Yang baik akan kalahkan kejahatan

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah s.w.t., Dan apabila mereka (yang beriman) itu keluar menentang jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kepada kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir”.

Mereka (tentera Thalut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah dan Nabi Daud yang turut serta dalam tentera Thalut membunuh Jalut dan sesudah itu Allah memberikan kepadanya kuasa pemerintahan dan hikmah serta diajarkannya apa yang dikehendakinya.

Dan kalaulah Allah tidak menolong setengah manusia dengan setengahnya yang lain nescaya rosak binasalah bumi, akan tetapi Allah sentiasa melimpahkan kurnia- Nya kepada sekelian alam. Itu adalah ayat-ayat dari Allah, kami bacakan kepadamu dengan hak (benar) dan sesungguhnya kamu benar-benar salah seorang di antara nabi-nabi yang diutus. (al-Baqarah: 250-252)

AS-SYA’RAWI berkata: “Inilah gambaran keimanan tribulasinya bagi siapa yang hendak berhadapan dengan musuh. Berdoa seraya berkata: “Hai Tuhan kami” dan tidak berkata: “Ya Allah!” Tetapi berkata: “Hai Tuhan kami” kerana sifat rab yang menjaga tarbiah dan kurniaan. Sedangkan tuntutan kalimah bagi Allah adalah perhambaan dan taklif”.

Firman Allah, Dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.

Sayyid Qutub berkata: “Ungkapan ini menggambarkan kedudukan mereka yang jelas iaitu keimanan menentang kekafiran dan kebenaran menentang kebatilan. Ia merupakan doa kepada Allah agar membantu para hamba kesayangannya yang mukmin untuk mengalahkan musuh mereka yang kafir.

“Tidak ada apa-apa keraguan di dalam hati nurani mereka dan tidak ada apa-apa kekeliruan dalam kefahaman dan pandangan mereka, tidak ada apa-apa keraguan terhadap keikhlasan tujuan perjuangan mereka dan terhadap kejelasan jalan yang diambil mereka. Hasil perjuangan itu ialah hasil perjuangan yang diduga dan diyakini oleh mereka”.

Firman Allah: Mereka (tentera Thalut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah.

Sayyid Qutub berkata: “Hakikat kemenangan ini telah ditekankan dengan ungkapan ‘dengan keizinan Allah’ supaya diketahui oleh orang-orang yang beriman atau supaya menambahkan pengetahuan mereka dengan kenyataan ini, juga supaya jelaslah satu kefahaman yang sempurna terhadap hakikat yang berlaku di alam buana ini dan terhadap hakikat kekuatan yang menjalankan alam buana ini.

“Kepada mukmin ini merupakan seolah-olah tabir kudrat, di mana Allah melakukan terhadap mereka apa yang dikehendaki olehnya dan Allah melaksanakan dengan perantaraan mereka apa yang dipilih olehnya dengan keizinan-Nya. Mereka tidak mempunyai apa-apa saham di dalam urusan itu dan tidak pula mempunyai apa-apa daya dan kekuatan, tetapi Allah memilih mereka untuk melaksanakan kehendak masyi’ah-Nya agar berlakulah dari mereka sesuatu yang dikehendaki-Nya dengan keizinan-Nya.

“Inilah hakikat yang seharusnya membuat hati setiap mukmin dipenuhi kedamaian, ketenangan dan keyakinan bahawa dia adalah hamba kesayangan Allah. Di samping itu ia yakin pula terhadap keluhuran matlamat, kebersihan jalan perjuangan, kerana dalam semua tindak-tanduknya ini ia tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri sendiri, malah dia hanya melaksanakan kehendak Allah.

“Semuanya ini memerlukan kepada niat yang baik dan keazaman yang kukuh untuk terus taat dan bertawajjuh kepada Allah dengan penuh keikhlasan”.

