Tadarus al-Quran
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Al-Quran yang merupakan kitab Allah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w menjadi kitab suci dan pedoman serta hidayat kepada umat Islam yang mengambilnya. Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, umat Islam digalakkan membaca, tadabbur, mengkaji dan mengamali al-Quran.
Hal ini dilakukan oleh Salaf As-Soleh. Ada yang khatam al-Quran sekali bagi Ramadan, ada yang dua, tiga, empat, lima, enam, 10, 15 dan 30 kali khatam al-Quran pada bulan Ramadan.
Menariknya Imam Syafie seperti yang dinukilkan mengkhatamkan 60 kali al-Quran pada bulan Ramadan. Ini semua menunjukkan betapa mereka menggunakan semaksimum mungkin masa Ramadan untuk beribadat dan beramal soleh bagi menambahkan lagi pahala mereka di sisi Allah s.w.t.
Tadarus dengan maksud membaca dan mengkaji serta mempelajari al-Quran kerana mutiara hikmahnya dan kandungannya besar kelebihannya. Dengan sebab itu bagi mereka yang melihatnya sudah pasti mendapat banyak ilmu dan makrifah yang tiada ternilai kerana ia daripada Allah yang bersifat Maha Mengetahui.
Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Ayat-ayat Allah s.w.t ada dua jenis. Pertama di sebut sebagai ayat-ayat takwiniyah, dan yang kedua disebut ayat-ayat tanziliyah.
Pertama: ayat-ayat takwiniyah ertinya tanda-tanda kekuasaan Allah di alam ini, yang ada di dalam diri manusia, ufuk yang dihamparkan di setiap tempat untuk membawa manusia kepada-Nya dan memberikan petunjuk kepada mereka tentang keberadaan-Nya.
Sungguh aneh jika ada yang mengira jumlah tuhan atau bagaimana mungkin ada orang mengingkarinya? Dalam setiap gerakan dan dalam setiap diam Allah mempunyai saksi, dalam segala sesuatu Allah mempunyai ayat yang menunjukkan bahawa Dia adalah satu. Ayat-ayat Allah dan tanda-tanda kekuasaan-Nya bertebaran. Ibadurrahman dan orang-orang yang beriman memberikan reaksi dalam menghadapi ayat-ayat itu, seperti yang difirmankan Allah s.w.t.
Kedua: Adapun ayat-ayat tanziliyah ialah yang diturunkan kepada para rasul-Nya berupa ayat-ayat wahyu, yang disudahi Allah dengan al-Quran al-Karim. Allah s.w.t menampakkan diri kepada hamba-hamba-Nya melalui kalimat-kalimat-Nya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk memimpin manusia kepada-Nya dan agar hati mereka terbuka.
As-Syahid Hasan Al-Banna berkata: Al-Quran adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu di dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah dengan cara membacanya.
Dalam sebuah hadis Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tidak berhenti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun dijulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi Alif (satu huruf), Laam (satu huruf) dan Miim (satu huruf)”. (Riwayat al-Hakim).
Dalam wasiat Rasulullah s.aw kepada Abu Zar r.a yang bermaksud: “Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama dengan malaikat yang mulia dan setia. Sementara orang yang membaca al-Quran dengan terpaksa bersusah-payah akan mendapat dua ganjaran. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah sering menggalakkan para sahabat membaca al-Quran. Baginda menentukan kedudukan seseorang berdasarkan hafalan al-Qurannya. Baginda menasihatkan orang yang tidak mampu membacanya agar mendengar dan cuba memahami supaya dia masih memperoleh keberkatan hubungan rohani bersama kitab Allah.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendengar sepotong ayat kitab Allah akan dituliskan untuknya ganjaran yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya dia akan memperoleh cahaya di hari kiamat”.
Dalam hadis Abu Hurairah r.a katanya yang bermaksud: “Suatu ketika Rasulullah mahu mengutuskan sekumpulan utusan yang agak ramai. Baginda telah meminta mereka membaca. Baginda meminta setiap orang membaca iaitu membaca al-Quran yang mereka hafal. Lalu baginda bertemu dengan seorang lelaki yang paling muda usianya di kalangan anggota utusan itu dan baginda bersabda: “Apakah yang ada bersamamu wahai fulan?” Jawab pemuda itu: “Saya hafal ini dan ini serta surah al-Baqarah”. Baginda bertanya: “Apakah benar anda menghafal surah al-Baqarah?” Lelaki itu menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Berangkatlah dan engkau adalah ketua mereka”. (Riwayat al-Tirmizi dan katanya: Hadis ini hadis hasan)
Generasi silam yang soleh (semoga Allah meredai mereka) amat memahami kelebihan al-Quran dan kelebihan membacanya. Oleh itu mereka menjadikan al-Quran sebagai sumber undang-undang mereka, perlembagaan hukum mereka, hiasan hati mereka, wirid dalam ibadat mereka. Mereka membuka hati mereka dengan sepenuhnya untuk menerima al-Quran. Mereka meneliti al-Quran dengan sanubari mereka.
Nilai-nilai al-Quran yang mulia sebati dalam roh mereka. Oleh kerana itu Allah memberi mereka ganjaran di dunia apabila mereka menerajui kekuasaan dunia dan di akhirat pula mereka akan mendapat ganjaran yang gemilang.
Malangnya kita mengabaikan al-Quran hingga menyebabkan kita terpaksa menanggung kehinaan di dunia dan pegangan agama yang longgar.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Saya ditunjukkan ganjaran-ganjaran umat saya termasuklah habuk yang dibuang oleh seorang lelaki dari dalam masjid. Saya juga ditunjukkan dosa-dosa umat saya dan saya dapati tidak ada dosa yang lebih besar selain kerana satu surah al-Quran atau sepotong ayat yang diberikan kepada seorang lelaki lalu dia melupakannya”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh itu marilah kita membaca al-Quran dan bertadarus dengannya. Ini kerana al-Quran sebagai mukjizat yang terbesar dan paling agung bagi Muhammad s.a.w. dengan sebab itulah Muhammad Iqbal pernah berkata: “Tidak ada satupun nasihat yang lebih berharga daripada nasihat yang disampaikan ibu kepadaku selagi aku masih kecil”. Ibuku berkata: “Hai anakku, bacalah al-Quran yang seakan-akan al-Quran itu diturunkan kepadamu”.
No Comment
Post a Comment