Kita digalak infak di jalan Allah
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
FIRMAN Allah s.w.t., Hai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafaat.
Dan orangorang kafir. Itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)
SYEIKH Sya’rawi berkata: “Dengan pengorbanan manusia sama ada jiwa raga atau harta benda seperti ayat-ayat terdahulu maka amat munasabah dibincangkan di sini berkenaan nafkah khususnya pada zaman dahulu orang yang berperang akan menyediakan peralatan perang sama ada kudanya, lembing, pedang dan alat-alat panah. Semuanya itu memerlukan kepada nafkah”.
Allah membicarakan hal ini kerana untuk mengekalkan keimanan yang digambarkan pada manhaj langit yang dibawa oleh rasul-rasul supaya manhaj ini sentiasa kekal di bumi sehingga manusia kembali padanya.
Sayyid Qutub berkata: “Oleh sebab itulah selepas pembicaraan mengenai perselisihan dan peperangan itu ayat yang berikut diiringi seruan, “Wahai orang-orang yang beriman!” Ia mengajak mereka mengeluarkan infak di jalan Allah daripada sebahagian rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka. Infak itu gambaran jihad dan nadi jihad”.
Firman Allah: Hai orang-orang yang beriman.
Sayyid Qutub berkata: Itulah seruan dengan menyebut sifat yang sangat disukai oleh orang-orang yang beriman, iaitu sifat beriman yang menghubungkan mereka dengan Allah yang menyeru mereka dan yang dipercayai oleh mereka.
Itulah seruan kepada infak di jalan Allah dengan menghulurkan sebahagian dari rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka, kerana Allahlah yang memberi dan Dialah juga yang menyeru supaya membelanjakan apa yang telah diberikanNya (ke jalan Allah).
Firman Allah, Belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah kami berikan kepadamu.
Al-Baghawi menaqalkan pendapat As-Suddi dengan berkata: “Dikehendaki dengannya zakat yang difardukan. Pendapat yang lain pula dengan maksud sedekah sunat dan nafkah pada kebaikan”.
Sayyid Qutub berkata: “Itulah seruan merebut suatu peluang yang andainya terluput daripada mereka ia tidak akan kembali lagi”.
Firman Allah: Sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi syafaat.
Menurut Hamka: “Sekalipun engkau bersahabat karib dengan seorang yang hebat dalam agama, ia tidak akan membantumu atau mensyafaatkanmu di waktu itu supaya Allah meringankan azab terhadap kesalahanmu. Yang hanya dapat melindungimu di akhirat kelak ialah keinsafan sekarang. Harta benda yang telah dikurniakan Allah s.w.t. kepada kita bukanlah milik kita sepenuhnya walaupun setelah kita mengakui keimanan terhadap Allah”.
Orang yang beriman pasti mengakui keimanannya dan sekiranya dia bakhil tanda imannya telah tercalar.
Watak manusia ada dua: Sesetengah orang menamakannya dengan kata rayuan, ajakan halus yang dinamakan sebagai galakan. Maka pada ayat 245 kepada orang yang halus begini Tuhan berkata lain.
Tuhan bertanya: Siapakah gerangan yang sudi membuat pinjaman dengan Tuhan dengan satu pinjaman yang baik? Agar kelak dibayar dengan ganjaran yang berlipat kali ganda? Dan dengan halus pula Tuhan mengakui bahawa Dia kadang-kadang memberi dengan anugerah dengan lebar dan kadang-kadang dengan berbatas-batas. Namun semuanya akan kembali kepada Tuhan jua.
Namun di ayat yang tengah ini kita membicarakan Tuhan bukan bersabda ‘meminjam’. Sebab ada orang yang banyak mendengar kata demikian. Ayat ini memperingatkan bahawa rezeki yang kamu pakai dan makan itu daripada Tuhan asalnya: Razaqnakum. Kami kurniakan kepada kamu. Ayat ini bukan ancaman lagi melainkan sesudah ancaman. Tidak dipujuk rayu tetapi sebagai ancaman. Kalau kamu mengakui beriman, padahal kamu bakhil dan yang akan kamu keluarkan itu bukan milik kamu melainkan anugerah Allah. Maka berwaspadalah kamu di hadapan Allah kelak.
Sayyid Qutub berkata: “Itulah peluang dan kesempatan yang tiada lagi selepasnya – jika mereka kehilangannya – sebarang jual beli yang memberi keuntungan dan sebarang persahabatan atau pertolongan yang dapat menghindarkan mereka dari akibat kegagalan dan kecuaian itu”.
Ayat yang berikut memberi isyarat kepada mauduk infak yang kerananya Allah menyeru mereka supaya membelanjakan harta mereka, iaitu mauduk infak kerana jihad di jalan Allah untuk menolak kekafiran dan menolak kezaliman yang wujud di dalam kekafiran itu.
Firman Allah: Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim.
Sayyid Qutub berkata: Mereka telah menzalimi kebenaran kerana itulah mereka mengingkarinya. Mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan meletakkan diri mereka di jalan kebinasaan. Mereka menzalimi orang ramai dengan perbuatan mereka menghalang mereka dari mendapat hidayat dan menindas mereka supaya meninggalkan keimanan. Melakukan pengeliruan dan pemalsuan terhadap mereka dan menafikan mereka dari kebajikan iman yang tiada tolok bandingnya, iaitu kebajikan mendapat kedamaian, rahmat, ketenteraman, kebaikan dan keyakinan.
Orang inilah musuh manusia yang paling jahat dan paling zalim. Oleh itu, kewajipan manusia ialah memburu mereka sehingga mereka menjadi lemah daripada melakukan kezaliman itu.
Al-Maghari berkata: “Iaitu mereka yang meninggalkan zakat merupakan yang menzalimi mereka sendiri. Ini kerana mereka meletakkan harta pada bukan tempatnya dan membelanjakannya bukan kerana Allah. Dengan sebab itulah Allah menamakan mereka sebagai kafir untuk memberi ancaman dan peringatan”.
Al-Nasafi berkata: “Mereka menjadi zalim kerana meninggalkan apa yang patut didahulukan bagi hajat-hajat mereka atau orang kafir pada hari ini merekalah yang zalim. Tiada jual beli padanya, rakan taulan dan pemberi syafaat sama ada orang Mekah atau orang Basrah”.
Iktibar Ayat:
* Seruan dengan orang yang beriman sebagai satu kemuliaan untuk melaksanakan arahan Allah s.w.t.
* Hari akhirat adalah hari di mana segala harta benda dan rakan-rakan taulan tidak boleh menyelamatkannya kecuali iman dan amal solehnya.
* Kezaliman adalah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya apatah lagi membabitkan permasalahan akidah.
* DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI ialah pensyarah Fakulti Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM) Nilai.
No Comment
Post a Comment