dan kemurkaan Allah SWT serta laknat Malaikat-malaikat dan sekelian manusia.
Mereka akan jauh daripada mendapat rahmat Allah sehingga tidak akan mendapat belas ihsan sama sekali. Maksud orang yang dikutuk ialah jauh daripada kerahmatan Allah SWT.
Ayat ke-88
Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian.
Iktibar dan fiqh ayat
*Ibn Jauzi berkata, mereka menzahirkan dalam kesesatan dan membaiki apa yang mereka rosakkannya dan terpedaya siapa yang mengikut mereka.
*Al-Maraghi berkata, penyeksaan yang diterima tidak akan dikurang sedikit pun dan tidak ditangguhkan waktunya kerana sesuatu alasan yang mereka ajukan itu.
Perkara ini disebabkan hati mereka yang telah dipenuhi titik-titik hitam ingkar menolak kebenaran. Sehubungan itu, kemurkaan Allah SWT ditimpa kepada mereka, walau ke mana mereka pergi atau berada tidak akan dapat lari dari azab ini.
*Mohamad Quraish Shihab berkata, mereka kekal di dalamnya. Yang dimaksud dengan kekal adalah tinggal dalam waktu yang sangat lama di dalamnya, yakni laknat neraka.
Mereka juga tidak diberi tangguh dalam seksaan yang diterimanya sebagaimana penangguhan yang mereka dapatkan ketika hidup di dunia atau mereka tidak akan dilihat oleh Allah dan para malaikat dengan pandangan kasih sayang. Demikian perubahan yang menanti orang-orang yang zalim itu.
*Al-Sonhadji berkata, mereka akan kekal terseksa dan selama-lamanya dalam keadaan terkutuk. Seksa tersebut sedikit pun tidak akan diringankan oleh Allah SWT.
Pelaksanaan seksa yang dijalankan ke atasnya tidak akan ditangguh-tangguh walau sesaat.
Ayat ke-89
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Iktibar dan fiqh ayat
*Ibn Jauzi berkata, ayat ini menjadi pengecualian siapa yang bertaubat daripada yang tidak bertaubat. Sebahagian kaum menyangka bahawa ia dinasakhkan kandungannya kecuali siapa yang bertaubat sebelumnya daripada ancaman.
*Al-Maraghi berkata, ayat ini mengisyaratkan bahawa taubat yang tidak membuahkan amal soleh tidak ada ertinya dari sudut agama.
Ini disebabkan ramai manusia yang melahirkan perasaan taubat melalui penyesalan, istighfar dan meninggalkan dosa tetapi masih melakukan dosa-dosa itu.
Hal ini berlaku kerana taubatnya tidak memberi kesan kepada jiwa yang boleh mengingatkan dirinya di kala lupa, memberinya petunjuk kepada jalan yang boleh memperbaiki sifat-sifat mereka dan meluruskan kebengkokan langkahnya.
*Mohamad Quraish Shihab berkata, ini adalah pengecualian terhadap mereka yang tidak patuh atau mencari agama selain Islam.
Penulis kemukakan bahawa perubahan yang disiapkan Allah bagi yang mencari agama atau kepatuhan kepada Allah ada dua perubahan iaitu perubahan duniawi dan ukhrawi.
*Al-Sonhadji berkata, bahawasanya mereka yang dikatakan dalam ayat ini ialah Abu Amir, seorang pendeta dan al-Harith bin Suaid serta beberapa orang lain yang semuanya berjumlah 12 orang, telah keluar dari agama Islam lalu memihak kepada orang Quraisy Mekah.
Setelah tinggal beberapa di sana mereka menyesal, lalu menulis surat kepada keluarga mereka dan bertanya: "Bolehkah kami bertaubat?" Maka Allah turunkan ayat ini.
Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa bertaubat dan melakukan islah dan kebaikan kepada masyarakat kepada masyarakat, bangsa dan negara. Amin.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah menjelaskan, bahawa Dia telah mengambil janji daripada para nabi agar beriman dengan kenabian Muhammad SAW.
Di sini disebutkan perintah kepada Nabi Muhammad SAW agar beriman kepada para nabi yang sebelum ini serta beriman kepada kitab-kitab suci mereka. Umat baginda dalam perkara ini turut diminta mengikutnya pula.
Ayat ke-84
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi: Ibrahim a.s, lsmail a.s, Ishak a.s, Yaakub a.s dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi: Musa a.s dan Isa a.s, dan sekelian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah Kami berserah diri (Islam)".
Iktibar dan fiqh ayat:
lIbn Kathir berkata, orang yang beriman daripada umat ini beriman dengan semua Nabi yang diutuskan dan dengan segala kitab yang diturunkan, mereka tidak kufur dengan sesuatupun tetapi membenarkannya.
lSheikh Muhammad Abu Zahrah berkata, ini merupakan perintah Allah kepada Nabi-Nya berkenaan dengan ikatan segala syariat Allah yang bersalasilah sambungannya. Begitu juga beriman dengan Allah merupakan himpunan segala syariat, kerana dengannya membawa ubudiah.
lAl-Maraghi berkata, didahulukan ungkapan kalimah 'Iman diturunkan kepada kami' berbanding dengan ungkapan 'Iman diturunkan sebelum kami'. Padahal kitab-kitab suci tersebut diturunkan lebih awal kerana apa yang diturunkan kepada kami merupakan pegangan pokok untuk mengetahui dan membenarkan apa-apa yang diturunkan kepada mereka. Ini kerana tidak ada cara bagi membuktikan kebenaran kitab-kitab suci dahulu, kecuali melalui al-Quran.
l Al-Maraghi berkata, ayat ini dimulai dengan kata-kata Iman dan ditutup dengan kata-kata Islam, yang bererti pasrah, yang merupakan hasil dan sasaran akhir setiap agama yang dibawa para nabi.
lHamka berkata, setelah menghuraikan hal itu semuanya, sampai perjanjian Nabi-nabi dengan Allah dan ucapan ikrar mereka, kemudian Allah menyuruh kepada Nabi-Nya menjelaskan risalah yang dibawanya dengan tegas, menuruti ikrar Nabi-nabi itu yang akan jadi pegangan bagi umat yang beriman. Yang diturunkan kepada baginda ialah wahyu dan hikmat, isi ajarannya tetap satu iaitu menolak segala penyembahan selain Allah SWT. Menyerah diri kepada Tuhan, Islam sebab itulah yang diajarkan oleh sekelian Nabi yang tidak kami beza-bezakan itu.
lMohamad Quraish Shihab berkata, jika anda ingin dinamakan muslim dan diterima secara baik oleh Allah, maka patuh kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan-Nya.Hiduplah serasi dengan alam dan seluruh makhluk yang bernyawa atau tidak. Alam raya tunduk pada fitrahnya, serasi dengan selainnya sebagaimana diatur oleh Allah dalam sistem yang ditetapkan-Nya. Itulah erti Islam alam raya, dan serupa itu pula Islamnya manusia, tanpa keserasian dengan diri sendiri tanpa kepatuhan kepada sistem yang ditetapkan-Nya, maka itu bererti keluar dari Islam. Jika itu yang terjadi, maka ayat berikut mengingatkan hakikat yang sangat jelas dari Allah yang Maha Kuasa.
lAl-Sonhadji berkata, sebenarnya kedudukan para Rasul dan Nabi itu samalah seperti kedudukan pegawai-pegawai daerah atau seumpamanya dihantar oleh Sultan atau Ketua Negara ke wilayah-wilayah, daerah-daerah pemerintahannya. Mereka ditugaskan sebagai pegawai yang amanah untuk mentadbir dan mengambil tahu hal ehwal penduduknya dengan menjalankan undang-undang yang mendatangkan faedah.
