By mfrstudio
AL-MARAGHI berkata: Orang Arab jahiliah talak dan idah bagi perempuan. Begitu rujuk dalam masa idah, sedangkan tiada di sana tempoh talak dan bilangannya. Selepas datangnya Islam ia membaiki hubungan masyarakat yang berkaitan dengan institusi kekeluargaan seperti talak dan rujuk.
Hukum yang berikut ialah mengenai bilangan talak, mengenai hak perempuan yang dicerai dalam pemilikan mas kahwin, mengenai haram mengambil sesuatu daripada mas kahwin ketika bercerai kecuali dalam kes sahaja, iaitu kes perempuan yang bencikan suaminya dan takut melakukan maksiat jika ia terus terikat dengan perkahwinan yang tidak disukainya itu. Inilah kes khuluk atau tebusan talak, di mana isteri membeli kebebasan dirinya dengan membayar tebusan.
Firman Allah, Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 229)
Firman Allah: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.
Al-Baghawi berkata: Yakni talak yang boleh dirujuk hanya dua kali. Apabila berlaku tiga kali maka tidak dibolehkan.
Sayid Qutub: Bilangan talak yang boleh dimulakan semula kehidupan suami isteri ialah dua kali. Apabila talak itu melebihi dua kali, maka tidak ada jalan lagi untuk kembali kecuali dengan syarat yang telah dinaskan oleh ayat selanjutnya, iaitu perempuan itu berkahwin dengan orang lain kemudian suami yang baru ini menceraikannya dengan talak biasa kerana sesuatu sebab yang tertentu dan tidak merujukkannya hingga ia terpisah darinya.
Di waktu inilah sahaja harus bagi suaminya yang pertama berkahwin semula dengannya jika perempuan itu reda menerimanya sebagai suami yang baru.
Ibnu al-Arabi berkata: Ayat ini menyebut perkataan talak secara makrifah (iaitu disebut dengan al). Timbul perbezaan pendapat tentang apakah maksud penyebutan secara makrifah. Dalam hal ini ada empat pendapat:
* Ia bererti talak yang disyariatkan itu ialah dua kali. Justeru, talak yang bukan begini caranya tidak disyariatkan. Diriwayatkan daripada al-Hajjaj bin Arta’ah dan sekumpulan mazhab Rafidah, mereka mengatakan: Hal ini kerana Nabi Muhammad s.a.w diutuskan dengan tujuan untuk memberi penerangan tentang syarak. Justeru, sebarang perkara yang tidak mengikut ketetapan syarak, maka ia tidak disyariatkan.
* Ia bererti talak yang boleh dirujuk itu dua kali. Hal ini kerana orang jahiliah melakukan talak dan rujuk tanpa had. Lalu Allah s.w.t. menerangkan bahawa rujuk itu hanya boleh dilakukan pada dua kali talak sahaja.
* Ia bererti talak yang disunnahkan itu hanya dua kali. Inilah pendapat Imam Malik.
* Ia bererti talak yang harus itu hanya dua kali seperti pendapat Abu Hanifah.
Bagi mereka yang mengatakan, ia bererti talak yang disyariatkan, maka kenyataan ini adalah betul. Akan tetapi, dalam syarak itu ada hukum fardu, sunat, harus dan haram. Justeru apabila dikatakan ia talak yang disyariatkan maka ia membawa erti salah satu bahagian yang disyariatkan iaitu talak yang sunah. Kami telah menyebutkan bahawa selain itu ia tidak disyariatkan.
Namun terdapat banyak hadis dan athar serta ijmak menyatakan bahawa orang yang menceraikan isterinya talak dua atau tiga maka talak itu berlaku.
Firman Allah: Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu)
Al-Mawardi berkata: Mas kahwin sedangkan al-Alusi pula berkata daripada sedekah.
Firman Allah: kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.
Al-Maraghi pula berkata: Hudud Allah dengan maksud segala hukumnya yang disyariatkan bagi suami isteri daripada baiknya hubungan dan tolong menolong dalam urusan rumah tangga serta mentarbiah anak.
Ada hadis yang datang mengenai sebab nuzul syarat ini, iaitu talak di permulaan Islam tidak dihadkan dengan bilangan kali yang tertentu. Seorang lelaki bebas merujukkan isteri yang diceraikannya dalam masa idah, kemudian menceraikannya semula dan merujukkannya balik. Demikianlah dia berbuat sesuka hatinya. Kemudian ada seorang Ansar berselisih faham dengan isterinya lalu dia menaruh dendam terhadapnya dan berkata: Demi Allah, aku tidak akan tinggal bersama awak, tetapi tidak pula berpisah dengan awak. Isterinya bertanya: Bagaimana? Jawabnya: Aku akan ceraikan awak dan apabila idah awak hampir habis aku akan rujukkan awak. Lalu perempuan itu menceritakan perkara ini kepada Rasulullah s.a.w., maka Allah menurunkan ayat ini.
Firman Allah: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).
Kebijaksanaan agama Allah yang dipegang oleh kaum Muslimin terus menerus menurunkan hukum-hukum apabila timbul keadaan yang memerlukan kepada hukum-hukum itu sehingga seluruh dasar agama itu lengkap dan sempurna dan tidak ada lagi yang tinggal kecuali membuat tafri’-tafri’ (mengeluarkan hukum-hukum dari dasar yang am) bagi kes-kes yang baru dan mengadakan jawapan-jawapan baginya yang diambil dari dasar yang am itu.
Firman Allah: Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Terdapat dua pendapat tentang ayat ini:
Pertama: dikatakan ayat ini berkaitan dengan perkahwinan secara khusus. Ia merupakan pendapat jumhur.
Kedua: Ia membawa maksud ketaatan. Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan selainnya. Iaitu pendapat yang paling sahih. Hal ini kerana apabila salah seorang suami isteri tidak mentaati Allah dan tidak mentaati temannya kerana Allah, maka tidak ada kebaikan lagi mereka hidup bersama. Inilah pendapat yang dipilih oleh Ibnu al-Arabi.
Iktibar Ayat
* Ibnu al-Arabi berkata: Perkataan talak disebut dengan (al) iaitu makrifah dengan maksud yang tertentu, antaranya jenis talak yang disyariatkan dan disunnahkan.
* Berinteraksi dengan baik walaupun ketika berlakunya perceraian.
* Imam al-Syafie berkata: Perkataan ‘sarah’ yang bermaksud melepaskan termasuk dalam lafaz talak yang jelas.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah menyebut berkenaan ayat yang terdahulu berkaitan orang yang bersumpah atau masalah ila’ sama ada kembali bersama isterinya atau berazam untuk talak lantas amat munasabah disebut selepas itu berkenaan hukum-hukum talak sebagai pelengkap dengan yang terdahulu.
Sayid Qutub berkata: Kini pembicaraan rangkaian ayat yang berikut tentang persoalan talak dan di sini ia menjelaskan hukum-hukum talak dan segala yang seiringan dengannya seperti idah, tebus talak, nafkah, pemberian sagu hati (mutaah) dan sebagainya dari kesan-kesan yang terbit daripada talak. Ia memulakan dengan hukum idah dan rujuk.
Firman Allah: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 228)
Penjelasan firman Allah s.w.t: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Hendaklah mereka menunggu dengan menahankan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga quru’ yakni tiga kali haid atau tiga kali suci dari haid mengikut khilaf fikah.
“Hendaklah mereka menunggu dengan menahan diri mereka…”. Kita berada di hadapan satu ungkapan yang memberi gambaran yang seni terhadap satu keadaan jiwa yang halus.
Pengertian biasa yang dimaksudkan daripada ungkapan ini ialah supaya perempuan-perempuan itu menunggu tanpa kahwin sehingga habis tiga kali haid atau bayangan yang lain di samping makna biasa itu. Ia membayangkan wujudnya kegemaran dan keinginan yang kuat untuk mendirikan rumahtangga yang baru, iaitu keinginan jiwa yang menyeru mereka supaya menunggu dengan sabar serta bersikap waspada dan berhati-hati yang menyertai gambaran menunggu itu.
Ini adalah satu keadaan yang tabie kerana keinginan perempuan membuktikan kepada diri dan orang lain bahawa walaupun dia gagal tetapi masih berupaya menarik lelaki lain bagi membina sebuah kehidupan baru. Dorongan seperti ini tentulah tidak terdapat di dalam jiwa lelaki kerana dia yang menggugurkan talak, sedangkan dorongan ini kuat pada jiwa perempuan kerana dialah pihak yang digugurkan talak ke atasnya.
Memberi perhatian
Demikianlah al-Quran menggambarkan keadaan jiwa dari celah-celah kata pengungkapan dan memberi perhatian dan perhitungannya kepada keadaan ini.
Perkataan al-quru’ ialah kata nama yang membawa erti haid atau suci. Tetapi yang dimaksudkan ialah salah satu sahaja. Justeru, apabila seorang perempuan telah melalui tiga kali quru’ yang bermaksud suci atau haid maka genaplah idahnya.
Sesuatu hukum berkait dengan nama yang awal.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Tiga kali quru’. Allah s.w.t menyebutkan perkataan quru’ dengan lafaz muzakkar dan menyebutkan huruf ha (ta’ marbutah) pada perkataan bilangan tiga. Ini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan quru’ ialah Tahur yang dibaca dengan lafaz muzakkar.
Bagi kami dan sahabat Abu Hanifah, perintah yang mutlak dalam al-Quran bermaksud perlu dilaksanakan segera. Hal itu tidak boleh terjadi kecuali mengikut pendapat kami bahawa quru’ itu bermaksud suci. Hal ini kerana talak hanya boleh dijatuhkan ketika suci, bukannya ketika haid.
Firman Allah: Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka.
Ibn al-Arabi berkata: Ada tiga pendapat tentang ayat ini:
* Menyembunyikan tentang haid.
* Menyembunyikan tentang kandungan.
* Kedua-duanya sekali dan inilah pendapat yang sahih.
Firman Allah: Jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Ibn al-Arabi berkata: Ayat ini merupakan satu ancaman yang besar untuk menegaskan haram menyembunyikan maklumat tentang rahim dan wajib menunaikan amanah dengan memberitahu keadaan sebenar rahimnya.
Firman Allah: Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.
Ibn al-Arabi berkata: Jika suaminya bertujuan untuk rujuk bagi memperbaiki hubungannya bersama isterinya, serta menghilangkan keburukan antara mereka berdua, bukan dengan tujuan untuk menimbulkan kemudaratan atau menahan isteri agar tidak terlepas daripada ikatan perkahwinan. Jika itu tujuannya, maka ia adalah perbuatan yang dihalalkan tetapi tidak jika sebaliknya.
Akan tetapi, oleh sebab tujuan ini adalah perkara batin, maka Allah s.w.t menjadikan tandanya iaitu tiga kali talak. Kalau kita benar-benar memahami tujuan itu tentulah kita akan melaksanakan perceraian berdasarkan tujuan tersebut.
Firman Allah: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak);
Ibn al-Arabi berkata: Yakni tujuan untuk berdamai dan bergaul semula melalui perkahwinan. Ertinya, oleh sebab para suami mempunyai hak yang mesti dilaksanakan oleh suami iaitu bergaul dengan cara yang baik sebagaimana disebutkan oleh Allah s.w.t dalam ayat yang lain.
Firman Allah: Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).
Ibn al-Arabi berkata: Para ulama kami berselisih pendapat tentang maksud darjat ini. Dikatakan, ia bermaksud mewarisi harta pusaka. Dikatakan, ia bermaksud jihad. Dikatakan juga ia bermaksud janggut. Sungguh beruntung orang yang tidak membicarakan apa-apa yang tidak diketahuinya lebih-lebih lagi tentang kitab Allah Yang Maha Besar.
Kelebihan
Memang mereka yang berfikiran, menyedari bahawa orang lelaki ada kelebihannya ke atas perempuan. Setidak-tidaknya orang perempuan diciptakan daripada orang lelaki yang merupakan asalnya. Akan tetapi, ayat ini bukan bermaksud menerangkan kelebihan darjat secara mutlak sehingga boleh ditafsirkan dengan aneka macam kelebihan orang lelaki terhadap perempuan.
Justeru, tentulah ia membawa erti hak yang perlu ditunaikan oleh wanita dalam pernikahan. Lalu, kami dapati hak-hak tersebut ada tujuh iaitu:
* Mereka wajib taat kepada suami, yang merupakan hak yang umum.
* Hal melayani suami, iaitu hak khusus. Tentang hak ini ada huraiannya dalam Masail al-Furu’.
* Mereka tidak boleh melakukan sebarang pengurusan dengan sesuka hati kecuali dengan izin suami.
* Mereka mesti mendahului ketaatan kepada suami daripada ketaatan kepada Allah s.w.t pada perkara-perkara yang disunatkan. Oleh itu, mereka tidak boleh berpuasa sunat kecuali dengan izin suami dan tidak boleh menunaikan haji kecuali bersama suami.
* Mereka diberikan mas kahwin.
* Mereka diberikan nafkah.
* Suami boleh memberi pengadaban kepada isteri. Hal ini akan diterangkan nanti dalam mentafsirkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’, ayat 34 yang bermaksud: Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kaum perempuan.
Firman Allah: Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Ini menggambarkan betapa kuasa tuhan dan hikmah-Nya tiada bandingan dan tandingan. Gabungan di antara kekuasaan-Nya dan hikmah-Nya sebagai petanda kesempurnaan yang mutlak. Justeru, selayaknya manusia mengabdikan kepada dirinya sahaja.
Iktibar Ayat
* Hukum talak hendaklah menunggu sehingga bersuci tiga kali suci bagi isteri yang ditalak sebelum diizinkan berkahwin dengan lelaki pilihannya.
* Hak rujuk kepada suami selama mana di dalam idah.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Al-Quran yang merupakan kitab Allah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w menjadi kitab suci dan pedoman serta hidayat kepada umat Islam yang mengambilnya. Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, umat Islam digalakkan membaca, tadabbur, mengkaji dan mengamali al-Quran.
Hal ini dilakukan oleh Salaf As-Soleh. Ada yang khatam al-Quran sekali bagi Ramadan, ada yang dua, tiga, empat, lima, enam, 10, 15 dan 30 kali khatam al-Quran pada bulan Ramadan.
Menariknya Imam Syafie seperti yang dinukilkan mengkhatamkan 60 kali al-Quran pada bulan Ramadan. Ini semua menunjukkan betapa mereka menggunakan semaksimum mungkin masa Ramadan untuk beribadat dan beramal soleh bagi menambahkan lagi pahala mereka di sisi Allah s.w.t.
Tadarus dengan maksud membaca dan mengkaji serta mempelajari al-Quran kerana mutiara hikmahnya dan kandungannya besar kelebihannya. Dengan sebab itu bagi mereka yang melihatnya sudah pasti mendapat banyak ilmu dan makrifah yang tiada ternilai kerana ia daripada Allah yang bersifat Maha Mengetahui.
Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Ayat-ayat Allah s.w.t ada dua jenis. Pertama di sebut sebagai ayat-ayat takwiniyah, dan yang kedua disebut ayat-ayat tanziliyah.
Pertama: ayat-ayat takwiniyah ertinya tanda-tanda kekuasaan Allah di alam ini, yang ada di dalam diri manusia, ufuk yang dihamparkan di setiap tempat untuk membawa manusia kepada-Nya dan memberikan petunjuk kepada mereka tentang keberadaan-Nya.
Sungguh aneh jika ada yang mengira jumlah tuhan atau bagaimana mungkin ada orang mengingkarinya? Dalam setiap gerakan dan dalam setiap diam Allah mempunyai saksi, dalam segala sesuatu Allah mempunyai ayat yang menunjukkan bahawa Dia adalah satu. Ayat-ayat Allah dan tanda-tanda kekuasaan-Nya bertebaran. Ibadurrahman dan orang-orang yang beriman memberikan reaksi dalam menghadapi ayat-ayat itu, seperti yang difirmankan Allah s.w.t.
Kedua: Adapun ayat-ayat tanziliyah ialah yang diturunkan kepada para rasul-Nya berupa ayat-ayat wahyu, yang disudahi Allah dengan al-Quran al-Karim. Allah s.w.t menampakkan diri kepada hamba-hamba-Nya melalui kalimat-kalimat-Nya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk memimpin manusia kepada-Nya dan agar hati mereka terbuka.
As-Syahid Hasan Al-Banna berkata: Al-Quran adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu di dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah dengan cara membacanya.
Dalam sebuah hadis Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tidak berhenti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun dijulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi Alif (satu huruf), Laam (satu huruf) dan Miim (satu huruf)”. (Riwayat al-Hakim).
Dalam wasiat Rasulullah s.aw kepada Abu Zar r.a yang bermaksud: “Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama dengan malaikat yang mulia dan setia. Sementara orang yang membaca al-Quran dengan terpaksa bersusah-payah akan mendapat dua ganjaran. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah sering menggalakkan para sahabat membaca al-Quran. Baginda menentukan kedudukan seseorang berdasarkan hafalan al-Qurannya. Baginda menasihatkan orang yang tidak mampu membacanya agar mendengar dan cuba memahami supaya dia masih memperoleh keberkatan hubungan rohani bersama kitab Allah.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendengar sepotong ayat kitab Allah akan dituliskan untuknya ganjaran yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya dia akan memperoleh cahaya di hari kiamat”.
Dalam hadis Abu Hurairah r.a katanya yang bermaksud: “Suatu ketika Rasulullah mahu mengutuskan sekumpulan utusan yang agak ramai. Baginda telah meminta mereka membaca. Baginda meminta setiap orang membaca iaitu membaca al-Quran yang mereka hafal. Lalu baginda bertemu dengan seorang lelaki yang paling muda usianya di kalangan anggota utusan itu dan baginda bersabda: “Apakah yang ada bersamamu wahai fulan?” Jawab pemuda itu: “Saya hafal ini dan ini serta surah al-Baqarah”. Baginda bertanya: “Apakah benar anda menghafal surah al-Baqarah?” Lelaki itu menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Berangkatlah dan engkau adalah ketua mereka”. (Riwayat al-Tirmizi dan katanya: Hadis ini hadis hasan)
Generasi silam yang soleh (semoga Allah meredai mereka) amat memahami kelebihan al-Quran dan kelebihan membacanya. Oleh itu mereka menjadikan al-Quran sebagai sumber undang-undang mereka, perlembagaan hukum mereka, hiasan hati mereka, wirid dalam ibadat mereka. Mereka membuka hati mereka dengan sepenuhnya untuk menerima al-Quran. Mereka meneliti al-Quran dengan sanubari mereka.
Nilai-nilai al-Quran yang mulia sebati dalam roh mereka. Oleh kerana itu Allah memberi mereka ganjaran di dunia apabila mereka menerajui kekuasaan dunia dan di akhirat pula mereka akan mendapat ganjaran yang gemilang.
Malangnya kita mengabaikan al-Quran hingga menyebabkan kita terpaksa menanggung kehinaan di dunia dan pegangan agama yang longgar.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Saya ditunjukkan ganjaran-ganjaran umat saya termasuklah habuk yang dibuang oleh seorang lelaki dari dalam masjid. Saya juga ditunjukkan dosa-dosa umat saya dan saya dapati tidak ada dosa yang lebih besar selain kerana satu surah al-Quran atau sepotong ayat yang diberikan kepada seorang lelaki lalu dia melupakannya”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh itu marilah kita membaca al-Quran dan bertadarus dengannya. Ini kerana al-Quran sebagai mukjizat yang terbesar dan paling agung bagi Muhammad s.a.w. dengan sebab itulah Muhammad Iqbal pernah berkata: “Tidak ada satupun nasihat yang lebih berharga daripada nasihat yang disampaikan ibu kepadaku selagi aku masih kecil”. Ibuku berkata: “Hai anakku, bacalah al-Quran yang seakan-akan al-Quran itu diturunkan kepadamu”.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syeikh al-Magahri berkata: Perbuatan ila’ merupakan kemudaratan kepada ahli jahiliah. Seorang yang tidak suka isterinya dan tidak mahu isterinya berkahwin lain nescaya akan bersumpah untuk tidak mendekatinya selamanya dan meninggalkannya dalam keadaan tergantung.
Begitu juga perbuatan orang Islam pada permulaannya kemudian Allah menghilangkan kemudaratan daripada isteri-isteri tersebut dengan mengehadkan tempoh tertentu berdasarkan kemaslahatan untuk mereka. Kemudian Allah menceritakan tentang keazaman untuk bercerai.
Allah berfirman: Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Baqarah: 227)
Firman Allah s.w.t: Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri).
Ibn Jauzi berkata: Keazaman talak bermaksud mentahqiqkannya dan ulama berselisih kepada dua pendapat:
Pertama: Jika berlalu empat bulan diberi kepadanya pilihan sama ada mahu kembali atau menceraikannya. Inilah pendapat yang diriwayatkan daripada Umar, Usman, Ali, Ibn Umar, Sahl bin Sa’d, Aisyah, Tawus, Mujahid, al-Hakam dan Abi Salih.
Abu Salih telah menghikayatkannya daripada 12 orang sahabat. Ini merupakan pendapat Malik, Syafie dan Ahmad.
Kedua: Dia tidak boleh kembali sehingga selesai empat bulan kemudian diceraikan sekalipun dia tidak berkata tentang talak. Pendapat ini terbahagi kepada dua:
Ia merupakan talak bain seperti riwayat daripada Usman, Ali, Ibn Umar, Zaid bin Thabit dan Qabisah bin Zuaib.
Ia merupakan talak raj’i seperti riwayat daripada Said bin Musayyib, Abu Bakar bin Abd Rahman dan Ibn Shubrumah.
Ibn al-Arabi sendiri berkata: Para sahabat dan tabien berselisih pendapat tentang jatuhnya talak apabila berlalunya tempoh ila’. Sedangkan mereka adalah contoh ikutan dan ahli yang mahir dalam bahasa Arab. Kalau hal ini menimbulkan kemusykilan kepada mereka, maka siapakah dalam kalangan kita yang memperoleh jawapan yang jelas daripada kepelbagaian fahaman dan alasan-alasan bahasa yang dikemukakan. Akan tetapi, jika kita campakkan sebuah timba ke dalam himpunan timba, dengan pertolongan Allah s.w.t kita akan menemui ubatnya dan kita tidak akan dihalang mendapat petunjuk apabila kita mengikut sesiapa daripada kalangan mereka.
Para ulama kami mengatakan: Firman Allah yang bermaksud: Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak, merupakan dalil bahawa apabila berlalu tempoh ila’ maka tidak perlu berlaku perpisahan suami isteri, kerana perlu diambil kira maksud dan keazaman suami.
Abu Hanifah dan sahabatnya mengatakan: Keazaman untuk melakukan talak itu dapat diketahui apabila suami tidak melakukan fai’ (rujuk) semasa tempoh yang diberikan. Para ulama kami menjawab: Berazam untuk melakukan perkara yang telah berlalu adalah mustahil, sedangkan hukum Allah s.w.t yang diturunkan setelah berlalunya tempoh itu tidak boleh dikaitkan dengan adanya keazaman daripada kita.
Bersumpah
Sebagai penjelasannya, bagi kami ayat itu bermaksud: Bagi mereka yang bersumpah untuk menjauhkan isterinya diberi tempoh empat bulan. Jika mereka kembali selepas tamat tempoh itu, maka Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan jika mereka berazam hendak melakukan talak, maka Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Bagi mereka pula ayat itu bermaksud: Bagi mereka yang bersumpah untuk menjauhkan isterinya, diberikan tempoh empat bulan. Jika mereka kembali semasa tempoh itu maka Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Jika mereka berazam melakukan talak dengan tidak kembali semasa tempoh itu, maka Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Kedua-dua andaian ini hampir sama. Disebabkan kesamaannya, para sahabat bertawaquf (tidak menyatakan pendapat) tentangnya. Jika begini keadaannya, wajiblah kita mengambil penyelesaiannya selain daripada mereka. Ia merupakan persoalan bagaikan samudera yang bergelombang.
Penulis pernah berada di Madrasah al-Tajiah dalam satu tempoh untuk menyingkapkan kemusykilan ini melalui perdebatan, kemudian berulang alik ke Madasah al-Nizamiyyah untuk tujuan yang sama.
Kesimpulan yang diperoleh dalam kalangan para imam itu ialah para sahabat Abu Hanifah mengatakan ila’ itu adalah talak semasa jahiliah. Lantaran itu, syarak memberikan tempoh dan penangguhan, kemudian diperakuinya sebagai talak setelah tamatnya tempoh.
Kami menjawab: Itu hanya dakwaan semata-mata. Mereka mengatakan: Menolaknya juga hanya dakwaan.
Kami mengatakan: Tentang syariat umat sebelum kita, mungkin kami bersama kamu atau bersendirian dapat menerimanya sebagai syariat kita. Tetapi hukum-hakam zaman jahiliah tidak dikira. Inilah perhentian yang sangat musykil. Atas fakta inilah timbulnya bangkangan besar yang diterangkan dalam kitab-kitab al-Masail.
Antara bangkangan itu ialah terhadap hadis Aisyah yang menyebutkan: Perkahwinan pada masa dahulu boleh dilakukan dengan empat cara, tetapi Islam memperakui satu sahaja.
Para ulama kami berpendapat bahawa bersumpah untuk tidak menyetubuhi isteri adalah kemudaratan yang berlaku kepada isteri. Oleh itu, hendaklah diberikan tempoh kepada suami untuk menarik balik kemudaratan itu. Kalau dia mahu berbuat demikian maka tidak dikenakan apa-apa, tetapi kalau dia enggan maka syarak telah menarik kemudaratan itu daripada isteri, iaitu dengan cara talak. Sebagaimana diputuskan hukuman pada kemudaratan yang lain seperti alat kelamin yang terputus atau mati pucuk dan selainnya. Inilah sebaik-baik penerangan yang mampu diberi dan huraian terperincinya ada disebutkan dalam kitab al-Masail.
Firman Allah: Maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Maksud Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui mempunyai dua pendapat:
Pertama: Maha Mendengar tentang talaknya dan Maha Mengetahui dengan niatnya.
Kedua: Maha Mendengar bagi sumpahnya dan Maha Mengetahui dengannya.
Al-Sonhaji berkata: Jika suami tidak mahu mendatanginya, maka benar-benarlah menceraikannya, jangan mempermainkannya. Sesungguhnya Allah mendengar apa yang diucapkannya dan apa yang diniatkan dalam hati.
Al-Maghari berkata: Kesimpulannya, siapa yang bersumpah untuk meninggal daripada bersama isterinya maka ia tidak diharuskan untuk melakukannya lebih daripada empat bulan, sebaliknya jika dia bertaubat dan kembali sebelum selesai tempohnya maka tiada baginya dosa.
Sebaliknya jika ia mencukupkan tempoh tersebut maka berlaku baginya dua perkara sama ada kembali untuk hidup suami isteri atau perceraian. Hendaklah ia sentiasa muraqabah kepada Allah apa yang dipilihnya.
Iktibar Ayat
* Talak dihalalkan dalam Islam walaupun ia amat dibenci.
* Kuasa talak terletak pada tangan suami walaupun begitu tidaklah boleh digunakan sewenang-wenangnya.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Mendengar dan juga Maha Mengetahui.
By mfrstudio
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Di sana terdapat keadaan jiwa yang dialami oleh sebilangan suami yang berpunca daripada suatu sebab yang terjadi dalam kehidupan suami isteri yang mempunyai bermacam-macam hubungannya.
Keadaan-keadaan inilah yang mendorong para suami melenting dan bersumpah tidak mahu bersetubuh dengan isterinya. Pemulauan atau pemboikotan ini tentulah menyakitkan hati si isteri. Ia tentulah menimbulkan kesengsaraan dan kesulitan dari segi jiwa dan saraf kepada isteri, di samping menjatuhkan kehormatannya sebagai seorang perempuan dan melumpuhkan kehidupan suami isteri.
Ia merupakan satu kerenggangan yang mengoyakkan tali pergaulan mesra dan menghancurkan bangunan keluarga apabila kerenggangan itu berpanjangan dari masanya yang munasabah.
Allah berfirman: Kepada orang- orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 226)
Ibn al-Jauzi menukilkan pendapat Ibn Abbas berkenaan sebab turunnya ayat ini: Ahli jahiliah pada zaman dahulu apabila seseorang lelaki atau suami meminta kepada isterinya sesuatu sedangkan isteri enggan memberinya nescaya beliau bersumpah untuk tidak bersamanya selama setahun, dua tahun dan juga tiga tahun. Dia meninggalkan tergantung begitu seolah-olah seperti janda yang tidak mempunyai suami. Apabila ajaran Islam datang, Allah menjadikan bagi orang Islam had tempoh selama empat bulan. Lantas turunlah ayat ini.
Firman Allah: Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya)...
Syeikh al-Magahri berkata: Mereka yang bersumpah untuk tidak bersama dengan isteri mereka sehingga lebih daripada empat bulan tanpa diminta untuk rujuk kepada isteri atau talak, sumpah seperti ini amat dibenci dan tidak diredai Allah. Sebabnya meninggalkan kasih sayang dan juga rahmat antara suami isteri.
Ini membawa banyaknya kemudaratan kepada mereka berdua dan juga anak-anak mereka. Antaranya menghina perempuan dan tidak meraikan hak-haknya.
Sayid Qutub berkata: Islam tidak bertindak terus mengharamkan ila’ ini dari awal-awal lagi, kerana ia kadang-kadang boleh menjadi ubat yang berguna dalam sesetengah kes. Antaranya untuk menundukkan isteri yang keras kepala dan sombong dengan kejelitaan dan kebolehannya menggoda, memikat dan menyulitkan kaum lelaki, di samping kadang-kadang memberi peluang untuk melepaskan kejemuan yang mendadak atau kemarahan yang meledak dan selepas itu hidup mereka dapat kembali semula lebih cergas dan kuat.
Tetapi Islam tidak memberi kebebasan yang sewenang-wenang kepada lelaki, kerana dia mungkin bertindak zalim dan bertindak melampaui batas dalam setengah kes. Semuanya, semata-mata mahu menyusahkan dan menghina perempuan (isterinya) atau mahu menyakitinya supaya ia terus tergantung-gantung tidak dapat menikmati hidup suami isteri bersama dengannya dan tidak pula terpisah dari ikatan suami isteri hingga ia dapat mendirikan rumahtangga yang baru.
Untuk menyelaraskan di antara berbagai-bagai kemungkinan dan untuk menghadapi keadaan-keadaan yang berlaku dalam kehidupan, Islam menetapkan had ila’ yang maksimum, iaitu tidak lebih dari empat bulan. Ia bertujuan supaya tidak merosakkan hati perempuan. Mengikut riwayat, Umar Ibn al-Khattab r.a ketika keluar membuat pemeriksaan di waktu malam yakni memeriksa keperluan-keperluan orang ramai dan keadaan mereka secara bersembunyi, lalu dia mendengar seorang perempuan bersajak:
Panjang sungguh malam ini
sudutnya gelap menghitam
masakan mata lena
tiada teman untuk bercanda
demi Allah, jika tiada kerana setia
hati ini bermuqarabah dengan dia
tentulah sudut-sudut katil ini bergerak di sana sini.
Lalu Umar bertanya anaknya Hafsah r.a: “Berapa lama perempuan boleh bersabar dari suaminya? Jawab Hafsah: “Enam bulan – atau empat bulan.” Maka kata Umar: “Aku tidak akan menahan mana-mana askar lebih dari tempoh ini. Dan beliau memutuskan bahawa para Mujahidin tidak boleh meninggalkan negeri lebih daripada tempoh ini.
Bagaimanapun tabiat manusia berbeza-beza di dalam perkara-perkara yang seperti ini, tetapi tempoh empat bulan merupakan satu tempoh yang cukup untuk seorang itu menguji diri sendiri dan hatinya sama ada ia patut pulang memulakan satu kehidupan suami isteri yang betul dan pulang ke pangkuan isterinya dan sarangnya. Atau ia masih berada dalam keadaan liar dan tidak dapat menerima dan dalam keadaan ini ia pastilah bertindak merombakkan ikatan perkahwinan itu dan memulangkan kepada isterinya kemerdekaan dengan talak. Sama ada dia sendiri yang menggugurkan talak itu atau pihak kadi yang menggugurkannya.
Ini bagi membolehkan suami isteri itu berusaha mendirikan rumah tangga yang baru dengan seorang yang lain. Langkah ini lebih terhormat dan lebih suci bagi isteri, lebih selesa dan berguna kepada suami. Juga lebih dekat kepada semangat keadilan dan kesungguhan dalam menjaga hubungan suami isteri yang telah dikehendaki Allah sebagai satu hubungan untuk melanjutkan hayat bukan untuk membekukannya.
Al-Sonhaji berkata: maka setelah Islam datang, pekerti orang yang demikian itu dapat diatasi dengan adanya hukuman yang terkandung dalam ayat ini. Iaitu orang yang telah bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya, jika isterinya menuntut kepada hakim, si suami akan diberi masa menunggu empat bulan.
Bila habis tempoh itu ia tidak kembali (tidak membatalkan sumpahnya) yang diiringi kemudiannya dengan membayar kaffarah, maka hakim akan menuntut supaya menceraikan isterinya itu. Jika suami enggan, hakim berhak memberikan talak maka tercerailah isterinya.
Sekiranya suami itu kembali kepada isterinya dengan menyetubuhinya, atau al-Fai’ namanya, maka wajiblah ia membayar kaffarah yamin (sumpah), iaitu memilih di antara tiga perkara:
lMemerdekakan seorang hamba yang mukmin.
lMemberi makan 10 orang miskin, banyaknya tiap-tiap seorang satu cupak.
lMemberi persalinan kepada mereka. Sekiranya tidak dapat mengadakan salah satu dari tiga perkara ini, hendaklah ia berpuasa tiga hari.
Firman Allah: Maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Saidina Ali dan Ibn Abbas berkata maksudnya: “Allah Maha Pengampun bagi dosa orang yang bersumpah.” Sedangkan al-Sonhaji berkata maksudnya: “Allah akan mengampunkan suami yang telah bertaubat daripada menyakiti isterinya dan Allah Maha Penyayang kepada sekalian orang yang bertaubat.”
Iktibar Ayat
*Ila’ termasuk dalam Musyabbihat al-Talaq seperti dalam mazhab Syafie.
*Kaffarah sebagai salah satu daripada menebus dosa.
*Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
By mfrstudio
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
RAMADAN al-Mubarak menggamit lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan, kelebihan, keampunan dan juga keistimewaannya amatlah patut dan munasabah untuk kita memahami dan mengetahui berkenaan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa di bulan Ramadan.
Puasa pada bahasa iaitu menahan dan pada istilahnya pula menahan daripada makan, minum dan jimak daripada subuh hingga ke maghrib beserta dengan niat. (Qamus Al-Fiqhi oleh Sa'di Abu Jaib Hal 218).
Dalam Feqh Manhajji menyebut puasa dari segi syarak pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam dengan niat puasa.
Walaupun begitu terdapat banyak lagi definasi berkenaan dengan puasa berdasarkan kepada pendapat fuqaha dalam semua mazhab. Tetapi pengertian yang mereka kemukakan adalah hampir sama.
Puasa Ramadan mula difardukan pada bulan Syaaban pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, amalan puasa telah biasa dilakukan biasa di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Akan tetapi kewajipan puasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat terdahulu adalah dari segi pensyariataan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khusus difardukan puasa pada bulan Ramadan.
Ia merupakan satu rukun daripada Islam yang lima dan diketahui oleh umum. Oleh itu sesiapa yang mengingkari kewajipannya ia boleh menjadi kafir dan hendaklah disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Jika terus ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah dijatuhi hukuman sebagai orang yang murtad.
Hal yang demikian sekiranya dia bukan baru memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama. Mereka yang tidak berpuasa tanpa mengingkari wajibnya ibadat tersebut dia hanya jadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya ia berpuasa sekali pun zahirnya sahaja mengikut apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji.
Berkenaan dengan rukun puasa pula iaitu menahan daripada dua syahwat, perut dan faraj. Atau menahan daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Malikiyah dan Syafiiyah menambah dengan satu rukun yang lain iaitu niat pada waktu malam. (Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 3/1616).
Seterusnya dibincangkan fadilat dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:
*Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi s.a.w, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka : bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam”.
*Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa’d. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesunggunya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya”.
*Mengikut riwayat an-Nasai sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi: Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.
*Mengikut riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa merupakan perisai”. Dan daripada Usman bin Abi al-As, “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Usman bin Abi al-As, puasa merupakan perisai daripada azab Allah.
*Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa’id Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
*Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak”.
*Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
*Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, at-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam”.
*Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa”.
*Imam Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat keatasnya sehingga selesai makanannya”.
Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka. Justeru marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.
Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syeikh al-Maghari berkata: Selepas Allah perintahkan kita dalam ayat yang lepas supaya bertakwa kepada-Nya dan melarang kita melakukan maksiat serta menyalahi arahan-Nya, disebut di sini apa yang sepatutnya ditakuti dan diawasi.
Antaranya menjadikan nama Allah ketika bersumpah sebagai halangan daripada melakukan kebajikan, takwa dan islah di kalangan manusia.
Firman Allah: Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (Al-Baqarah: 225)
Mengikut riwayat Ibn Jarir dari saluran ‘Urwah yang mauquf di atas Aisyah: Allah tidak mempersalahkan kamu dengan sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah) itu ialah kata-kata seperti: “Tidak! Demi Allah. Ya! Demi Allah.”
Dalam sebuah hadis yang mursal dari al-Hassan Ibn Abi al-Hassan katanya: Rasulullah s.a.w telah melalui sekumpulan orang yang sedang memanah. Bersama baginda ialah seorang sahabat lelaki. Kemudian seorang dari kumpulan itu berdiri dan berkata: Aku sudah kena demi Allah, dan awak tidak kena demi Allah. Lalu sahabat yang bersama Nabi s.a.w itu berkata kepada Nabi s.a.w: “Wahai Rasulullah! Lelaki ini telah melanggar sumpahnya.” Jawab beliau: “Tidak! Sumpah pemanah-pemanah itu tidak dikira, tidak ada apa-apa kifarat dan tidak ada-apa hukuman padanya”.
Mengikut keterangan dari Ibn Abbas r.a., sumpah yang tidak dikira itu ialah engkau bersumpah ketika engkau sedang marah. Begitu juga diriwayatkan dari Ibn Abbas: “Sumpah yang tidak dikira ialah engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, sumpah yang demikian tidak terkena kaffarah di atas engkau.”
Ibn al-Arabi berkata: Maksud ayat ini mempunyai tujuh pendapat tentangnya:
* Iaitu perkataan yang diucapkan tanpa maksud, seperti katanya: “Tidak, demi Allah, bahkan demi Allah.” Pendapat ini dinyatakan oleh Aisyah dan al-Syafie.
* Ia bermaksud sumpah yang dilakukan berdasarkan sangkaan, tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Pendapat ini dikatakan oleh Maliki.
* Ia bermaksud sumpah ketika marah.
* Ia bermaksud sumpah berbentuk maksiat.
* Seorang yang mendoakan keburukan terhadap dirinya, seperti katanya: “Kalau aku tidak berbuat demikian maka akan ditimpakan kepadaku sekian, sekian...”
* Sumpah yang membawa kepada kufur.
* Sumpah orang yang lupa.
Dari athar-athar ini dapatlah diambil kesimpulan bahawa sumpah yang tidak diniatkan dan diucap kosong oleh lidah itu tidak dikenakan apa-apa kaffarah.
Hanya sumpah yang diniatkan oleh seseorang dan ia berazam melakukan apa yang disumpahkannya itu sama ada mengambil atau meninggal itu sahaja sumpah yang dikira dan diwajibkan bayaran kaffarah apabila seseorang itu membatalkannya. Dan sumpah itu wajib dibatalkan jika akibatnya membawa kepada keengganan membuat kebaikan atau menggalakkan membuat kejahatan.
Jika seseorang itu bersumpah terhadap sesuatu dan dia tahu bahawa sumpahnya adalah bohong, maka sesetengah pendapat mengatakan ia tidak dikenakan apa-apa kaffarah yakni tidak membayar apa-apa kaffarah.
Imam Malik di dalam al-Muwatta’ berkata: “Pandangan paling elok yang aku telah dengar mengenai sumpah ialah sumpah yang tidak dikira itu ialah sumpah seseorang terhadap sesuatu yang ia yakin begitu kemudian didapati berlainan dari itu, maka sumpah ini tidak dikenakan apa-apa kaffarah. Dan seseorang yang bersumpah terhadap sesuatu yang ia tahu bahawa ia berdosa dan berdusta untuk menyenangkan seorang yang lain dan untuk mendapatkan wang dengannya, maka sumpah ini adalah lebih besar dari dikenakan kaffarah.
Firman Allah: ...tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah).
Ibn al-Arabi berkata: Ketahuilah ke semua tujuh ini termasuk dalam jenis maksud al-laghwu yang telah kami sebutkan. Untuk memahami ayat tersebut bermaksud kepada semua tafsiran di atas adalah tidak mungkin.
Hal ini kerana dalil menunjukkan bahawa kesalahan itu diletakkan kepada sebahagian maksud yang disebutkan. Banyak ayat al-Quran, hadis dan athar yang kalau diteliti, terkeluarlah tujuan kita untuk meringkaskan penerangan ini dengan memuatkan banyak perbincangan yang tidak berfaedah.
Orang yang cerdik dapat menganggap bahawa tidak mungkin kita memahami ayat tersebut dengan maksud: Allah tidak mengira bersalah dengan perkara yang tidak memudaratkan kamu. Hal ini kerana ada kalanya seseorang mempunyai niat untuk menimbulkan mudarat (walaupun kemudaratan itu tidak berlaku), sedangkan Allah s.w.t menerangkan bahawa sesuatu yang disengajakan iaitu kerja hati akan diambil kira.
Justeru, ini menunjukkan bahawa al-laghwu yang dimaksudkan ialah perkara yang tidak berfaedah. Maka tidak termasuk dalam pengertiannya sumpah ketika marah dan sumpah berbentuk maksiat.
Jadi ayat ini menggabungkan dua bahagian; satu bahagian berbentuk pekerjaan hati yang akan diambil kira dan satu bahagian lagi bukan dengan niat di hati. Maka inilah perbuatan yang tidak diambil kira sebagai bersalah. Sumpah orang yang terlupa tidak termasuk dalam bahagian yang disengajakan.
Oleh itu, pelanggaran sumpah oleh orang yang terlupa, akan dibincangkan dalam bab lain nanti, insya-Allah. Begitu juga tidak termasuk dalam bahagian yang disengajakan iaitu bersumpah terhadap sesuatu yang disangka tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, kerana ia bukanlah perkara yang dimaksudkan oleh orang yang bersumpah.
Dalam hal ini, terdapat perbahasan yang panjang dan keterangannya boleh dilihat dalam kitab al-Masail.
Di sini dikemukakan jenis sumpah. Ibn al-Jauzi membahagikan sumpah kepada dua:
Pertama: Yang telah lalu.
Kedua: Yang akan datang.
Adapun yang telah lalu terbahagi kepada dua:
Pertama: Sumpah yang dusta seperti seseorang berkata, demi Allah aku tidak lakukannya sedangkan dia lakukannya atau dia berkata sesungguhnya aku lakukannya sedangkan dia tidak lakukannya.
Kedua: Sumpah yang harus iaitu yang benar sama ada mengiakannya atau menafikannya.
Sumpah pada masa akan datang pula terbahagi kepada lima bahagian iaitu:
A) Sumpah untuk taat sedangkan ia adalah tempat taat. Begitu juga tidak melakukannya merupakan maksiat seperti dia bersumpah dengan katanya, “Aku akan sembahyang lima waktu, aku akan puasa Ramadan dan aku tidak akan minum arak.”
B) Akadnya maksiat tempatnya juga maksiat. Sedangkan menghalalkannya adalah ketaatan iaitu yang berlawanan daripada pendapat yang pertama.
C) Sumpah yang akadnya taat dan tempat perlaksanaannya juga taat sedangkan menghalalkannya makruh seperti dia bersumpah bahawa dia akan lakukan ibadat sunat.
D) Sumpah yang akadnya makruh dan pelakuannya makruh sedangkan yang menghalalnya ketaatan. Iaitu yang berlawanan yang ketiga.
E) Sumpah yang akadnya harus dan tempat perlaksanaannya harus serta menghalalnya harus. Seperti bersumpah demi Allah aku tidak pernah negeri adanya siapa yang menzalimi manusia.
Bagi memahami dengan lebih jelas hendaklah dirujuk pada kitab Fiqh. Firman Allah, Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
Al-Maghari berkata: “Ini kerana Allah mengampun bagi semua hamba-Nya apa yang mereka lakukan daripada dosa dan tidak bersegera dengan hukuman. Begitu juga tidak mentaklifkan mereka apa yang tidak mampu yang menjadi kesukaran ke atas mereka dan yang tidak termasuk di bawah kekuasaan mereka.”
Al-Sonhaji berkata: “Orang yang tidak sengaja diampunkan-Nya. Lagi penyantun yakni belas terhadap hamba-Nya, iaitu dengan melambatkan kedatangan seksa-Nya terhadap orang yang berbuat maksiat.”
Iktibar Ayat
* Sumpah yang lagha tidak dikira oleh Allah.
* Sumpah yang disertai dengan keazaman hati merupakan sumpah yang dikira oleh Allah.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Ibn Kathir berkata: Allah s.w.t melarang kita menjadikan sumpah-sumpah dengan nama Allah sebagai tegahan daripada melakukan kebaikan dan menyambung silaturrahim. Dengan berkekalan untuk bersumpah atas perkara tersebut merupakan dosa kepada tuannya dan selayaknya hendaklah membayar kaffarah.
Allah berfirman: Dan janganlah kamu jadikan nama Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui. (Al-Baqarah: 224)
Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu jadikan nama Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu. Ibn Jauzi menyebut pendapat berkenaan dengan sebab turunnya ayat ini:
Pertama: Diturunkan kepada Abdullah bin Rawahah di mana beliau bersama Basyir al-Nukman ada pertelingkahan sehingga Abdullah bersumpah tidak mahu bertemu dan bercakap dengannya. Dan beliau berkata: “Sesungguhnya aku telah bersumpah dengan Allah dan tidak halal bagiku kecuali mengikut sumpahku. Lantas turunlah ayat ini seperti pendapat Ibn Abbas.
Kedua: Seorang lelaki telah bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak akan menyambung silaturrahim dan mengislahkan sesama manusia. Lantas turunlah ayat ini seperti pendapat al-Rabi’ bin Anas.
Ketiga: Bahawa ia diturunkan kepada Abu Bakar ketika dia bersumpah tidak mahu memberi nafkah kepada Mistah. Inilah pendapat Ibn Jarir.
Keempat: Ayat ini diturunkan kepada Abu Bakar yang bersumpah tidak mahu menyambung silaturrahim dengan anaknya Abd. Rahman sehingga beliau memeluk Islam. Inilah pendapat Muqatil Ibn Hayyan dan Ibn Sulaiman.
Al-Sonhaji berkata: Ayat ini diturunkan kerana ada di antara sahabat-sahabat Nabi yang telah berselisih sesama mereka, hingga menyebabkan tidak bertegur sapa. Ada pula yang tidak mahu berdamai, memberhentikan sokongan dan bantuan kepada saudara-saudaranya yang miskin, disebabkan oleh terburu nafsu dan terlajak kata, lekas benar menyebut sumpah, umpamanya bersumpah: Demi Allah, aku tidak mahu menyapa si pulan. Demi Allah, aku tidak mahu berdamai dengannya. Demi Allah, aku tidak membantunya, dan lain-lain yang seumpamanya.
Kata-kata sumpah dengan mengaitkan nama Allah ini, menjadi penghalang kepada mereka untuk berbuat baik, berbuat bakti dan mengadakan perdamaian. Bersumpah dengan menggunakan nama Allah untuk menghalang dari berbuat perkara kebaikan yang seperti ini telah dilarang oleh Allah.
Maka orang yang berbuat sedemikian, disunatkan membatalkan sumpahnya dengan membayar denda (kaffarah) dan Allah mendengar apa yang disumpahkan dan mengetahui apa yang diniatkan.
Sayid Qutub berkata: “Janganlah engkau jadikan sumpah engkau sebagai penghalang dari engkau berbuat demikian, tetapi keluarkanlah bayaran kifarat kerana sumpah engkau itu dan buatlah kebaikan.” Beginilah juga kata Masruk, al-Sya’bi, Ibrahim al-Nakh’i, Mujahid, Tawus, Said Ibn Jubayr, Atta’, Ikrimah, Makhul, al-Zuhri, al-Hassan, Qatadah, Muqatil, Ibn Hayyan, al-Rabi’ Ibn Anas, al-Dhahhak, Atta’ al-Khurasani dan al-Suddi Rahimahullah sebagaimana dinaqalkan oleh Ibn Kathir.
Syeikh al-Maghari berkata: “Ini kerana Allah tidak reda seseorang menjadikan nama-Nya sebagai penghalang kebaikan.” Ini amat ramai yang dilakukan dengan segera bersumpah untuk tidak melakukan demikian sedangkan itu adalah kebaikan atau mahu meneruskan perbuatan demikian sedangkan ia merupakan keburukan. Justeru Allah melarang kita daripada demikian itu dan menggesa kita supaya mencari segala wajah kebaikan dan apabila kita telah bersumpah untuk meninggalkannya, maka lakukanlah jika sekiranya baik dan bayarlah sumpah.
Firman Allah:….daripada berbuat baik dan bertakwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Ibn al-Jauzi berkata: Makna ayat ini terdapat tiga pandangan ulama:
* Jangan kamu bersumpah dengan nama Allah supaya kamu tidak melakukan kebajikan, bertakwa, dan berbuat baik serta mendamaikan antara manusia. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Atta’, Ibn Jubair, Ibrahim, al-Dhahhak, Qatadah, al-Suddi, Muqatil, al-Farraq, Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.
* Maknanya jangan kamu bersumpah dengan nama Allah secara dusta untuk kamu memelihara daripada makhluk dan berbuat kebajikan kepada mereka. Begitu juga kami mengislahkan kepada mereka dengan cara dusta. Inilah yang diriwayatkan oleh ‘Atiyyah daripada Ibn Abbas.
* Maknanya, janganlah kamu banyakkan sumpah dengan nama Allah jika sekiranya sekalipun kamu orang yang baik dan mendamaikan kerana banyaknya bersumpah dengan nama Allah termasuk daripada jenis keberanian terhadap Allah. Inilah pendapat Ibn Zaid.
Ibn al-Arabi berkata: Firman Allah yang bermaksud: Untuk berbuat baik. Sesetengah ulama mengatakan: Janganlah kamu menjadikan sumpah sebagai halangan untuk berbuat baik. Inilah pengertian yang disebutkan dalam hadis: Seseorang yang berkeras dengan sumpahnya terhadap isterinya, lebih besar dosanya di sisi Allah daripada dia membayarkan kifarat sebagai ganti sumpahnya.
Sebagai penjelasan jika sebelumnya orang itu bersumpah untuk tidak berbuat baik maka dia hendaklah melanggar sumpahnya. Jika sebelum itu dia tidak bersumpah maka ayat itu bermaksud untuk membuat kebajikan dan bertakwa.
Salah satu daripada dua maksud ini boleh difahamkan juga ke atas maksud yang satu lagi. Penerangannya akan dinyatakan dalam surah al-Nur, ayat 22 ketika mentafsirkan firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kenangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah ke jalan Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Barang siapa bersumpah atas sesuatu sumpah kemudian dia melihat selain itu lebih baik daripada apa yang disumpah, maka lakukanlah apa yang lebih baik itu, dan bayarlah kifarat sumpahnya”.
Dari aspek yang ketiga, perkataan (maksud): Untuk berbuat baik juga bererti Allah melarang kamu daripada banyak bersumpah dengan nama Allah kerana dengan menjauhi larangan itu terdapat kebaikan dan takwa.
Firman Allah s.w.t: Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
Inilah sifat Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui supaya manusia mengawali cakap mereka dan juga gerak hati mereka kerana dengan keyakinan tersebut boleh menyebabkan mereka sentiasa berada di atas landasan yang betul dengan mengikut acuan syarak.
Iktibar Ayat
* Siapa yang ingin bersumpah, hendaklah bersumpah pada perkara kebaikan.
* Janganlah kita menjadikan sumpah sebagai penghalang untuk melakukan kebaikan. Kalau begitu hendaklah kita membayar kaffarah.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sayid Qutub berkata: Ini satu lagi tarikan perhatian kepada hubungan yang ditingkatkannya kepada Allah. Ia meningkatkan matlamat-matlamat perhubungan ini lebih tinggi dari kelazatan jasmani hingga pada bahagian matlamat yang mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan jisim iaitu hubungan kelamin.
Hubungan kelamin dalam perhubungan itu merupakan wasilah sahaja bukannya matlamat, iaitu wasilah untuk mencapai satu matlamat yang lebih mendalam dalam tabiat hidup, iaitu matlamat melahirkan zuriat keturunan dan melanjutkan hayat dan menghubungkan segala-galanya dengan Allah.
Allah berfirman: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman. (al-Baqarah: 223)
Ibn al-Arabi berkata: Sebab turunnya ayat ini, terdapat beberapa riwayat berkaitan dengannya:
Jabir berkata: Orang Yahudi mengatakan: Barang siapa yang mendatangi isterinya di farajnya melalui belakang maka anak yang lahir akan bermata juling. Maka turunlah ayat ini. Hadis ini adalah sahih dikeluarkan oleh para imam.
Ummu Salamah menceritakan daripada Nabi s.a.w tentang firman Allah: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu. Sabda Nabi s.a.w: Suami boleh mendatanginya dari arah depan dan belakang jika saluran itu adalah saluran yang sama. Dikeluarkan oleh Muslim dan selainnya.
Al-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Umar r.a datang kepada Nabi s.a.w seraya berkata: Binasalah aku. Nabi bertanya: Apa yang membinasakan kamu? Jawab Umar: Aku mengalihkan tungganganku semalam. Lalu Nabi s.a.w tidak menjawab sedikit pun sehinggalah turun firman Allah: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu. Lalu Nabi pun bersabda: Datangilah dari depan atau belakang, tetapi jauhilah dubur.
Ibn Jauzi berkata: Satu perkampungan Quraisy yang berkahwin dengan wanita Mekah berlazat-lazatan dengan isteri mereka. Apabila mereka sampai di Madinah, mereka berkahwin dengan wanita Madinah dan mereka lakukan sebagaimana wanita Mekah. Tetapi wanita Madinah mengingkari perbuatan tersebut sehingga sampai hal ini kepada Nabi s.a.w, lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Mujahid daripada Ibn Abbas.
Para ulama berselisih pendapat tentang keharusan menyetubuhi wanita melalui (dari arah) duburnya. Ada satu kumpulan ramai yang mengharuskannya. Ia dikumpulkan oleh Ibn Syaaban dalam kitab Jima’ al-Niswan Wa Ahkam al-Quran di mana dia menghubungkan sanad riwayat yang mengharuskannya kepada beberapa orang sahabat dan tabien yang terhormat serta dikatakan kepada Malik melalui banyak jalan periwayatan.
Al-Bukhari menyebutkan riwayat daripada Ibn ‘Aun daripada Nafi’, katanya: Ibn Umar r.a apabila membaca al-Quran, dia tidak bercakap melainkan setelah habis membacanya.
Suatu hari aku bertemunya tatkala dia sedang membaca surah al-Baqarah sehingga tamat ke satu ayat, beliau berkata: Tahukah kamu sebab turunnya ayat ini? Aku menjawab: Tidak. Katanya: Diturunkan ayat ini kerana sekian, sekian. Kemudian dia meneruskan bacaannya.
Kemudian al-Bukhari menyebutkan hadis Ayyub daripada Nafi’ daripada Ibn Umar yang membacakan ayat: Datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai. Katanya: “Hendaklah didatanginya di…setelah itu dia tidak menyebutkan apa-apa.”
Diriwayatkan daripada al-Zuhri katanya: Orang itu terlupa apa yang diriwayatkan daripada Ibn Umar tentang hal tersebut.
Al-Nasa’ie meriwayatkan daripada Abu al-Nadr bahawa dia berkata kepada Nafi’ maula Ibn Umar: “Banyaknya orang menyebut bahawa engkau mengatakan Ibn Umar memfatwakan bahawa dia boleh menyetubuhi wanita melalui dubur mereka.”
Nafi’ menjawab: “Mereka berbohong terhadapku. Biar aku ceritakan tentang kedudukan sebenar.”
Pada suatu hari Ibn Umar membuka mushaf, tatkala itu aku ada di sisinya, sehingga apabila dia membaca sampai ayat isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu suka.
Beliau berkata: Wahai Nafi’. Tahukah kamu kisah di sebalik ayat ini? Aku menjawab: Tidak. Katanya: Dahulunya kami orang Quraisy mendatangi wanita (seperti biasa kami lakukan). Apabila kami masuk ke Madinah dan mengahwini wanita-wanita Ansar, kami pun mahu melakukan kepada mereka seperti yang kami mahukan daripada isteri kami dahulu.
Tetapi mereka tidak suka perbuatan itu dan menganggapnya sebagai satu perkara yang besar, kerana wanita-wanita Ansar hanya didatangi (disetubuh) dari arah tepi mereka.
Lalu Allah menurunkan ayat: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu suka.
Al-Qadhi mengatakan: Aku bertanya kepada Imam al-Qadhi al-Tusi tentang persoalan ini.
Lalu dia menjawab: Tidak boleh sama sekali menyetubuhi perempuan pada duburnya. Allah mengharamkan faraj ketika haid disebabkan najis yang datang sekali sekala, maka lebih utama diharamkan dubur dengan sebab najis yang biasa datang.
Firman Allah: …Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
Dan di sini kita dapat melihat samahah/toleransi Islam yang menerima insan mengikut apa yang ada padanya, iaitu ia menerima insan dengan segala keinginan, kecenderungan dan keperluannya, dan Islam tidak pernah mencuba menghancurkan fitrah insan atas nama peningkatan dan pembersihan diri dan tidak pernah memandang kotor kepada keperluan seks yang tidak dapat dielak olehnya.
Malah pada hakikatnya ia ditaklifkan dengan keperluan-keperluan seks itu untuk kepentingan hayat, untuk kesinambungan dan kesuburannya, malah apa yang diusahakan oleh Islam ialah menegakkan insaniahnya dan meningkatkannya dan menghubungkannya dengan Allah ketika ia menyahuti dorongan jasaniahnya dan meningkatkan dan menghubungkannya dengan Allah ketika ia menyahuti dorongan jasmaniahnya.
Islam berusaha mencampurkan di antara dorongan jasmani dengan perasaan-perasaan insaniah pada mulanya dan dengan kesedaran keagamaan yang halus pada akhirnya.
Ia mencampurkan di antara keduanya dalam satu ketika, dam satu harakat dan dalam satu tujuan, iaitu percampuran yang sebati pada diri manusia itu sendiri, yang menjadi khalifah Allah di buminya.
Dan manusia memang layak menjadi khalifah Allah kerana di dalam tabiat dan di dalam dirinya telah dipasang dengan kekuatan-kekuatan dan daya-daya tenaga yang cukup. Yang demikian itu hanya Allah sahaja yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.
Al-Sonhaji berkata: Sesungguhnya akan menjadikan berita gembira bilamana orang-orang beriman mengetahui bahawa Allah akan memuliakan mereka.
Iktibar Ayat
* Keperluan perkahwinan antara lain melahirkan zuriat yang soleh dan juga mengawal nafsu dengan mengikut acuan syarak.
* Bertakwa kepada Allah merupakan kemuncak untuk mendapat kebahagiaan.
By mfrstudio
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SYEIKH al-Maghari berkata: Persoalan yang dikemukakan ini merupakan salah satu daripada tiga soalan yang datang secara ‘ataf dengan wau kerana hubungannya dengan sebelum dan selepasnya. Ini kerana kesemuanya berkenaan dengan persoalan wanita.
Di samping itu, berlakunya pengaruh kefahaman di Madinah antara golongan Arab dan Yahudi berkenaan dengan masalah haid. Justeru Allah menurunkan ayat ini.
Allah berfirman: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (al-Baqarah: 222)
Sebab timbulnya pertanyaan itu. Para ulama berselisih kepada dua pendapat.
Anas bin Malik meriwayatkan dengan katanya: Bagi orang Yahudi, apabila wanita mereka kedatangan haid, maka mereka tidak akan makan dan minum bersama dan tidak duduk sekali dengan mereka dalam sebuah rumah. Lalu hal itu ditanyakan kepada Nabi s.a.w.. Maka Allah menurunkan ayat: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), tentang (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang menjijikkan dan mendatangkan mudarat. Lalu Baginda menyuruh mereka supaya makan dan minum bersama-sama wanita-wanita haid itu dan hendaklah mereka tinggal serumah dan melakukan apa sahaja kecuali persetubuhan.
Lantaran orang Yahudi pun berkata: Muhammad hanya mahu membuat kelamin dari setiap urusan kita. Kemudian datanglah Usaid bin al-Hudair dan Ubad bin Bisyr. Mereka berkata: Wahai Rasulullah mengapa kita tidak membuat kelainan daripada orang Yahudi itu dengan menyetubuhi isteri semasa haid?
Lantas berubahlah air muka Rasulullah s.a.w., sehingga kami menyangka Baginda marah kepada mereka berdua. Kata Abbas: Kemudian mereka berdua bangun dan keluar. Tetapi sejurus kemudian datang orang membawa hadiah susu kepada Baginda, lalu Nabi menghantar orang menjejaki mereka dan memberikan mereka minum susu. Tahulah mereka bahawa Nabi tidak marah kepada mereka. Hadis ini sahih dan disepakati para imam ahli hadis.
Firman Allah s.w.t: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.
Ibn al-Arabi berkata: Tafsiran al-Mahid. Perkataan ini di atas wazan Maf’il, ia berasal daripada kata kerja yang bermaksud mengalir. Orang Arab menyebut: Pokok dan pohon balak itu mengalir. Yakni apabila mengalir lembapan-lembapannya (air bah mengalir). Seorang penyair berkata: Dan mengalirlah ke atasnya aliran air bah yang besar. Dari segi maksudnya, ia membawa erti darah yang dilepaskan oleh rahim sehingga memancar keluar. Ia mempunyai lapan nama iaitu; Haid, ‘Arik, arik, Tamis, Daris, Kabir, Dahik dan Tamith.
Mujahid menafsirkan firman Allah: Lalu dia (isteri Nabi Ibrahim) tertawa. Dengan maksud, kedatangan haid, seorang penyair menyebutkan yang bermaksud: Dan ditinggalkan isterinya pada suatu hari tatkala dia kedatangan haid.
Ahli tafsir menyebutkan firman Allah yang bermaksud: Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya. Dengan memberi maksud datanglah haid mereka. Mereka menguatkan alasan dengan mengemukakan bait syair yang bermaksud: Wanita itu didatangi apabila mereka suci dan mereka tidak didatangi apabila mereka berhaid.
Tetapi selepas suci pun, persoalan ini bukanlah persoalan yang boleh dilakukan sewenang-wenang mengikut kemahuan hawa nafsu dan cara-cara yang menyeleweng, malah ia tetap terikat dengan perintah Allah, kerana hubungan kelamin merupakan tugas yang terbit daripada perintah dan taklif dan terikat dengan cara dan batas-batas yang tertentu.
Bagi tafsiran Aza seperti firman Allah yang bermaksud: Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang menjijikkan dan mendatangkan mudarat. Tentang perkataan Aza terdapat empat pendapat:
*Ia bermaksud kotoran. Dikatakan oleh Mujahid dan al-Suddi.
*Ia bermaksud darah. Dikatakan oleh Mujahid.
*Ia bermaksud najis.
*Ia bermaksud perkara yang tidak disenangi dengan sebab bau, kemudaratan dan kenajisannya. Pendapat keempat ini adalah pendapat yang sahih kerana dua sebab:
*Pengertian ini merangkumi semua pengertian yang lain.
*Allah berfirman dalam ayat lain yang bermaksud: Jika kamu dihalangi oleh sesuatu yang menyusahkan seperti hujan.
Perkataan ini boleh dirujuk kepada tiga andaian yang dibincangkan sebelum ini iaitu sama ada merujuk kepada tempat haid secara majaz. Ia dirujuk kepada majaznya secara hakikat.
Firman Allah: Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Ada tiga pendapat tentang maksud ayat ini;
Firman Allah yang bermaksud: Sehingga mereka suci. Yakni sehingga (putus) berhenti darahnya. Pendapat ini dikatakan oleh Abu Hanifah tetapi pendapatnya bercanggah pada dua tempat apabila beliau berkata: Apabila darahnya berhenti pada tempoh maksimum haid maka halallah dia, tetapi jika darahnya terhenti pada tempoh minimum haid maka dia tidak halal kecuali dengan berlalu satu waktu solat yang sempurna. Ia bermaksud, jangan menyetubuhi wanita haid sehinggalah dia mandi junub. Pendapat ini dikatakan oleh al-Zuhri, Rabiah, al-Laith, Malik, Ishak, Ahmad dan Abu Thaur. Sehingga dia berwuduk untuk solat.
Pendapat ini dikatakan oleh Taus dan Mujahid. Datangilah mereka pada tempat yang melahirkan anak bukan pada tempat yang lain. Matlamat hubungan kelamin bukanlah semata-mata melepaskan keinginan nafsu tetapi melanjutkan hayat dan mencari ketetapan Allah.
Allah telah menetapkan sesuatu yang halal dan memfardukannya dan kewajipan seorang Muslim ialah mencari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan bukannya menciptakan sendiri apa yang dikehendakinya, Allah memfardukan segala apa yang difardukannya itu untuk membersihkan para hamba-Nya dan Dia amat sayangkan mereka yang bertaubat apabila mereka melakukan kesilapan dan pulang kepada-Nya memohon keampunan.
Firman Allah yang bermaksud: Menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Terdapat enam pendapat tentang maksud ayat ini:
*Datangilah mereka dari mana tempat yang sebelum itu dilarang.
*Datangilah mereka dari kemaluan hadapan. Dikatakan oleh Ibn Abbas dan Mujahid melalui salah satu daripada dua pendapatnya yang dilaporkan.
*Datangilah mereka seluruh badannya. Juga dikatakan oleh Ibn Abbas.
*Datangilah mereka dari tempat sebelum sucinya. Dikatakan oleh Ikrimah dan Qatadah.
*Datangilah mereka dari arah (dengan cara) perkahwinan.
*Datangilah dalam keadaan yang Allah halalkan kepada kamu, janganlah mereka itu perempuan yang sedang berpuasa atau berihram atau beriktikaf. Dikatakan oleh al-Asam.
Firman Allah: Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri. Di bawah bayangan inilah ayat yang berikut menggambarkan salah satu daripada hubungan suami isteri yang sesuai dan selaras dengan garis-garisnya.
Iktibar ayat
*Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini menunjukkan syariat menggalakkan perkahwinan dan mengharamkan kerahiban dengan meninggalkan perkahwinan semata-mata niat beribadat dan mendekatkan kepada Allah.
*Haid merupakan perkara yang keji dan boleh membawa kepada penyakit jika bersama dengan isteri ketika datangnya haid. Walaupun begitu boleh dilakukan apa saja kecuali bersetubuh sahaja berdasarkan riwayat Ahmad, Muslim dan Ashabu Sunan.
*Dua sifat yang amat disukai Allah iaitu sentiasa bertaubat dan membersihkan diri.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sayid Qutub berkata: Pernikahan atau perkahwinan merupakan hubungan yang paling mendalam, paling kuat dan paling kekal yang mengikatkan di antara dua manusia. Hubungan ini meliputi sambutan-sambutan dan penerimaan timbal-balik yang paling luas yang dilakukan oleh dua manusia itu.
Oleh sebab itu hubungan ini memerlukan kepada perpaduan hati dan titik pertemuannya dalam satu ikatan yang tidak terhurai lagi. Untuk mencapai perpaduan hati, pastilah kedua-duanya bersatu di atas satu akidah dan tujuan hidup, kerana akidah merupakan sesuatu yang paling mendalam dan luas mengimarahkan jiwa manusia.
Akidahlah yang mempengaruhi jiwa manusia, menyesuai dan menentukan perasaan-perasaannya, penerimaannya dan seterusnya akidahlah yang menentukan perjalanan dalam seluruh kehidupan.
Firman Allah: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah: 221)
Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik.
Mengikut pandangan ulama tafsir ayat ini diturunkan kepada seorang sahabat Nabi yang bernama Marsad bin Abi Marsad yang diutuskan oleh Rasulullah ke Mekah. Kemudian beliau bertemu dengan seorang perempuan musyrik yang rupawan yang bernama Anaq sehinggalah apabila beliau meminta izin kepada Rasulullah untuk berkahwin dengannya yang musyrik itu lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat ibn Abbas.
Pendapat kedua menyatakan bahawa Abdullah bin Rawahah memukul hamba perempuannya sedangkan beliau seorang yang rajin solat, puasa dan lain-lain. Akhirnya Abdullah mengadu kepada Rasulullah dan Rasulullah bersabda: “Hai Abdullah! Ini perempuan Mukmin”.
Akhirnya Abdullah berkata, demi yang membangkit kamu dengan kebenaran aku akan merdekakannya dan kahwinkannya menyebabkan orang Islam menghinanya. Lantas turun ayat ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Suddi.
Firman Allah s.w.t: Sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Terdapat dua pandangan:
Pertama: Dengan sebab cantik dan jelitanya.
Kedua: Dengan sebab keturunannya.
Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.
Al-Sonhaji berkata: Ayat ini pula ditujukan kepada orang yang menjadi wali kepada perempuan di dalam akad nikah. Adalah dilarang menikahkan perempuan-perempuan Islam kepada orang-orang musyrik, sehingga mereka mereka itu beriman. Dan mengahwinkannya kepada seorang hamba yang Mukmin lebih baik di sisi Allah daripada mengahwinkannya kepada seorang merdeka tetapi musyrik (kafir) walaupun ia berkelebihan kerana hartanya, berbangsa, atau elok rupanya atau apa jua pun keistimewaannya yang ada padanya, tidak dapat menandingi seorang hamba yang Mukmin di sisi Allah.
Firman Allah s.w.t: (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya.
Ini kerana orang musyrikin sifatnya sentiasa mengajak ke arah neraka sama ada dari segi perkataan atau perbuatan apatah lagi dengan sebab hubungan kekeluargaan hubungan suami isteri yang memberi kesan yang besar. Sebaliknya Allah menyeru orang yang beriman ke arah syurga dan juga keampunan dengan izin dan taufik-Nya.
Firman Allah s.w.t: Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
Al-Maghari berkata: Dia menjelaskan segala dalil pada hukum syariat bagi manusia sehingga hikmah dan faedahnya. Mudah-mudahan mereka mengambil iktibar.
Permasalahan Hukum
Apakah boleh mengahwini wanita musyrik dan ahli kitab?
Ibn al-Arabi berkata: Terdapat tiga pendapat tentang ayat tersebut:
Tidak harus melakukan akad nikah dengan wanita musyrik sama ada dia ahli kitab atau bukan ahli kitab. Pendapat ini dikatakan oleh Umar melalui salah satu riwayat yang dilaporkan daripadanya. Ia dipilih oleh Imam Malik dan al-Syafie tetapi dengan syarat wanita itu seorang hamba.
Yang dimaksudkan, ialah larangan menyetubuhi mereka yang tidak mempunyai kitab seperti penganut agama Majusi dan orang Arab. Ini adalah pendapat Qatadah.
Ayat ini dimansuhkan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 yang bermaksud: …dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dalam kalangan orang yang diberikan kitab dahulu daripada kamu.
Al-Qadhi berkata: Kami belajar dengan Syeikh al-Imam Fakhrul Islam Abu Bakar bin Muhammad bin Ahmad bin al-Hassan al-Syasyi di Madinah al-Salam. Dia ada berkata: Abu Hanifah berhujah menunjukkan kebenaran mengahwini hamba wanita ahli kitab dengan firman Allah yang bermaksud: “…dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik”.
Alasan pendalilannya ialah Allah memberikan pilihan berkahwin dengan hamba wanita yang beriman atau hamba perempuan musyrik. Kalaulah mengahwini hamba perempuan yang musyrik tidak diharuskan tentulah Allah tidak memberi pilihan antara kedua-duanya. Ini kerana pemilihan adalah bagi dua perkara yang harus, bukan antara yang harus dan yang dilarang, dan bukan antara dua perkara yang berlawanan.
Tidakkah anda memerhatikan bahawa anda tidak mungkin mengatakan “madu lebih manis daripada cuka”. Jawapan kepada kenyataan ini daripada tiga sudut:
Adalah harus dibuat pilihan antara dua perkara yang berlawanan dari segi bahasa dan plot al-Quran, kerana Allah menyebutkan dalam surah al-Furqan, ayat 24 yang bermaksud: Ahli-ahli syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya. Padahal ahli neraka tidak ada kebaikan langsung.
Dalam suratnya kepada Abu Musa, Umar r.a. menyebut, “Berpatah balik kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan”.
Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik. Oleh sebab itu tidak harus perempuan beriman berkahwin dengan hamba abdi lelaki yang musyrik, maka begitulah juga tidak harus lelaki Muslim berkahwin dengan wanita musyrik.
Hal ini disebabkan kalau satu bahagian ayat ini menunjukkan suatu maksud maka bahagian yang satu lagi juga menunjukkan maksud yang sama, kerana kedua-dua bahagian ini diterangkan oleh ayat berkaitan satu perkara.
Firman Allah yang bermaksud: Dan hamba perempuan, yang dimaksudkan bukanlah hamba abdi milik manusia, tetapi ia dimaksudkan sebagai wanita keturunan Adam. Semua anak Adam adalah hamba Allah sama ada lelaki atau perempuan. Pendapat ini dikatakan oleh Qadi Basrah Abu Bakar al-Jurjani rahimahullah.
Dahulu pertumbuhan pertama kelompok Muslimin di Mekah pada mulanya tidak membenarkan adanya perpisahan sosial dan tegas dari kaum musyrikin seperti perpisahan dari akidah yang wujud di dalam jiwa orang-orang Islam.
Ini disebabkan kedudukan sosial berasingan yang memerlukan kepada masa dan kepada penyusunan yang beransur-ansur. Tetapi oleh sebab Allah mahukan kelompok Muslimin mempunyai kedudukan yang merdeka di kota Madinah, di mana ia mempunyai perbezaan keperibadian sosialnya di samping mempunyai perbezaan keperibadian akidahnya, maka satu penyusunan yang baru mula dibuat.
Ayat ini diturunkan bagi mengharamkan sebarang perkahwinan yang baru di antara orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin. Adapun perkahwinan yang telah sedia wujud, maka perkahwinan itu terus dikekalkan sehingga kepada tahun yang keenam Hijrah di mana turun di Hudaibiah ayat dari surah al-Mumtahanah.
Iktibar Ayat
* Tidak boleh berkahwin dengan orang musyrik sama ada lelaki atau perempuan.
* Kebaikan dan kelebihan seseorang bukan berdasarkan zahir semata-mata, tetapi kepada iman dan takwa.
* Fungsi ayat Allah menjelaskan kepada manusia supaya mereka mengambil peringatan dan iktibar.
By mfrstudio
SAYID Qutub berkata: Dasar takaful sosial itulah dasar masyarakat Islam. Kaum Muslimin diwajibkan menjaga kepentingan golongan yang lemah di dalam masyarakat. Anak-anak yatim yang kehilangan bapa mereka dan masih kecil merupakan golongan yang lebih utama mendapat perhatian dan perlindungan kaum Muslimin terhadap keselamatan diri dan harta mereka.
Dahulu sesetengah penjaga anak-anak yatim itu mencampurkan makanan anak-anak yatim dengan makanan mereka. Harta anak-anak yatim dengan harta mereka untuk sama-sama dilaburkan dalam perniagaan menyebabkan kadang-kadang berlaku penganiayaan terhadap anak-anak yatim.
Sejak itu, orang-orang yang bertakwa merasa keberatan (untuk makan bersama anak-anak yatim) hingga mereka asingkan makanan anak-anak yatim daripada makanan mereka.
Firman Allah: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220)
Firman Allah s.w.t: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim.
Ulama telah khilaf siapakah yang bertanya kepada Nabi s.a.w. dengan dua pendapat:
Pertama: Thabit bin Rifa’ah al-Ansari. Inilah pendapat Mujahid.
Kedua: Abdullah bin Rawahah. Inilah pendapat Abu Sulaiman al-Dimasyqi.
Ibn al-Arabi berkata: Sebab turunnya, diriwayatkan bahawa turunnya ayat 10 surah al-Nisa’ yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim…
Orang berasa serba salah untuk bergaul dengan anak-anak yatim pada harta-harta mereka lalu mereka mengasingkan diri daripada anak-anak yatim. Maka Allah menurunkan ayat ini yang bermaksud: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), tentang masalah anak-anak yatim. Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baik.
Ini bermaksud memperbaiki harta benda mereka lebih baik daripada menyisihkan mereka. Firman ini memberi keizinan menguruskan harta anak yatim dengan niat yang baik iaitu untuk kepentingan anak yatim itu sendiri bukan kepentingan sendiri.
Oleh sebab itu al-Quran sekali lagi mengembalikan kaum Muslimin kepada sikap yang sederhana dan menggunakan cara yang mudah dalam menghadapi perkara ini dan mencari kebaikan untuk anak-anak yatim dan bertindak dalam batas-batas yang mendatangkan muslihat kepada mereka.
Mengusahakan kebaikan-kebaikan untuk anak-anak yatim itu lebih baik daripada berasingan. Ini kerana tidak ada apa-apa kesalahan dalam percampuran dengan mereka selama percampuran itu mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Anak-anak yatim itu adalah sama seperti saudara-saudara kepada para penjaga mereka. Mereka adalah saudara seagama dalam Islam. Mereka adalah anggota-anggota dalam keluarga Islam yang besar dan Allah mengetahui sesiapa yang membuat kerosakan dan sesiapa yang membuat kebaikan. Yang menjadi asas pegangan bukannya tindakannya yang lahir, tetapi ialah niat dan hasilnya.
Tercetus
Demikianlah segala urusan ini dihubungkan kepada Allah dan diikatkan pada paksinya yang kukuh di mana berlegarnya akidah dan hayat. Inilah kelebihan perundangan yang diasaskan di atas akidah. Oleh itu, jaminan pelaksanaan undang-undang selama-lamanya tidak datang dari luar andainya ia tidak tercetus dan bertunjang di dasar-dasar hati nurani.
Firman Allah: Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama);
Apabila Allah mengizinkan manusia bercampur gaul dengan anak-anak yatim bagi tujuan memperbaiki dan menyelia urusan mereka, maka itu adalah dalil keharusan mengurus bagi pihak anak yatim sebagaimana mengurus bagi pihak anak yatim.
Dalam athar ada disebutkan: Sebagaimana caranya engkau mendidik anakmu maka didiklah anak yatim dengan cara itu. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan: Adalah harus bagi pengasuh membelanjakan harta anak yatim sebagaimana wasi membelanjakannya dalam soal jual beli, pembahagian dan selainnya. Kami telah menerangkan hal ini dalam kitab Masail al-Furu'’ Inilah pendapat yang dipegang oleh penulis.
Oleh itu tindakan pengasuh itu diperakui sama ada pada harta yang banyak itu sedikit berdasarkan kemutlakan ayat tersebut.
Firman Allah: Dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka).
Apabila seseorang mengambil tanggungjawab menjaga anak yatim, maka dia boleh menguruskan harta anak yatim itu. Sekalipun tidak dilantik oleh wali anak yatim itu. Ini disebabkan ayat tersebut menyebutkan kebenaran itu secara mutlak dan kerana kafalah (penjagaan) itu juga sama kedudukan seperti wilayah (kewalian) yang umum.
Ketahuilah bahawa tidak ditemui berita daripada mana-mana khalifah yang melantik seseorang untuk menjaga anak yatim, walaupun ramai anak yatim yang ada pada zaman mereka, tetapi mereka memperakui hak menjaga anak yatim itu apabila anak yatim itu tinggal dengan mereka.
Diriwayatkan daripada Umar r.a. bahawa beliau berkata tentang seorang anak pungut: “Dan merdeka, engkau boleh menjadi walinya dan kami bertanggungjawab membiayainya.” Yang dimaksudkan dengan wali itu ialah wali bagi urusan penjagaan bukannya bagi urusan harta pusaka, seperti yang disangkakan oleh satu kumpulan.
Firman Allah: Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Setiap perkara yang dibimbangi tetapi Allah menyerahkan kepada orang mukalaf untuk menjalankan amanahnya, tidak boleh dikatakan; Orang itu hendak mengelakkan daripada melakukan perkara yang ditegah, kerana itulah dia enggan melakukannya.
Samalah sebagaimana Allah menjadikan orang perempuan beramanah menjaga kemaluan mereka, sedangkan dari aspek lain banyak lagi bahaya yang boleh keluar daripada kata-kata mereka yang bersangkut dengan hukum hakam dan berkait dengan halal, haram dan keturunan, walaupun ada kemungkinan mereka boleh berbohong. Sesungguhnya ini adalah satu gaya penerangan yang menarik.
Sepatutnya anda memberikan perhatian dan menjadikannya sebagai pedoman dalam usaha mengetahui hukum-hakam. Allah jua yang memberikan taufik ke arah yang benar dengan rahmatnya.
Iktibar Ayat
* Tanggungjawab memelihara anak yatim merupakan besar pahalanya.
* Sifat Allah yang Maha Mengetahui mana yang buruk dan mana yang baik.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Perkasa lagi Bijaksana.
By mfrstudio
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah memperihalkan golongan musyrikin dan hukum bagi orang yang murtad, dia menceritakan berkenaan balasan orang yang beriman, yang berhijrah dan berjihad berdasarkan firmannya.
Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, Lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)
Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.
Al-Mawardi berkata: Sebab turun ayat ini ialah turun sekumpulan orang Islam berkata berkenaan Abdullah bin Jahsy dan yang bersamanya, jika sekiranya mereka tidak mendapat dalam musafir mereka dosa nescaya tiada padanya pahala.
Sayid Qutub berkata: Harapan seseorang Mukmin terhadap rahmat Allah tidak sekali-kali dikecewakan Allah. Kumpulan Mukmin yang ikhlas kepada Allah dan sanggup berhijrah meninggalkan Mekah telah mendengar janji yang benar ini. Lalu mereka berjihad untuk sabilillah sehingga Allah memenuhi janji-Nya terhadap mereka dengan memberi kemenangan atau penghormatan mati syahid dan kedua-dua merupakan kebaikan dan rahmat belaka. Mereka berjaya mendapat keampunan Allah dan rahmat-Nya.
Al-Maraghi berkata: Mereka mengharapkan rahmat Allah dan ihsan-Nya justeru layak mereka dikurniakan kerana pengorbanan mereka semata-mata mencari keredaan Allah. Lihatlah sejarah bagaimana Nabi s.a.w berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah semata-mata menyelamatkan dari fitnah oleh kaum musyrikin Quraisy sehinggalah Islam dapat bertapak. Seterusnya pertahankan diri dan akhirnya dapat membuka kota Mekah pada tahun 8 Hijrah.
Ternyata Allah menghina orang musyrikin dan menjadikan kalimah mereka begitu rendah sedangkan kalimah Allah berada di puncak. Di sini suka dinyatakan betapa pentingnya hijrah dalam kehidupan umat Islam sehingga Imam Nawawi menyebut hadis yang pertama di dalam kitabnya Matan Arba’in berkenaan dengan hijrah:
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.
Guru kami Dr. Mustafa al-Bugha di dalam al-Wafi berkata, hijrah daripada negeri kafir ke negeri Islam adalah wajib ke atas orang Islam yang tidak mungkin daripada menzahirkan agamanya. Ini merupakan hukum yang kekal dikaitkannya.
Adapun hadis Nabi yang bermaksud tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah kerana Mekah menjadi sebahagian daripada negeri Islam.
Jika ditanya bagaimana Allah menyebut mereka yang mengharapkan rahmat Allah sedangkan rahmat Allah bagi orang yang beriman adalah perkara yang hak? Al-Mawardi berkata: Jawapannya dua:
Pertama: Tatkala mereka tidak mengetahui keadaan pada masa hadapan maka haruslah mereka memohon rahmat kerana takut apa yang berlaku tidak membawa kepada mendapat rahmat.
Kedua: Kerana mereka mengharapkan rahmat disebabkan tidak yakin segala penunaian yang Allah wajibkan ke atas mereka. Adakah diterima atau tidak?
Firman Allah: Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Iaitu Allah Maha Luas Keampunan bagi orang yang bertaubat dan beristighfar di mana keluasan rahmat-Nya kepada orang yang beriman ditahqiqkan bagi mereka yang mengharapkan keampunan-Nya.
Qatadah berkata, mereka merupakan umat yang terbaik di mana Allah menjadikan mereka sebagai ahli yang mengharap dan siapa yang mengharap pasti menuntut dan siapa yang takut pasti lari.
Dr. Yusuf al-Qardawi berkata, unsur keempat yang membentuk hakikat taubat ialah mengikhlaskan taubat kepada Allah. Di sana terdapat satu rukun yang amat dituntut di dalam taubat. Sekalipun ia tidak disebutkan oleh kebanyakan orang. Namun, saya berpendapat ia adalah suatu yang sudah dimaklumi.
Rukun tersebut ialah membebaskan diri, menyesal serta berazam untuk tidak mengulangi dosa yang lalu, semuanya dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t lantaran tamakkan pahala-Nya dan takutkan hukuman-Nya.
Barang siapa yang meninggalkan tabiat minum arak kerana doktor melarangnya dan kerana ia boleh memudaratkan kesihatannya, maka peninggalannya dengan sebab itu tidak dikira sebagai taubat.
Barang siapa yang meninggalkan perbuatan zina kerana dia mengidapi Aids atau takut dijangkitinya atau lain-lain penyakit kelamin, yang dibimbanginya lalu dia meninggalkan tabiat berzina, ia tidak dikira sebagai taubat.
Barang siapa yang meninggalkan aktiviti pengedaran dadah kerana takut diberkas oleh polis serta takutkan hukuman mati maka itu tidak dikira sebagai bertaubat dan dia tidak tergolong di dalam golongan yang bertaubat.
Barang siapa yang kalah dalam perjudian, lalu dia meninggalkannya kerana muflis dan hilang kekayaannya, maka itu tidak dikira bertaubat.
Barang siapa yang menderhakai bapanya, lalu bapanya menghalangnya dari harta dan warisan, lantas dia menyesali penderhakaannya, maka penyesalan itu tidak dikira sebagai taubat. Ini kerana dia menyesal atas dasar keduniaan bukan kerana ia adalah penderhakaan kepada Allah s.w.t.
Kita telah pun melihat al-Quran al-Karim mengisahkan kepada kita tentang dua anak Adam, yang mana salah seorangnya jahat antara keduanya telah membunuh saudaranya yang baik. Dia telah membawa mayatnya sekian lama, kerana tidak tahu bagaimana hendak menanamnya lantaran ia adalah mayat yang pertama di dalam sejarah kemanusiaan.
Allah berfirman yang bermaksud: Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana sewajarnya dia menanamkan mayat saudaranya. Qabil berkata: Alangkah celakanya aku. Mengapakah aku tidak mampu melakukan demikian seperti burung gagak ini. Atau aku dapat menanam mayat saudaraku ini? Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal. (al-Maidah: 31)
Penyesalan Qabil saudara yang jahat ini bukanlah kerana maksiatnya kepada Allah serta tindakannya membunuh saudaranya. Sebaliknya penyesalan tersebut adalah kerana dia membawa mayat saudaranya dalam jangkamasa yang sebegitu serta kelemahannya mengetahui cara menanamnya. Oleh kerana itu dia tidak mendapat perlepasan kerana penyesalan ini.
Tetapi jika pelbagai musibah dan kerugian di dunia ini boleh menjadi pendorong keimanan di dalam hati manusia serta menjadikannya memeriksa dirinya dan mengingati hari akhirat, lantas ketika itu dia bertaubat, maka dia termasuk di kalangan orang-orang yang diterima taubat mereka, insya-Allah.
Iktibar Ayat
* Kelebihan orang beriman yang berhijrah dan berjihad fi sabilillah.
* Sifat orang beriman sentiasa mengharapkan rahmat Allah.
* Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
By mfrstudio
Sayid Qutub berkata: Kemudian ayat yang berikut menerangkan kepada kaum muslimin hukum arak dan berjudi. Kedua-duanya merupakan kenikmatan hidup yang amat disukai oleh orang Arab pada masa mereka belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang yang tinggi, yang dapat mereka habiskan kegiatan-kegiatan mereka atau belum lagi mempunyai minat dan cita-cita yang tinggi yang melibatkan seluruh perasaan mereka dan menelan seluruh waktu mereka.
Allah berfirman, Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir. (Al-Baqarah: 219)
Firman Allah: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu…”
Sehingga pada waktu ini belum lagi diturunkan hukum mengharamkan arak dan judi tetapi tidak ada pula satu nas al-Quran yang menghalalkan kedua-duanya. Malah Allah membimbing kelompok Muslimin yang baru itu selangkah demi selangkah ke jalan yang dikehendaki oleh-Nya.
Allah menciptakan kelompok ini di bawah perhatian-Nya untuk memainkan peranan yang ditentukan untuk mereka. Peranan yang amat besar ini tentulah tidak sesuai dengan kegiatan membuang waktu di dalam penagihan arak dan permainan judi. Ia tidak selaras dengan kerja-kerja membuang umur, membuang masa sedar dan membuang tenaga yang dilakukan oleh orang-orang yang kosong dari pekerjaan, iaitu orang-orang yang hanya asyik memuaskan kenikmatan nafsu mereka sahaja. Atau orang-orang yang diburu oleh kekosongan hidup lalu mereka penuhkannya dengan kemabukan arak dan bermain judi, atau orang yang diburu oleh jiwa mereka lalu mereka melarikan diri di dalam arak dan judi sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang hidup di dalam jahiliah, sekarang dan masa akan datang.
Namun, dalam menjalankan cara pendidikannya terhadap jiwa manusia, Islam bertindak dengan perlahan-lahan, selesa dan hati-hati. Ayat yang kita sedang bicarakan ini merupakan langkah pertama dari langkah-langkah pengharaman. Segala benda dan segala perbuatan kadang-kadang tidak semuanya tidak baik belaka.
Yang baik kadang-kadang bercampur dengan yang tidak baik dan yang tidak baik bercampur dengan yang baik di bumi ini, tetapi menjadi asas halal dan haram ialah wujudnya lebih banyak kebaikan atau wujudnya lebih banyak kejahatan. Jika dosa (keburukan) dalam penagihan arak dan permainan judi itu lebih besar dari manfaatnya, maka itulah sebab pengharaman dan larangan walaupun tidak dijelaskan di sini dengan lafaz pengharaman dan larangan.
Di sini penulis akan menyebut dua perkara iaitu arak dan judi. Ancamannya berdasarkan kitab al-Kabair oleh al-Zahabi:
Pertama: Ancaman daripada minum arak
Terdapat banyak hadis yang melarang keras daripada minum arak. Antaranya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
* “Jauhilah minuman keras, kerana sesungguhnya minuman keras itu punca dari segala kejahatan.” (Riwayat Hakim)
* “Semua minuman yang memabukkan itu adalah khamar dan setiap khamar itu adalah haram. Dan barang siapa yang minum khamar di dunia. Lalu mati dalam keadaan tidak bertaubat, sedangkan dia sangat menggemarinya, maka nanti dia tidak akan dapat merasainya di akhirat”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
* Siapa yang meminum khamar di dunia, maka dia akan diharamkan minuman khamar di akhirat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
* “Barang siapa yang meminum minuman keras, Allah tidak akan menerima sesuatu (kebaikan) daripadanya. Dan jika dia mabuk dari sebab minuman keras itu, tidak akan diterima solatnya selama 40 pagi (hari). Kemudian jika dia bertaubat, lalu kembali semula meminum minuman keras maka berhak Allah memberikannya minuman dari kotoran darah atau nanah neraka jahanam.” (Riwayat Ahmad dan Turmidzi)
Penulis menutup perbincangan ini dengan menukilkan kata-kata Prof. Dr. H. Mahmud Yunus dalam tafsirnya. Dalam ayat 219 teranglah bahawa arak itu sebenarnya ada manfaatnya seperti memanaskan tubuh, menghilangkan dukacita dan sebagainya. Tetapi kemudaratannya terlebih besar dari manfaatnya kerana ia berbahaya kepada kesihatan badan dan fikiran serta pembaziran.
Berkata salah seorang doktor dari Jerman, orang yang banyak minum arak ketika umurnya 40 tahun, tubuhnya dan fikirannya seperti orang yang berumur 60 tahun.
Zarro Aga seorang peladang Turki, telah berumur lebih 100 tahun, sedangkan kekuatan tubuhnya dan fikirannya seperti orang muda. Tatkala ditanyakan kepadanya, apakah yang menyebabkan yang demikian itu? Maka dia mengatakan, bahawa dia tidak minum arak sejak kecil lagi.
Doktor-doktor Eropah telah bersepakat, bahawa bahaya arak itu lebih besar dari manfaatnya. Seolah-olah mereka menerima peraturan al-Quran yang telah turun lebih 1,300 tahun dahulu.
Ulama bersepakat, bahawa minum arak yang diperbuat daripada buah anggur, hukumnya haram, baik sedikit ataupun banyak. Arak yang diperbuat selain daripada anggur boleh diminum sedikit (tidak memabukkan) menurut mazhab Hanafi.
Kedua: Ancaman daripada berjudi
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
* Sesungguhnya ramai orang yang cuba mendapatkan harta Allah dengan cara yang tidak benar, maka mereka berhak memasuki neraka pada hari kiamat. (Riwayat Bukhari)
* Sesiapa yang mengatakan kepada temannya: Marilah kita bermain judi! Maka hendaklah dia bersedekah (sebagai kaffarah). (Riwayat Bukhari)
Kalau sekadar mengajak teman judi saja sudah diwajibkan membayar kaffarah (tebusan) dengan bersedekah, apatah lagi kalau sudah bermain judi.
Bahaya berjudi amat jelas. Seseorang boleh menjadi kaya-raya dalam masa yang singkat, sebaliknya boleh menjadi papa-kedana sehingga boleh merobohkan rumah tangga yang bahagia dan menjadi hina dina dalam masa yang singkat juga.
Firman Allah: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.
Al-Maraghi berkata: Allah menyebut keampunan dan penambahan bagi mentakdirkan setiap kaum mengikut masa mereka dan yang layak dengan keadaan mereka. Yang dikehendaki dengan infak di sini ialah sedekah sunat kepada individu dan juga maslahah ummah.
Iktibar Ayat
* Setiap larangan Allah pasti mempunyai mafsadah jika dilakukannya, sebaliknya jika ditinggalkan pasti mendapat maslahah dan manfaat.
* Mudarat arak bukan semata-mata berkenaan kesihatan tetapi merangkumi keseluruhannya seperti badan, jiwa, akal, harta dan termasuk juga hubungan sesama manusia.
* Judi merupakan ancaman kepada masyarakat dan mudaratnya lebih besar daripada manfaat.