Iman bekal terbaik bertemu Allah
Selepas Allah SWT menyebut tentang doa yang dilakukan oleh golongan salehin dan ulul al-Bab, di samping mengiakan kekuasaan-Nya terhadap segala makhluk pada hari kiamat yang pasti dihukum dan dibalas mengikut amalan mereka di dunia dahulu. Lantas Allah SWT menyebut berkenaan dengan kedudukan golongan kafir dan Firaun. Apakah natijah mereka pada hari akhirat kelak.
Ayat Kesepuluh
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.
Sebab Nuzul
Ibn Kathir berkata dalam hadis yang panjang berkenaan dengan dakwah Rasulullah SAW yang disampaikan ketika di Mekah dan jaminan Rasulullah SAW bahawa Islam akan zahir hatta menjengah ke tempat-tempat kufur.
Begitu juga Islam akan tersebar sehingga menjadi perbincangan tetapi akan datang satu zaman manusia yang mempelajari al-Quran dan membacanya kemudian berkata: “kami baca dan kami tahu maka siapakah yang lebih baik dari kami. Adakah pada mereka itu terdapat kebaikan? Mereka menjawab: “Hai Rasulullah, siapakah mereka”? Lantas sabda Baginda: “Mereka ada di kalangan kamu dan mereka adalah umpan dan unggun api neraka”.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: “Allah SWT mengkhabarkan bahawa orang kafir adalah unggun api neraka. Harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kepada mereka dan menyelamatkan mereka daripada azab neraka”.
ii. Al-Maraghi berkata: “Orang yang mengingkari pengetahuan tentang kenabian Nabi Muhammad SAW sama ada Bani Israel ataupun kaum kafir Arab, mereka tidak dapat diselamatkan oleh harta kekayaan yang telah mereka belanjakan yang kononnya dapat menyelamatkan diri mereka daripada bencana.”
iii. Hamka berkata: “Dengan ini diperingatkan bahawa harta dan anak, kalau tidak hati-hati, adalah pintu kepada kufur. Harta benda dan anak-anak adalah barang yang nampak oleh mata.
“Inilah yang disebut ‘hidup kebenaran’, sedang kepercayaan kepada Allah SWT adalah ‘hidup kerohanian’. Sedang hidup kebendaan ini tidaklah lama. Kita akan lebih merasai dengan lebih lama dengan hidup kerohanian. Hidup di Akhirat. Sebab itu di sebalik penglihatan mata, hendaklah diperhatikan penglihatan hati”.
iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini mengandungi makna kegagalan segala upaya untuk menolak seksa, bahkan menggambarkan kesempurnaan seksa yang akan mereka terima”.
v. Al-Sonhadji berkata: “Orang-orang yang ingkar padahal telah pun mengetahui kenabian Muhammad SAW sama ada dari golongan kaum Bani Israel ataupun kaum Musyrikin Arab, semua harta yang mereka belanjakan, baik bagi faedah kebajikan mahupun untuk pembasmi kejahatan, tidak akan dapat menolong mereka. Maka mereka akan menjadi bahan pembakaran jahanam yang bernyala-nyala”.
vi. Dengan merenung ayat ini kita dapati bahawa natijah derhaka kepada Allah SWT sekali pun mempunyai laba di dunia dan penolong-penolong di kalangan anak-anak dan rakan-rakan, tetapi semuanya tidaklah memberi sebarang erti. Sebaliknya api nerakalah tempat kesudahannya. Waliya zubillah.
Ayat Kesebelas
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka ; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.
Iktibar dan fiqh ayat :
i. Ibn Abbas menafsirkan perkataan sama seperti keadaan kaum Firaun dengan maksud perlakuan kaum Firaun. Sedangkan mengikut riwayat Ikrimah, Mujahid, Abi Malik, al-Dhahak dan lainnya berpendapat seperti tahun kemarau yang terkena kepada kaum Firaun dan perbuatan mereka begitu juga dengan penyerupaan mereka lafaz yang hampir sama.
ii. Ibn Kathir berkata: “Makna ayat ini bahawa orang kafir tidak mungkin dengan aset kekayaan dan anak boleh selamat tetapi mereka akan dikenakan hukuman kerana mendustakan Rasul-rasul dan ayat-ayat-Nya”.
iii. Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya perbuatan mereka mendustakan Nabi Muhammad SAW dan mengingkari agamanya adalah sama dengan perbuatan yang dibuat oleh keluarga Firaun terhadap Nabi Musa a.s”.
iv. Hamka berkata: “Maka di hadapan Allah SWT tidak peduli Firaun, tidak peduli kaya-raya dan banyak keturunan. Di hadapan Allah SWT semuanya itu tidak dapat dibanggakan, dan tidak ada harganya. Nilai seorang Firaun tidak ada di hadapan Allah SWT, yang bernilai hanyalah iman. Firaun tidak mempunyai iman”.
v. Ayat ini mengimbas bagaimana kesudahan kerajaan Firaun yang angkuh terhadap utusan Allah SWT di mana yang menantinya adalah azab yang maha pedih. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa patuh dan taat kepada Allah SWT. Amin.
No Comment
Post a Comment