Segera mohon keampunan Allah

By mfrstudio

MUHAMMAD Quraish Shihab berkata : Setelah ayat yang lalu digambarkan sekelumit tentang syurga, ayat ini menggambarkan sifat-sifat mereka yang layak menghuninya.

Ia berkaitan erat dengan peristiwa perang Uhud dan malapetaka terjadi kerana keinginan memperoleh harta rampasan perang yang belum sampai waktunya untuk diambil, maka nasihat pertama adalah berinfak dengan menyatakan ciri-ciri orang yang bertakwa adalah mereka yang kebiasaannya berterusan menafkahkan hartanya di jalan Allah SWT tidak mengira waktu senang atau susah.

Ayat ke-133

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa..

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah menyeru orang yang beriman supaya segera melakukan kebaikan dan ketaatan".

ii. Al-Maraghi berkata: "Syurga disediakan untuk mereka yang bertakwa. Ayat ini menyatakan bahawa syurga itu sekarang sudah ada di luar alam kita ini. Ini disebabkan syurga ini dinyatakan lebih besar dari alam.

"Oleh itu, syurga tidak dapat dicakupi oleh alam. Kemudian Allah SWT menerangkan ciri-ciri orang yang bertakwa dengan beberapa sifat. Keseluruhannya adalah sifat-sifat yang terpuji dan menjadi kebanggaan".

iii. Abu Muslim berkata: "Perkataan luas dalam ayat ini bermaksud bukanlah luas seperti benda yang dapat dijual beli dengan harga tertentu seperti langit dan bumi, tetapi luas di sini untuk menyatakan ketinggian martabat dan keunggulan nilainya. Tidak boleh dinilaikan pengertian luas dengan kebendaan walaupun betapa besarnya".

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Maksud lebar syurga di sini adalah luasnya yang membawa maksud kepada perumpamaan. Ia tidak harus difahami dalam erti harfiahnya.

"Dalam hati manusia tidak ada sesuatu yang dapat menggambarkan keluasan melebihi luas langit dan bumi. Untuk menggambarkan luasnya syurga Allah SWT memilih kata-kata 'selebar langit dan bumi'".

v. Hamka berkata: "Segera memohon keampunan Allah SWT tidak kira orang kaya atau miskin. Berlumba-lumba mengajar ganjaran syurga yang telah dijanjikan oleh-Nya.

"Sesungguhnya amalan mulia seperti tolong-menolong sesama manusia, bersedekah, berwakaf dan bernazar mengandungi makna yang lebih besar iaitu keselamatan pergaulan hidup di dunia berdasarkan kepada takwa jambatan ke akhirat".

Ayat ke-134

Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Mereka adalah orang yang menafkahkan harta mereka pada waktu senang mahupun pada waktu susah. Mereka menafkahkan harta sesuai dengan tuntutan keadaan dan tidak pernah menolak untuk mengeluarkan infak pada bila-bila masa".

ii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT amat menyukai orang yang mengutamakan kepentingan orang lain yang berada dalam kesulitan dan memberikan sebahagian nikmat Allah SWT kepada mereka sebagai tanda syukur kepada Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Ayat ini memperincikan lebih jelas keazaman setiap hamba-Nya yang bersedekah dan menderma untuk mengejar syurga yang sangat luas untuk diperkatakan.

"Orang miskin dan kaya tidak terkecuali dalam matlamat yang serupa mencari keredaan Allah SWT".

Ayat ke-135

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka , dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Susunan ayat ini merupakan lanjutan daripada susunan ayat yang sebelumnya.

"Tujuan ayat ini adalah untuk menyenangkan hati orang yang bertaubat dalam usaha membersihkan hati mereka, memberi khabar gembira bahawa adanya rahmat Allah Yang Maha Luas, keampunan-Nya yang dekat, serta menghargai usaha mereka.

"Mereka mengetahui bahawa hanya dengan sifat rahmat dan kurniaan-Nya orang yang berdosa itu tidak lagi mempunyai perasaan takut dan kerana rahmat-Nya juga orang yang bertaubat dari dosanya menjadi seperti orang yang tidak berdosa.

