Haram menikahi wanita musyrik

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sayid Qutub berkata: Pernikahan atau perkahwinan merupakan hubungan yang paling mendalam, paling kuat dan paling kekal yang mengikatkan di antara dua manusia. Hubungan ini meliputi sambutan-sambutan dan penerimaan timbal-balik yang paling luas yang dilakukan oleh dua manusia itu.

Oleh sebab itu hubungan ini memerlukan kepada perpaduan hati dan titik pertemuannya dalam satu ikatan yang tidak terhurai lagi. Untuk mencapai perpaduan hati, pastilah kedua-duanya bersatu di atas satu akidah dan tujuan hidup, kerana akidah merupakan sesuatu yang paling mendalam dan luas mengimarahkan jiwa manusia.

Akidahlah yang mempengaruhi jiwa manusia, menyesuai dan menentukan perasaan-perasaannya, penerimaannya dan seterusnya akidahlah yang menentukan perjalanan dalam seluruh kehidupan.

Firman Allah: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah: 221)

Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik.

Mengikut pandangan ulama tafsir ayat ini diturunkan kepada seorang sahabat Nabi yang bernama Marsad bin Abi Marsad yang diutuskan oleh Rasulullah ke Mekah. Kemudian beliau bertemu dengan seorang perempuan musyrik yang rupawan yang bernama Anaq sehinggalah apabila beliau meminta izin kepada Rasulullah untuk berkahwin dengannya yang musyrik itu lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat ibn Abbas.

Pendapat kedua menyatakan bahawa Abdullah bin Rawahah memukul hamba perempuannya sedangkan beliau seorang yang rajin solat, puasa dan lain-lain. Akhirnya Abdullah mengadu kepada Rasulullah dan Rasulullah bersabda: “Hai Abdullah! Ini perempuan Mukmin”.

Akhirnya Abdullah berkata, demi yang membangkit kamu dengan kebenaran aku akan merdekakannya dan kahwinkannya menyebabkan orang Islam menghinanya. Lantas turun ayat ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Suddi.

Firman Allah s.w.t: Sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Terdapat dua pandangan:

Pertama: Dengan sebab cantik dan jelitanya.

Kedua: Dengan sebab keturunannya.

Firman Allah s.w.t: Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

Al-Sonhaji berkata: Ayat ini pula ditujukan kepada orang yang menjadi wali kepada perempuan di dalam akad nikah. Adalah dilarang menikahkan perempuan-perempuan Islam kepada orang-orang musyrik, sehingga mereka mereka itu beriman. Dan mengahwinkannya kepada seorang hamba yang Mukmin lebih baik di sisi Allah daripada mengahwinkannya kepada seorang merdeka tetapi musyrik (kafir) walaupun ia berkelebihan kerana hartanya, berbangsa, atau elok rupanya atau apa jua pun keistimewaannya yang ada padanya, tidak dapat menandingi seorang hamba yang Mukmin di sisi Allah.

Firman Allah s.w.t: (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya.

Ini kerana orang musyrikin sifatnya sentiasa mengajak ke arah neraka sama ada dari segi perkataan atau perbuatan apatah lagi dengan sebab hubungan kekeluargaan hubungan suami isteri yang memberi kesan yang besar. Sebaliknya Allah menyeru orang yang beriman ke arah syurga dan juga keampunan dengan izin dan taufik-Nya.

Firman Allah s.w.t: Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).

Al-Maghari berkata: Dia menjelaskan segala dalil pada hukum syariat bagi manusia sehingga hikmah dan faedahnya. Mudah-mudahan mereka mengambil iktibar.

Permasalahan Hukum

Apakah boleh mengahwini wanita musyrik dan ahli kitab?

Ibn al-Arabi berkata: Terdapat tiga pendapat tentang ayat tersebut:

Tidak harus melakukan akad nikah dengan wanita musyrik sama ada dia ahli kitab atau bukan ahli kitab. Pendapat ini dikatakan oleh Umar melalui salah satu riwayat yang dilaporkan daripadanya. Ia dipilih oleh Imam Malik dan al-Syafie tetapi dengan syarat wanita itu seorang hamba.

