Mata air salsabil

By mfrstudio


Pemandangan alam akhirat pastinya jauh lebih hebat daripada apa juga keindahan yang ada di atas muka bumi ini. - Gambar hiasan

SELEPAS Allah SWT menyebut tentang makanan penghuni syurga dan pakaian mereka, maka Allah SWT menambahkan pula gambaran tentang tempat tinggal serta minuman mereka, bekas minuman dan pelayan-pelayannya. Lalu Allah SWT mengulang sekali lagi perbincangan tentang pakaian mahal dan perhiasan yang diberikan kepada mereka.

Kemudian Allah SWT menunjukkan semua ini sebagai balasan terhadap mereka yang melakukan amal kebajikan dan pembersihan yang dilakukan terhadap diri mereka dalam bentuk akhlak yang terpuji dan budi pekerti yang baik.

Firman Allah SWT: Dan Diedarkan kepada mereka bejana-bejana daripada perak dan piala-piala yang bening laksana kaca. (iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang Telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 15-16)

Al-Maraghi berkata: Pelayan-pelayan menyajikan gelas-gelas minuman dan piala-piala daripada perak kepada mereka. Pelayan-pelayan yang menyajikan minuman tersebut kepada mereka, telah menurut kadar keperluan dan kesegaran.

Yang demikian akan lebih terasa nikmat dan ringan buat mereka kerana bekas-bekas itu tidak terlalu penuh hingga melimpah dan tidak pula kurang hingga bergoncang. Bekas-bekas minuman penghuni syurga itu dibuat daripada perak yang putih sejernih kaca sehingga apa yang ada di dalamnya jelas kelihatan dari luar.

Ibnu Kathir berkata: Mereka dikelilingi oleh pembantu-pembantu dengan membawa bejana makanan yang dibuat daripada perak dan juga gelas-gelas minuman.

Sayid Qutub berkata: Mereka diedarkan dengan minuman-minuman di dalam bejana-bejana dan gelas-gelas perak yang nipis seperti kaca yang belum pernah dilihat pada bejana perak di dunia. Gelas-gelas itu dibentuk dengan ukuran-ukuran yang memberi keindahan dan kenikmatan.

Firman Allah SWT: Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah zanjabil. (al-Insaan: 16)

Al-Maraghi berkata: Di dalam syurga orang yang berbakti itu meminum arak yang dicampur dengan zanjabil. Mereka begitu menyukai dan menyenangi minuman itu.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, orang-orang yang melakukan kebaikan juga akan diberi minum dengan gelas-gelas yang mana kadang-kadang mereka diberi minum minuman yang dicampur dengan kapur yang dingin dan pada saat lain diberi minuman yang bercampur dengan zanjabil yang panas supaya ada keseimbangan bagi mereka.

Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu kadang-kadang dicampur dengan zanjabildan kadang-kadang dicampur dengan haruman kapur.

Firman Allah SWT: (yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil. (al-Insaan: 18)
Ibnu Arabi berkata: Aku belum pernah mendengar Salsabil kecuali di dalam al-Quran. Seolah-olah sumber itu dinamakan Salsabil kerana jernih dan mudahnya mengalir dikerongkong.

Hasan ibnu Sabit berkata: Mereka memberi minum arak yang bercampur arak bersih yang penuh nikmat kepada orang yang pada mereka terdapat kilauan.

Muqatil berkata: Ia adalah sumber yang airnya mengalir kepada mereka di majlis-majlis mereka seperti yang mereka suka.

Ibnu Kathir berkata: Zanjabil ini merupakan sebuah mata air di syurga yang bernama Salsabila.

Ikrimah berkata: Ia merupakan nama sumber air di syurga.

Mujahid mengatakan: Disebut demikian kerana alirannya yang lembut dan tajam.

Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu juga dipenuhkan di dalam gelas-gelas dari sebuah mata air yang sentiasa mengalir bernama Salsabil yang amat cita rasa.

Firman Allah SWT: Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka, mutiara yang bertaburan. (al-Insaan: 19)

Al-Maraghi berkata: Para penghuni syurga itu dikelilingi oleh para pelayan yang cekap. Para pelayan itu terdiri daripada kalangan yang muda, menarik dan menyenangkan. Mereka tidak tua, tidak beruban dan badan mereka tidak penat untuk memberikan layanan. Mereka umpama permata-permata yang bertebaran.