"Seseorang yang ingin mencari perlindungan daripada-Nya, menjauhi sebarang perbuatan dosa sedaya upaya yang mungkin, maka Allah SWT akan mengampuninya dan menghapuskan segala dosanya, meskipun dosanya begitu besar.

"Ini kerana pengampunan-Nya adalah lebih besar dan rahmat-Nya lebih luas. Ayat ini mengandungi dorongan kepada hamba-Nya agar segera bertaubat dan memberi pesanan agar jangan mudah berputus asa dan patah hati".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kalau diamati sifat-sifat para penghuni syurga atau orang-orang bertakwa di atas ditemukan maksiat dan kederhakaan yang dilakukan sebegitu pantas dia menyedarinya dan tidak tercabut ketakwaannya.

"Hal ini membuktikan betapa benarnya ajaran dari al-Quran.

"Allah SWT tidak menutup pintu taubat dan mengharuskan semua hamba-Nya sebersih kain putih sehalus sutera.

"Dia menerima hamba yang melakukan dosa dan perkara-perkara yang dimurkainya dengan syarat menyedari setiap perbuatan tersebut adalah satu kesalahan yang besar".

iii. Hamka berkata: "Demikianlah Allah SWT menggariskan kehidupan orang yang beriman yang mesti mereka tempuhi dengan iman, amal, takwa dan usaha.

"Membentuk sahsiah diri dengan penuh kasih sayang limpah kurnia dari Yang Maha Esa. Selalu berusaha memperbaiki kehidupan dan mengabdikan diri hanya kepada ilahi".

Ayat ke-136

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: "Dimulakan dengan kalimah mereka sebagai isyarat berdasarkan sifat mereka yang baik dan terpuji, di samping menunjukkan kemuliaan mereka".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Allah SWT menyusun kemuliaan-Nya dan kelebihan-Nya dengan keampunan bagi siapa yang ikhlas dalam taubatnya serta tidak kekal dalam melakukan dosa".

iii. Al-Maraghi berkata: "Orang yang bertakwa ialah mereka yang telah disebutkan ciri-cirinya di atas. Mereka ini aman daripada seksa, mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Tuhan mereka dengan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

"Kesimpulannya, balasan terbaik yang disebut itu terdiri daripada pengampunan, dan syurga merupakan satu kurniaan kepada orang yang mengerjakan beberapa amalan tersebut sama ada amalan bersifat material.

"Contohnya, mendermakan harta atau bersifat moral seperti tidak mendatangkan kerugian kepada orang lain. Balasan ini pula berbeza-beza menurut besar kecil perbuatan yang dilakukan".

iv. Hamka berkata: "Balasan Tuhan itulah yang sentiasa diharapkan oleh setiap orang yang beriman. Sebab iman pasti menimbulkan amal dan ia sentiasa diperbaharui dengan perkara-perkara yang mulia".

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa memohon keampunan Allah dengan berinfak, menahan kemarahan serta sentiasa memaafkan orang lain. Amin.


Sabar dan takwa kunci kejayaan

By mfrstudio




SHEIKH Sya'rawi berkata: "Ayat ini menerangkan mengenai peristiwa peperangan Uhud yang mana golongan kafir bersama 3,000 bala tentera menentang umat Islam yang bilangannya hanya 700 orang sahaja.

Ia menerangkan kebenaran isu ini dengan menyatakan jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tidak memudaratkan kamu oleh tipu daya mereka sesuatu pun. Bukanlah bermaksud di sini tipu daya secara sembunyi tetapi secara terang-terangan."

Iktibar dan fiqh ayat ke-121:

i. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar segala sesuatu yang diucapkan oleh orang mukmin kepadamu ketika berlangsungnya musyawarah untuk menghadapi kedatangan musuh engkau dan musuh mereka."

Antara lain ada yang berkata: "Marilah kita keluar menghadapi mereka di luar Madinah." Kemudian yang lain pun berkata: "Janganlah tuan keluar menghadang mereka. Tinggallah di Madinah sahaja sampai mereka datang menyerang kita."

