Islam haramkan ila’

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Di sana terdapat keadaan jiwa yang dialami oleh sebilangan suami yang berpunca daripada suatu sebab yang terjadi dalam kehidupan suami isteri yang mempunyai bermacam-macam hubungannya.

Keadaan-keadaan inilah yang mendorong para suami melenting dan bersumpah tidak mahu bersetubuh dengan isterinya. Pemulauan atau pemboikotan ini tentulah menyakitkan hati si isteri. Ia tentulah menimbulkan kesengsaraan dan kesulitan dari segi jiwa dan saraf kepada isteri, di samping menjatuhkan kehormatannya sebagai seorang perempuan dan melumpuhkan kehidupan suami isteri.

Ia merupakan satu kerenggangan yang mengoyakkan tali pergaulan mesra dan menghancurkan bangunan keluarga apabila kerenggangan itu berpanjangan dari masanya yang munasabah.

Allah berfirman: Kepada orang- orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 226)

Ibn al-Jauzi menukilkan pendapat Ibn Abbas berkenaan sebab turunnya ayat ini: Ahli jahiliah pada zaman dahulu apabila seseorang lelaki atau suami meminta kepada isterinya sesuatu sedangkan isteri enggan memberinya nescaya beliau bersumpah untuk tidak bersamanya selama setahun, dua tahun dan juga tiga tahun. Dia meninggalkan tergantung begitu seolah-olah seperti janda yang tidak mempunyai suami. Apabila ajaran Islam datang, Allah menjadikan bagi orang Islam had tempoh selama empat bulan. Lantas turunlah ayat ini.

Firman Allah: Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya)...

Syeikh al-Magahri berkata: Mereka yang bersumpah untuk tidak bersama dengan isteri mereka sehingga lebih daripada empat bulan tanpa diminta untuk rujuk kepada isteri atau talak, sumpah seperti ini amat dibenci dan tidak diredai Allah. Sebabnya meninggalkan kasih sayang dan juga rahmat antara suami isteri.

Ini membawa banyaknya kemudaratan kepada mereka berdua dan juga anak-anak mereka. Antaranya menghina perempuan dan tidak meraikan hak-haknya.

Sayid Qutub berkata: Islam tidak bertindak terus mengharamkan ila’ ini dari awal-awal lagi, kerana ia kadang-kadang boleh menjadi ubat yang berguna dalam sesetengah kes. Antaranya untuk menundukkan isteri yang keras kepala dan sombong dengan kejelitaan dan kebolehannya menggoda, memikat dan menyulitkan kaum lelaki, di samping kadang-kadang memberi peluang untuk melepaskan kejemuan yang mendadak atau kemarahan yang meledak dan selepas itu hidup mereka dapat kembali semula lebih cergas dan kuat.

Tetapi Islam tidak memberi kebebasan yang sewenang-wenang kepada lelaki, kerana dia mungkin bertindak zalim dan bertindak melampaui batas dalam setengah kes. Semuanya, semata-mata mahu menyusahkan dan menghina perempuan (isterinya) atau mahu menyakitinya supaya ia terus tergantung-gantung tidak dapat menikmati hidup suami isteri bersama dengannya dan tidak pula terpisah dari ikatan suami isteri hingga ia dapat mendirikan rumahtangga yang baru.

Untuk menyelaraskan di antara berbagai-bagai kemungkinan dan untuk menghadapi keadaan-keadaan yang berlaku dalam kehidupan, Islam menetapkan had ila’ yang maksimum, iaitu tidak lebih dari empat bulan. Ia bertujuan supaya tidak merosakkan hati perempuan. Mengikut riwayat, Umar Ibn al-Khattab r.a ketika keluar membuat pemeriksaan di waktu malam yakni memeriksa keperluan-keperluan orang ramai dan keadaan mereka secara bersembunyi, lalu dia mendengar seorang perempuan bersajak:

Panjang sungguh malam ini

sudutnya gelap menghitam

masakan mata lena

tiada teman untuk bercanda

demi Allah, jika tiada kerana setia

hati ini bermuqarabah dengan dia

tentulah sudut-sudut katil ini bergerak di sana sini.

Lalu Umar bertanya anaknya Hafsah r.a: “Berapa lama perempuan boleh bersabar dari suaminya? Jawab Hafsah: “Enam bulan – atau empat bulan.” Maka kata Umar: “Aku tidak akan menahan mana-mana askar lebih dari tempoh ini. Dan beliau memutuskan bahawa para Mujahidin tidak boleh meninggalkan negeri lebih daripada tempoh ini.

Bagaimanapun tabiat manusia berbeza-beza di dalam perkara-perkara yang seperti ini, tetapi tempoh empat bulan merupakan satu tempoh yang cukup untuk seorang itu menguji diri sendiri dan hatinya sama ada ia patut pulang memulakan satu kehidupan suami isteri yang betul dan pulang ke pangkuan isterinya dan sarangnya. Atau ia masih berada dalam keadaan liar dan tidak dapat menerima dan dalam keadaan ini ia pastilah bertindak merombakkan ikatan perkahwinan itu dan memulangkan kepada isterinya kemerdekaan dengan talak. Sama ada dia sendiri yang menggugurkan talak itu atau pihak kadi yang menggugurkannya.

Ini bagi membolehkan suami isteri itu berusaha mendirikan rumah tangga yang baru dengan seorang yang lain. Langkah ini lebih terhormat dan lebih suci bagi isteri, lebih selesa dan berguna kepada suami. Juga lebih dekat kepada semangat keadilan dan kesungguhan dalam menjaga hubungan suami isteri yang telah dikehendaki Allah sebagai satu hubungan untuk melanjutkan hayat bukan untuk membekukannya.

Al-Sonhaji berkata: maka setelah Islam datang, pekerti orang yang demikian itu dapat diatasi dengan adanya hukuman yang terkandung dalam ayat ini. Iaitu orang yang telah bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya, jika isterinya menuntut kepada hakim, si suami akan diberi masa menunggu empat bulan.

Bila habis tempoh itu ia tidak kembali (tidak membatalkan sumpahnya) yang diiringi kemudiannya dengan membayar kaffarah, maka hakim akan menuntut supaya menceraikan isterinya itu. Jika suami enggan, hakim berhak memberikan talak maka tercerailah isterinya.

Sekiranya suami itu kembali kepada isterinya dengan menyetubuhinya, atau al-Fai’ namanya, maka wajiblah ia membayar kaffarah yamin (sumpah), iaitu memilih di antara tiga perkara:

lMemerdekakan seorang hamba yang mukmin.

lMemberi makan 10 orang miskin, banyaknya tiap-tiap seorang satu cupak.

lMemberi persalinan kepada mereka. Sekiranya tidak dapat mengadakan salah satu dari tiga perkara ini, hendaklah ia berpuasa tiga hari.

Firman Allah: Maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Saidina Ali dan Ibn Abbas berkata maksudnya: “Allah Maha Pengampun bagi dosa orang yang bersumpah.” Sedangkan al-Sonhaji berkata maksudnya: “Allah akan mengampunkan suami yang telah bertaubat daripada menyakiti isterinya dan Allah Maha Penyayang kepada sekalian orang yang bertaubat.”

Iktibar Ayat

*Ila’ termasuk dalam Musyabbihat al-Talaq seperti dalam mazhab Syafie.

*Kaffarah sebagai salah satu daripada menebus dosa.

*Mengithbatkan sifat Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.


No Comment

Post a Comment