Orang kufur rugi dunia dan akhirat

By mfrstudio

Sheikh Sya’rawi berkata: “Mereka yang mengkufuri ayat-ayat Allah SWT di samping melakukan pembunuhan kepada Nabi tanpa kebenaran dan mereka yang menyeru keadilan di kalangan manusia, merekalah yang layak mendapat azab.”

Persoalan yang dikemukakan di sini ialah mana-mana amalan yang tiada maksud atau tujuan seperti pukulan orang gila yang tiada sebarang matlamat. Sedangkan orang yang berakal sebelum melakukan sebarang tindakan hendaklah mengenali matlamat itu di samping yang mentahqiqkannya daripada manfaat. Adakah ini mendapat manfaat berterusan atau sedikit? Atas qias seperti inilah orang yang berakal mengehadkan amalannya, justeru benarlah firman Allah SWT.

Iktibar dan fiqh ayat 22 surah ali-‘Imran:

lRasulullah SAW seperti riwayat Ahmad pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang menyuruh mereka dengan makruf, melarang mereka daripada kemungkaran dan paling bertakwa kepada Allah SWT di kalangan mereka, serta paling teguh menyambung silaturrahim”.

l Al-Alusi berkata: “Maksud firman Allah SWT, mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat adalah sebagai menunjukkan jauhnya mengikut yang masyhur kerana keburukan hal keadaan mereka.” Beliau menambah, mereka mendapat kerugian amalan mereka dan tidak memperoleh pahala serta habuan termasuk di dunia kerana darah dan harta benda mereka tidak dihormati. Mereka tidak layak mendapat pujian dan pada akhirat pula azab yang menanti mereka amatlah pedih.

lAl-Alusi juga berkata, tiada seorang pun yang mampu menolong mereka daripada azab dan hukuman Allah SWT di dua tempat dunia dan akhirat. Beliau berkata ada di kalangan manusia menyangka pada ayat ini bertentangan tiga perkara dengan tiga perkara. Kufur dengan azab, membunuh Nabi dengan gugurnya amalan dan membunuh pendakwah yang menyuruh amar makruf dan nahi mungkar dengan ternafinya pertolongan daripada Allah SWT.

lIbn Kathir berkata: “Tatkala mereka begitu samseng dan takbur daripada kebenaran, di samping itu bermegah-megah atas sekelian makhluk Allah SWT maka Allah menghukum mereka dengan kehinaan dan kemudaratan di dunia seterusnya azab yang cukup hina di akhirat”.

lSheikh Muhamad Abu Zahrah berkata: “Isyarat kepada mereka yang berhujah dengan kebatilan dan tidak berserah diri dengan sebenarnya kerana Allah SWT, tidak tunduk dan patuh pada kebenaran, membunuh para Nabi dan membunuh pendakwah kebenaran. Mereka semua itulah dengan segala sifat di atas dan amalan ini, layak dikenakan hukuman dengan gugurnya pahala mereka sama seperti binatang yang makan makanan yang buruk sehingga kembung perutnya dari makanan yang tidak baik tanpa sebarang manfaat”.

lSheikh al-Maghari berkata: “Allah SWT telah membahagikan ancaman seksaan yang amat pedih ini kepada mereka dalam tiga bentuk:

lSesuatu perkara yang mengakibatkan berlakunya kepedihan dan penderitaan, dinamakan azab yang pedih.

lHilangnya perkara yang mendatangkan keuntungan, kerana perbuatanmu yang sia-sia semasa di dunia mahu pun di akhirat. Di dunia ini mereka mendapat celaan bukan pujian, kutukan bukan sanjungan. Dan di akhirat nanti mereka pasti menerima balasan sesuai dengan keterangan Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 23 yang bermaksud: “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”

lPenyeksaan pedih ini berlaku secara berterusan seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang berbunyi: Dan tidak ada seorang penolong pun bagi mereka.

lMuhamad Quraish Shihab berkata: Dari luar, binatang itu diduga gemuk, sihat, tetapi gemuk yang mengagumkan itu pada hakikatnya adalah penyakit yang menjadikan dagingnya membengkak, atau katakanlah ia adalah tumor ganas yang amat berbahaya bagi kelangsungan hidupnya.

Begitu juga amal-amal orang kafir, amal-amal mereka kelihatan baik tetapi amal-amal mereka akan habitat, sehingga yang bersangkutan akan menjadi seperti binatang yang makan tumbuhan seperti yang dijelaskan di atas. Ia akan binasa, mati walaupun amal-amalnya kelihatan baik dan indah, sebagaimana indahnya tumbuh-tumbuhan di musim bunga.

l Hamka berkata: Dalam dunia segala amal mereka percuma, gagal dan gugur, bekasnya tidak akan ada, nescaya di akhirat pun kosong, malahan azab seksalah yang akan mereka derita. Dan tidak ada bagi mereka orang-orang yang akan menolong.

lSebenarnya mereka yang menentang Allah SWT dan agama yang sebenar bukan sahaja mendapat kerugian di dunia tetapi yang lebih malang di akhirat kelak.

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada hukuman Allah di dunia dan akhirat seterusnya melayakkan kita untuk mendapat mardatillah dan keampunan-Nya. Amin.


No Comment

Post a Comment