By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
MUHAMMAD Quraish Syihab dalam tafsirnya berkata: Ayat yang lalu menegaskan bahawa Allah SWT mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh manusia, yang nyata mahupun yang tersembunyi. Dalam ayat ini, Allah SWT menegaskan kekuasaan-Nya di seluruh jagat raya, dan apa pun yang dikerjakan manusia, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi, maka semua akan dipertanggungjawabkan termasuk apa yang dihuraikan oleh ayat yang lalu, yakni menyembunyikan persaksian.
Dapat juga diperkatakan, bahawa setelah dalam ayat yang lalu Allah SWT menegaskan keluasan ilmu-Nya, maka di sini dijelaskan keluasan kekuasaannya dalam rangka membuktikan bahawa Dia Yang Maha Kuasa itu menyandang segala macam kesempurnaan yang layak bagi-Nya. Ini kerana pada hakikatnya semua kesempurnaan dapat tergambar melalui kekuasaan dan pengetahuan. Demikian al-Biqa’i menghubungkan ayat ini dengan ayat yang lalu.
Firman Allah SWT: Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu.
Sayyid Qutub berkata: “Demikianlah kesimpulan al-Quran yang dibuat dalam pembicaraannya mengenai undang-undang madani atau sivil itu dengan mengemukakan bimbingan yang ditujukan kepada hati nurani dan menghubungkan di antara undang-undang kehidupan dan Allah SWT yang menciptakan kehidupan itu dengan tali ikatan yang kukuh yang terdiri dari perasaan takut dan harapan kepada Allah SWT yang memiliki bumi dan langit”.
Ini bererti al-Quran menambahkan jaminan-jaminan daripada hati nurani di samping jaminan undang-undang, sedangkan jaminan hati nurani itu merupakan jaminan yang amat kuat dan istimewa bagi syariat Islam di dalam hati kaum muslimin yang hidup dalam masyarakat Islam.
Jaminan hati nurani dan undang-undang di dalam Islam merupakan dua perkara yang sepadu. Sebabnya Islam menciptakan hati dan mengaturkan undang-undang untuknya dan juga Islam menciptakan masyarakat dan menyusun undang-undang dan peraturan untuknya.
Itulah ciptaan Allah SWT selama-lamanya sepadu dan seimbang. Itulah tarbiah (didikan) di samping undang-undang. Itulah rasa takwa di samping kuasa undang-undang. Itulah sistem hidup manusia dari ciptaan Allah SWT yang menciptakan manusia.
Ketahuilah bahawa kecelakaan umat manusia berlaku apabila umat manusia lari dari sistem hidup dan syariat yang diatur oleh Allah SWT. Di dunia Barat, kecelakaan itu bermula dari pelarian mereka dari pengaruh gereja yang zalim dan dari tuhannya.
Gereja mendakwa bahawa ia bercakap atas nama tuhan lalu ia mengharamkan manusia dari berfikir dengan teliti, mewajibkan orang ramai dengan menggunakan nama tuhan supaya membayar rasuah-rasuah yang tinggi dan bertindak terhadap mereka dengan menggunakan kuasa yang sewenang-wenangnya.
Apabila orang ramai mahu menyelamatkan diri mereka daripada momok yang menakutkan ini, mereka terus melarikan diri dari gereja dan kuasanya, tetapi mereka tidak terhenti setakat garis yang sederhana sahaja.
Malah mereka terus melarikan diri daripada tuhan gereja itu sendiri dan kuasanya kemudian melarikan diri daripada segala agama yang memimpin kehidupan mereka di bumi ini dengan undang-undang dan peraturan Allah SWT. Akibatnya mereka menempuh kecelakaan dan malapetaka.
Namun, bagi kita para penganut Islam, mengapa pula kita bertindak begitu juga? Mengapa kita juga bertindak lari dari Allah SWT? Lari daripada sistem hidup dan syariat yang diatur oleh-Nya?
Mengapa kita bertindak begitu, sedangkan agama kita agama yang toleransi dan lurus. Ia tidak sekali-kali mewajibkan ke atas kita melainkan amalan-amalan yang boleh menyelamatkan kita daripada belenggu-belenggu khurafat, menggugurkan beban-beban (dosa) dari pada kita dan melimpahkan ke atas kita rahmat, hidayat, kemudahan, kejujuran dan keteguhan sikap mengikut jalan yang membawa kepada Allah SWT, kepada kemajuan dan keberuntungan di akhirat?
