Keluarbiasaan alam akhirat
Al-Maraghi berkata: Kami tidak meminta dan mengharapkan balasan dan yang lain-lain daripadamu yang akan mengurangkan pahala.
Mujahid dan Said Ibnu Jubair berkata: Demi Allah! Mereka tidak mengatakan yang demikian itu dengan lisan akan tetapi Allah SWT mengetahui daripada hati mereka, lalu Allah SWT memuji mereka dengan yang demikian ia menjadi pendorong kepada orang yang ingin bersedekah.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu, Kami tidak menuntut kamu semua memberi balasan yang setimpal atasnya dan tidak juga meminta kamu berterima kasih di hadapan orang-orang kamu.
Sayid Qutub berkata: Itulah rasa belas kasihan yang lahir daripada hati mereka yang lemah-lembut dan yang sentiasa mencari keredaan Allah SWT.
Mereka tidak mengharapkan balasan dan terima kasih daripada makhluk. Mereka tidak bertujuan memperlihatkan kelebihan dan kemegahan mereka kepada orang-orang yang susah.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan (yang datang) daripada Tuhan kami. (al-Insaan: 10)
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya kami melakukan yang demikian ini supaya Tuhan mengasihi dan menerima kami dengan kelembutan-Nya pada hari yang muram dan amat kelam itu.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, kami lakukan perkara tersebut dengan harapan Allah akan memberi rahmat kepada kami dan menerima kami dengan penuh kelembutan pada hari di mana orang-orang tengah bermuka masam dan penuh kesulitan.
Sayid Qutub berkata: Dengan pemberian makanan kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan maka mereka berharap dapat melindungkan mereka daripada malapetaka kiamat yang sangat ditakuti itu.
Firman Allah SWT: Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. (al-Insaan: 11)
Al-Maraghi berkata: Allah SWT melindungi mereka daripada perkara yang ditakuti semasa di dunia iaitu kejahatan hari yang muram itu (dengan apa yang mereka lakukan) untuk mendapat keredaan Tuhan mereka. Allah SWT memberikan tanda cahaya pada wajah mereka dan kegembiraan di hati mereka.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu Allah SWT memberi rasa aman kepada mereka daripada apa yang mereka takutkan, memberikan kejernihan di wajah mereka dan kegembiraan di hati mereka.
Kebiasaannya apabila hati berasa gembira, wajahnya pula kelihatan ceria.
Kaab bin Malik berkata: "Apabila Rasulullah SAW berasa gembira, wajah baginda berseri-seri laksana cahaya bulan."
Sayid Qutub berkata: Ayat yang menyebut tentang mereka akan dikurniakan Allah SWT wajah yang berseri-seri dan hati yang gembira. Dan hari itu bukannya hari yang membuat muka mereka kelihatan masam kusam dan suram muram. Itulah balasan yang setimpal terhadap ketakutan mereka kepada Allah dan terhadap kelembutan hati dan perasaan mereka (kepada orang-orang yang susah).
Firman Allah SWT: Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera. (al-Insaan: 12)
Ibnu Kathir berkata: Yakni kerana kesabaran mereka, Allah SWT memberi dan menyerahkan syurga dan sutera serta menempatkan mereka di syurga iaitu tempat tinggal yang lapang, kehidupan yang sejahtera dan pakaian yang baik.
Sayid Qutub berkata: Mereka akan mendiami syurga dan memakai pakaian-pakaian sutera yang indah.
1 Comment
May 12, 2013 at 6:53 PM
semoga Allah sentiasa merahmati ustaz.
Post a Comment