Ayat ke-85
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
Iktibar dan fiqh ayat :
lIbn Kathir berkata, siapa yang memilih jalan selain apa yang disyariatkan Allah.
lAl-Maraghi berkata, kerana dia mensia-siakan kehendak fitrah yang sihat untuk mengesakan Allah SWT dan berserah diri kepada-Nya seperti yang tersebut dalam hadis bermaksud: "Tiap-tiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi".
lMohamad Quraish Shihab berkata, barang siapa mencari agama selain agama Islam iaitu ketaatan kepada Allah mencakupi kepada syariat yang ditetapkan-Nya. Intinya adalah keimanan akan keesaan-Nya, mempercayai para rasul, mengikuti dan menyokong mereka tunduk serta patuh akan ketentuan-ketentuan-Nya yang berkaitan dengan alam raya iaitu penyerasian diri dengan makhluk dalam sistem yang ditetapkan-Nya.
lAl-Sonhadji berkata, kerugian yang dideritanya di sini kerana telah mensia-siakan 'fitrah' atau tabiat semula jadi yang ada pada peribadi tiap-tiap manusia. Fitrah yang sihat, suci dan bersih sedia mentauhidkan dan mengesakan Allah serta patuh dan tunduk kepada-Nya itu telah disia-siakannya sehingga hilang dan tidak lagi tersimpan di dalam peribadinya.
Berdasarkan ayat di atas sewajarnya kita berpegang teguh dengan agama Allah yang sebenar iaitu Islam dan kita berdoa kepada Allah mudah-mudahan kita mati dalam keadaan Islam. Amin
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah menerangkan perihal Yahudi yang semasa risalah Muhammadiah betapa mereka amat taksub dan meminda kalam Allah daripada tempatnya. Di samping itu, Allah menjelaskan tindakan mereka membawa kezaliman dan kerosakan iktikad. Selepas itu Allah menjelaskan kesatuan syariat samawi yang saling lengkap melengkapi samalah seperti istana yang dibina teguh”.
Iktibar dan fiqh ayat ke-81:
i. Ibn Kathir berkata, Allah mengkhabarkan bahawa ia mengambil perjanjian setiap nabi yang diutuskannya sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s supaya melaksanakan perintah Allah kepada mereka daripada kitab dan hikmah.
ii. Al-Maraghi berkata, ayat ini mengisyaratkan bahawa agama tidak patut dijadikan sebagai wahana permusuhan dan kebencian, seperti perbuatan ahli kitab yang memusuhi Nabi SAW.
Padahal kedatangan baginda adalah mengajak mereka kepada kalimah yang sama. Malangnya segelintir mereka menunjukkan sikap melawan, menjauhkan diri, melakukan tipu daya dan mengingkari.
iii. Al-Maraghi berkata, dialog ini bersifat perlambangan bagi menanam pengertian yang lebih kuat dan jelas ke dalam jiwa manusia.
Ayat ini tidak bererti bahawa dialog tersebut benar-benar terjadi kerana contoh-contoh dialog seperti ini terdapat pada gaya bahasa Arab.
iv. Hamka berkata, ayat ini menjelaskan bahawa nabi-nabi yang terdahulu selalu diperingatkan oleh Allah SWT bahawa akan datang pula seorang rasul yang menjadi penutup segala nabi dan rasul untuk selamanya.
Menurut penafsiran Saad bin Jubair dan Qatadah dan Thawus dan al-Hassan dan al-Suddy, perjanjian di antara nabi-nabi dengan Allah SWT supaya yang setengah membenarkan dan mengakuinya lagi dengan iman.
Janji
Allah SWT memegang janji nabi-nabi terdahulu supaya beriman kepada nabi yang akan datang dan membelanya.
v. Mohamad Quraish Shihab berkata, banyak ulama berpendapat bahawa perjanjian dimaksud adalah yang diambil Allah SWT secara langsung dari para nabi, yakni Allah mengumpul para nabi di satu alam yang kita tidak ketahui. Kemudian mengambil janji mereka untuk percaya kepada Nabi Muhammad SAW dan apabila mereka menemui baginda maka mereka siap mendukung dan membela baginda.
Ada juga menyatakan perjanjian itu adalah di antara nabi dan disaksikan Allah SWT. Pengikut fahaman pertama menyatakan bahawa Allah SWT telah mengikat janji dengan seluruh nabi agar saling membenarkan dan mempercayai sesama mereka.
Nabi Musa harus percaya kepada Nabi Isa dan menyokongnya serta berpesan hal yang sama kepada umatnya jika menemui Nabi Isa. Demikian juga Nabi Isa kepada Nabi Muhammad SAW.
vi. Ibn Jarir al-Tobari berkata, ingatlah kamu hai Ahli Kitab, ketika Allah mengambil kesetiaan nabi-nabi. Adapun perjanjian itu, mereka berjanji mentaati Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Iktibar dan fiqh ayat ke-82:
i. Al-Maraghi berkata, barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menyebar agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.
Mengingkari
Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Rasulullah SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, perbuatan itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.
ii. Hamka berkata, berpaling daripada kesatuan itu adalah fasik iaitu derhaka. Tidak lagi menuruti jalan yang lurus. Fasiklah orang kalau telah dibentuknya suatu agama, lalu didasarkannya kepada nama seorang nabi lalu menyisihkan diri dari golongan yang lain.
Ajaran mereka pun berasal daripada seorang nabi pula, tidak ada maksud hendak menggabungkan semuanya dalam satu ajaran, nabi-nabi bersatu dan umat-umat di belakang mereka berpecah.
iii. Mohamad Quraish Shihab berkata, setelah Allah menyampaikan janji itu, baik dalam erti mengambil janji untuk percaya dan menyokong Nabi Muhammmad SAW.
iv. Barang siapa yang melanggar janji selepas membuat ikatan janji untuk menebarkan agama para nabi, dan menjadikan agama sebagai medium perpecahan dan permusuhan, serta tidak mahu beriman kepada nabi yang terakhir, yang membenarkan ajaran-ajaran agama terdahulu, serta tidak mahu membelanya, mereka itulah orang yang derhaka.
Oleh itu, Ahli Kitab yang mengingkari kenabian Muhammad SAW meninggalkan perjanjian Allah SWT dan mengubahnya, maka perbuatan mereka itu dianggap terkeluar daripada agama yang benar.