Firman Allah SWT: Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Al-Maraghi berkata: Maksud ayat ini adalah, dengan rahmat-Nya Dia mengampuni orang yang dikehendaki dan dengan keadilan-Nya juga Dia akan menghukum orang yang dikehendaki. Allah SWT hanya menghendaki agar sesuatu itu sesuai dengan dasar kemurahan dan keadilan-Nya.
Dengan keadilan-Nya, Dia menghukum orang yang berdosa sesuai dengan dosanya dan memberi pahala sesuai dengan kebaikannya. Akan tetapi dengan kemurahan-Nya pula, Dia melipatgandakan pahala kebaikan sebanyak 10 kali atau lebih, tetapi tidak pula melipatgandakan hukuman terhadap sesuatu dosa.
Dosa yang diampun ialah orang yang Allah SWT berikan jalan kepadanya untuk berbuat kebaikan, sehingga kebaikannya mengatasi dosanya. Ia bukan seperti anggapan orang yang bodoh, bahawa masalah pengampunan terhadap dosa ini mudah, sehingga mereka berani membuat dosa dengan terus-menerus tetapi pada masa yang sama, dia berharap akan diampunkan oleh Allah SWT.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SELEPAS Allah SWT membincangkan berkenaan ayat hutang yang mencakupi segala syarat dan kaedahnya begitu juga dengan isu penyaksian lantas Allah SWT menutup ayat tersebut dengan memerintahkan kepada manusia khususnya orang yang beriman supaya bertakwa kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT : Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalat tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang (oleh yang berpiutang).
Al-Maraghi berkata : Jika kamu sedang bermusafir, sedangkan kamu tidak menemui seseorang yang pandai mencatat urusan hutang piutang, atau kamu tidak memperoleh kertas dan tinta untuk menulis, hendaklah kamu meminta bukti kepercayaan dengan barang jaminan yang dapat dipegang (dapat dihulurkan ketika diminta).
Pada ayat di atas, disebutkan soal bermusafir dan tidak menemui seorang pun pencatat yang dapat menulis dokumen hutang piutang, merupakan suatu alasan dibolehkan tidak mencatat, tetapi sebagai gantinya hendaklah menyerahkan barang jaminan sebagai kepercayaan orang yang berhutang kepada yang memberi hutang.
Ini bererti bahawa penyerahan barang jaminan tidak dilarang di luar urusan hutang piutang. Nabi SAW pernah menjaminkan baju besinya di Madinah kepada seorang Yahudi yang memberi hutang kepada baginda sebanyak 20 cupak gandum yang baginda peruntukkan untuk para isterinya.
Sayyid Qutub berkata: “Di bawah ini al-Quran menggerakkan hati nurani orang-orang yang beriman supaya menyempurnakan amanah membayar hutang itu dengan dorongan perasaan taqwa kepada Allah SWT. Inilah jaminan terakhir untuk melaksanakan segala hukum syarak dan memulangkan hutang dan barang-barang gadaian kepada tuan punya masing-masing dan menjaganya dengan jagaan yang sempurna”.
Al-Sonhadji berkata: Hutang adalah amanah dan memungkirinya adalah khianat. Berhati-hatilah terhadap tipu daya syaitan yang sentiasa membisikkan ke telinga supaya melengah-lengahkan tempoh pembayaran hutang, melanjut-lanjutkan masanya, atau langsung memungkirinya. Kononnya tiada saksi dan bukti atau tidak ada hitam putih yang menyatakan perihal hutang.
Ingatlah, bahawa Allah SWT sesempurna saksi yang dapat memberi bukti dan Dialah sahaja yang wajib ditakuti.
Firman Allah SWT: Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, Maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.
Sayyid Qutub berkata: “Pihak yang berhutang diamanahkan dengan hutang dan pihak yang memberi hutang diamanahkan dengan barang gadaian. Dan kedua-dua pihak itu diseru supaya menunaikan amanah masing-masing atas nama taqwa kepada Allah Tuhan pemeliharanya. Kata-kata al-Rabb atau Tuhan Yang Maha Pemelihara bererti Tuhan Yang Maha Penjaga, Maha Pengasuh, Pemilik Yang Maha Agung, Pemerintah Yang Maha Agung dan Pengadil Yang Maha Agung. Semua pengertian ini mempunyai saranan (yang berkesan) dalam situasi bermuamalah, menanggung amanah dan menunaikan amanah.