Apapun yang kamu kemukakan kepada mereka, semua itu Allah SWT mendengarnya. Allah Maha Mengetahui mana yang terbaik untukmu dan bagi mereka, Allah juga Maha Mengetahui niat masing-masing.

ii. Ibn Jarir berkata: "Dalam ayat yang lalu Allah SWT mengutarakan satu atau dua perumpamaan yang menyatakan kebenaran janji-Nya: Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. (terjemahan ali-'Imran: 120), mengingatkan mereka akan kejadian yang menimpa mereka pada Perang Uhud kerana pasukan pemanah telah meninggalkan kedudukan masing-masing lantaran tidak sabar."

Ayat ini juga mengingatkan mereka akan kejadian Perang Badar, ketika mereka diberi kemenangan sekalipun mereka dalam jumlah yang sedikit dan lemah.

iii. Al-Biqa'i melihat bahawa huraian ayat yang lalu memerlukan bukti konkrit di dunia nyata. Kalau dalam ayat yang lalu dinyatakan bahawa seandainya mereka bersabar dan bertakwa tentu tidak akan mendapat mudarat, dan begitulah sebaliknya. Dan dalam ayat ini, kaum muslimin disajikan bukti konkrit tentang kebenaran janji ini.

iv. Hamka berkata: "Pada hari Sabtu, 15 Syawal tahun ketiga Hijrah, Rasulullah SAW memimpin 1,000 tentera Islam menuju Uhud. Tempat itulah yang baginda pilih menjadi Maqa'ida lilqitali, iaitu tempat atau kedudukan untuk berperang.

Tempat yang Baginda pilih sangat strategik untuk menangkis serangan ataupun pangkalan menyerang hendap."

Iktibar dan fiqh ayat ke-122

i. Al-Qurtubi berkata: "Maksud dua puak di sini ialah Banu Silmah daripada Khazraj dan Banu Harisah daripada Aus. Kedua-duanya sebagai sayap dalam peperangan Uhud."

ii. Al-Maraghi berkata: "Sewajarnya bagi orang yang beriman menghadapi segala kesusahan dan penderitaan dengan berserah kepada Allah, bukan dengan melalui kekuatan teman-teman dan para pembantu mereka.

Tawakal ini adalah setelah menyempurnakan segala persiapan dan persediaan selaras dengan ketentuan Allah SWT telah menetapkan hukum kepada makhluk-Nya."

iii. Al-Biqa'i berkata: "Allah SWT adalah penolong kedua terhadap golongan itu kerana mereka beriman dan berserah diri kepada-Nya. Oleh itu, orang mukmin hendaklah percaya dan berserah diri kepada-Nya agar mereka semua memperoleh pertolongan-Nya."

Iktibar dan fiqh ayat ke-123

i. Ibn Kathir berkata: "Sekalipun bilangan kamu sedikit supaya mereka mengetahui bahawa kemenangan daripada Allah bukan dengan jumlah ramai dan kekuatan senjata."

ii. Al-Maraghi berkata: "Jika kamu dapat bersabar dan bertakwa, maka tipu daya mereka sedikit pun tidak akan membahayakanmu. Sesungguhnya Tuhanmu tetap akan memberi pertolongan kepadamu sebagaimana yang diberikan kepadamu dalam mengalahkan musuhmu di Perang Badar. Padahal waktu itu jumlah pasukanmu amat sedikit dan tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk melawan musuh.

"Walau bagaimanapun, Allah SWT menampakkan ke dalam hati musuh kamu seolah-olah jumlah pasukan kamu besar dan begitu hebat, sehinggakan pada saat itu jumlah kamu lebih banyak daripada yang semestinya.

"Maka jika kamu tabah (sabar) menerima perintah Allah SWT, nescaya kamu akan diberi pertolongan, seperti pada hari itu kamu diberi pertolongan."

iii. Hamka berkata: Kaum muslimin di perang Badar dibandingkan dengan musuh sangatlah lemah. Mereka hanya 313 orang, sedang musuh lebih dari 1,000 orang dengan kelengkapan yang lebih sempurna.

Namun demikian di Badar kaum muslimin beroleh kemenangan gilang-gemilang. Di perang Badar mereka sabar dan takwa, sedangkan di perang Uhud kedua kelengkapan batin itu telah hilang terutama mereka tidak taat kepada pimpinan.