Iktibar dan fiqh ayat ke-83:
i. Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata, makna patuh dan terpaksa ada enam pendapat:
l Semuanya Islam pada hari perjanjian secara taat dan terpaksa seperti riwayat Mujahid daripada Ibn Abbas dan A’mash daripada Mujahid.
l Orang mukmin sujud secara taat sedangkan orang kafir sujud dalam keadaan terpaksa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Ibn Abi Nujaih dan Lais daripada Mujahid.
l Semuanya patuh bahawa Allah pencipta sekalipun sebahagian daripada mereka syirik. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah dan Mansur dari Mujahid.
l Orang mukmin menyerah dalam keadaan taat sedangkan kafir menyerah kepada Islam dalam keadaan takut kepada mata pedang. Inilah pendapat al-Hasan.
l Orang mukmin Islam dengan penuh ketaatan sedangkan orang kafir Islam apabila melihat azab Allah, sedangkan ketika itu tidak boleh memberi manfaat. Inilah pendapat Qatadah.
l Islam keseluruhannya dengan tunduk dan patuh perintahnya secara tabiat kerana tiada seorang pun mampu mencabar kekuasaan Tuhan. Inilah pendapat al-Zajjaj.
ii. Al-Maraghi berkata, agama yang benar ialah agama yang menyuruh berserah diri kepada Allah SWT dan beribadah kepada-Nya dengan ikhlas.
Semua nabi berbuat demikian dan mereka mengambil janji seperti itu daripada umat-umat mereka. Mereka kemudiannya melanggar janji itu ketika seorang nabi yang telah dijanjikan datang kepada mereka dan mengajak mereka kepada Islam, malangnya mereka tetap mendustakannya.
iii. Hamka berkata, matahari dan bulan menyerah kepada Allah. Begitu juga alam cakerawala dengan taat dan suka. Demikian juga sesetengah manusia yang memikirkan maksud Islam sedalam-dalamnya maka masuklah mereka dengan penuh keinsafan.
Semuanya tunduk menyerah kepada Allah SWT sama ada suka atau pun tidak. Maka bahagialah bagi siapa yang insaf akan hal ini sehingga dia tidak berasa keberatan menerima ketentuan Allah SWT.
iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, ketundukan dan ketaatan apa yang ada di langit dan di bumi menunjukkan kepatuhan hamba-hamba-Nya walaupun mereka diberi pilihan untuk taat atau tidak.
Sekiranya ia terpaksa ini kerana ia tidak diberi pilihan dan harus menerima apa yang ditetapkan-Nya. Alam ini tunduk kepada Allah SWT dengan jelas pada ketepatan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Matahari tidak pernah terbit dari sebelah barat. Hukum-hukum alam bersifat konsisten, kalaupun ia berubah, ia berdasarkan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya juga.
v. Al-Sonhadji berkata, orang yang di langit dan di bumi telah disebutkan sama ada beriman secara rela atau pun secara terpaksa. Semuanya telah tunduk kepada Allah dengan menganut agama Islam.
Para Ahli Kitab pula masih berdalih mencari agama lain. Akhirnya, mereka akan kembali kepada Allah untuk menerima balasan.
Sindiran ayat ini jelas menunjukkan betapa besarnya amaran dan ancaman Allah terhadap orang yang menyalahi-Nya di dunia ini.
Alangkah baiknya jika kita menjadi hamba yang mentaati dan mematuhi perintah-Nya dalam semua keadaan untuk melayakkan kita mendapat segala kurniaan nikmat, rahmat dan hidayah Allah. Amin.
By mfrstudio
Oeh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu.
Dan mereka pula berkata: "(Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah, dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)". Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah SWT - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya". Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam? (ali-'Imran: 78-80)
Al-Maraghi berkata: "Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan tentang golongan ketiga daripada Ahli Kitab. Mereka adalah sebahagian daripada pendeta Yahudi yang berada di sekitar kota Madinah dan pendeta-pendeta lain yang seangkatan dengan mereka.
"Mereka telah melakukan suatu perbuatan khianat lain terhadap agama dengan mengaku bahawa Allah SWT berfirman tentang sesuatu, padahal sebenarnya tidak."
Sebab Nuzul ayat ke-78
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa golongan ini adalah orang Yahudi yang datang kepada Ka'ab Ibn al-Asyraf, seorang tokoh yang sangat memusuhi Rasulullah SAW dan banyak menyakiti hati serta mengganggu baginda.
Mereka inilah yang mengubah kandungan Taurat dan menulis sebuah kitab dengan mengubah keterangan mengenai ciri-ciri Nabi Muhammad SAW.
Buku yang mereka susun ini dijadikan pegangan oleh Yahudi Bani Quraizah, lalu mereka mencampuradukkan dengan kitab suci yang ada pada mereka. Ketika mereka membaca kitab, mereka membacanya dengan mengubah ucapannya, sehingga menimbulkan keraguan pada orang ramai bahawa yang dibaca itu adalah Taurat.
Ibn Jauzi menyebut, pendapat kedua bahawa ayat ini diturunkan kepada golongan Yahudi dan Nasrani seperti riwayat al-Dahaq daripada Ibn Abbas r.a.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata: "Mereka berkata dengan dusta. Ayat ini mencela keras perbuatan mereka dan menyatakan sifat mereka yang kurang ajar sekali. Mereka bukan sahaja mengatakan yang dusta itu secara samar-samar, bahkan secara terang-terangan hingga menggunakan nama Allah SWT.
"Ini kerana mereka tidak lagi berasa takut kepada Allah SWT dan beranggapan bahawa dosa apa pun yang mereka lakukan akan diampuni, kerana mereka adalah penganut agama Allah SWT".
ii. Hamka berkata: "Di dalam ayat ini disebutkan laiyan bin alsinatihim, yang bererti dengan memutar-mutarkan lidah mereka. Ada beberapa kalimat yang jika diubah walau sedikit akan berubah makna dengan ketara.
Umpamanya dalam bahasa kita di antara kembang dan kumbang, madu (manisan lebah) dengan bermadu (perempuan yang bermadu) dan lain-lain.
Ka'ab bin Asyraf dengan teman-temannya tergamak membaca kitab sucinya sendiri dan memutar belitkan perkara yang benar dan sahih serta memungkiri kerasulan Muhammad SAW. Beliau dengan berani mengatakan bahawa itu adalah isi Kitab Taurat.
iii. Al-Biqa'i dalam tafsirnya berkata: "Contoh sifat putar belit mereka dengan membaca ayat yang menjelaskan perubahan hukum terhadap yang berzina, iaitu kata farjumuhu yang bererti lemparlah ia dengan batu dengan farhamuhu bererti kasihanilah ia."
iv. Al-Sonhadji berkata: "Sekumpulan mereka yang disebutkan dalam ayat ini ialah orang-orang Yahudi seperti : Ka'ab bin al-Asyraf, Malik bin al-Soif, Huyai bin Akhtob dan Abu Yasir serta Syu'bah bin Amr, seorang penyair.