“Sesetengah pendapat mengatakan bahawa ayat ini telah memansuhkan ayat yang mewajibkan pencatatan hutang piutang apabila ada kepercayaan terhadap satu sama lain. Tetapi kami tidak menerima pendapat ini, kerana itu pencatatan hutang piutang adalah wajib kecuali di dalam musafir dan soal kepercayaan terhadap satu sama lain itu adalah khas dalam kes musafir sahaja, di mana kedua-dua yang memberi hutang dan yang berhutang masing-masing memberi kepercayaan”.
Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya.
Muhammad Quraish Syihab berkata: Penyebutan kata hati dalam ayat ini adalah untuk mengukuh kalimat ini, bukankah jika anda berkata, “Saya melihatnya dengan mata kepala”.
Maka ucapan anda ini lebih kuat daripada sekadar berkata, :Saya melihatnya”. Di sisi lain, penyebutan kata itu juga mengisyaratkan bahawa dosa yang dilakukan, adalah dosa yang tidak kecil.
Anggota badan yang lain boleh jadi melakukan sesuatu yang tidak sejalan dengan kebenaran, tetapi apa yang dilakukannya itu belum tentu dinilai dosa jika tidak ada dorongan atau kebenaran hati di atas perbuatannya.
Seseorang yang lidahnya mengucapkan kalimah kufur di bawah tekanan ancaman tidak dinilai berdosa selama hatinya tenang dan meyakini ke-Esaan Allah SWT. Jika hati berdosa maka seluruh anggota tubuh pun berdosa.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya dalam diri manusia ada (segumpal darah) apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia buruk, maka buruklah seluruh jasad, yakni Qalbu (hati).
Sayyid Qutub berkata: “Ayat ini melandaskan ungkapan-ungkapannya di atas hati dan menghubungkan dosa penyembunyian itu kepadanya untuk menyelaraskan di antara kerja menyembunyikan dosa dengan kerja menyembunyikan keterangan saksi kerana kedua-duanya merupakan suatu kegiatan yang berlaku di dasar hati. Kemudian ungkapan itu diiringi dengan suatu ancaman yang halus, iaitu di sana tiada suatu pun yang tersembunyi kepada ilmu Allah”.
Firman Allah SWT: Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Sayyid Qutub berkata: “Dan Dialah kelak akan membalaskan perbuatan itu mengikut ilmu-Nya yang mengetahui segala dosa yang terpendam di dalam hati. Kemudian ayat yang berikut terus menguatkan lagi keterangan sepintas lalu itu dan menyedarkan hati supaya takut kepada Allah SWT yang memiliki langit, bumi dan kejadian-kejadian di antara keduanya, dan yang mengetahui segala isi hati sama ada yang terpendam atau yang ketara serta membalasnya.
“Allah SWT yang mengendalikan nasib kesudahan para hamba-Nya dengan kesudahan-kesudahan rahmat dan azab yang dikehendaki oleh-Nya, dan yang Maha Berkuasa di atas segala yang ditaklukkan oleh iradat-Nya dan tiada siapa pun yang dapat membantah-Nya”.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah SWT telah mengajarkannya.
Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah SWT Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki daripada kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah SWT dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (Apa Yang dilarang itu), maka sesungguhnya sang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah SWT (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah SWT sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 282)
AL-MARAGHI berkata: Sesudah Allah SWT menggalakkan sedekah dan mengeluarkan derma bagi kepentingan agama, kerana perbuatan ini dapat melahirkan rasa kasih sayang, Allah SWT menyatakan pula larangan mengamalkan riba. Urusan riba boleh mendatangkan sifat kejam. Pada ayat ini, Allah SWT menyebut cara memelihara harta yang halal, iaitu dengan mencatat hutang dan melantik saksi di hadapan orang lain yang boleh dipercayai atau mengambil barangan jaminan jika dia tidak mudah percaya kepada catatan dan penyaksian. Hal ini disebabkan, orang yang diarahkan mengeluarkan infak dan sedekah serta dilarang melakukan riba pasti akan menemui suatu keupayaan untuk mengembangkan harta dan menjaganya jangan sampai hilang, agar dia mudah melakukan perintah dan anjuran Allah SWT untuk memperoleh kekayaan.
Al-Rabi’ meriwayatkan, bahawa ayat ini turun ketika seorang lelaki mengelilingi orang ramai meminta sesiapa antara mereka menjadi saksi, tetapi tiada seorang pun yang mahu menawarkan diri.