Oleh yang demikian, dengan takwa jiwamu akan tenteram dan barisanmu akan teratur. Dalam takwa terkandung ketakutan kepada Allah dan ketaatan kepada rasul sebagai pimpinanmu.

Dengan itu kamu pasti menang lantaran kamu bersyukur dan sebab takwa bantuan malaikat pasti datang.

iv. Al-Sonhadji berkata: Allah SWT mengingatkan orang mukmin ketika mereka bertempur dengan orang musyrikin di medan perang Badar dahulu adalah bilangan mereka itu sangat sedikit iaitu kira-kira 313 orang.

Ada yang mengatakan 313 orang, tidak mempunyai kelengkapan perang yang cukup, berbanding bilangan kaum Musyrikin seramai kira-kira 1,000 orang yang lengkap dengan peralatan perang. Namun dengan kehendak Allah SWT orang-orang Mukmin menang dalam peperangan tersebut.

Oleh itu, Allah menyeru mereka supaya takut kepada Allah dengan berpendirian tetap bersama-sama Rasulullah SAW. Mudah-mudahan mereka bersyukur dengan sebab memperoleh kemenangan.

Sebab Nuzul ayat ke-124

Ibn Abu Shaibah, Ibn Mundhir dan lain-lain meriwayatkan daripada Sha'biy bahawa umat Islam pada hari Badar diberi khabar bahawa Kuraz Ibn Jabir al-Muharibi ingin membantu kaum musyrikin. Hal ini dirasakan berat oleh mereka. Oleh kerana itu, Allah SWT telah menurunkan firman-Nya ini.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: Dikehendaki dengannya waktu yang memanjang dan didahulukan arahan supaya bertaqwa untuk menzahirkan kesempurnaan inayah dan pemeliharaan Allah SWT.

ii. Imam Fakhr al-Razi dalam kitab Tafsir al-Kabir berkata: Para ahli tafsir dan sejarah berpendapat bahawa Allah SWT telah menurunkan tentera-tentera yang terdiri daripada malaikat-Nya itu dalam Perang Badar telah ikut serta memerangi orang kafir.

iii. Ibn Abbas berkata: Malaikat yang turut sama berperang hanyalah dalam perang Badar. Dalam peperangan lain mereka hanyalah menampakkan kepada musuh besarnya jumlah tentera Islam (padahal jumlah tentera Islam sedikit, lagipun mereka tidak turut berperang mahupun membunuh).

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: Maksud malaikat yang memakai tanda adalah kiasan tentang keberanian dan kekuatan mereka.

Biasanya para pemberani memakai tanda-tanda khusus dalam peperangan seperti bulu berwarna di kepala atau di kudanya untuk memperkenalkan dirinya kepada lawan bahawa dia tidak bersembunyi dan tidak takut untuk berhadapan sesiapa pun.


Larangan lantik munafik sebagai pembantu

By mfrstudio

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi ‘orang dalam’ (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: Kami beriman, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (Wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.” Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka, dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan. (ali-‘Imran: 118-120)

Sheikh Sya’rawi berkata : Selepas Allah menjelaskan betapa Dia tidak menzalimi seseorang tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri kerana menafkah pada tempat yang tidak diterima melainkan gugurlah segala amalan mereka. Itulah keadilan Allah seterusnya Allah berfirman.

Sebab Nuzul ayat ke-118

Ibn Abbas dan Mujahid berkata: “Ayat ini diturunkan kepada kaum yang beriman, berbaik dengan munafik dan Yahudi keran hubungan kerabat, rakan, jiran, susuan, dan perjanjian. Lantas mereka dilarang daripada mengambil golongan tersebut sebagai penasihat”.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: “Allah dengan tegas melarang hamba-Nya yang beriman daripada menjadikan golongan munafik sebagai penasihat dan pembantu setia mereka.

ii. Al-Qadhi Abu Ya’la berkata: “Ayat ini menjadi dalil tidak harus meminta tolong dengan ahli Zimmah dalam urusan orang Islam”.

iii. Al-Maraghi berkata: “Kebiasaan ini diikuti pula oleh pemerintahan Abbasiah dan raja-raja Islam lain dari aspek pemakaian beberapa tenaga dalam menjalani urusan pemerintahan sama ada dilantik daripada kalangan Yahudi mahupun Nasrani.