"Mereka adalah orang-orang yang sangat memusuhi Nabi SAW. Mereka menjadi kaki belit dengan membacakan isi kitab yang bercampur dengan karangan yang mereka tulis, lalu mendakwa kepada orang ramai itulah Taurat".
Sebab nuzul ayat ke-79
Ibn Ishaq dan lain-lain meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a, katanya: Ketika para pendeta Yahudi dan Nasrani dari Najran berkumpul di sisi Rasulullah SAW, dan baginda mengajak mereka kepada Islam, Abu Rafi' al-Quraziy berkata: Wahai Muhammad, apakah engkau ingin kami menyembahmu seperti orang Nasrani menyembah Isa a.s?
Lalu seorang lelaki Nasrani dari Najran berkata: "Atau seperti itukah yang tuan inginkan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Aku berlindung kepada Allah SWT, daripada menyembah selain Allah atau menyuruh manusia menyembah selain Dia. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat ini".
Abd al-Razzaq meriwayatkan daripada al-Hasanah katanya: "Telah sampai berita kepadaku, bahawa seseorang telah berkata: Wahai Rasulullah SAW, kami pasrah kepadamu, seperti pasrahnya sebahagian kami terhadap sesama kami kerana itu apakah kami boleh sujud kepadamu?"
Sabdanya: "Tidak, tetapi hormatlah nabi kamu dan kenalilah hak kepada ahli keluarganya kerana tidak patut seseorang sujud kepada yang lain selain Allah SWT". Lalu Allah SWT menurunkan dua ayat ini.
Ayat ini diturunkan kepada Kristian Najran ketika mereka menyembah Isa a.s. Inilah pendapat al-Dahaq dan Muqatil.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Abbas r.a berkata, maksud 'manusia' itu ialah Nabi Muhammad SAW. Dan maksud 'kitab' ialah al-Quran. Kerana Abu Rafi' (daripada orang Yahudi) dan al-Saiyid (daripada orang Nasrani Najran) berkata: "Ya Muhammad! Adakah engkau mahu kami sembah, dan kami jadikan Tuhan?"
Jawab Baginda: "Allah SWT lindungkan aku daripada menyuruh kamu beribadat kepada-Nya".
ii. Ali bin Abi Talib berkata, golongan Rabbani ialah yang mengajar manusia dengan hikmah dan tarbiyah mereka.
iii. Ibn Abas r.a dan Ibn Jubair berkata, golongan Rabbani ialah ahli fikah yang mengajar manusia.
iv. Qatadah dan Ata' pula berpendapat, golongan Rabbani ialah ahli fikah yang mempunyai ilmu dan hikmah.
v. Abu Ubaid berkata: "Aku mendengar seorang lelaki berkata maksud Rabbani adalah ulama yang mengetahui berkenaan halal dan haram, perintah dan larangan".
vi. Ibn al-Ambari berkata, sebahagian ahli bahasa berpendapat: "Perkataan Rabbani dinisbahkan kepada Rabb, kerana ilmu daripada apa yang ditaati dengannya".
vii. Al-Maraghi berkata, barang siapa mengajak orang lain menyembah dirinya, bererti dia telah mengajak manusia menjadi penyembah selain Allah SWT, meskipun dia tidak melarang atau menyuruh mereka menyembah Allah SWT.
viii. Hamka berkata, di dalam ayat ini Rasulullah SAW disuruh menyampaikan kepada manusia hakikat kesetiaan Nabi-nabi termasuk diri baginda sendiri, nabi-nabi yang terdahulu termasuk Nabi Isa a.s.
Bahawasanya setelah menerima tiga kemuliaan dari Allah SWT iaitu diturunkan kepada mereka kitab dan diberi pula hukum untuk membezakan hak dan batil, adil atau zalim, dan dilengkapi semuanya itu dengan nubuwwat, lalu dia berlaku curang kepada amanat yang diturunkan Allah kepadanya itu, menyeru kepada umatnya menyembah selain Allah SWT dan disuruh menjadi hamba kepada diri sendiri.
Dalam ayat ini, Nabi Muhammad SAW mengatakan tidak mungkin dan mustahil bagi seorang Rasul yang telah dipilih oleh Allah bertindak sedemikian rupa. Ini kerana itu adalah pengkhianatan kepada yang Maha Esa dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
Amat sesuai ayat ini dirangkaikan dengan ayat terdahulu bahawa pengkhianatan kepada janji adalah khianat yang paling besar.
ix. Mohamad Quraish Shihab berkata, mereka yang dianugerahi kitab, hikmah dan kenabian menganjurkan semua orang agar menjadi rabbani dalam erti semua aktiviti, gerak dan langkah, niat dan ucapan kesemuanya seiring dengan nilai-nilai yang disuruh oleh Allah SWT.
x. Seorang Rabbani menurut ayat ini paling tidak melakukan dua perkara. Pertama, terus-menerus mengajarkan kitab suci dan kedua terus-menerus mempelajarinya.
Pengertian terus-menerus itu, difahami dari bentuk kata kerja mudhari yang digunakan ayat ini untuk kedua hal tersebut.
Sebab nuzul ayat ke-80
Diriwayatkan daripada Ali Ibn Abu Talib r.a bahawa beliau berkata: "Dua golongan yang memberatkan punggungku, iaitu orang alim yang langgar larangan Allah SWT dan orang bodoh yang rajin melaksanakan ibadah. Ini kerana orang alim seperti itu menjauhkan manusia daripada mempelajari larangan-larangan agama, manakala orang bodoh pula akan membuat manusia menyukai kebodohannya yang tekun beribadah".
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata, golongan jahil di kalangan pendeta dan guru yang sesat termasuk dalam celaan ini. Bersalahan dengan Rasul serta pengikut mereka di kalangan ulama yang beramal di mana mereka memerintah apa yang diperintah Allah SWT dan melarang apa yang dilarang oleh Allah SWT.
ii. Al-Maraghi berkata, apakah (Nabi SAW) pernah menyuruh kamu menyembah malaikat dan sujud kepada para nabi setelah mereka menyuruh mengesakan Allah SWT dan mentaati-Nya dengan ikhlas.
Jika benar baginda berbuat begitu, maka perbuatan seperti itu adalah kafir, hilang kenabiannya, dan lenyap imannya. Seseorang yang Allah anugerahkan al-Kitab, hikmah dan diangkat sebagai nabi adalah orang yang paling mengerti tentang Allah SWT.
Justeru, orang yang diberikan wahyu oleh Allah SWT, hanyalah orang yang jiwanya benar-benar bersih dan rohaninya benar-benar baik. Oleh itu tidak mungkin terjadi kenabian berkumpul menjadi satu pada diri yang mengajak manusia menyembah selain Allah SWT.
iii. Hamka berkata: "Dia (Nabi Muhammad SAW) tidak mengajak orang lain untuk bertuhankan dirinya sendiri, tidak pula bertuhankan Malaikat serta Nabi-nabi yang lain.