Ada pula yang berpendapat, bahawa yang dimaksudkan dengan mereka enggan untuk menjadi saksi dan menjalankannya pada saat dia diperlukan ialah bahawa menolak menjadi saksi itu haram kerana menjadi saksi itu fardu kifayah. Seseorang yang diminta menjadi saksi tidaklah wajib secara mutlak menerimanya, kecuali jika sudah tidak ada lagi orang lain yang boleh melakukannya.
Oleh kerana ayat ini adalah sepanjang ayat dalam al-Quran maka penulis ingin mengemukakan iktibar dan pengajarannya.
I. Sayyid Qutub berkata: “Inilah dasar umum yang hendak dijelaskan oleh al-Quran. Tugas mencatat atau menulis hutang piutang itu merupakan satu tugas yang diwajibkan dengan nas, bukannya ditinggalkan kepada pilihan sukarela sahaja dalam urusniaga hutang piutang yang bertempoh. Tugas ini diwajibkan kerana ia mempunyai sesuatu hikmah yang tersirat di sebaliknya.”
II. Sayyid Qutub berkata: “Yang menentukan taklif ini terhadap penulis ialah Allah SWT supaya dia tidak berlengah-lengah dan tidak enggan menulis dan supaya dia tidak mengirakan tugas itu sebagai suatu kerja yang berat kepada dirinya, kerana tugas ini telah difardukan Allah SWT dengan nas undang-undang dan balasan untuknya kerana menjalani tugas ini telah disanggupi Allah. Tugas ini juga merupakan pernyataan kesyukuran di atas limpah kurnia Allah SWT yang telah mengajarnya kepandaian menulis. Oleh itu hendaklah dia menulis sebagaimana ia diajar oleh Allah.
Menjaga urusan hutang
III. Al-Maraghi berkata: Allah SWT meminta orang yang beriman supaya menjaga urusan hutang mereka dengan hati-hati, sama ada yang yang berbentuk pinjaman atau kredit ataupun penjualan dengan pembayaran tertangguh, dengan cara mencatat sehingga kalau sudah tamat tempohnya, mereka mudah meminta dan menuntut kepada yang berkenaan agar segera membereskan hutang tersebut.
IV. Keperluan bertakwa kepada Allah SWT dalam menjalani perintahnya dan menjauhi larangannya.
V. Hukum berhutang adalah harus dan pembayaran hutang adalah wajib dan patut disegerakan.
VI. Dalam urusan jual beli tunai, saksi diperlukan kerana kadang-kadang selepas selesai urusan tersebut timbul perselisihan dan salah faham. Untuk menyelesaikan hal ini, kehadiran saksi sangat diperlukan.
VII. Kalau yang memberi hutang itu berfikiran lemah atau masih anak kecil, atau orang yang sangat tua, atau orang bodoh, atau gagap, maka wali berkewajipan menangani urusannya untuk berhadapan dengan penulis atau orang yang dilantik sebagai wakil atau orang yang menjadi jurubahasanya mencatatkan dengan adil, tanpa sebarang tambahan atau kekurangan.
VIII. Muhammad Quraish Syihab berkata: Dalam pandangan Mazhab Maliki, penyaksian wanita dibenarkan dalam hal-hal yang berkaitan dengan harta benda, tidak dalam jenayah, pernikahan, cerai dan rujuk.
Mazhab Hanafi lebih luas dan lebih sesuai dengan perkembangan masyarakat dan kudrat wanita. Wanita dibenarkan menjadi saksi dalam hal berkaitan dengan harta, persoalan rumah tangga seperti pernikahan, talak dan rujuk bahkan dalam segala sesuatu kecuali dalam soal jenayah.
Memang persoalan jenayah yang dapat menyebabkan hukuman mati dan sebat, di samping tidak kena dengan naluri seorang wanita dalam penyaksian pada hal tersebut juga tidak lumrah bagi mereka yang diharapkan lebih banyak memberi perhatian pada anak-anak dan rumah tangga.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
FIRMAN Allah SWT: Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan). (al-Baqarah: 281)
AL-MARAGHI berkata: Kemudian Allah SWT mengakhiri ayat-ayat riba dengan nasihat yang tepat. Bahawa jika hal ini diambil berat oleh seseorang mukmin, maka dengan ringan, hatinya akan berlapang dada dalam soal harta kekayaan dan dirinya bahkan segala yang dimilikinya di dunia ini.
Firman Allah SWT: Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.
Al-Mawardi berkata: Maksud dikembalikan kepada Allah SWT ialah:
Pertama: Balasan Allah SWT.
Kedua: Kepada milik Allah SWT.
