Jauhi perbuatan syirik

By mfrstudio

Allah berfirman yang bermaksud : Allah menerangkan (kepada sekelian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (ali-'Imran: 18).

Sheikh Sya'rawi berkata: "Segala sifat takwa, ikrar dengan iman, mohon keampunan daripada dosa, mohon selamat dari azab neraka, sabar, benar, taat, infak pada jalan Allah SWT dan istighfar pada malam hari, semuanya itu natijah daripada takwa yang pertama.

"Ia adalah buah dan hasil kalimah tauhid iaitu kalimah syahadah yang perlu setiap umat Islam mengiyakannya dan mengetahui dengan makrifat yang sebenar."

Sebab Nuzul

Al-Kalbi menceritakan: Ayat ini diturunkan kerana telah datang dua pendeta dari negeri Syam ke Madinah. Apabila kelihatan negeri Madinah, salah seorang dari keduanya berkata: "Alangkah serupanya negeri ini dengan negeri Nabi Muhammad SAW yang akan dibangkitkan pada akhir zaman."

Apabila keduanya memasuki kota tersebut, mereka pun mengenali sifat-sifat Nabi SAW dan berkata kepada Nabi SAW: "Adakah tuan ini Muhammad?" Nabi SAW menjawab: "Ya".

Keduanya berkata pula: "Dan tuan ini Ahmad?" Nabi menjawab: "Saya Muhammad dan Ahmad". Mereka berkata lagi: "Kami ingin menanyakan kepada tuan sesuatu. Sekiranya tuan khabarkan, kami akan beriman kepada tuan."

Nabi SAW menjawab: "Tanyalah!"

Keduanya pun bertanya: "Khabarkanlah kepada kami tentang sebesar-besar syahadat di dalam kitab Allah SWT".

Mengikut riwayat al-Sayuti dalam Dur al-Mansur daripada Said bin Jubair katanya: "Sekeliling Kaabah mempunyai 360 berhala. Untuk setiap perkampungan Arab mempunyai satu dua berhala. Apabila turunnya ayat ini jadilah semua berhala tunduk sujud."

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT sendiri menjadi saksi berkenaan keesaan ketuhanannya. Sedangkan segala makhluk adalah hamba dan berhajat kepada-Nya sedangkan Dia Maha Kaya dari sekeliannya."

ii. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini menjadi khusus dan keistimewaan betapa besarnya martabat dan makam para ulama."

iii. Ibn Jauzi berkata: "Ulama khilaf berkenaan maksud syahida kepada dua:

lDengan makna keputusan dan hukuman. Seperti kata Mujahid, al-Farra' dan Abu Ubaidah.

lDengan maksud penerangan inilah tafsiran Sa'lath dan al-Zajjaj.

iv. Ayat ini menjadi dalil berkenaan kekuasaan Allah SWT dan kewujudannya. Pernah ditanya kepada sebahagian Arab Badwi apakah dalil adanya pencipta? Jawabnya: "Sesungguhnya tahi unta menunjukkan adanya unta, kesan tapak kaki menunjukkan adanya orang yang berjalan."

v. Al-Samarkandi berkata: "Ayat ini menjadi dalil atas keesaan Allah SWT dengan semua yang diciptakannya. Dijelaskan betapa seseorang tidak mampu mencipta sebagaimana ciptaan Allah SWT."

vi. Al-Qurtubi berkata: "Ayat ini menjadi dalil atas kemuliaan ilmu, para ulama dan kelebihan mereka. Ini kerana dihampirkan penyaksian ketauhidan bersama Allah SWT dan para malaikat.

Al-Qurtubi menambah: "Kalau di sana ada yang lebih mulia, nescaya Allah SWT perintah nabinya untuk mendapat dan memohon lebih banyak ilmu dari-Nya."

vii. Ibn Jarir meriwayatkan daripada Qatadah katanya: "Islam ialah penyaksian bahawa Tuhan itu hanyalah Allah SWT dan mengakui segala yang datang adalah daripada Allah SWT. Islam merupakan agama Allah SWT yang disyariatkan untuk diri-Nya. Oleh itu, Dia mengutus para rasul dan para wali-Nya untuk membawa risalah Islam. Dia tidak akan menerima agama lain selain daripada Islam dan tidak berhajat menganugerahkan ganjaran di luar daripada agama (Islam) ini."

viii. Ali Ibn Abu Talib r.a berkata dalam khutbahnya: "Islam membawa erti penyerahan. Manakala penyerahan bererti suatu keyakinan. Keyakinan pula bererti kebenaran dan kebenaran adalah suatu pengakuan. Sementara pengakuan pula bererti pelaksanaan. Pelaksanaan pula membawa erti mengamalkan.

Selanjutnya Ali r.a berkata: "Seorang mukmin adalah mereka yang mengambil agama daripada Tuhannya, bukan menurut akal fikirannya. Keimanan seorang yang bergelar mukmin hanya dapat diketahui melalui perlakuan amalannya. Manakala kekafiran seorang yang kafir dapat diketahui melalui tanda keingkarannya.

"Wahai manusia berpegang teguhlah dengan agama kamu! (Ketahuilah) Sesungguhnya keburukan yang terdapat dalam agama (Islam) lebih baik berbanding dengan kebaikan yang terdapat agama lain."

Ini kerana sebarang keburukan yang terdapat dalam agama (Islam), sudah pasti akan diampuni, sedangkan kebaikan yang terdapat pada agama lain, ternyata tidak akan diterima Allah SWT.

ix. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT telah menerangkan keesaan-Nya dengan cara mengemukakan bukti-bukti kejadian alam fizikal yang terdapat di cakerawala dan dalam diri manusia itu sendiri. Dalam pada itu, Allah SWT telah menurunkan beberapa potong ayat yang mengandungi firman-Nya untuk membuktikan keesaan-Nya.

"Selanjutnya, para malaikat telah mengkhabarkan perkara ini kepada para rasul sedangkan mereka bersaksi dengan kesaksian yang dikuatkan oleh ilmu yang berasal daripada wahyu atau ilham, dan ilmu yang terdapat di sisi para nabi ini lebih kuat berbanding dengan keyakinan-keyakinan yang lain. "Dalam hal ini juga, kebanyakan tokoh cendekiawan dalam menjelaskan aspek keesaan Allah SWT membuat penerangan dan pembuktian dengan menggunakan bukti dan dalil kerana seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang, beliau tidak akan lari daripada menggunakan dalil".

Semoga kita menjadi golongan ahli ilmu yang benar-benar makrifah kepada Allah SWT melalui dalil-dalilnya dan sentiasa memelihara akidah supaya tidak dicemari dengan syirik.


No Comment

Post a Comment