"Dia hanya mengajak manusia supaya mentaati Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malaikat adalah hamba Allah yang paling taat dan hanya mengerjakan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka.
"Di antara malaikat itu ialah Jibril a.s yang disebut Rasul Amin (Roh yang dipercayai), disebut juga Ruh al-Qudus (Roh yang suci), penghulu segala Malaikat, namun diapun tidaklah disuruh mempertuhankannya".
iv. Mohamad Quraish Shihab berkata, penyebutan para malaikat dan Nabi-nabi pada ayat ini hanya sekadar contoh. Yang dimaksud adalah selain Allah seperti bulan, matahari, atau leluhur.
Hanya malaikat dan Nabi-nabi yang disebut oleh ayat ini kerana itulah yang disembah oleh masyarakat jahiliah dan orang Yahudi serta Nasrani.
v. Al-Sonhadji berkata, perbuatan mereka yang sedemikian adalah serupa dengan perbuatan orang-orang kafir Quraisy dan al-Sobbin, yang mendakwakan bahawa malaikat-malaikat itu adalah anak perempuan Allah, juga seperti kaum Yahudi yang mendakwa Uzair anak Allah dan kaum Nasrani mendakwa Isa al-Masih anak Allah.
Allah memurkai mereka dengan menyatakan bahawa perbuatan sebegitu sangat keterlaluan kerana mereka menyeru orang berada dalam kekufuran sedangkan mereka berada di dalam keIslaman.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kelebihan golongan rabbani yang memahami isi kandung kitab Allah serta mengamalkannya. Mudah-mudahan kita menjadi golongan seperti itu.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sheikh Sya'rawi berkata: "Allah SWT bertanya kepada mereka kenapa perdebatan mereka berkenaan Ibrahim yang menjadi kekasih Allah? Sebenarnya Yahudi di kalangan kamu berbangga menisbahkan diri mereka kepada Musa a.s. Nasara pula berbangga menisbahkan diri mereka kepada Isa a.s. Sebaliknya Ibrahim a.s tidak mungkin menjadi Yahudi atau Nasara kerana ia mendahului mereka, lantas turunnya ayat ini.
Ayat ke-72
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah segolongan dari ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula".
Sebab Nuzul
Ibn Ishaq meriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya: "Abdullah Ibn Shayf dan 'Adiy Ibn Zayd serta Harith Ibn Awf saling berkata antara satu sama lain, marilah kita beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Muhammad dan sahabat-sahabatnya pada waktu pagi dan pada waktu petang pula kita kembali kafir, agar mereka berasa bingung terhadap agama mereka, mudah-mudahan mereka akan mengikut seperti apa yang kita lakukan sehingga mereka kembali menjadi kafir. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tentang perangai mereka itu".
Ibn Jarir meriwayatkan daripada Mujahid, katanya, "Orang Yahudi sembahyang subuh bersama Nabi Muhammad SAW tetapi pada waktu petang mereka kafir semula kerana ingin melakukan tipu daya. Oleh hal yang demikian manusia telah melihat bahawa mereka telah mengetahui kesesatan agama Islam selepas mereka mengikutnya. Bukannya suatu hal yang pelik, bila mana segolongan di antara mereka menggunakan tipu daya seperti ini kerana mereka sudah tahu, bahawa salah satu tanda kebenaran ialah orang yang telah mengetahuinya tidak akan mahu melepaskannya".
Hal ini dapat ditunjukkan oleh kata-kata Hercules, Raja Romawi kepada Abu Sufian, ketika beliau bertanya kepada Abu Sufian tentang diri Muhammad SAW pada waktu beliau menyebarkan agama Islam, "Adakah terdapat orang yang terkeluar daripada agama itu (Islam) setelah dia memasukinya?" Jawab Abu Sufian: "Tidak ada".
Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Alusi berkata: "Zahir ayat menunjukkan berlakunya perkara sebahagian mereka dengan yang lain untuk berkata-kata. Adapun arahan mengikut perintah maka didiamkannya".
lAl-Maraghi berkata: "Allah SWT telah mengingatkan Nabi SAW tentang tipu daya mereka, membongkar rahsia, supaya tipu daya mereka itu tidak mempengaruhi hati orang mukmin yang lemah. "Perbuatan mereka yang keji itu belum pernah ada orang lain yang melakukannya sebelum itu sehingga peringatan Allah SWT ini menjadi penangkal buat mereka. Ayat ini mengandungi berita ghaib yang dianggap sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW".
lSheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Mereka yang sesat dan menyesatkan telah dikuasai oleh hasad dengki sehingga sanggup menzahirkan Islam untuk melenyapkan yang mencari kebenaran".
lHamka berkata: "Kepalsuan itu nescaya diketahui Tuhan, dan turunlah ayat ini memberi peringatan bahawa ada orang-orang tidak jujur seperti ini akan masuk Islam pura-pura di waktu pagi dan kembali kafir di petang hari. "Namun pada zaman Rasulullah SAW hal seperti ini sangat jarang berlaku, hanya sekali dalam 100,000. Atau kerana murtadnya Musailimah al-Kazzab (pendusta) kerana dia ingin jadi Nabi sendiri pula. Kemudian diterangkan lagi perkataan ahli Kitab yang lain".
Ayat ke-73
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (Mereka berkata lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya".
Sebab Nuzul
Kata-kata ini merupakan ucapan kaum Yahudi yang menganggap bahawa kenabian hanya dipilih di kalangan mereka. Bahkan mereka bersikap melampau dan menghina golongan yang lain.
Mereka berkeyakinan bahawa yang dipilih daripada golongan mereka adalah yang terbaik, sedangkan pilihan daripada golongan lain adalah sebaliknya. Pendek kata, janganlah kamu beriman secara formal itu.
Apabila datang waktu siang kamu menyatakan beriman tetapi berimanlah seperti orang yang mengikut agama kamu sejak dari awal lagi. Mereka yang beriman secara formal iaitu sebahagian orang Yahudi yang menganut agama Islam dengan tujuan untuk keluar kembali.
Mereka bersukacita dan penuh semangat untuk keluar daripada Islam dan sebaliknya mereka berasa marah dan benci terhadap keislaman mereka dahulu.