Al-Maraghi: Pengertian ayat di atas ialah berhati-hatilah kamu menghadapi hari yang begitu dahsyat, dan kamu tidak lagi disibukkan oleh urusan-urusan keduniaan yang kamu perolehi daripada Tuhan kamu dalam kehidupan ini.
Ini disebabkan pada saat itu kamu mempunyai kepentingan dan keperluan asas yang wajib kamu sediakan dengan baik, dengan mengumpulkan harta atau simpanan yang banyak, bagi menghadapi hari tersebut dengan jayanya.
Kesimpulannya, jika kamu mahu mengingati dan memikirkan pembalasan dan ganjaran terhadap amal perbuatan mereka yang Allah SWT sediakan pada hari huru-hara itu, pasti kamu akan berasa ringan untuk menjauhi sikap berlebihan dalam mencari harta, sementara hati kamu menjadi tenteram untuk menemui Tuhan kamu. Kamu akan memperoleh ketenangan dan keselamatan disebabkan sikap baik dalam pergaulan.
Sayyid Qutub berkata: “Iaitu hari kepulangan mereka kepada Allah SWT dan hari setiap orang mendapat balasannya yang sempurna adalah hari yang amat sukar dan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang beriman. Pemandangan hari ini terbentang jelas di hadapan hati nuraninya, kedahsyatan hari ini menggegarkan hati nuraninya, kerana berdiri di hadapan Allah SWT pada hari ini adalah satu kenangan yang menjadikan seluruh dirinya gementar dan menggigil”.
Kenyataan ini sesuai dengan suasana muamalah-muamalah, suasana mengambil dan memberi, suasana kerja dan ganjaran. Itulah hari penyelesaian agung untuk seluruh amalan yang telah lepas dan itulah hari pengadilan terakhir terhadap seluruh kes yang telah lalu antara semua orang yang terlibat di dalamnya. Alangkah wajarnya bagi hati yang mukmin merasa takut dan menjauhinya.
Takwa itulah pengawal yang berjaga di pendalaman hati nurani. Ia telah ditugaskan oleh Islam mengawal di sana dan hati manusia tidak dapat melarikan diri darinya kerana ia mengawal di pendalaman hati itu sendiri.
Itulah Islam. Satu sistem yang kuat, sabar, lemah-lembut dan tegak dalam realiti bumi. Itulah rahmat Allah SWT kepada umat manusia dan itulah penghormatan Ilahi kepada manusia. Itulah kebajikan yang dihindari oleh manusia dan dihalangi darinya oleh musuh-musuh Allah SWT dan musuh-musuh manusia.
Firman Allah SWT: Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).
Muhammad Quraish Syihab berkata: Di sisi sungguh wajar ayat ini menjadi ayat terakhir yang diterima Rasulullah SAW, kerana penghujung kehidupan duniawi adalah kematian, sehingga penghujung tuntunan yang diingatkan juga menyangkut kematian.
Hindarilah seksa yang terjadi pada hari yang sangat dahsyat pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah SWT, iaitu meninggal dunia.
Ayat ini memberi kesan, bahawa ketika itu tidak ada daya untuk mengelak, seperti keadaan manusia ketika dilahirkan. Semua itu berada dalam kekuasaan Allah SWT.
Kata (thumma) yang bererti kemudian, mengisyaratkan adanya waktu yang relatif lama antara kematian dan pembalasan, waktu tersebut adalah ketika berada di alam barzakh, dan waktu itu dirasakan panjang, khususnya bagi mereka yang bergelumang dengan dosa. Lalu masing-masing diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dilakukannya, bahkan yang beramal sangat beruntung dengan kemurahan Allah SWT.
Al-Maraghi berkata: Ertinya ialah setiap orang akan memperoleh balasan daripada perbuatannya sama ada yang baik atau yang buruk. Pahala mereka tidak akan dikurangi sementara hukuman mereka tidak pula ditambah.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. dikatakan ayat ini merupakan yang terakhir dibawa turun oleh Jibril a.s. Jibril berkata: “Letakkanlah ayat ini dihujung ayat 280 al-Baqarah”. Dan sesudah ayat terakhir ini, Rasulullah SAW hidup selama 21 hari, tetapi ada pendapat yang mengatakan 81 hari.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
FIRMAN Allah SWT : Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui. (al-Baqarah: 280)
SAYYID Qutub berkata: “Ayat yang berikut menjelaskan hukum-hukum hutang yang sukar untuk mendapat bayarannya. Cara melayani hutang yang seperti ini bukannya mengenakan riba tangguh bayaran, iaitu melanjutkan tempoh bayaran dengan mengenakan bayaran yang lebih, tetapi enggan melanjutkan tempoh bayaran sehingga kepada waktu kelapangan membayarnya di samping menggalakkan kepada amalan menyedekahkan hutang itu kepada mereka yang ingin mendapat kebajikan yang lebih sempurna.”
