Islam benar tangguh bayar hutang

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT : Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui. (al-Baqarah: 280)

SAYYID Qutub berkata: “Ayat yang berikut menjelaskan hukum-hukum hutang yang sukar untuk mendapat bayarannya. Cara melayani hutang yang seperti ini bukannya mengenakan riba tangguh bayaran, iaitu melanjutkan tempoh bayaran dengan mengenakan bayaran yang lebih, tetapi enggan melanjutkan tempoh bayaran sehingga kepada waktu kelapangan membayarnya di samping menggalakkan kepada amalan menyedekahkan hutang itu kepada mereka yang ingin mendapat kebajikan yang lebih sempurna.”

Firman Allah SWT: Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan.

Al-Mawardi berkata : Maksud ayat ini dengan dua pendapat ulama:

Pertama: Menangguhkan pembayaran hutang daripada orang yang susah adalah wajib pada hutang riba sahaja. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Syuraih

Kedua: Ia umum dan wajib beri penangguhan bagi semua hutang sebagaimana zahir ayat. Inilah pendapat Ata’ dan al-Dhahak.

Al-Nasafi berkata: “Jika berlaku orang yang berhutang dalam kesusahan maka hukumnya hendaklah ditakkhirkan pembayaran tersebut hingga waktu kemudahan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak berlalu hutang seorang lelaki Muslim maka ditakkhirkannya untuk menyenangkan yang berhutang kecuali baginya setiap hari sebagai sedekah.”

Al-Maraghi berkata, maksud ayat ini ialah jika orang yang berhutang sedang menanggung kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutangnya.

Sebuah hadis diriwayatkan, bahawa Bani Mughirah berkata kepada Bani Amr ibnu Umar seperti dalam kisah di atas, katanya: “Saat ini kami sedang menanggung kesulitan. Oleh sebab itu, berilah kami tempoh sampai musim memetik buah!” Akan tetapi mereka menolak permintaan ini. Lalu turunlah ayat tentang kisah mereka ini sebagaimana yang termaktub dalam dua ayat yang sebelum ini.

Begitu juga al-Baghawi menyebut kelebihan orang yang menolong mereka yang berhutang supaya ditakkhirkan pembayaran hingga waktu lapang.

Sayyid Qutub berkata: “Itulah toleransi yang murah hati yang dibawa oleh Islam kepada umat manusia. Itulah naungan yang teduh, yang memberi perlindungan kepada golongan manusia yang letih dan lesu di bawah naungan pancaran matahari nafsu tamak, bakhil dan rakus.

“Itulah bayangan rahmat kepada si pemberi hutang, kepada si yang berhutang dan kepada masyarakat yang melindungi mereka semua.”

Kita memang sedar bahawa kata-kata ini tidak memberi apa-apa erti kepada akal manusia yang hidup di bawah panas matahari jahiliah dan kebendaan sekarang ini. Kecapan harum manis daripada kata-kata ini tidak dirasai dalam hati mereka yang telah keras membatu itu terutama hati golongan pemakan riba yang buas, sama ada mereka terdiri daripada individu-individu yang berasingan di ceruk-ceruk negeri.

Mereka duduk bersimpuh menjilat-jilat bibir menunggu mangsa-mangsanya yang terdiri daripada insan-insan yang menderita akibat dilanda berbagai kesusahan.

Mereka amat memerlukan wang untuk membeli makanan, pakaian, ubat-ubatan atau pada sesetengah ketika memerlukan perbelanjaan untuk membiayai kos ketika berlaku kematian di kalangan ahli keluarga mereka, tetapi mereka tidak menemui seorang pun yang sanggup menghulurkan bantuan ikhlas kepada mereka.

Oleh itu, mereka terpaksa meminta pertolongan di sarang-sarang pemakan riba yang buas untuk mendapatkan wang sama ada mereka terdiri daripada individu-individu seperti ini atau mereka berada dalam bentuk institusi kewangan dan bank-bank ribawi. Mereka sama sahaja.