Iktibar dan fiqh ayat:
lIbn Kathir berkata: "Allah sahaja yang memberi hidayah kepada hati orang yang beriman sehingga sempurna iman".
lAl-Alusi berkata: "Ayat ini sebagai bangkangan dan pembatalan di atas sangkaan apa yang mereka dakwa dengan sejelas hujah dan dikehendaki dengan kelebihan ialah Islam".
lIbn Jauzi berkata: "Maksud segala kurniaan di tangan Allah dengan menukilkan pendapat Ibn Abbas r.a iaitu kenabian, kitab dan hidayah. Di mana maksudnya, hai orang Yahudi jangan kamu bercita-cita bahawa seorang yang lain tidak mungkin diberi kurniaan seperti kamu."
lAl-Maraghi berkata: "Ayat ini mengisyaratkan bahawa kaum Yahudi sentiasa menyempitkan kurniaan Allah Yang Maha Luas dengan anggapan mereka bahawa kenabian itu hanya dikhususkan untuk mereka sendiri, dan bersikap bodoh terhadap kepentingan dan kemaslahatan pemberian kenabian oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya".
lHamka berkata: "Inilah kesan dari fanatik golongan yang selalu kita dengar ucapan orang yang hanya memandang pihak yang benar. "Apa saja kata Muhammad SAW itu jangan dipercayai. Pendeknya bagaimana juga bagusnya dan enaknya perkataan mereka jangan diikut. Kalau bukan perkataan gurumu sendiri, nanti kamu akan tertarik. Sebab orang pintar bercakap".
Ayat ke-74
Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
Iktibar dan fiqh ayat:
lIbn Jauzi menukilkan tiga pendapat berkenaan dengan maksud rahmat:
nPertama: Islam. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan Maqatil.
nKedua: al-Nubuwah. Inilah pendapat Mujahid.
nKetiga: al-Quran dan Islam. Inilah pendapat Ibn Juraij.
lAl-Qurtubi berkata: "Iaitu dengan kenabian dan hidayahnya dan seperti kata Ibn Juraish dengan Islam dan al-Quran. Adapun maksud (siapa yang dikehendakinya) kata Abu Uthman: "Sebaik-baik kenyataan ialah kekal bersamanya, harapan yang mengharap dan takut yang merasa takut".
lAl-Maraghi berkata: "Kurniaan Allah Yang Maha Luas dan rahmat-Nya yang meliputi segalanya, kedua-duanya akan dianugerahkan menurut kehendak-Nya, bukan sebagaimana anggapan Ahli Kitab bahawa kurniaan dan rahmat Allah SWT semata-mata ditujukan kepada Bani Israel sebagai bangsa pilihan. "Bahkan Allah SWT berkuasa mengutus seorang rasul atau nabi daripada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Mereka yang telah ditentukan oleh Allah SWT untuk menerima rahmat-Nya, akan dikurniakan kemurahan daripada-Nya dan keagungan pemberian-Nya, bukan disebabkan oleh usaha yang telah dipersia-siakannya atau kerana kemuliaan keturunannya."Allah SWT tidak memihak kepada mana-mana pihak, sama ada sebagai individu atau bangsa, Maha Tinggi Allah SWT daripada perbuatan yang seperti itu".
lHamka berkata: "Sekarang rahmat itu jatuh kepada Bani Ismail, tapi dia bukan diutus khusus untuk Bani Ismail dan Arab sahaja melainkan untuk seluruh dunia".Berdasarkan kepada ayat-ayat di atas jelas bahawa kaum Yahudi sengaja menyempitkan kurniaan Allah yang Maha Luas dengan anggapan mereka bahawa kenabian itu hanya dikhususkan untuk mereka sahaja. Di samping itu bersikap bodoh terhadap kepentingan dan kemaslahatan kenabian oleh Allah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa bersyukur kepada Allah atas segala limpahan rahmatnya.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SHEIKH Sya’rawi berkata: “Kemudian datang Nabi Isa a.s dengan risalah untuk menjauhkan Bani Israel daripada materialisme yang mengalih kepada iman dengan perkara yang ghaib tetapi risalah Isa a.s ini telah sempurna diubahnya juga oleh Bani Israel.
“Atas dasar inilah manusia lebih aula mengikut manhaj Nabi Ibrahim a.s. Kemudian selepas itu, Allah SWT menjelaskan bagaimana nawaitu ahli kitab suka menyesatkan orang beriman”.
Ayat ke-69
Firman Allah SWT yang bermaksud: Segolongan dari ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).
Sebab Nuzul
Ibn Jauzi berkata: Sebab turunnya ayat ini bahawa golongan Yahudi pernah memperdaya sahabat nabi iaitu Nuaz bin Jabal dan Ammar bin Yasir seraya berkata: “Kamu tinggal agama kamu dan mengikuti agama Muhammad lantas turunnya ayat ini”.
Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan disebut oleh al-Wahidi dalam asbab al-nuzul.
Iktibar dan fiqh ayat:
lIbn Kathir berkata: “Allah menjelaskan betapa sifat hasad Yahudi terhadap orang yang beriman dan cita-cita mereka untuk menyesatkan akhirnya terkena atas mereka sendiri”.
lIbn Jauzi berkata: “Maksud taifah ialah kumpulan atau jemaah yang berhimpun atas satu-satu agama. Ada dua pendapat berkenaan kumpulan ini:
Pertama: Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a.
Kedua: Yahudi dan Kristian. Inilah pendapat Abu Sulaiman Addi Masyki.
lSheikh Abu Zahrah berkata: “Allah kemukakan ayat ini dengan panggilan atau seruan kepada ahli Kitab menyeru mereka supaya beriman dengan menjelaskan kepada mereka dengan sighah istifham ingkari taubikhi (persoalan secara ingkar dan hinaan). Daripada seruan keimanan yang thabit.
lAl-Sonhadji berkata: “Perbuatan menyesatkan orang seperti ini, adalah suatu jenayah yang terkutuk”.
lHamka berkata: “Di zaman Rasulullah SAW, mereka telah cuba menyesatkan kaum yang beriman dengan berbagai usaha, akhirnya mereka telah menuju keruntuhan sendiri dengan perbuatan mereka.
“Di zaman yang seterusnya berulang lagi percubaan mereka hendak menyesatkan kaum Muslimin akan tetapi tanpa disedari mereka telah menyesatkan diri mereka sendiri dan menjadi hina di sisi makhluk yang lain”.
Ayat ke-70
Firman Allah SWT yang bermaksud : Wahai ahli Kitab! mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaran-Nya?
Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Qurtubi berkata: “Dengan sahihnya ayat-ayat yang ada di sisi kamu daripada kitab-kitab kamu. Inilah yang dinukilkan daripada Qatadah dan al-Suddi”.
lMenurut ahli tafsir al-Razi, ayat ini adalah teguran kepada ahli-ahli kitab yang telah melihat di dalam Taurat sendiri tanda-tanda bahawa Nabi Muhammad SAW akan datang pada akhir zaman, menyempurnakan isi kitab Taurat itu.
“Demikian pula keterangan yang dibawa oleh Nabi Isa di dalam Injil. Hanya kerana perasaan hasad dan dendam mereka menidakkan segal kebenaran yang telah termaktub di dalam Taurat dan Injil”.
lMuhammad Quraish Shihab berkata: “Jika demikian itu, latar belakang dari sikap dan tingkah laku mereka, maka pada tempatnya mereka dikecam.
“Wahai ahli Kitab, yakni orang-orang yang seharusnya mengetahui tentang kebenaran.