Permata-permata yang bertebaran itu lebih indah daripada permata-permata yang diikat. Apabila para penghuni syurga melihat mereka akan dikhayalkan dengan keindahan warna, kecerahan wajah dan kecekapan mereka ketika melayani setiap keperluan tuan-tuan mereka. Bertebarannya mereka bererti mereka itu segera memberi layanan.

Sayid Qutub berkata: Yang menambahkan kenikmatan ialah pelayan-pelayan yang menghidangkan gelas-gelas minuman itu adalah terdiri daripada pemuda-pemuda remaja yang berwajah tampan, yang kekal muda, tidak dimakan zaman dan dilusuhkan usia. Mereka selama-lamanya muda belia dan berseri-seri serta mereka berada di sana sini di dalam syurga seolah-olah mutiara yang bertaburan.

Keluarbiasaan alam akhirat

By mfrstudio



Al-Maraghi berkata: Kami tidak meminta dan mengharapkan balasan dan yang lain-lain daripadamu yang akan mengurangkan pahala.

Mujahid dan Said Ibnu Jubair berkata: Demi Allah! Mereka tidak mengatakan yang demikian itu dengan lisan akan tetapi Allah SWT mengetahui daripada hati mereka, lalu Allah SWT memuji mereka dengan yang demikian ia menjadi pendorong kepada orang yang ingin bersedekah.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu, Kami tidak menuntut kamu semua memberi balasan yang setimpal atasnya dan tidak juga meminta kamu berterima kasih di hadapan orang-orang kamu.

Sayid Qutub berkata: Itulah rasa belas kasihan yang lahir daripada hati mereka yang lemah-lembut dan yang sentiasa mencari keredaan Allah SWT.
Mereka tidak mengharapkan balasan dan terima kasih daripada makhluk. Mereka tidak bertujuan memperlihatkan kelebihan dan kemegahan mereka kepada orang-orang yang susah.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan (yang datang) daripada Tuhan kami. (al-Insaan: 10)
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya kami melakukan yang demikian ini supaya Tuhan mengasihi dan menerima kami dengan kelembutan-Nya pada hari yang muram dan amat kelam itu.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, kami lakukan perkara tersebut dengan harapan Allah akan memberi rahmat kepada kami dan menerima kami dengan penuh kelembutan pada hari di mana orang-orang tengah bermuka masam dan penuh kesulitan.

Sayid Qutub berkata: Dengan pemberian makanan kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan maka mereka berharap dapat melindungkan mereka daripada malapetaka kiamat yang sangat ditakuti itu.
Firman Allah SWT: Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. (al-Insaan: 11)

Al-Maraghi berkata: Allah SWT melindungi mereka daripada perkara yang ditakuti semasa di dunia iaitu kejahatan hari yang muram itu (dengan apa yang mereka lakukan) untuk mendapat keredaan Tuhan mereka. Allah SWT memberikan tanda cahaya pada wajah mereka dan kegembiraan di hati mereka.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu Allah SWT memberi rasa aman kepada mereka daripada apa yang mereka takutkan, memberikan kejernihan di wajah mereka dan kegembiraan di hati mereka.

Kebiasaannya apabila hati berasa gembira, wajahnya pula kelihatan ceria.
Kaab bin Malik berkata: "Apabila Rasulullah SAW berasa gembira, wajah baginda berseri-seri laksana cahaya bulan."

Sayid Qutub berkata: Ayat yang menyebut tentang mereka akan dikurniakan Allah SWT wajah yang berseri-seri dan hati yang gembira. Dan hari itu bukannya hari yang membuat muka mereka kelihatan masam kusam dan suram muram. Itulah balasan yang setimpal terhadap ketakutan mereka kepada Allah dan terhadap kelembutan hati dan perasaan mereka (kepada orang-orang yang susah).

Firman Allah SWT: Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera. (al-Insaan: 12)

Ibnu Kathir berkata: Yakni kerana kesabaran mereka, Allah SWT memberi dan menyerahkan syurga dan sutera serta menempatkan mereka di syurga iaitu tempat tinggal yang lapang, kehidupan yang sejahtera dan pakaian yang baik.

