Orang kafir dustakan akhirat
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku! Sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya) dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin, dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya) serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba! Jangan sekali-kali bersikap demikian! (sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya, dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), serta diperlihatkan neraka jahanam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)! Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. (al-Fajr: 15-25) Mukadimah Al-Maghari berkata: Setelah Allah SWT bersumpah akan mengazab orang kafir sebagai balasan kekafirannya dan kegemaran mereka melanggar perintah-Nya, lalu Dia menyebutkan sebahagian kisah umat terdahulu yang menentang Allah SWT, Rasul-Nya dan gigih melakukan kezaliman, sehingga ditimpa seksaan yang bersangatan dan diambilnya tindakan bagai tindakan Penguasa Yang Gagah Perkasa. Oleh yang demikian, agar para pendusta serik dan untuk meneguhkan hati orang mukmin yang mengikut Rasul dan menolongnya, dan agar hati mereka menjadi tenang kerana musuh-musuh mereka akan diberi pembalasan yang sewajarnya. Firman Allah SWT: (dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku! Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Manusia dalam ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat. Pertama Uthbah bin Rabi'ah dan Abu Huzaifah bin Mughirah seperti kata 'Ata. Kedua Ubai bin Khalaf, inilah pendapat Ibn al-Sa'ib. Ketiga Umayyah bin Khalaf seperti kata Muqatim. Keempat semua orang kafir yang tidak beriman hari kebangkitan. Al-Qurtubi berkata, inilah sikap orang kafir yang tidak mempercayai alam akhirat dan menganggap kemuliaan terletak pada kesenangan dan kemewahan hidup duniawi sahaja. Orang yang beriman pula meyakini. kemuliaan sejati terletak pada limpah kurnia Allah SWT kepadanya untuk sentiasa mentaati Allah SWT serta bertakwa kepada-Nya sepanjang hayat mereka yang akan membawa kepada kebahagiaan di alam akhirat. Sekiranya Allah SWT mengurniakan kemewahan hidup di dunia, ia akan bersyukur dan seandainya pula berlaku sebaliknya, ia akan bersabar dengan penuh kerelaan dan keyakinan. Firman Allah SWT: jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya). Ibn Kathir berkata: Ayat ini mengandungi perintah supaya memuliakan anak yatim. Firman Allah SWT: dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin. Ibn Kathir berkata: Iaitu tidak memerintahkan untuk berbuat baik kepada kaum fakir miskin serta mengarahkan mereka dalam hal tersebut. Firman Allah SWT: dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya). Al-Maraghi berkata: Kamu memakan harta yang ditinggalkan oleh salah seorang antara kamu dengan perasaan tamak. Kamu berusaha menyingkirkan orang yang sepatutnya berhak dan mencampur bahagianmu dengan bahagian orang lain.
No Comment
Post a Comment