“Situasi ini berjalan sampai sekarang. Sebahagian besar duta besar kerajaan Uthmani dan konsul-konsulnya adalah terdiri daripada orang Nasrani”.

Firman-Nya: Mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Kalimat ini bukanlah dapat memberi penjelasan yang konkrit. Kerana itu, ia mengandungi perintah untuk mencari bukti-bukti yang lebih nyata dan jelas pada sikap tingkah laku mereka. Itulah agaknya yang menjadi sebab sehingga ayat ini diakhiri dengan jika kamu berakal, bukan bila kamu mengetahui atau memahami. Dalam hal ini, kaum muslimin diperintahkan menggunakan akal dan fikiran untuk menimbang dan menganalisis sikap dan tingkah laku penentang-penentang Islam.

iv. Hamka berkata: “Kalimat ini ialah bhitanah, bermaksud kawan rapat atau sahabat karib. Ayat ini melarang orang mukmin berteman dengan orang yang bukan dari golongan mereka sendiri. “Mereka sangka orang lain akan jujur sepertinya tetapi itulah musuh yang paling jahat dan kejam kerana mereka tidak pernah reda dengan umat Nabi Muhammad SAW”.

Sebab Nuzul ayat ke-119

Ibn Abbas berkata: “Kebanyakan orang Ansar menjalin hubungan dengan orang Yahudi. Apabila mereka memeluk Islam, Yahudi begitu marah terhadap mereka lantas turunnya ayat ini”.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Berkenaan kasih sayang orang beriman terhadap mereka mempunyai empat pandangan:

– Cenderung kepada mereka secara tabiat seperti hubungan kerabat dan lain-lain. Inilah pendapat Ibn Abbas.

– Dengan makna rahmat. Apa yang mereka lakukan maksiat akan dibalas dengan azab. Inilah pendapat al-Qatadah.

– Orang munafikin menzahirkan iman kerana orang munafikin menzahirkan iman. Inilah riwayat Abu al-‘Aliyah.

– Harapan supaya mereka memeluk Islam. Inilah pendapat al-Mufaddhal dan al-Zajjaj.

ii. Al-Maraghi berkata: “Perasaan yang ditonjolkan oleh orang mukmin kepada golongan kafir dan begitulah perwatakan mereka merupakan bukti yang paling jelas bahawa Islam ini adalah agama rahmat dan bersikap toleransi, dan tidak mungkin lagi ada agama lain yang dapat memiliki sikap yang lebih baik daripada ini”.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Penutup ayat ini sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati, dapat difahami sebagai bahagian yang diperintahkan untuk diucapkan sebagaimana dikemukakan di atas.

“Ia juga dapat difahami dalam erti huraian yang tersendiri. Jika demikian, ia adalah informasi kepada mereka dan juga kepada umat Islam bahawa kebencian dan kedengkian mereka itu diketahui Allah.

“Informasi ini penting, kerana mereka menyembunyikan daripada semua pihak termasuk kaum muslimin yang masih menjalin hubungan kasih sayang dengan lawan-lawan itu”.

iv. Hamka berkata: “Kamu belas kasihan kepada mereka dan mengharap ia mendapat petunjuk agar dapat merasakan nikmat hidup beragama tetapi mereka tidak menyambut seruan dan kasih sayang kita”.

Iktibar dan fiqh ayat ke-120

i. Al-Alusi berkata: “Sebahagian ahli tahqiq berpendapat lebih elok dan utama dikatakan ia menjadi dalil atas melampaunya mereka dalam kegembiraan dan dukacita”.

ii. Al-Maraghi berkata: “Ayat ini memberikan pengajaran kepada kaum mukmin dari aspek pergaulan dengan pihak musuh.

“Sesungguhnya Allah SWT telah menyuruh orang beriman agar bersabar menghadapi api permusuhan dengan golongan kafir yang dilitupi dengan perasaan benci kepada mereka dan sentiasa berhati-hati terhadap rancangan jahat mereka.