Sayid Qutub berkata: Mereka akan mendiami syurga dan memakai pakaian-pakaian sutera yang indah.

Minuman paling lazat dari syurga

By mfrstudio


Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul

SETELAH Allah SWT menyebut perihal Dia menunjukkan jalan kebaikan dan jalan keburukan kepada manusia menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi) (al-Balad :10). Berikutnya Allah SWT menambahkan penjelasan bahawa manusia itu terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menerima hidayah Allah SWT dan bersyukur serta golongan yang disesatkan Allah SWT dan kufur.
Kemudian, Dia mengakhiri perkara tersebut dengan apa yang disediakan untuk kedua-dua golongan itu pada hari kiamat nanti.

Allah SWT menyediakan kepada golongan pertama iaitu syurga-syurga dan kenikmatan, sehingga mereka meminum khamr - minuman yang paling lazat yang dicampurkan dengan air segar dan sejuk serta harum baunya. Apabila mereka inginkannya, maka ia datang kepada mereka di bilik-bilik.
Mereka juga memakai kain sutera dan duduk di atas pelamin-pelamin tanpa merasa panas dan sejuk. Kemudian Allah SWT menyebut pula sesuatu yang disediakan di dunia bagi mendapatkan pahala agung ini. Lalu dijelaskan bahawa mereka itu memberi makan kepada orang fakir, malang, yatim dan hamba sahaya. Mereka menunaikan apa yang diwajibkan oleh Tuhan mereka dan takut terhadap azab Allah SWT pada hari kiamat.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala. (al-Insaan: 4)

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menyediakan bagi orang yang mengkufuri nikmat-Nya dan menyalahi perintah-Nya, dengan rantai-rantai ke dalam neraka Jahim."
Manakala belenggu-belenggu dengan tangan-tangan mereka diikatkan ke leher-leher mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap orang yang berdosa di dunia dan mereka dibakar dengan api neraka.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang apa yang telah Dia sediakan bagi semua orang kafir daripada makhluk-Nya, sama ada berbentuk rantai, belenggu dan api yang menyala lagi membara di neraka Jahanam."

Sayid Qutub berkata: "Iaitu belenggu-belenggu untuk mengikat kaki dan memasungkan tangan serta api neraka yang menyala-nyala untuk dicampakkan mereka ke dalamnya dengan kaki tangan yang terbelenggu."
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kapur. (iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 5-6)
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya orang yang berbakti kepada Allah SWT dengan mengerjakan ketaatan serta menunaikan segala perkara yang diwajibkan oleh-Nya dan meninggalkan perbuatan yang dilarang seperti meminum arak yang dicampur dengan minuman yang lain, seperti kapur yang berbau harum, sejuk lagi putih."

Campurannya berasal daripada sumber yang daripadanya semua hamba Allah SWT yang bertakwa meminumnya di bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga. Air itu didatangkan kepada mereka dengan mudah ke mana sahaja mereka suka dan dimanfaatkan menurut kehendak mereka serta ia mengikut mereka ke mana-mana sahaja tempat yang dikehendaki oleh mereka.
Al-Mujahid berkata: "Mereka membimbingnya ke mana sahaja mereka suka dan air itu mengikut ke mana sahaja mereka pergi."

Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, air kapur yang telah bercampur dan disediakan bagi orang-orang yang melakukan kebaikan ini adalah mata air yang biasa diminum oleh hamba-hamba Allah SWT yang mendekatkan diri, murni tanpa campuran, mereka minum sehingga kenyang."
Mereka boleh manfaatkan air tersebut ke mana dan di mana sahaja mereka kehendaki.
Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menjelaskan bahawa minuman orang-orang yang taat atau para Abrar di dalam syurga ialah air campuran dengan haruman kapur, iaitu mereka minum di dalam gelas yang di ambil dari mata air yang sentiasa mengalir dengan banyaknya."

Biasanya orang-orang Arab mencampurkan minuman arak, kadang-kadang dengan kapur dan kadang-kadang dengan halia untuk menambahkan kelazatannya.

Dengan keterangan ini tahulah mereka bahawa di syurga akan disediakan minuman yang bercampur kapur dengan mewahnya tetapi taraf minuman ini tentulah lebih manis dan nyaman lagi daripada minuman-minuman di dunia dan kelazatannya berlipat kali ganda.