Sedekah cara sembunyi lebih afdal
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Al-MaghaRi berkata, ayat ini menunjukkan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dinafkahkan oleh manusia dan akan membalasnya sama ada ia sesuatu perbuatan baik atau jahat. Seterusnya Allah menceritakan jalan dan cara untuk memberi sedekah, sama ada secara sembunyi atau terang-terangan dengan penerangan tindakan manakah yang paling afdal.
Firman Allah SWT: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.
Ibn al- Saib berkata, Allah menurunkan ayat 270 daripada surah al-Baqarah kerana sebelum ini orang Islam bertanya, “Hai Rasulullah, sedekah yang sembunyi lebih afdal atau secara terang -terangan?” Lantas turunnya ayat ini.
Al-Baghawi berkata, sama ada kamu zahirkan pemberian atau sembunyikannya, ia tetap sesuatu yang baik bagi kamu dan setiap yang diterima bergantung kepada niat yang benar. Akan tetapi sedekah dengan cara sembunyi adalah lebih baik. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: Sedekah secara sembunyi boleh memadam kemarahan Tuhan.
Mengikut sabda Rasulullah SAW: Orang yang membaca al-Quran yang kuat sama seperti orang sedekah secara terang. Dan orang yang memperlahankan samalah seperti yang sembunyi dalam sedekah.
Justeru kata Ibn Kathir, sembunyikan sedekah lebih afdal bersandarkan ayat ini kerana ia lebih jauh daripada berlakunya riak dan membawa kepada penzahiran yang boleh mendatangkan maslahat yang berat seperti manusia mengikut dan bercontoh dalam sedekah.
Sayyid Qutub berkata: “Ayat ini mengandungi dua keadaan sedekah dan setiap keadaan disesuaikan dengan cara penangannya dan kedua-duanya diberi kepujian pada tempat masing-masing dan kedua-keduanya dijanjikan dengan penghapusan dosa.”
Firman Allah SWT: Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu.
Ibn Jauzi berkata, perkataan min (dalam ayat ini) mempunyai maksud daripada mempunyai dua pendapat ulama:
lIa adalah tambahan.
lIa termasuk untuk sebahagian.
Abu Sulaiman al-Dimasqi berkata, wajah hikmah pada demikian itu bahawa hamba-hamba merasa takut dan malu.
Sayyid Qutub berkata: “Kemudian ayat yang berikut merangsangkan di dalam hati mereka perasaan taqwa dan perasaan segan melakukan dosa di satu aspek dan merangsangkan perasaan ketenteraman dan ketenangan di satu aspek yang lain, dan menghubungkan hati mereka dengan Allah tentang niat dan tindak-tanduk mereka dalam segala keadaan”.
Firman Allah SWT: Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Ibn Kathir berkata, tiada sesuatu
pun yang sembunyi daripada pengetahuan Allah dan pasti ada yang membalasnya.
Sayyid Qutub berkata: Kita pastilah memerhatikan bagaimana al-Quran memberi bimbingan dan arahan yang panjang lebar mengenai infak dan bagaimana ia menggunakan berbagai-bagai cara galakan dan ancaman mengenainya supaya kita dapat memahami dua perkara (yang penting):
lMemahami betapa jauhnya pandangan Islam terhadap tabiat manusia dan perasaan tamak dan bakhil yang mengongkong jiwa, juga terhadap perlunya tabiat manusia itu digerak dan dirangsangkan secara berterusan supaya ia dapat mengatasi perasaan tamak dan dapat membebaskan dirinya daripada perasaan kikir dan bakhil dan dapat meningkat ke tahap yang luhur yang dikehendaki Allah.
lMemahami tabiat manusia yang dihadapi oleh al-Quran, iaitu tabiat manusia yang wujud di dalam masyarakat Arab yang amat dikenali umum sebagai murah hati dan dermawan, tetapi kemurahan dan dermawan itu adalah bertujuan untuk mendapat kemasyhuran dan sanjungan manusia agar berita-berita kemurahan mereka menjadi berita-berita yang dipindah-pindahkan ke merata perkhemahan.
Oleh itu bukanlah menjadi satu perkara yang mudah kepada Islam untuk mengajar mereka bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan semua ini, iaitu bersedekah kerana Allah semata-mata bukannya kerana manusia. Sudah tentu perkara seperti ini memerlukan kepada didikan dan asuhan yang lama, usaha-usaha yang banyak dan seruan-seruan yang berterusan ke arah keluhuran jiwa, keikhlasan dan kebersihan dan semuanya telah berlaku.
Iktibar Ayat:
lSyeikh Sya’rawi berkata, dengan mengkaji ayat-ayat infak kita dapati bahawa Allah menghalal di hadapan nafsu manusia setiap tingkap-tingkap kedekut dan memotong daripadanya setiap jalan yang membawa kepada kebakhilan dengan kurniaan Allah.
lKelebihan sedekah secara sembunyi.
lMengisbatkan sifat Allah dengan Maha Mengetahui.
No Comment
Post a Comment