Cuma yang membezakan golongan yang akhir ini mereka berada di pejabat-pejabat yang indah dengan kerusi yang empuk dan di belakang mereka tersusun buku-buku teori ekonomi, karangan-karangan ilmiah serta buku-buku yang berkaitan dengan undang-undang dan lain-lain.

Seluruh siap siaga untuk menjustifikasi jenayah mereka dan melindungi mereka. Seterusnya menyalahkan sesiapa sahaja yang teragak-agak untuk membayar faedah riba kepada peti wang mereka atas nama undang-undang.

Firman Allah SWT: dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang ) itu lebih baik bagimu...

Al-Maraghi berkata: “Maksud ayat ini ialah kamu bersedekah kepada orang berhutang yang sedang menanggung kesulitan, dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi kamu dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT, daripada menunda masa pembayaran mereka.

Dalam ayat ini terdapat anjuran supaya memberi sedekah dan berlapang dada terhadap kesulitan si berhutang. Sikap berlapang dada ini mencerminkan kasih sayang dan kemurahan hati serta kebaikan seseorang kepada yang lain.

Oleh demikian akan terbina hubungan persaudaraan antara setiap individu, menjadikan ikatan yang kukuh di dalam masyarakat umat Islam dan mewujudkan sikap sama-sama berjuang demi kepentingan umum, seperti yang ditunjukkan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara bahagian dengan bahagian yang lainnya”.

Firman Allah SWT: jika kamu Mengetahui.

Hamka berkata: “Itulah lanjutan jiwa pembangunan jiwa masyarakat orang yang beriman. Alangkah baik dan mesranya, jika seseorang yang berhutang datang memohon maaf dan meminta tempoh agar sekalian bulan, lalu disambut oleh orang yang memberi hutang dengan perkataan: “Hutangmu itu telah aku halalkan, engkau tidak berhutang lagi denganku.” Dia berkata: Bahawa cara begini jika kamu fikirkan adalah lebih baik bagi dirimu sendiri. Dengan cara ini telah menaikkan darjat budimu. Ia akan berkesan dalam jiwamu sendiri, menjadi dermawan dan mengukuhkan ukhwah dengan orang yang berhutang.

Muhammad Quraish Syihab berkata: “Apabila ada seseorang yang berada dalam situasi sulit atau akan terjerumus dalam kesulitan bila membayar hutangnya, maka tangguhkan penagihan sampai ia lapang. Jangan menagihnya jika kamu mengetahui dia sempit, apalagi memaksanya membayar dengan sesuatu yang amat dia perlukan.

Rasulullah bersabda: Siapa yang menangguhkan pembayaran hutang orang yang berada dalam kesulitan, atau membebaskannya daripada hutangnya, maka dia akan dilindungi Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya (hari kiamat). (riwayat Imam Muslim.)

Al-Maraghi berkata: Maksud ayat ini pula ialah jika kamu sudah tahu bahawa menyedekahkan barang yang dihutangkan kepada si berhutang lebih baik daripada menunda pembayarannya, kerjakanlah dengan seikhlasnya dan berlapang dada terhadap saudaramu, serta pupuklah hati saudaramu dengan perasaan sayang dan belas kasihan.

Ayat ini menunjukkan kewajipan memberi kelonggaran kepada si berhutang yang sedang menanggung kesulitan sampai tiba masa dia dapat menunaikannya. Akan tetapi lebih baik kalau membebaskan dan menyedekahkan barang yang dihutangkan itu.


2 Comments

Allahmdulillah.. betul juga apa yang ana katakan kepada saudara ana...
ada dalil yang mengukuhkan apa yang ana katakan kepada saudara ana..

Alhamdulillah... ada ayat yang mengukuhkan apa yang ana katakan...
Jazakallah syeikh.. salam ukhwah dan salam ta'aruf..

Post a Comment