Yang dimaksudkan, ialah larangan menyetubuhi mereka yang tidak mempunyai kitab seperti penganut agama Majusi dan orang Arab. Ini adalah pendapat Qatadah.

Ayat ini dimansuhkan dengan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 yang bermaksud: …dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dalam kalangan orang yang diberikan kitab dahulu daripada kamu.

Al-Qadhi berkata: Kami belajar dengan Syeikh al-Imam Fakhrul Islam Abu Bakar bin Muhammad bin Ahmad bin al-Hassan al-Syasyi di Madinah al-Salam. Dia ada berkata: Abu Hanifah berhujah menunjukkan kebenaran mengahwini hamba wanita ahli kitab dengan firman Allah yang bermaksud: “…dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik”.

Alasan pendalilannya ialah Allah memberikan pilihan berkahwin dengan hamba wanita yang beriman atau hamba perempuan musyrik. Kalaulah mengahwini hamba perempuan yang musyrik tidak diharuskan tentulah Allah tidak memberi pilihan antara kedua-duanya. Ini kerana pemilihan adalah bagi dua perkara yang harus, bukan antara yang harus dan yang dilarang, dan bukan antara dua perkara yang berlawanan.

Tidakkah anda memerhatikan bahawa anda tidak mungkin mengatakan “madu lebih manis daripada cuka”. Jawapan kepada kenyataan ini daripada tiga sudut:

Adalah harus dibuat pilihan antara dua perkara yang berlawanan dari segi bahasa dan plot al-Quran, kerana Allah menyebutkan dalam surah al-Furqan, ayat 24 yang bermaksud: Ahli-ahli syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya. Padahal ahli neraka tidak ada kebaikan langsung.

Dalam suratnya kepada Abu Musa, Umar r.a. menyebut, “Berpatah balik kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan”.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik. Oleh sebab itu tidak harus perempuan beriman berkahwin dengan hamba abdi lelaki yang musyrik, maka begitulah juga tidak harus lelaki Muslim berkahwin dengan wanita musyrik.

Hal ini disebabkan kalau satu bahagian ayat ini menunjukkan suatu maksud maka bahagian yang satu lagi juga menunjukkan maksud yang sama, kerana kedua-dua bahagian ini diterangkan oleh ayat berkaitan satu perkara.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hamba perempuan, yang dimaksudkan bukanlah hamba abdi milik manusia, tetapi ia dimaksudkan sebagai wanita keturunan Adam. Semua anak Adam adalah hamba Allah sama ada lelaki atau perempuan. Pendapat ini dikatakan oleh Qadi Basrah Abu Bakar al-Jurjani rahimahullah.

Dahulu pertumbuhan pertama kelompok Muslimin di Mekah pada mulanya tidak membenarkan adanya perpisahan sosial dan tegas dari kaum musyrikin seperti perpisahan dari akidah yang wujud di dalam jiwa orang-orang Islam.

Ini disebabkan kedudukan sosial berasingan yang memerlukan kepada masa dan kepada penyusunan yang beransur-ansur. Tetapi oleh sebab Allah mahukan kelompok Muslimin mempunyai kedudukan yang merdeka di kota Madinah, di mana ia mempunyai perbezaan keperibadian sosialnya di samping mempunyai perbezaan keperibadian akidahnya, maka satu penyusunan yang baru mula dibuat.

Ayat ini diturunkan bagi mengharamkan sebarang perkahwinan yang baru di antara orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin. Adapun perkahwinan yang telah sedia wujud, maka perkahwinan itu terus dikekalkan sehingga kepada tahun yang keenam Hijrah di mana turun di Hudaibiah ayat dari surah al-Mumtahanah.

Iktibar Ayat

* Tidak boleh berkahwin dengan orang musyrik sama ada lelaki atau perempuan.

* Kebaikan dan kelebihan seseorang bukan berdasarkan zahir semata-mata, tetapi kepada iman dan takwa.

* Fungsi ayat Allah menjelaskan kepada manusia supaya mereka mengambil peringatan dan iktibar.


No Comment

Post a Comment