Mengapa kamu terus menerus dari saat ke saat sebagaimana difahami dari kata takfurun yang menggunakan bentuk mudhari’ (kata kerja masa kini) dan yang akan datang mengingkari ayat-ayat Allah, yakni menutupi kebenaran padahal kamu menyaksikan kebenarannya dengan mengetahuinya secara jelas dan pasti”.
Ayat ke-71
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai ahli Kitab! mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
Iktibar dan fiqh ayat:
lAl-Alusi berkata, ada beberapa pendapat berkenaan dengan maksud ayat ini:
Pertama: Dikehendaki dengan penyelewengan mereka berkenaan dengan kitab Taurat dan Injil. Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Zaid.
Kedua: Mereka menzahirkan Islam dan menyembunyikan sikap nifak. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan Qatadah.
Ketiga: Dikehendaki dengan beriman kepada Musa a.s dan Isa a.s serta kufur dengan Muhammad SAW.
Keempat: Dikehendaki bahawa apa yang mereka mengetahui dalam hati mereka kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW dan mereka mendustakannya.
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata, Allah mendahulukan dengan seruan ahli kitab sebagai tambahan untuk mengherdik dan mereka ini patut diherdik kerana dua perkara dan thabit bagi mereka perkara yang ketiga:
Pertama: Mencampuradukkan kebenaran dan kebatilan.
Kedua: Menyembunyikan kebenaran yang mereka mengetahuinya.
lAl-Maraghi berkata: “Mengapa kamu mencampuradukkan kebenaran yang dibawa oleh para Nabi, yang diterangkan oleh kitab-kitab suci mereka tentang ibadah mereka hanya kepada Allah SWT semata-mata, khabar gembira tentang kedatangan seorang nabi daripada keturunan Nabi Ismail a.s yang mengajar manusia kitab dan hikmah. Berbanding dengan kebatilan yang diajarkan oleh para pendeta dan tokoh agama kamu dengan pentakwilan-pentakwilan yang salah. Lalu kamu jadikan semua itu sebuah agama yang wajib diikuti”.
lHamka berkata: “Seorang orientalis Graf Henry du Castrie, mengakui sebagai hasil penyelidikannya untuk propaganda menimbulkan kebencian kepada Islam dan Nabinya. Sebelum umat Eropah dikerahkan kepada peperangan Salib yang terkenal disiarkan berita-berita bohong, dikatakan bahawa orang Islam adalah penyembah berhala dan nama berhala itu ialah Tarfagant terletak dalam kaabah”.
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa sifat golongan Yahudi atau ahli Kitab sentiasa ingin mengganggu gugat serta memesongkan umat Islam daripada ajaran sebenarnya.
Ya Allah, berilah kami hidayah-Mu dan taufik serta selamatlah kami daripada kesesatan. Amin
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah SWT menyebut pada ayat terdahulu berkenaan dua kumpulan Yahudi dan Kristian yang mendakwa agama mereka adalah agama Allah yang sebenar. Dan bahawasanya, ia adalah agama para Nabi keseluruhan. Begitu juga agama Nabi Ibrahim a.s.
“Mereka juga mendakwa bahawa mereka tidak pernah meminda dan menukar ayat-ayat Allah. Begitu juga golongan musyrikin mendakwa dari kalangan keturunan Nabi Allah Ibrahim tetapi Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim tidak mengikut dakwaan dan sangkaan mereka. Tetapi ia Nabi wahdaniah yang mengesakan Allah serta meruntuhkan segala berhala”.
Ayat ke-67
Firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.
Sebab Nuzul
Ibn Jauzi berkata: Ada dua pendapat berkenaan dengan sebab nuzul.
Pertama: Pembesar Yahudi berkata kepada Nabi SAW bahawa kami lebih utama daripadamu dengan agama Ibrahim a.s dan dia adalah di kalangan Yahudi sedangkan kamu adalah yang berhasad lantas turun ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a..
Kedua: Amru bin al-As hendak menjadikan raja Najasyi murka kepada sahabat Nabi seraya berkata: “Mereka mencerca Isa a.s lantas Raja Najasyi bertanya: Apakah yang dikatakan oleh sahabatmu (Muhammad tentang Isa)?”
Mereka menjawab ia adalah hamba Allah dan rohnya serta kalimah yang dicampakkannya kepada Maryam, kemudian turunnya ayat ini seperti kata Abdul Rahman bin Ghanam.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s tidak syirik tetapi menganut agama yang sebenar serta beriman”.
Ayat ini sebenarnya sama seperti ayat 135 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.
ii. Al-Qurtubi berkata: “Allah menyucikan segala dakwaan-dakwaan mereka yang dusta dan menerangkan bahawa Nabi Ibrahim a.s di atas agama yang sebenar tanpa sekutu”.
iii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Ibrahim bukan golongan Yahudi kerana golongan itu datang selepasnya. Begitu juga bukan golongan Nasrani kerana golongan itu datang selepasnya.
“Berdasarkan kepada kalimah Hanif jelas menunjukkan bahwa Ibrahim AS penganut agama yang bersih datang daripada Allah SWT yang tiada sebarang condong ke mana arah pun”.
iv. Al-Maraghi berkata: “Nabi Ibrahim seorang yang telah diakui kebesaran dan kehormatannya oleh bangsa Yahudi, kaum Nasrani, dan golongan-golongan musyrik. Namun sama sekali tidak ada dengan agama mereka penyembahan berhala.
“Baginda seorang yang hanya menyerah diri kepada Allah SWT semata dan seorang yang taat kepada-Nya”.
v. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini membantah kebohongan mereka. Nabi Ibrahim a.s bukan seorang Yahudi seperti yang diakui oleh orang-orang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani seperti yang diakui oleh orang-orang Nasrani dengan dalil yang dikemukakan.
“Sebaliknya, dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri kepada Allah dan juga sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik, yang dapat diduga oleh orang-orang musyrik Mekah yang mengaku mengikut agama beliau”.
Ayat ke-68.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya- umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang Yang beriman.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: “Orang yang paling berhak mengikuti Ibrahim dan agamanya adalah Nabi Muhammad SAW dan mereka yang beriman dengannya di kalangan Muhajirin dan Ansar serta mengikut jejak mereka”.
ii. Riwayat Ibn Mas’ud r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap Nabi ada wali-wali di kalangan Nabi-nabi. Dan waliku di kalangan mereka ialah bapaku (Ibrahim a.s) dan kekasih Tuhanku Azzawajalla.
“Kemudian Nabi SAW membaca ayat ini yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekelian orang-orang Yang beriman”.
iii. Al-Maraghi berkata: “Inilah hakikat Islam dan tujuan iman yang sebenar. Barang siapa yang kehilangan jiwa seperti itu bererti dia telah kehilangan seluruh agamanya (dalam sanubari)”.
iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini turun menundukkan persoalan, yakni: Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim dan paling berhak dinamai pengikut Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh mengikutnya baik yang hidup pada masa beliau mahupun yang sesudahnya”.
v. Hamka berkata: “Tuhan menjamin bahawasanya apabila orang telah benar-benar beriman kepada-Nya, tidak lagi menduakan hati kepada orang lain, tidak memandang ada yang memberi manfaat atau mudarat dalam ala mini selain Allah SWT, orang-orang sedemikian akan dipelihara oleh Allah SWT”.
