Golongan kafir hina di akhirat
Syed Qutub berkata: Surah ini merupakan satu surah yang mengandungi nada-nada pertanyaan yang mendalam, tenang dan membangkitkan minat untuk berfikir dan merenungi kejadian-kejadian Allah, juga mengembangkan harapan dan cita-cita, dan seterusnya merangsangkan perasaan takut kepada Allah dan bimbang kepada proses hisab pada hari kiamat. Surah ini membawa hati manusia menjelajah dua ruangan yang maha luas iaitu ruangan akhirat dengan alamnya yang luas dan pemandangan-pemandangannya yang menarik, dan ruang alam dunia yang lebar dan terbentang kepada semua penglihatan mata dengan bukti-bukti kekuasaan Allah yang terdapat di dalam semua makhluk ciptaan-Nya yang dipamerkan kepada semua manusia. Setelah selesai daripada dua penjelajahan ini ia mengingatkan manusia tentang hisab (perhitungan) di hari akhirat, tentang penguasaan Allah yang penuh di hari itu dan tentang kepastian kembalinya seluruh manusia kepada Allah di akhir penjelajahan hidupnya. Semuanya dibentangkan dalam gaya pernyataan yang mendalam, tenang, tetapi menembusi hati, teratur rapi, tetapi ngeri. Firman Allah SWT: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi? Ibn Kathir berkata: Ghasiah adalah nama-nama hari kiamat. Ibn Abbas, Qatadah dan Ibn Zaid berkata: Ini kerana ia menyelubungi seluruh manusia. Firman Allah SWT: Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina. Ibn Abbas berkata: Berasa khusyuk sedangkan ketika itu amalannya tidak memberi manfaat. Firman Allah SWT: Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah, mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar). Al-Maraghi berkata: Orang kafir di dunia kini telah bekerja dengan bermati-matian sehingga kepayahan dan keletihan tetapi mereka tidak dapat menikmati sedikit pun hasil kerjanya itu. Oleh sebab itu, kesan daripada kecemasan dan sia-sianya amal perbuatan itu nampak pada wajah-wajah mereka. Muka-muka yang tunduk dan terhina akan merasa panasnya api neraka dan menderita azabnya akibat perbuatan yang membawa kerugian, kejahatan dan meninggalkan kebaikan di dunia dahulu. Kita tidak mengetahui bagaimana hakikat api yang sangat panas itu. Akan tetapi kita wajib mengimani apa yang ada padanya dan mempercayai para pelaku kebatilan akan memasukinya.
No Comment
Post a Comment