“Dalam hal ini orang mukmin tidak disuruh membalas kejahatan dengan kejahatan yang sama. Sudah menjadi kebiasaan bagi al-Quran menyuruh mereka melakukan perbuatan yang membawa ke arah kecintaan dan kebaikan dan melawan kejahatan dengan kebaikan.

“Ayat ini masih melanjutkan huraian tentang orang-orang yang tidak wajar diangkat menjadi teman dan tempat untuk menyimpan rahsia atau diserahi urusan-urusan kaum muslimin yang menentukan masa depan Islam dan penganutnya.

“Mereka itu di samping sifat-sifatnya yang disebutkan pada ayat-ayat yang lalu jika kamu disentuh, yakni mendapatkan walau sedikit kebaikan seperti nikmat kesihatan, keuntungan material, kemenangan nescaya mereka bersedih hati akibat sentuhan yang sedikit itu, tetapi jika kamu ditimpa bencana yang besar barulah mereka bergembira kerananya.

iii. Hamka berkata: “Tidur mereka sudah tidak tenang lagi, makanpun tidak rasa nikmatnya lagi. Mereka sendiri yang meracuni jiwa mereka dengan rasa benci dan dendam itu. Mereka tidak senang dengan kesenangan orang lain.

“Mereka mempunyai hati yang busuk kerana mendengki dan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Perbuatan mereka sungguh aib dan dimurkai Allah SWT”.

Semoga umat Islam sentiasa mendapat keredaan Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin.


Pengertian perintah Iqra'

By mfrstudio

SEPERTI yang dimaklumi, al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan al-Mubarak. Sebahagian ulama berpendapat ia diturunkan pada 17 Ramadan di Gua Hira'.

Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: "Dalam beberapa hadis diterangkan bahawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Gua Hira' dan beribadat di tempat itu selama beberapa malam. Kemudian Baginda pulang ke rumah isterinya, Khadijah dan Baginda dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehinggalah ke saat Baginda diturunkan wahyu.

Semasa Baginda berada di Gua Hira', malaikat Jibril a.s datang lalu berkata kepadanya: "Bacalah!". Lantas jawab Baginda: "Aku tidak tahu membaca."

Lalu Jibril a.s memegang Baginda dan memeluknya dengan erat sehingga Nabi berasa sukar bernafas. Kemudian Jibril melepaskan Baginda lalu berkata: "Bacalah!". Jawab Baginda lagi: "Aku tidak tahu membaca."

Jibril memegangnya lagi dan memeluknya hingga Baginda sekali lagi sukar bernafas. Lalu Jibril a.s membaca firman Allah SWT yang bermaksud:

"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

Para perawi-perawi hadis menambah: Baginda segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar ketakutan sambil bersabda: "Selimutlah aku! Selimutlah aku!". Baginda kemudiannya diselimutkan oleh Khadijah sehingga hilang rasa gementarnya.

Kemudian Baginda menceritakan segala yang berlaku kepada Khadijah, lalu bersabda: "Aku rasa bimbang akan diri sendiri".

Kata Khadijah untuk menyenangkan hati Rasulullah SAW: "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana dirimu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka memikul beban orang lain, menjamu tetamu dan membela kebenaran."

Kemudian Khadijah membawa Baginda ke rumah Waraqah Ibn Nawfal Ibn 'Asad bin Abdul 'Uzza iaitu sepupunya. Waraqah telah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab dan telah menyalin kitab Injil ke bahasa Ibrani. Beliau menjadi buta setelah usia menginjak tua.

Kata Khadijah kepadanya: "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini."

Jawab Waraqah: "Apakah yang terjadi, wahai anak saudaraku?"

Rasulullah SAW terus menceritakan apa yang telah dilihatnya. Sahut Waraqah: "Itu adalah Namus yang turun kepada Nabi Isa a.s. Alangkah baiknya kalau aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu nanti."

Lantas Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kaumku akan mengusirku?". Jawab Waraqah: "Ya! Tidak seorang pun yang membawa apa yang kamu bawa ini tidak dimusuhi. Jika aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku."

Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. - Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).

Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam Fiqh Sirah berkata, hadis permulaan penurunan wahyu itu merupakan masa utama yang memberi implikasi terhadap seluruh hakikat dan de facto akidah dan syariah Islamiah, memahami serta mempercayai dengan penuh yakin.

Ia merupakan titik permulaan dan pengenalan yang semestinya ke arah mempercayai segala apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Antaranya, perkhabaran ghaib dan suruhan syariat lantaran hakikat wahyu itu adalah jenis yang tunggal yang memisahkan di antara manusia yang berfikir dengan otak pemikiran yang bersifat serba kemanusiaan dengan manusia yang menyampaikan segala sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhannya tanpa menukar, menokok tambah dan sebagainya."

Tokoh terkenal, Fadhilatu Sheikh Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti pula menjelaskan, pelukan Jibril kepada Nabi SAW beberapa kali dan disuruh membaca, kemudian pelukan selepas itu bertambah kuat sebagai bukti dan dalil bahawa proses mendapat ilmu memerlukan mujahadah, kesabaran dan kesungguhan. Ini kerana sifatnya yang amat sukar untuk diperoleh di samping memerlukan pengorbanan yang besar."

Sementara itu, Sheikh Muhammad Abduh pula berkata, perintah membaca itu bukan sebagai beban tugas yang harus dilaksanakan sehingga menuntut satu-satu objek tetapi ia adalah perintah takwini yang mewujudkan kemampuan membaca secara umum.

Di sini jelas menunjukkan, kata iqra' digunakan dalam erti dan maksud membaca, mentelaah, menyampaikan dan sebagainya dan kerana objeknya bersifat umum, maka objek kata tersebut mencakupi segala yang dapat terjangkau sama ada bacaan suci bersumberkan Ilahi atau dari yang lain.

Begitu juga, berkenaan dengan ayat yang tertulis atau sebaliknya.

Walhasil, perintah iqra' , mencakupi mentelaah terhadap alam buana, masyarakat dan diri sendiri serta bacaan tertulis baik yang suci ataupun yang lainnya.

Sheikh al-Azhar iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya al-Quran fi Syarhi al-Quran menjelaskan, dengan kalimat iqra' bismi rabbik, al-Quran tidak sekadar memerintahkan untuk membaca, tetapi membaca adalah lambang dari segala apa yang dilakukan oleh manusia, baik yang sifatnya aktif mahupun pasif."

Kalimat tersebut dalam pengertian dan semangatnya ingin menyatakan "Bacalah demi Tuhanmu, bergeraklah demi Tuhanmu, bekerjalah demi Tuhanmu".

Demikian juga apabila anda berhenti bergerak atau berhenti melakukan sesuatu aktiviti, maka hendaklah hal tersebut juga didasarkan kepada bismi rabbik sehingga pada akhirnya ayat tersebut bererti: "Jadikanlah seluruh kehidupanmu, wujudmu, dalam cara dan tujuannya, kesemuanya demi kerana Allah SWT".

Menurut Sheikh al-Maraghi, perintah membaca itu diulang-ulang kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulang-ulang dan dibiasakan. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali.

"Jadi membaca menjadi bakat Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menerangkan keutamaan membaca, menulis dan kepentingan ilmu pengetahuan."

Menurut Sheikh al-Maraghi lagi, dijadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman kepada sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan."

Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.

Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian dan penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca, menjelaskan serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?

Sesungguhnya tanpa qalam, ilmu pengetahuan tidak akan terpelihara. Agama-agama akan hilang lenyap dan generasi kemudian tidak dapat mengenal generasi dahulu.

Aspek ilmu pengetahuan, penemuan-penemuan, kemahiran-kemahiran, sejarah baik buruk umat dahulu kala tidak akan tercatat. Pengetahuan mereka tidak akan menjadi penunjuk jalan kepada umat terkemudian untuk terus maju dalam bidang rekaan dan ciptaan.

Semoga semangat Nuzul al-Quran ini menjadikan kita golongan yang prihatin kepada ilmu dan minat membaca untuk mencapai seterusnya menjadi hamba-Nya yang benarbenar bertakwa. Amin

PENULIS ialah Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan