Haram mendatangi isteri melalui dubur
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sayid Qutub berkata: Ini satu lagi tarikan perhatian kepada hubungan yang ditingkatkannya kepada Allah. Ia meningkatkan matlamat-matlamat perhubungan ini lebih tinggi dari kelazatan jasmani hingga pada bahagian matlamat yang mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan jisim iaitu hubungan kelamin.
Hubungan kelamin dalam perhubungan itu merupakan wasilah sahaja bukannya matlamat, iaitu wasilah untuk mencapai satu matlamat yang lebih mendalam dalam tabiat hidup, iaitu matlamat melahirkan zuriat keturunan dan melanjutkan hayat dan menghubungkan segala-galanya dengan Allah.
Allah berfirman: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman. (al-Baqarah: 223)
Ibn al-Arabi berkata: Sebab turunnya ayat ini, terdapat beberapa riwayat berkaitan dengannya:
Jabir berkata: Orang Yahudi mengatakan: Barang siapa yang mendatangi isterinya di farajnya melalui belakang maka anak yang lahir akan bermata juling. Maka turunlah ayat ini. Hadis ini adalah sahih dikeluarkan oleh para imam.
Ummu Salamah menceritakan daripada Nabi s.a.w tentang firman Allah: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu. Sabda Nabi s.a.w: Suami boleh mendatanginya dari arah depan dan belakang jika saluran itu adalah saluran yang sama. Dikeluarkan oleh Muslim dan selainnya.
Al-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Umar r.a datang kepada Nabi s.a.w seraya berkata: Binasalah aku. Nabi bertanya: Apa yang membinasakan kamu? Jawab Umar: Aku mengalihkan tungganganku semalam. Lalu Nabi s.a.w tidak menjawab sedikit pun sehinggalah turun firman Allah: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu. Lalu Nabi pun bersabda: Datangilah dari depan atau belakang, tetapi jauhilah dubur.
Ibn Jauzi berkata: Satu perkampungan Quraisy yang berkahwin dengan wanita Mekah berlazat-lazatan dengan isteri mereka. Apabila mereka sampai di Madinah, mereka berkahwin dengan wanita Madinah dan mereka lakukan sebagaimana wanita Mekah. Tetapi wanita Madinah mengingkari perbuatan tersebut sehingga sampai hal ini kepada Nabi s.a.w, lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Mujahid daripada Ibn Abbas.
Para ulama berselisih pendapat tentang keharusan menyetubuhi wanita melalui (dari arah) duburnya. Ada satu kumpulan ramai yang mengharuskannya. Ia dikumpulkan oleh Ibn Syaaban dalam kitab Jima’ al-Niswan Wa Ahkam al-Quran di mana dia menghubungkan sanad riwayat yang mengharuskannya kepada beberapa orang sahabat dan tabien yang terhormat serta dikatakan kepada Malik melalui banyak jalan periwayatan.
Al-Bukhari menyebutkan riwayat daripada Ibn ‘Aun daripada Nafi’, katanya: Ibn Umar r.a apabila membaca al-Quran, dia tidak bercakap melainkan setelah habis membacanya.
Suatu hari aku bertemunya tatkala dia sedang membaca surah al-Baqarah sehingga tamat ke satu ayat, beliau berkata: Tahukah kamu sebab turunnya ayat ini? Aku menjawab: Tidak. Katanya: Diturunkan ayat ini kerana sekian, sekian. Kemudian dia meneruskan bacaannya.
Kemudian al-Bukhari menyebutkan hadis Ayyub daripada Nafi’ daripada Ibn Umar yang membacakan ayat: Datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai. Katanya: “Hendaklah didatanginya di…setelah itu dia tidak menyebutkan apa-apa.”
Diriwayatkan daripada al-Zuhri katanya: Orang itu terlupa apa yang diriwayatkan daripada Ibn Umar tentang hal tersebut.
Al-Nasa’ie meriwayatkan daripada Abu al-Nadr bahawa dia berkata kepada Nafi’ maula Ibn Umar: “Banyaknya orang menyebut bahawa engkau mengatakan Ibn Umar memfatwakan bahawa dia boleh menyetubuhi wanita melalui dubur mereka.”
Nafi’ menjawab: “Mereka berbohong terhadapku. Biar aku ceritakan tentang kedudukan sebenar.”
Pada suatu hari Ibn Umar membuka mushaf, tatkala itu aku ada di sisinya, sehingga apabila dia membaca sampai ayat isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu suka.
Beliau berkata: Wahai Nafi’. Tahukah kamu kisah di sebalik ayat ini? Aku menjawab: Tidak. Katanya: Dahulunya kami orang Quraisy mendatangi wanita (seperti biasa kami lakukan). Apabila kami masuk ke Madinah dan mengahwini wanita-wanita Ansar, kami pun mahu melakukan kepada mereka seperti yang kami mahukan daripada isteri kami dahulu.
Tetapi mereka tidak suka perbuatan itu dan menganggapnya sebagai satu perkara yang besar, kerana wanita-wanita Ansar hanya didatangi (disetubuh) dari arah tepi mereka.
Lalu Allah menurunkan ayat: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu suka.
Al-Qadhi mengatakan: Aku bertanya kepada Imam al-Qadhi al-Tusi tentang persoalan ini.
Lalu dia menjawab: Tidak boleh sama sekali menyetubuhi perempuan pada duburnya. Allah mengharamkan faraj ketika haid disebabkan najis yang datang sekali sekala, maka lebih utama diharamkan dubur dengan sebab najis yang biasa datang.
Firman Allah: …Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
Dan di sini kita dapat melihat samahah/toleransi Islam yang menerima insan mengikut apa yang ada padanya, iaitu ia menerima insan dengan segala keinginan, kecenderungan dan keperluannya, dan Islam tidak pernah mencuba menghancurkan fitrah insan atas nama peningkatan dan pembersihan diri dan tidak pernah memandang kotor kepada keperluan seks yang tidak dapat dielak olehnya.
Malah pada hakikatnya ia ditaklifkan dengan keperluan-keperluan seks itu untuk kepentingan hayat, untuk kesinambungan dan kesuburannya, malah apa yang diusahakan oleh Islam ialah menegakkan insaniahnya dan meningkatkannya dan menghubungkannya dengan Allah ketika ia menyahuti dorongan jasaniahnya dan meningkatkan dan menghubungkannya dengan Allah ketika ia menyahuti dorongan jasmaniahnya.
Islam berusaha mencampurkan di antara dorongan jasmani dengan perasaan-perasaan insaniah pada mulanya dan dengan kesedaran keagamaan yang halus pada akhirnya.
Ia mencampurkan di antara keduanya dalam satu ketika, dam satu harakat dan dalam satu tujuan, iaitu percampuran yang sebati pada diri manusia itu sendiri, yang menjadi khalifah Allah di buminya.
Dan manusia memang layak menjadi khalifah Allah kerana di dalam tabiat dan di dalam dirinya telah dipasang dengan kekuatan-kekuatan dan daya-daya tenaga yang cukup. Yang demikian itu hanya Allah sahaja yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.
Al-Sonhaji berkata: Sesungguhnya akan menjadikan berita gembira bilamana orang-orang beriman mengetahui bahawa Allah akan memuliakan mereka.
Iktibar Ayat
* Keperluan perkahwinan antara lain melahirkan zuriat yang soleh dan juga mengawal nafsu dengan mengikut acuan syarak.
* Bertakwa kepada Allah merupakan kemuncak untuk mendapat kebahagiaan.
No Comment
Post a Comment