Firman Allah SWT: Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan.
Al-Mawardi berkata : Maksud ayat ini dengan dua pendapat ulama:
Pertama: Menangguhkan pembayaran hutang daripada orang yang susah adalah wajib pada hutang riba sahaja. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Syuraih
Kedua: Ia umum dan wajib beri penangguhan bagi semua hutang sebagaimana zahir ayat. Inilah pendapat Ata’ dan al-Dhahak.
Al-Nasafi berkata: “Jika berlaku orang yang berhutang dalam kesusahan maka hukumnya hendaklah ditakkhirkan pembayaran tersebut hingga waktu kemudahan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak berlalu hutang seorang lelaki Muslim maka ditakkhirkannya untuk menyenangkan yang berhutang kecuali baginya setiap hari sebagai sedekah.”
Al-Maraghi berkata, maksud ayat ini ialah jika orang yang berhutang sedang menanggung kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutangnya.
Sebuah hadis diriwayatkan, bahawa Bani Mughirah berkata kepada Bani Amr ibnu Umar seperti dalam kisah di atas, katanya: “Saat ini kami sedang menanggung kesulitan. Oleh sebab itu, berilah kami tempoh sampai musim memetik buah!” Akan tetapi mereka menolak permintaan ini. Lalu turunlah ayat tentang kisah mereka ini sebagaimana yang termaktub dalam dua ayat yang sebelum ini.
Begitu juga al-Baghawi menyebut kelebihan orang yang menolong mereka yang berhutang supaya ditakkhirkan pembayaran hingga waktu lapang.
Sayyid Qutub berkata: “Itulah toleransi yang murah hati yang dibawa oleh Islam kepada umat manusia. Itulah naungan yang teduh, yang memberi perlindungan kepada golongan manusia yang letih dan lesu di bawah naungan pancaran matahari nafsu tamak, bakhil dan rakus.
“Itulah bayangan rahmat kepada si pemberi hutang, kepada si yang berhutang dan kepada masyarakat yang melindungi mereka semua.”
Kita memang sedar bahawa kata-kata ini tidak memberi apa-apa erti kepada akal manusia yang hidup di bawah panas matahari jahiliah dan kebendaan sekarang ini. Kecapan harum manis daripada kata-kata ini tidak dirasai dalam hati mereka yang telah keras membatu itu terutama hati golongan pemakan riba yang buas, sama ada mereka terdiri daripada individu-individu yang berasingan di ceruk-ceruk negeri.
Mereka duduk bersimpuh menjilat-jilat bibir menunggu mangsa-mangsanya yang terdiri daripada insan-insan yang menderita akibat dilanda berbagai kesusahan.
Mereka amat memerlukan wang untuk membeli makanan, pakaian, ubat-ubatan atau pada sesetengah ketika memerlukan perbelanjaan untuk membiayai kos ketika berlaku kematian di kalangan ahli keluarga mereka, tetapi mereka tidak menemui seorang pun yang sanggup menghulurkan bantuan ikhlas kepada mereka.
Oleh itu, mereka terpaksa meminta pertolongan di sarang-sarang pemakan riba yang buas untuk mendapatkan wang sama ada mereka terdiri daripada individu-individu seperti ini atau mereka berada dalam bentuk institusi kewangan dan bank-bank ribawi. Mereka sama sahaja.
Cuma yang membezakan golongan yang akhir ini mereka berada di pejabat-pejabat yang indah dengan kerusi yang empuk dan di belakang mereka tersusun buku-buku teori ekonomi, karangan-karangan ilmiah serta buku-buku yang berkaitan dengan undang-undang dan lain-lain.
Seluruh siap siaga untuk menjustifikasi jenayah mereka dan melindungi mereka. Seterusnya menyalahkan sesiapa sahaja yang teragak-agak untuk membayar faedah riba kepada peti wang mereka atas nama undang-undang.
Firman Allah SWT: dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang ) itu lebih baik bagimu...
Al-Maraghi berkata: “Maksud ayat ini ialah kamu bersedekah kepada orang berhutang yang sedang menanggung kesulitan, dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi kamu dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT, daripada menunda masa pembayaran mereka.