Demikianlah ayat yang membincangkan berkenaan dengan dakwaan Nabi Ibrahim AS dari golongan mereka sedangkan dakwaan itu adalah meleset dan batil sebagaimana yang dinafikan oleh Allah SWT.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya dan tidak menyeleweng sebagaimana golongan yang lain.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sheikh Sya'rawi berkata: "Firman Allah SWT yang bermaksud: Jika mereka berpaling menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Mengetahui sejak azali lagi bahawa mereka tidak sanggup mubahalah. Dengan sebab itu dihukumkan mereka sebagai golongan perosak. Kemudian Allah memerintahkan Rasul-Nya supaya mendakwah mereka kepada agama yang sempurna kerana mereka beriman dengan Tuhan, langit dan kitab. Justeru, Allah paparkan ayat ini.
Ayat ke-64:
Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
Sebab Nuzul.
'Adiy Ibn Hatim meriwayatkan katanya: "Pada suatu ketika aku mengunjungi Nabi SAW sedangkan di leherku ada tanda salib yang diperbuat daripada emas. Lalu Baginda bersabda, "Lemparkanlah berhala ini daripada dirimu".
Kemudian aku mendengar Baginda membaca sepotong ayat al-Quran yang berbunyi: "Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah". Lalu aku bertanya kepadanya: "Wahai Rasulullah, mereka itu tidak menyembah mereka". Lalu sabdanya: "Bukankah mereka menghalalkan dan mengharamkan sesuatu kepada kamu? Lalu kata-kata mereka itukah yang kamu pegang?". Jawabnya, "Ya". Lalu Nabi SAW bersabda, "Ya itulah halnya".
Ayat ini mengandungi dasar bahawa segala persoalan agama seperti ibadah, penetapan halal dan haram, hanyalah dibenarkan semata-mata berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW iaitu seorang manusia yang bersih daripada sebarang dosa. Ia bukan berdasarkan kepada pendapat seorang tokoh mujtahid ataupun seorang ahli fiqh yang mahir.
Ini kerana seseorang yang mengambil dasar agamanya di luar daripada sabda Rasulullah SAW bererti menyekutukan Allah daripada aspek sifat Rububiyyah dan menyimpang daripada petunjuk al-Quran.
Ibn Ishaq dan Ibn Jarir meriwayatkan daripada Ibn Abbas katanya: "Orang Nasrani Najran dan pendeta-pendeta Yahudi berkumpul di sisi Rasulullah SAW lalu mereka bertengkar di sisi Baginda.
Pendeta-pendeta Yahudi berkata : "Ibrahim itu adalah seorang Yahudi". Tetapi orang Nasrani pula berkata: "Ibrahim adalah seorang Nasrani". Kemudian Allah SWT menurunkan ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini adalah umum kepada ahli Kitab sama ada Yahudi atau Kristian dan yang mengikut jejak langkah mereka".
ii. Al-Qurtubi berkata: "Mereka iaitu golongan Yahudi, atau ahli Kitab ditujukan ucapan ini kerana menjadikan paderi-paderi mereka dalam ketaatan sama seperti tuhan-tuhan".
iii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi kenyataan tentang keesaan Allah SWT dengan firman-Nya: Bahawa tiada yang berhak kita sembah melainkan Allah.
Kenyataan keesaan dalam sifat Rububiyyah dengan firman-Nya: Dan tiada seorang pun daripada kita mengangkat yang lain menjadi Tuhan, selain daripada Allah.
Ayat ke-65.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai ahli Kitab! mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; Patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?
Sebab Nuzul.
Ibn Abbas meriwayatkan, katanya: "Telah berkumpul orang-orang Nasrani, Najran dan pendeta-pendeta Yahudi dengan Nabi SAW. Mereka itu bertengkar di hadapan Nabi. Pendeta Yahudi berkata: "Tidak lain Ibrahim itu ialah orang Yahudi". Dan orang Nasrani pula berkata: "Tidak lain Ibrahim itu ialah orang Nasrani". Maka Allah SWT turunkan ayat ini".
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn kathir berkata: "Allah mengingkari kepada Yahudi dan Kristian apabila mereka berhujah tentang Ibrahim a.s dan mendakwa bahawa ia di kalangan mereka".
ii. Al-Maraghi berkata: "Jika agama Nabi Ibrahim a.s itu dianggap sebagai agama Yahudi, tentu Taurat akan menyebut seperti yang disebut oleh orang Yahudi itu. Kalau benar Baginda beragama Nasrani pasti Injil turut menyebutnya sebagaimana yang diucapkan oleh orang Nasrani.
"Malangnya kitab Taurat atau Injil tidak menyebut sama ada Nabi Ibrahim a.s beragama Yahudi atau Nasrani".
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat yang lalu memerintahkan Nabi Muhammad SAW mengundang Ahli Kitab untuk menyaksikan bahawa beliau dan umat beliau adalah orang-orang muslim yang menyerahkan diri kepada Allah SWT sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan diwasiatkan olehnya".
Ayat ke-66.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Ingatlah! kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Biqa'i dalam tafsirnya menjelaskan makna penutup ayat ini sebagai berikut: "Allah SWT pengetahuan-Nya mencakupi segala sesuatu, mengetahui bahawa bantahan kamu pada hakikatnya adalah terhadap Allah SWT. Kamu pun mengetahui bahawa ilmu-Nya mencakupi seluruh apa yang kamu bantah.
"Kamu juga mengetahui bahawa kamu tidak mengetahui, yakni pada dasarnya tidak mempunyai pengetahuan kecuali apa yang diajarkan Allah SWT kepada kamu".
ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Kamu telah berdebat dengan mereka berdasarkan Taurat bahawa pintu adalah terbuka sedangkan kamu tidak mengetahui apa yang Allah mengetahuinya dengan segala sifat rahmat dan mengetahui segala perkara ghaib".
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini turun dalam konteks kecaman yang berbantah-bantah atau berdiskusi pada dasarnya, tetapi pada hakikatnya pesan yang dikandungnya tertuju kepada setiap orang".
iv. Hamka berkata: "Nabi Isa ss telah lahir ke dunia dan kamu sendiri telah mengetahui sejelas-jelasnya peristiwa kelahirannya.
"Hal ini terang dan nyata kamu ketahui dan ada yang menidakkan kekuasaan Allah SWT untuk menjadikan makhluk-Nya tanpa perantaraan ibu bapa.
"Demikian juga kamu bertengkar tentang Nabi Ibrahim a.s yang kamu tidak pasti agama dia. Allah jugalah yang Maha Mengetahui daripada segala-galanya".
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kedegilan dan keengganan golongan ahli kitab daripada kebenaran sekalipun telah nyata cahaya dan sinar kebenaran tersebut.