Al-Sonhaji berkata: “Untuk mengekalkan perjalanan sunnah Allah, supaya al-a’min tidak binasa sehingga sampai kepada saat kebinasaannya, Allah mentadbirkan setengah manusia menentang setengah yang lainnya yang mukmin dan taat mengalahkan yang kafir dan derhaka.

“Yang baik dan berbudi mengalahkan yang jahat dan pembuat kerosakan. Jika mereka dibiarkan, nescaya akan bermaharajalela, dan dengan demikian binasalah bumi ini. Tetapi dengan kurniaan Allah, seluruh alam dapat mengecap nikmat-Nya”.

Firman Allah, Dan Nabi Daud yang turut serta dalam tentera Thalut membunuh Jalut dan sesudah itu Allah memberikan kepadanya kuasa pemerintahan dan hikmah serta diajarkannya apa yang dikehendakinya. Dan kalaulah Allah tidak menolong setengah manusia dengan setengahnya yang lain nescaya rosak binasalah bumi, akan tetapi Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada sekelian alam.

Hamka berkata: “Kemenangan Bani Israel kembali setelah beberapa tahun lamanya telah diperintah oleh orang Palestin. Demikian adalah suatu yang lumrah dalam pergaulan hidup. Kehidupan di dunia ini adalah ibarat sebuah pertarungan si kuat dengan si lemah. Sekiranya si lemah tidak dapat bertahan, dia akan dikalahkan oleh si kuat.

Ayat ini menegaskan hal itu dengan jelas dan benar. Apa yang dinamakan sekarang sebagai ‘perjuangan untuk hidup’ atau struggle for life sudah ada sejak zaman purba dan diakui adanya oleh al-Quran. Ayat ini dan beberapa ayat yang lain telah menjelaskannya”.

Firman Allah: Itu adalah ayat-ayat dari Allah, kami bacakan kepadamu dengan hak (benar) dan Sesungguhnya kamu benar-benar salah seorang di antara nabi-nabi yang diutus.

Ibnu Kathir berkata: “Ayat-ayat Allah ini yang kami kisahkan terhadapmu daripada perkara yang kami sebutkannya dengan sebenar. Kebetulan dengan apa yang ada ditangan ahli kitab seperti mana yang diketahui oleh ulama Bani Israel. Dan sesungguhnya kamu hai Muhammad adalah benar-benar di kalangan Rasul yang diutuskan”.

Sayyid Qutub berkata: “Maksudnya itulah ayat-ayat yang amat tinggi darjatnya dan amat jauh maksudnya yang kami ‘bacakannya kepadamu’. Yakni Allah s.w.t.sendiri yang membacanya. Itulah kenyataan yang amat besar apabila manusia memikirkan hakikatnya yang amat dalam dan hebat”.

Al-Sonhaji berkata: “Allah berfirman yang bermaksud: Itu adalah ayat-ayat dari Allah, kami bacakan kepadamu dengan hak (benar). Yakni: Semua kisah tersebut, adalah sebenar-benar kisah yang mesti diyakini, tidak sekali-kali boleh diragukan, kerana tercatat di dalam kitab-kitab mereka (yahudi)”.

Dan Allah melanjutkan firmannya yang bermaksud, Dan Sesungguhnya kamu benar-benar salah seorang di antara nabi-nabi yang diutus.

Yakni: dalam keadaan engkau (Muhammad s.a.w) buta huruf, tidak tahu membaca kitab-kitab mereka. Dapat pula engkau ceritakan kepada mereka tentang kisah orang zaman dahulu. Ini menunjukkan apa yang engkau ceritakan itu adalah wahyu daripada Allah dan engkau menjadi pesuruh-Nya.

Iktibar Ayat:

* Allah boleh mengurniakan kemenangan kepada siapa yang dikehendaki.

* Hikmah dan kerajaan merupakan milik Allah yang boleh dikurniakan kepada yang dikehendaki.

* Kita beriman bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang daripada rasul-rasul yang diutuskan.


No Comment

Post a Comment