Dalam ayat ini terdapat anjuran supaya memberi sedekah dan berlapang dada terhadap kesulitan si berhutang. Sikap berlapang dada ini mencerminkan kasih sayang dan kemurahan hati serta kebaikan seseorang kepada yang lain.
Oleh demikian akan terbina hubungan persaudaraan antara setiap individu, menjadikan ikatan yang kukuh di dalam masyarakat umat Islam dan mewujudkan sikap sama-sama berjuang demi kepentingan umum, seperti yang ditunjukkan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara bahagian dengan bahagian yang lainnya”.
Firman Allah SWT: jika kamu Mengetahui.
Hamka berkata: “Itulah lanjutan jiwa pembangunan jiwa masyarakat orang yang beriman. Alangkah baik dan mesranya, jika seseorang yang berhutang datang memohon maaf dan meminta tempoh agar sekalian bulan, lalu disambut oleh orang yang memberi hutang dengan perkataan: “Hutangmu itu telah aku halalkan, engkau tidak berhutang lagi denganku.” Dia berkata: Bahawa cara begini jika kamu fikirkan adalah lebih baik bagi dirimu sendiri. Dengan cara ini telah menaikkan darjat budimu. Ia akan berkesan dalam jiwamu sendiri, menjadi dermawan dan mengukuhkan ukhwah dengan orang yang berhutang.
Muhammad Quraish Syihab berkata: “Apabila ada seseorang yang berada dalam situasi sulit atau akan terjerumus dalam kesulitan bila membayar hutangnya, maka tangguhkan penagihan sampai ia lapang. Jangan menagihnya jika kamu mengetahui dia sempit, apalagi memaksanya membayar dengan sesuatu yang amat dia perlukan.
Rasulullah bersabda: Siapa yang menangguhkan pembayaran hutang orang yang berada dalam kesulitan, atau membebaskannya daripada hutangnya, maka dia akan dilindungi Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya (hari kiamat). (riwayat Imam Muslim.)
Al-Maraghi berkata: Maksud ayat ini pula ialah jika kamu sudah tahu bahawa menyedekahkan barang yang dihutangkan kepada si berhutang lebih baik daripada menunda pembayarannya, kerjakanlah dengan seikhlasnya dan berlapang dada terhadap saudaramu, serta pupuklah hati saudaramu dengan perasaan sayang dan belas kasihan.
Ayat ini menunjukkan kewajipan memberi kelonggaran kepada si berhutang yang sedang menanggung kesulitan sampai tiba masa dia dapat menunaikannya. Akan tetapi lebih baik kalau membebaskan dan menyedekahkan barang yang dihutangkan itu.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syeikh Sya’rawi berkata: Ayat ini merupakan permasalahan alam yang dilupai serta lalai oleh kebanyakan manusia justeru datang peraturan untuk memelihara satu golongan daripada golongan yang lain. Peraturan ini tidak datang kecuali selepas adanya golongan ahli riba yang menzalimi golongan fakir miskin yang lemah. Justeru golongan miskin dan lemah ini sentiasa diambil kesempatan oleh golongan pemakan riba. Lantas Allah menurunkan ayat ini.
Firman Allah: Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu.
An-Nasafi berkata: Allah izinkan peperangan dan tidak menyebut dengan peperangan Allah dan Rasul-Nya tetapi dengan peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya kerana ini lebih kuat maknanya. Ini kerana makna izin merupakan merupakan jenis daripada perang lebih besar di sisi Allah dan Rasul-Nya dengan sebab itulah kabilah thaqif berkata kami tiada apa untuk berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.
Al-Maghaghi berkata: Ayat ini menunjukkan sebagai suatu isyarat kepada tiadanya kepatuhan terhadap perintah-perintah syarak keluar daripadanya dan menghina dengan hukum-hukumnya. Justeru layaklah Allah murka dan memeranginya dengan sebab memakan riba dan beliau menyatakan penyaksian yang jelas menunjukkan sebesar-besar dalil atas kebenaran ini maka banyaklah mereka yang memakan riba pada permulaan yang kaya berkesudahan dengan meminta-minta kepada manusia.
Sayyid Qutub berkata: “Alangkah dahsyatnya perisytiharan perang dari Allah dan rasul-Nya, iaitu satu peperangan yang harus dihadapi jiwa manusia, satu peperangan yang ngeri memang diketahui akibatnya. Sedangkan manusia yang lemah itu dapat bertahan di hadapan kekuatan Ilahi yang Maha Gagah yang membawa kebinasaan dan kemusnahan itu”.
