Harta bukan matlamat hidup
|
|
Allah berfirman yang bermaksud : Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta-benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). (ali-‘Imran: 14)
SHEIKH Sya'rawi berkata: Tajuk yang datang dalam ayat mulia ini ialah pertembungan peperangan Islam yang Allah SWT jadikannya sebagai tanda berkekalan untuk menjelaskan kepada kita bahawa peperangan, keimanan memerlukan hanya kembali kepada Allah SWT dan memutuskan dari segala adab dan tabiat antaranya syahwat dunia.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT menceritakan kepada kita berkenaan dengan perhiasan kepada manusia dan kelazatan dengan mengikut susunan ujian dan fitnah yang paling banyak."
ii. Al-Samarkandi berkata: "Syaitan yang menghiaskan sebagai ujian kepada orang yang beriman dengan cara was-was. Disebut dengan wanita dahulu kerana ia sebesar-besar fitnah yang berlaku sejak zaman Adam a.s hingga ke hari ini. Antara bentuk fitnah tersebut boleh memutuskan silaturrahim dan pergaduhan.
Ulama telah khilaf berkenaan dengan nilai qintar atau muqantarah:
- Mujahid berkata, jumlahnya 70 ribu dinar.
- Abu Hurairah berkata, 12 ribu uqiah.
- Muaz bin Jabal berkata, 1,200 uqiah. Ini juga pendapat Ibn Umar, Asim bin Abi al-Nujud dan al-Hasan.
- Sebahagian mereka berkata, sebanyak duit emas yang diletak dalam belulang lembu. Ini pendapat Abu Nadrah dan Abu Ubaidah.
- Al-Dhahaq berkata, harta yang banyak.
- Dikatakan jumlahnya 1,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 12,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 1,200 dinar. Ini adalah pendapat al-Hasan.
- Dikatakan jumlahnya 40,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 60,000 dinar.
- Dikatakan jumlahnya 70,000 dinar. Ini pendapat Ibn Umar dan Mujahid.
- Dikatakan jumlahnya 80,000 dinar. Ini pendapat Said bin Musaiyib dan Qatadah.
- Jumlahnya 8,000 misqal seperti kata al-Suddi.
- Jumlahnya 7,000 dinar seperti kata Ata'
- Mengikut hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: satu qintar bersamaan 12,000 uqiah. Sedangkan riwayat yang lain menyebut sebanyak 12,000 uqiah.
iii. Ibn Jauzi berkata: "Semua yang disebut ini menjadi niat pada hamba untuk memakainya dan menjadi buruk akibat jika niatnya tidak baik."
iv. Sheikh Sya'rawi berkata: "Apabila kita mengkaji ayat ini yang disebut berkenaan dengan kepelbagaian nikmat dari itu peperangan yang memerlukan perpisahan dengan keluarga hendaklah tidak menghalang oleh nafsu syahwat. Sehingga akhirnya orang yang beriman sejati mampu bersedekah pada jalan Allah SWT dan kudanya digunakan untuk berjihad pada jalan Allah SWT bagi meninggikan kalimahnya."
v. Al-Maraghi berkata: "Kecintaan terhadap kaum wanita disebut dahulu daripada kecintaan terhadap anak-anak padahal perasaan rasa cinta terhadap wanita adakala tidak kekal, sedangkan perasaan cinta terhadap anak akan berkekalan kerana kecintaan terhadap anak tidak akan membawa sikap berlebih-lebihan sebagaimana rasa kecintaan terhadap mana-mana wanita.
"Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu untuk meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Ia mengandungi suatu hikmah yang tersendiri, sama ada pada manusia atau haiwan."
vi. Hamka berkata: "Di sini terdapat tiga kata. Pertama Zuyyina, ertinya diperhiaskan. Maksudnya, segala barang yang diingini itu ada baiknya dan ada buruknya, tetapi apabila keinginan telah timbul, yang kelihatan hanya eloknya saja dan lupa akan buruk atau susahnya.
Kata kedua ialah Hubb, ertinya kesukaan atau cinta. Kata ketiga ialah Syahwat, iaitu keinginan-keinginan yang menimbulkan selera yang menarik nafsu buat empunya diri.
Maka disebutlah enam macam hal yang manusia sangat menyukainya kerana hendak mempunyai dan menguasainya sehingga yang nampak oleh manusia hanyalah keuntungannya saja.
vii. Al-Sonhadji berkata: "Manusia itu telah diciptakan oleh Allah SWT mempunyai watak atau tabiat semula jadi menyukai nafsu syahwat kepada enam perkara yang disebutkan dalam ayat ini. Segala kelazatan di dunia yang diciptakan oleh Allah SWT, dibolehkan hamba-hamba-Nya menyukai untuk dikecapi dan dinikmati keinginannya dengan diberikan-Nya pula batasan halal haramnya.
Penulis melihat ayat ini sebagai sesuatu ujian Allah SWT kepada manusia untuk mujahadah al-nafsi dan membetulkan nawaitu dengan menganggap harta benda sebagai alat atau wasilah dan bukan matlamat atau ghayah.
Ia digunakan sebagai alat keperluan untuk mentaati dan mematuhi segala ajaran Allah SWT bagi mentahqiqkan matlamat penciptaannya untuk menjadi hamba Allah SWT yang sejati dan khalifah Allah SWT di dunia ini.
Semoga kita menjadi manusia yang selamat dari godaan hawa nafsu dan syahwat.
No Comment
Post a Comment