Rasulullah SAW itu memerintahkan gabenornya di Mekah selepas turunnya ayat-ayat ini di masa kebelakangan supaya memerangi keluarga al-Mughirah di sana jika mereka tidak berhenti menjalankan muamalah dengan riba.
Sebelum ini beliau memerintahkan di dalam pidatonya pada hari penaklukan Mekah supaya dihapuskan semua hutang riba di dalam jahiliah, terutamanya hutang riba bapa saudaranya al-Abbas, daripada tanggungan orang yang berhutang yang masih dipikul oleh mereka dalam satu tempoh yang lama selepas Islam.
Sehingga masyarakat Islam menjadi matang dan kukuh segala asasnya dan di waktu ini tibalah masanya bagi sistem ekonominya berubah seluruhnya dari asas riba itu. Rasulullah SAW telah bersabda dalam pidatonya ini: Seluruh (hutang) riba di dalam jahiliah adalah diletakkan di bawah dua tapak kakiku ini (dihapuskan) dan awal-awal (hutang) riba yang aku letakkan kakiku (hapuskan) ialah (hutang) riba al-Abbas.
Al-Imam atau pemerintah Islam - apabila dilantik adalah berkewajipan memerangi golongan yang masih berdegil mengamalkan sistem riba dan menyalahi perintah Allah walaupun mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai orang Islam sebagaimana Abu Bakar r.a memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat walaupun mereka mengucap dua kalimah syahadah serta mendirikan solat. Sebabnya, seseorang yang enggan mematuhi syariat Allah dan enggan melaksanakannya dalam realiti hidupnya bukanlah seorang muslim yang sebenar.
Namun, perisytiharan perang oleh Allah SWT dan Rasul itu membawa pengertian lebih luas daripada pengertian perang dengan mata pedang dan meriam dari pihak pemerintah. Malah peperangan ini - sebagaimana diumumkan oleh Allah SWT yang paling benar perkataan-Nya - adalah diisytiharkan ke atas setiap masyarakat yang menjadikan riba sebagai asas ekonomi dan sosialnya.
Peperangan ini dilancarkan dalam bentuknya yang syumul dan merangkumi segala-galanya, iaitu peperangan yang menyerang saraf dan hati manusia, peperangan yang menyerang keberkatan dan kemewahan, peperangan yang menyerang kebahagiaan dan ketenteraman.
Peperangan yang dilancarkan Allah SWT yang membuat penderhaka undang-undang dan peraturannya itu berperang satu sama lain, peperangan, pengusiran dan pergaduhan serta kezaliman dan akhir sekali peperangan bersenjata di antara bangsa-bangsa, di antara tentera-tentera dan negara iaitu peperangan yang membawa kemusnahan akibat daripada sistem riba yang terkutuk.
Bernyala membakar
Pemakan-pemakan riba dari kaum kapitalis dunia inilah yang menyalakan api peperangan itu sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Itulah peperangan yang tidak kunjung padam yang diisytiharkan Allah ke atas golongan manusia yang bermuamalah dengan riba. Kini peperangan itu sedang bernyala membakar segala yang hijau dan segala yang hijau dan segala yang kering di dalam kehidupan manusia yang sesat, tetapi mereka tidak sedar, malah mereka fikir mereka sedang mengaut keuntungan dan maju ke depan setiap kali mereka melihat bukti-bukti barangan yang dikeluarkan oleh kilang-kilang mereka.
Barangan yang dikeluarkan itu sepatutnya memberi manfaat dan kebahagiaan kepada manusia andainya ia dihasilkan daripada sumber yang bersih. Namun barangan tersebut terhasil daripada sumber riba yang kotor yang hanya melambangkan timbunan sampah saraf yang mencekik pernafasan manusia dan menghempapnya oleh para pemakan riba dunia yang tidak pernah merasa kesakitan manusia yang terhempap di bawah timbunan barangan riba yang terkutuk itu.
Firman Allah: Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.
Ibn Kathir berkata: Dengan meletakkan nilai modal yang asal menyebabkan tidak berlaku zalim menzalimi inilah penyelesaian Islam berhubung dengan taubat daripada riba. Sedangkan An-Nasafi berpendapat mereka yang berhutang tidak dikenakan bayaran lebih daripada hutangnya di samping tidak dikurangkan hak pembeli hutang.